BAB 40

Romance Series 19166

"Ainul..." Maria membuka sedikit pintu bilik anaknya. Dilihat Ainul baru melangkah keluar dari dalam bilik air.


"Ya mak. Masuklah." Segaris senyuman dihadiahkan buat si ibu. Dia mendekati penyidai di tepi tingkap bilik sebelum menyangkutkan tuala yang dipegang.


"Macam mana dengan tempat kerja Ainul? okay?" Tanya Maria sekadar berbasa-basi. Sebenarnya, itu bukan tujuan utama dia mencari Ainul waktu begini.


Semakin melebar senyuman Ainul mendengar soalan itu. Dia mengambil tempat duduk di sisi emaknya di birai katil. Kedua-dua belah tangan Maria digenggam erat sebelum diusap penuh kasih.


"Alhamdulillah, setakat ni semuanya baik-baik sahaja. Tak ada orang buli Ainul dan bos Ainul pun baik." Cerita Ainul dengan ceria.


"Patutlah mak nampak kamu seronok sahaja sejak kebelakangan ni. Tak macam awal-awal kamu masuk kerja dahulu, nampak monyok dan sedih."


Ainul mula mengerutkan dahi. Ketara sangatkah raut wajahnya masa itu? Dia mengaku kala itu, dia memang rasa terseksa bekerja di B&E dengan kehadiran Zarul Akhtar, tetapi sekarang entahlah. Jiwa dan perasaannya bagaikan sudah sebati dengan suasana di situ.


"Perasaan mak je kot." Ainul cuba mengelak daripada terus disoal.


"Ainul..." Maria bertindak membalas genggaman tangan anaknya. Ada perkara yang dia mahu tanya kepada Ainul. Namun, hati tuanya serba salah mahu membuka bicara, takut tersalah kata nanti bakal mengoyak semula luka di hati Ainul tujuh tahun dahulu.


"Kenapa mak? Mak nampak gelisah semacam sahaja? Ada yang tak kena ke?" Ainul memberikan sepenuh perhatian kepada Maria. Dadanya sudah diasak dengan debaran hebat.


"Mak cuma nak tanya kamu. Sejak kebelakangan ni, ada tak orang datang tanya apa-apa tentang kamu? Tanya tempat tinggal kamu ke? Atau lebih tepat... tanya tentang kejadian tujuh... tahun lepas?" Lambat-lambat Maria menghabiskan ayat. Dia merenung ke dalam anak mata Ainul penuh cemas. Jelas hati dan perasaannya tidak tenteram sekarang.


Ainul terpempam. Seraut wajah lelaki yang pernah membuat dia kecut perut dahulu mula terlayar di fikiran. Zarul Akhtar. Hanya dia sahaja yang berani menyoal itu ini kepadanya sejak tiga bulan yang lalu. Hanya lelaki itu yang bertanya tentang keberadaannya tujuh tahun lepas.


"Jawab soalan mak Ainul. Pak Cik Sham kamu bagitahu mak haritu, ada orang datang rumah tanya tentang kamu. Tanya nama penuh kamu. Tanya kamu pindah ke mana selepas insiden kebakaran tu. Dan hati mak kuat mengatakan perkara ini ada kaitan dengan tempat kerja baru kamu." Suara Maria sudah kedengaran terdesak.


Semakin bertambah terkejut Ainul mendengarnya. Sehinggakan tubuh yang terduduk, spontan berdiri dengan mata membulat tidak percaya. Tidak menyangka, Zarul Akhtar sanggup mengupah orang semata-mata untuk mencari tahu tentang dirinya.


"Kamu..." Maria bangun berdiri menghadap Ainul dengan pandangan tajam.


"Tak jum... pa dengan pewaris keluarga itu kan? Kamu tak jumpa dengan Za.. rul Akhtar dekat tempat kerja kamu kan?" Akhirnya terluah juga soalan yang ingin ditanya sedari tadi. Sudahlah lelaki itu berkecimpung dalam bidang yang sama dengan kerja Ainul. Keberangkalian untuk mereka berjumpa di mana-mana amat tinggi. Desahan nafas Maria semakin tidak teratur menanti Ainul membalas segala pertanyaannya.


"Mak... " Hanya itu. Hanya itu yang terluah dari mulut Ainul. Lidahnya bagaikan terkunci untuk berkata-kata. Tidak tahu sama ada dia patut menceritakan perkara sebenar atau tidak. Sungguh dia terpana kerana semua sangkaan emaknya tepat sekali.


Bebola mata dilarikan ke tempat lain. Dia dalam dilema sekarang. Jika diberitahu hal sebenar pasti emaknya akan menyuruh dirinya berhenti kerja, ataupun mereka akan berpindah ke negeri lagi. Jika tidak diberitahu pula, ibarat dia sudah berbohong kepada ibunya sendiri.


"Daripada reaksi Ainul sekarang, mak rasa apa yang mak cakap tadi..."


"Tak!" Pantas Ainul menjawab. Entah mengapa, otaknya laju sahaja memberi maklumat kepada mulut untuk mengeluarkan kenyataan itu. Sedangkan hati tidak mahu berbohong kepada ibu. Ah! hati dan fikiran selalu tidak sependapat membuatkan dia terkapai-kapai sendiri di tengah-tengah.


"Tak?" Maria semakin mendesak.


"Mak... Maksud Ainul..." Ainul cuba mengawal riak wajah. Cuba menenangkan diri agar tidak kelihatan curiga di hadapan Maria.


"Tak ada apa-apa yang berlaku sepanjang Ainul bekerja di sana. Jadi, mak tak payah risau." Senafas Ainul berkata beserta senyuman nipis dihadiahkan buat Maria, mahu melegakan kerisauan di hati tua emaknya.


Maria terngadah. Lama dia merenung Ainul, mencari kebenaran di balik kata-kata itu sebentar tadi. Kenapa? Kenapa gaya badan anaknya berbeza dengan apa yang diluahkan di mulut? Atau betul kata Ainul, itu hanya perasaannya sahaja?


Bagaikan tahu gejolak perasaan Maria, Ainul bertindak mendakap tubuh itu dengan erat. Dia menyangkutkan dagu di bahu emaknya. Belakang badan pula digosok cukup lembut. Kali ini, dia memilih untuk mengikut kehendak akal. Menyembunyikan dahulu kewujudan Zarul sehingga kontrak kerjanya yang masih berbaki lagi seminggu tamat. Waktu itu, dia janji akan menceritakan segalanya.


"Kalau betul Ainul ada jumpa dia dekat tempat kerja, takkanlah Ainul masih nak kerja dekat situ? Ainul sendiri pun tak sanggup mak." Hujung ayatnya kedengaran perlahan. Seolah-olah hati meronta-ronta untuk tidak berkata demikian.


Pantas Maria meregangkan pelukan. Dia mencengkam kedua-dua bahu Ainul agar berhadapan dengannya.


"Kamu tak tipu kan?"


Gemersik suara itu menghadirkan rasa sebak dalam hati Ainul. Dia tidak menidak mahupun mengangguk. Hanya fokus memandang tepat ke arah Maria dengan pandangan sayu. Wajah itu. Wajah kerisauan itu masih sama kelihatan sejak dahulu jika topik tersebut dibangkitkan.


"Kenapa mak nak sangat Ainul jauhkan diri dari dia? Bukankah mak berkali-kali ingatkan yang Ainul bukan penyebab keluarga dia meninggal? Jadi, kenapa perlu jauhkan diri kalau Ainul tak salah?" Anak mata Ainul bergetar memandang. Sudah lama dia mahu bertanya perihal itu, tetapi memandangkan emaknya tidak membuka mulut, dia memilih untuk buat tidak tahu sahaja.


Kedua-dua tangan Maria jatuh ke sisi. Dia tidak menyangka dengan soalan yang ditanya Ainul. Wajah kerisauan tadi mula diganti dengan riak kekalutan.


"Erk... Mak... Mak..." Maria cuba mencari alasan.


"Mak cuma risaukan kamu. Mak tak nak kamu dihantui mimpi ngeri yang sama. Mak dah tak sanggup nak tengok anak mak menangis setiap malam mengenangkan dosa yang dia tak buat." Balas Maria akhirnya. Kepala Ainul diusap. Dilihat Ainul masih memandangnya penuh curiga.


"Tenang sikit hati mak dengar penjelasan dari kamu. Kalau betul apa yang kamu cakap tadi, mak dah tak perlu risau sangat lepas ni." Maria cuba meyakinkan Ainul lagi.


"Mak masuk tidur dulu. Kamu mesti nak rehat kan sebab esok kerja?" Maria sudah tidak senang duduk. Rasanya dia perlu segera keluar sebelum disoal lebih-lebih oleh Ainul.


"Ainul ok ja kalau mak nak sembang dengan Ainul sampai tengah malam." Itu pula yang dijawab. Maria membalas dengan senyuman kekok.


"Eh takpa takpa. Badan mak rasa letih sangat harini. Mungkin sebab kemas rumah kot pagi tadi. Mak masuk tidur dulu ya?" Terus Maria bergegas keluar dari bilik tidur anaknya sebelum sempat Ainul membalas.


Lima minit berlalu. Ainul masih berdiri tegak di tempatnya bagaikan patung cendana.


"Betul ke mak buat semua tu hanya sebab tak nak aku terus teringat dengan kebakaran tersebut? Atau... ada sebab lain?" Ainul berdesis perlahan. Mata masih tidak lekang dari merenung bayang-bayang emaknya yang masih berada di luar dari bawah celahan pintu bilik.


Sementara itu, Maria di luar bilik mula menyandarkan belakang tubuh pada pintu bilik tidur anaknya. Tangan mengusap dada agar lebih bertenang.


"Kalaulah kamu tahu mak buat semua ni sebab ayah, kamu mesti lebih sedih." Mari berkata dalam hati. Setitis air matanya jatuh jua mengenangkan kerinduan buat sang suami yang sudah tenang bersemadi di 'sana'.


'Abang Ed, patutkah Maria beritahu Ainul apa yang berlaku?'

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience