BAB 21

Romance Series 19166

"Resign?!" Ternaik satu oktaf suara Aiman memandang surat yang dihulurkan Ainul.

Dia tidak percaya dengan keputusan yang dibuat oleh Ainul. Rasanya Ainul baik-baik sahaja bekerja di sini. Tidak pula dia melihat pekerja lain membuli gadis itu.


"Sebab?" Ringkas dia bertanya. Wajah Ainul yang menunduk direnung tepat.


"Saya rasa saya tak sesuai bekerja di sini. Ada orang lain yang lebih layak dekat luar sana." Lancar alasan itu meniti di bibir Ainul. Hentam sahajalah, asalkan surat resign itu diterima oleh Aiman.

Aiman mengecilkan matanya. "Itu sahaja? Bukan sebab awak dapat tawaran kerja di tempat lain?" Rasanya alasan yang diberikan Ainul agak tidak munasabah. Disebabkan dia tahu Ainul tidak berpengalamanlah, dia memberikan sesi percubaan kepada gadis itu. Dan selama sebulan lebih ini, Ainul membuat kerja dengan baik dan tidak mengecewakannya.

Ainul menggeleng lemah. Nampaknya, dia dapat mengagak masa depan surat yang diberi. Semestinya ditolak mentah-mentah oleh Aiman. 'Aduh, patut ke aku cakap yang aku nak berhenti sebab Tuan Zarul? Sebab aku nak lari dari Tuan Zarul?'

"Kalau itu sahaja alasan awak, saya tak akan terima surat ni. Awak tahukan kontrak yang awak tandatangan sebelum ini berkuatkuasa selama tiga bulan?" Dilihat Ainul mengangguk seperti burung belatuk.


"Awak tahukan, kalau awak langgar kontrak ini tanpa alasan kukuh, awak perlu membayar denda?" Lagi sekali Aiman bertanya. Dan lagi sekali kepala Ainul bergerak atas bawah.

Aiman mula mengeluh berat. Walau apa pun yang terjadi, dia tidak akan berhentikan Ainul. Tidak akan!

"Cuba awak beritahu saya betul-betul, apa punca utama yang membuatkan awak mengambil keputusan drastik macam ni?" Tubuh sudah dibawa mendekati Ainul. Dengan penuh santai Aiman menyandar punggungnya pada meja sambil berpeluk tubuh. Menanti jawapan dari Ainul.


"Saya... Saya cuma tak selesa kerja di sini."


"Sebab?"


"Erk..." Ainul serba salah mahu menjawab.


"Suasana office?"


"Bukan." Ainul menafi.


"Ada orang buli awak?"


"Bukan."


"Sebab gaji?"


"Bukan."


"Sebab Zarul?"


Diam.


"That's it. Saya dah agak, mesti sebab Tuan Zarul." Aiman mengulum senyum. Tidak susah untuk dia meneka hal itu. Dia bukannya bodoh apabila melihat kejadian tempoh hari.


Jari-jemari Ainul sudah mula bermain antara satu sama lain. Wajah pula merenung Aiman meminta pengertian bahawa dia betul-betul mahu lari dari Zarul. Namun, dia tahu Aiman tidak akan faham tentang isi hatinya.


"Saya tak tahu apa masalah antara korang berdua, tetapi saya minta sangat-sangat dekat kamu Ainul, be professional. Asingkan masalah peribadi kamu dengan Zarul dari hal kerja. Lagipun kamu bekerja bawah saya bukannya bawah Zarul. Just focus on your work okay?"


"Tapi Tuan..." Ingin mencuba nasib. Namun, belum sempat Ainul mengatakan isi hati, Aiman memintas laju.


"Ainul... Awak ada education dan skill yang bagus. And also bekerja di syarikat yang menjadi salah satu impian banyak orang di luar sana. Takkanlah disebabkan masalah kecil awak dengan Tuan Zarul, awak nak korbankan masa depan awak?" Bersungguh Aiman cuba mengembalikan keyakinan Ainul semula.


'Masalah kecil kau cakap. Kalau kau tahu apa yang aku buat, mesti kau sendiri yang berhentikan aku.' Kata-kata itu hanya bergema dalam hati Ainul. Separuh hatinya mahu tetap melawan, tetapi separuh lagi seperti mengiakan kata-kata Aiman.

"Jangan berhenti okay?" Aiman memujuk lagi apabila melihat Ainul diam tidak membalas. Nampaknya, Ainul mula termakan dengan kata-katanya.


Satu minit berlalu dan akhirnya Ainul mengangguk perlahan. Tangan mula menggapai kembali surat resign di atas meja yang tidak dibaca langsung oleh Aiman. Dia cuba mengukirkan senyuman manis di wajah walaupun tahu kelihatan plastik.


"Baiklah. Saya tarik balik keputusan untuk berhenti kerja. Saya minta maaf sebab buat keputusan terburu-buru. Terima kasih kerana sedarkan saya."


"Saya harap awak tak berfikir untuk berhenti lagi selepas ini." Sempat Aiman mengingatkan Ainul sebelum kembali ke tempat duduknya. Senyuman Ainul dibalas seadanya.


"Baik, Tuan Aiman." Ainul membalas lemah. Kaki mula dibawa beredar ke pintu.


Aiman hanya menghantar pemergian Ainul dengan bebola mata sehingga tubuh gadis itu hilang dibalik pintu. Senyuman yang mekar di bibir sebentar tadi perlahan-lahan menjadi sirna digantikan dengan wajah tanpa riak. Pandangan tajam masih merenung pintu kayu yang sudah tertutup rapat.

"HEY, babe. Sorang?" Sofia menarik kerusi kosong di hadapan Ainul. Ainul hanya mampu mengeluh bosan tanpa niat mahu melarang. Kalau dia larang pun, Sofia akan tetap duduk di situ.


"Tak sangka jumpa kau dekat sini time lunch. Selalunya kau bawa bekal kampung kau tu datang office." Pinggan Sofia yang dipenuhi lauk-pauk diletakkan atas meja.


"Aku tak ada mood nak gaduh dengan kau." Bidas Ainul agak keras.


Sofia hanya menjongket bahu dan terus menyuap makanan ke dalam mulut. Sempat dia mengerling lauk di dalam pinggan Ainul. Hanya ada gulai ikan dan beberapa batang ulam. Tanpa berkata apa, tiga potong daging bakar diletakkan dalam pinggan Ainul.


"Tak payah nak diet. Kau kalau dah gemuk, diet macam mana pun tak akan kurus." Selamba Sofia berkata. Dia meneruskan suapan tanpa rasa bersalah.


Laju sahaja Ainul menilik tubuh badannya kiri kanan depan belakang. Rasanya dia lagi kurus dari Sofia. Cuma tubuhnya tidak berbentuk indah. Adakah Sofia sengaja ingin mencari gaduh dengannya?


"So, aku dengar cerita kau nak berhenti. Sebab aku?" Nada Sofia kedengaran perlahan menyoal. Mata masih tidak memandang Ainul, hanya tertumpu kepada makanan di dalam pinggan. Sesekali bibir merah itu menghirup sirap limau yang dihantar pelayan sebentar tadi.


"Tak ada maknanya. Buat apa aku nak lari dari kau. Aku tak takutlah. Lagipun aku tak jadi berhenti. Tuan Aiman tak bagi." Entah mengapa ringan pula mulutnya bercerita kepada Sofia. Ainul dapat menangkap senyuman yang mula tersumbing di bibir Sofia, tetapi hanya seketika sebelum wajah itu diseriuskan kembali. Pelik. 'Dah kenapa dia seronok dengar aku tak jadi berhenti kerja?'


"Eh, Sofia." Tiba-tiba ada satu suara perempuan menegur dari tepi. Ainul juga terkalih sama melihat gerangan empunya badan.


"Alia right?" Sofia menegur ala kadar. Kawan sekolejnya dahulu. Tidaklah rapat mana, sekadar dibuat kawan time kelas.


"Tak sangka jumpa you dekat sini." Perempuan yang dipanggil Alia itu sesekali mengerling Ainul atas bawah. Sofia perasan akan hal itu.


"Dah setahun tak jumpa, tak sangka taste you dah berubah." Alia tergelak sinis. Matanya masih tidak berkalih dari Ainul. Ainul buat tidak peduli. Dia melajukan suapannya agar cepat-cepat boleh berlalu dari situ.


"Maksud kau?" Sofia menjongketkan kening kepada Alia. Gadis itu kelihatan lebih anggun berbanding dahulu.


"Berkawan dengan ermm... budak kampung macam ni. Jaga-jaga Sofia, orang miskin macam diorang selalunya suka ambil kesempatan." Tanpa rasa bersalah Alia mengutuk Ainul depan-depan.


Terhenti suapan sudu di tangan Ainul. Dia merenung Alia dengan pandangan garang. 'Dahlah datang tanpa diundang, lepas tu nak kutuk-kutuk aku pula. Memang nak kena ganyang mulut perempuan ni.'


Sofia meledakkan tawa mendengar komen Alia sebelum tawa itu mati secara tiba-tiba bersama wajah serius. Dia bangun mendekati Alia sambil ditenung atas bawah sama seperti apa yang Alia lakukan pada Ainul sebentar tadi.


"Miskin? Sekurang-kurangnya dia miskin harta, bukan miskin adab macam kau. Bertahun tak jumpa, aku tak sangka perangai kau masih tak berubah. Suka judge orang." Wajah Alia terus berubah merah. Tidak menyangka Sofia bertindak mengutuknya.


Tangan Sofia mula diangkat menepuk-nepuk bahu Alia. Wajahnya didekatkan pada telinga Alia dengan senyuman sinis.


"Kalau kau tak ada benda nak cakap, better kau tutup terus mulut kau. Bau longkang. Tak lalu aku nak makan." Badan kembali dijauhkan dari Alia. Dapat dilihat dengan jelas wajah perempuan itu memerah tidak puas hati.


"Tak guna..." Jari telunjuk diangkat tepat ke arah Sofia sebelum Alia menghentak kaki dengan kuat dan berlalu dari situ. Sofia hanya tersenyum memandang kelibat Alia beredar.


Tatkala Sofia berpaling ingin mengemas pinggan dan cawan, dia melihat Ainul merenungnya tidak berkelip. Sofia berlagak biasa dan mula menggalas bag tangan di bahu.


"Glad to hear that yang you tak jadi berhenti kerja. Adios." Dengan penuh bergaya, Sofia meninggalkan Ainul di meja makan.


Diam tidak berkutik. Ainul masih cuba mencerna apa yang berlaku. Fikiran mula terawang mengingatkan Sofia yang pernah menyuakan business card, mengajaknya meminta kerja. Mengingatkan Sofia yang memberinya daging sebentar tadi. Dan mengingatkan Sofia yang membela dirinya di hadapan teman lama. Adakah gadis itu dalam diam membantunya? Garpu dibawa mencucuk sepotong daging lalu disuakan ke dalam mulut. Sedap! Tanpa sedar, Ainul tersenyum nipis sambil menikmati makanan tengah hari dengan penuh selera.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience