Kardigan hitam yang tersarung di tubuh mula dipeluk erat. Sejuk kulitnya merasai angin bayu darat bertiup sehinggakan baju lengan panjang yang tersarung di sebalik kardigan pun tidak mampu untuk memanaskan badannya.
"Kau tak penat ke?" Dia teringat perbualannya dengan Sofia maghrib tadi apabila diajak oleh perempuan itu untuk datang ke sini. Sudahlah selepas pengambaran, Sofia membawanya melakukan aktiviti di pantai. Menaiki parasailing dan jet ski sehingga lewat petang. Sampaikan Ainul rasa mahu tercabut anak tekaknya menjerit kerana gayat. Sekarang mahu mengajaknya pergi melihat pertunjukkan api pula.
"Ala, bukan selalu kita datang sini. Ikut ajalah." Sofia membidas sambil menempek bedak compact di muka. Dan untuk tidak mengecewakan perempuan itu, di sinilah dia berada. Duduk bersantai di bawah langit gelap sambil menyaksikan Fire Show yang sedang berlangsung.
"Aku nak pergi beli air kejap. Kau nak apa-apa tak?" Pertanyaan Sofia mematikan lamunan Ainul. Dilihat Sofia sudah bangun berdiri dari Bean Bag Chair yang sedang mereka duduki.
"Ambil ja apa-apa. Aku tak kisah."
"Hmm... Okay." Sofia berlalu pergi menuju ke gerai berdekatan. Mencari sesuatu untuk dikunyah dan menghilangkan dahaga.
Kesempatan itu diambil oleh Ainul untuk melihat suasana sekeliling. Agak ramai yang datang melepak di sini. Pasti tempat ini menjadi tarikan orang ramai untuk bersantai pada waktu malam. Semestinya kerana di sini terdapat banyak gerai yang menyediakan pelbagai makanan seafood yang fresh dari laut ditemani bunyi deruan ombak yang menenangkan, membuatkan pelancong tidak mahu melepaskan peluang untuk datang merasainya.
"Sorang je?" Tidak semena-mena telinga kiri Ainul disapa dengan suara garau seseorang dari arah belakang. Sangat hampir sampaikan dia terjerit kecil akibat terkejut. Pantas kepala ditoleh untuk melihat gerangan yang mengganggu keamanannya.
Zarul dilihat sudah menekan perut menahan ketawa melihat muka terkejut Ainul. Tidak menyangka sapaannya membuatkan Ainul bereaksi begitu. Tanpa dipelawa, dia melabuhkan punggung di sebelah Ainul, tempat yang diduduki Sofia sebentar tadi.
Perasan dengan tindakan selamba Zarul, Ainul sudah seperti cacing kepanasan. Dia bangun mahu berlalu dari situ. Baru sahaja berura-ura untuk pergi, terasa bag silang yang tersangkut di badan ditarik Zarul dari belakang. Terduduk semula Ainul betul-betul di sebelah jejaka itu.
"Ainul, please..." Separuh merayu Zarul bersuara. Meminta pengertian untuk Ainul tidak melarikan diri darinya lagi. Tangan masih menggenggam erat bag Ainul.
"Tu... Tuan Zarul." Wajah kalut sudah dipamer, memberi isyarat supaya Zarul menghentikan perbuatannya.
"Nope! Nanti kau lari lagi. Just stay macam ni." Zarul bertegas. Dia cuma mahu meluangkan masa dengan Ainul. Sudahlah esok mereka mahu kembali ke Shah Alam semula. Lagi susahlah dia mahu berjumpa hatta bercakap dengan Ainul selepas ini.
"Tuan..." Ainul masih berusaha menarik bag dari genggaman Zarul. Berdegil untuk mengikut kata lelaki itu.
"Kau tahu?" Zarul tidak menghiraukan Ainul dan terus masuk topik perbualan.
"Dulu aku takut dengan benda 'alah' tu." Tangannya ditunjuk ke arah kumpulan lelaki yang sedang beraksi bersama api yang terpercik sana sini. Sangat berani mereka bermain dengan api tanpa ada perasaan takut dalam diri masing-masing.
Ainul mula memandang ke arah yang ditunjukkan. Seketika tangannya terhenti dari melawan cengkaman Zarul. Dia terpaku dengan khabar yang baru diterima. Seakan-akan faham apa yang cuba disampaikan oleh insan di sebelahnya ini. Terasa kelat air liur ditelan. 'Zarul fobia dengan api? Disebabkan peristiwa itu?'
"Api?" Mulut bertanya untuk lebih kepastian.
"Yup! Selepas kejadian itu, aku jadi trauma dengan api dan tak boleh bernafas walaupun aku nampak dari jauh. Dada aku rasa sakit dan pedih sangat. Sampaikan satu tahap aku menangis macam orang gila." Zarul tergelak sinis apabila teringat kembali memori lama. Sungguh! dia tidak mahu merasainya lagi. Mental dan fizikalnya sangat lemah untuk melawan tika itu. Nasib baiklah dia cekalkan hati untuk menerima segala sesi rawatan dan kuatkan semangat melawan ketakutannya. Hampir dua tahun juga dia mahu keluar dari rasa trauma itu.
'Kau bukan sahaja pembunuh Ainul, kau turut hadirkan trauma dan fobia yang menghancurkan hidup seorang lelaki bernama Zarul!' Suara batin Ainul kendengaran mengaum lantang memarahi diri. Membuatkan wajah sudah memerah menahan rasa.
"Hanya Allah yang tahu betapa aku berusaha untuk tanggung kesakitan tersebut sorang-sorang tanpa kehadiran mummy dan daddy di sisi. Hingga satu tahap aku pernah terfikir dan persoalkan takdir. Kenapa aku perlu lalui semua ni? Kenapa aku diuji macam ni? Kenapa?" Zarul menerus kata, tidak perasan air muka Ainul yang sudah berubah.
Badan Ainul mula berasa seram sejuk. Setiap bait bicara Zarul yang masuk ke gegendang telinga umpama belati tajam yang mencincang lumat sekeping hatinya. Rasa bersalah semakin menghantui diri. 'Kehidupan kau, derita dan sengsara yang kau rasa, semuanya berpunca dari aku Zarul! Dari aku!' Hati Ainul menjerit semakin kuat.
"I'm sorry..." Tanpa sedar, Ainul memohon maaf sambil memandang Zarul penuh simpati. Mata sudah berkaca, hanya tunggu masa untuk mutiara jernih menitik keluar.
Duduk Zarul diperbetulkan. Dia agak tergamam melihat reaksi Ainul kali ini. Adakah ceritanya membuatkan gadis itu menjadi sedih dan belas terhadapnya? Bukan itu tujuan utama dia bercerita. Dia cuma mahu berkongsi rahsia bersama Ainul.
"Hey, chill! Kenapa minta maaf? Bukannya salah kau pun." Lagi sedih hati Ainul mendengarnya. Kepala dibawa menunduk menyembunyikan air mata yang sudah berjuraian di pipi.
"I'm sorry... I'm sorry..." Suara serak Ainul berbunyi lagi buat kesekian kali, membuatkan Zarul bertambah cemas.
"Ainul, pandang aku." Zarul berbisik lembut membuatkan kepala Ainul secara automatik mendongak ke atas semula. Sekali lagi Zarul tersentak. Dalam kesamaran cahaya lampu dari gerai berdekatan, dapat dilihat air mata Ainul merembes keluar.
"Oh God!" Kini, Zarul memusingkan sepenuh badannya duduk menghadap Ainul.
"Ainul, aku cuma nak berkongsi cerita tentang hidup aku dengan kau. Aku tak sangka kau akan menangis teruk macam ni. Aku minta maaf okay? Jangan nangis, please... Kau buat aku rasa jahat sebab dah buat anak dara orang menangis." Gemersik suara Zarul cuba memujuk Ainul dengan lembut. Ingin menenteramkan dan mengusir galau yang dirasai gadis itu sekarang.
Ainul tidak membalas. Hanya mata yang masih memerah dibawa merenung kosong ke wajah Zarul. Membuatkan Zarul cukup berdebar dengan pandangan itu.
"Berhenti menangis okay? Aku tak suka tengok kau macam ni. Jangan takutkan aku, Ainul." Tanpa sedar, tangan kanan Zarul sudah naik ingin menyapu sisa air mata dari wajah Ainul sebelum...
"You buat apa dekat sini?" Suara halus Sofia menegur dari belakang. Kalut-kalut Zarul menjauhkan tangan dari wajah Ainul semula sebelum tubuh dibawa berdiri tegak diam tidak berkutik.
Berkerut dahi Sofia melihat perbuatan Zarul yang gelabah tidak tentu hala. Minuman dan makanan yang dipegang sedari tadi diletakkan cermat atas pasir pantai. Sofia tunduk merapatkan muka pada Ainul. Sedar akan sesuatu, Sofia memberikan pandangan maut pada Zarul semula.
"You buat apa dekat dia Zarul?!" Suara Sofia sudah naik seoktaf. Dan Zarul hanya mampu menggeleng kepala mempertahankan diri. 'Mampus aku.'
Share this novel