BAB 46

Romance Series 19166

Sejak tadi kepala Ainul tertoleh ke kiri dan kanan. Entah mengapa dia dapat rasakan, setiap pekerja yang berselisih dengannya memberikan jelingan dan pandangan penuh makna. Adakah kerana dia masuk kerja lambat hari ini?


Pagi tadi, sewaktu dia sedang bersiap mahu ke tempat kerja, tiba-tiba dia dikejutkan dengan jeritan Kak Sal yang jatuh dalam bilik air. Tanpa membuang masa, Ainul terus sahaja menelefon Aiman untuk memberitahu bahawa dirinya akan masuk kerja selepas tengah hari kerana ingin menemani Kak Sal ke klinik. Nasib baiklah hanya pergelangan kaki Kak Sal yang terkehel, kalaulah ada bahagian lain yang patah atau darah, pasti rasa bersalahnya akan menebal pada Pak Cik Sham nanti.


Laju Ainul memboloskan diri ke dalam lif bersama beberapa pekerja lain. Dia hanya tersenyum manis menyapa. Namun, sapaannya dipandang sinis. Siap dengan bisikan yang dia sendiri tidak pasti sama ada ditujukan khas buat dirinya atau bukan. Yang pasti, hati Ainul berasa tidak tenang sekarang.


Ting! Pintu lif terbuka. Ainul berjalan bagai lipas kudung menuju ke mejanya. Dia mahu bertanyakan hal demikian kepada Kak Siti. Kelibat Kak Siti yang sedang duduk menekur meja didekati dengan wajah cuak.


"Kak Siti! Kak Siti!"


Terus sahaja Kak Siti bangun berdiri tegak. Dia hanya mampu menghadiahkan senyuman pahit apabila terpandangkan kelibat Ainul.


"Ada apa-apa yang berlakukah sewaktu Ainul tak ada pagi ni?"


"Erk..." Kak Siti mula gugup. Jari-jemari turut bersulam antara satu sama lain.


"Kenapa Ainul tengok semua orang pandang Ainul pelik? Macam... Macam Ainul ada buat salah." Ainul sedikit mendesak. Dia tidak suka berada dalam situasi begini. Terasa segala gerak lakunya diperhatikan oleh orang sekeliling.


"Aduh, Ainul! Akak tak tahulah macam mana nak cerita dekat kamu." Bibir bawah digigit. Kak Siti betul-betul rasa serba salah sekarang.


Ainul semakin mendekat. Dia merenung Kak Siti tidak lepas. Dari gaya Kak Siti bercakap dengan gelabahnya, dia dapat rasakan memang ada berita buruk yang bakal menerjah gegendang telinganya nanti.


"Apa yang berlaku?"


Kak Siti menarik nafas panjang sebelum memulakan bicara. Walaupun mulutnya berat mahu bercerita, tetapi dia perlu juga memberitahu Ainul hal sebenar.


"Kamu ingat... kes syarikat kita kena tuduh menggunakan bahan terlarang tiga bulan lepas?" Penuh berhati-hati Kak Siti bertanya.


"Ingat! Tapi... Apa kaitan kes tersebut dengan Ainul?" Dahi Ainul berkerut seribu.


"Pagi tadi... Tuan Zarul dapat satu email dari Security Agency..." Kak Siti tidak dapat menyembunyikan riak risaunya.


"Diorang cakap... IP address komen tu datang... dari komputer kamu."


"Ha?!" Bagaikan ada seketul batu besar jatuh menghempap kepala Ainul sekarang. Dia seakan-akan tertampar dengan penjelasan tersebut.


"Kecoh jugaklah pagi tadi sebab Tuan Zarul datang sini dengan muka marah. Dia terus serbu komputer kamu and jumpa email yang sama digunakan untuk post komen tersebut." Jelas Kak Siti lagi. Bukan Tuan Zarul sahaja yang terkejut, dia juga diam tidak berkutik tatkala melihat semua itu. Namun, hatinya kuat mengatakan bahawa gadis sebaik Ainul tidak mungkin melakukannya.


"Ai... Ainul tak buat se... semua tu." Ainul terduduk di kerusi. Desah nafas sudah tidak teratur. Dia memandang ke hadapan, ke arah komputer yang sudah terpasang sejak tadi. Memaparkan satu email yang dia tidak tahu menahu.


"Ainul tak buat akak! Bukan Ainul." Tangan Kak Siti mula digenggam erat. Cuba mengalirkan kepercayaan kepada wanita itu.


"Sabar Ainul. Akak percayakan Ainul. Akak tahu Ainul tak mungkin lakukan hal tersebut." Tangan Ainul diusap lembut. Memang dia mempercayai Ainul walaupun gadis itu tidak menerangkan situasi sebenar, tetapi tidak untuk orang lain yang tak mengenali Ainul. Pasti pekerja-pekerja E&B sedang hangat membicarakan hal tersebut sekarang. Dan lebih teruk lagi, mungkin mereka akan menyalahkan Ainul seratus peratus tanpa mengetahui hal sebenar.


"Mana Tuan Zarul? Ainul nak terangkan dekat dia yang Ainul tak salah. Ainul tak akan sesekali jatuhkan syarikat dia." Tubuh Ainul bingkas bangun dari duduk. Dia mahu mencari Zarul untuk mennerangkan hal sebenar. Dia akan buat apa sahaja asalkan lelaki itu percayakan dirinya. Dia tak nak lelaki sebaik Zarul Akhtar terluka lagi disebabkan dia.


"Ainul Liyana!" Satu suara garau mencelah membuatkan suasana pejabat menjadi hening buat seketika. Ainul mahupun Kak Siti menoleh serentak melihat gerangan yang memanggil. Tepat di tengah-tengah ruangan, satu susuk tubuh tegap berdiri dengan wajah tanpa riak. Tidak menunjukkan muka marah atau gembira. Hanya mendatar dan merenung ke arah Ainul Liyana tanpa lepas.


Tanpa sepatah kata, Zarul mula mendekati wanita pujaannnya. Dia menarik hujung lengan baju kurung Ainul mengikut jejak langkah keluar dari tingkat tiga itu. Atau lebih tepat, keluar dari bagunan E&B. Menuju ke tempat parkir kereta tanpa menghiraukan mata-mata pekerja yang mula mengerling tidak puas hati kepada mereka. Ainul hanya mampu menelan air liur. Dia takut!


"Saya tahu Tuan Zarul tengah marahkan saya sekarang... tapi jujur saya katakan yang saya tak buat semua tu!" Ainul memberanikan diri menegur Zarul dari belakang. Perasan diri yang sudah mendekati kereta lelaki itu, Ainul menarik tangannya dengan kuat. Dia sudah serik untuk duduk di sebelah Zarul saat memandu. Takut kejadian lepas berulang lagi.


"Tuan Zarul... Dengar dulu apa saya nak cakap..." Pinta Ainul dengan penuh mengharap. Hatinya sakit apabila Zarul tidak membalas bicaranya sedari tadi. Dia jadi tidak senang duduk dan jiwanya rasa... sedih?


Zarul menghentikan langkah dan bingkas berpaling menatap wajah ayu Ainul. Sekadar memerhati dan tiada tanda mahu membuka mulut.


"Saya berani bersumpah yang saya tak tahu langsung tentang perkara tu." Ainul mula membela diri.


"Saya tak tahu macam mana diorang boleh dapat bukti yang komen tu datang dari komputer saya, tapi saya betul-betul tak buat semua tu."


Zarul setapak melangkah mendekat.


"Saya tak akan jatuhkan syarikat Tuan. Saya tahu Tuan Zarul sangat sayangkan E&B. Jadi, tak mungkin saya tergamak untuk buat perkara yang boleh jatuhkan kredibiliti Tuan Zarul dan E&B." Kalut Ainul menjelaskan hal sebenar.


Dua langkah Zarul mendekat.


"Tentang email tu... Saya pun baru tahu dari Kak Siti. Jujur sebelum ni, saya tak pernah login mana-mana email selain daripada email saya sendiri. Kalau Tuan Zarul tak percaya, Tuan boleh tanya pada Kak Siti atau Tuan Aiman sendiri." Tanpa sedar, jarak antara mereka mula rapat.


Zarul membuka langkah ketiga.


"Kalau Tuan Zarul betul-betul marahkan saya, saya sanggup gaji saya dipotong. Saya sanggup kalau Tuan nak suruh saya cuci stor setiap hari sekalipun asalkan Tuan percayakan saya. Percaya yang saya tak tergamak untuk lakukan semua itu." Ainul bercakap tanpa henti. Siap dengan tangan tergawang-gawang di udara menunjukkan betapa dia jujur meluahkan semua itu.


Dan Zarul membuka langkah keempat. Betul-betul berdiri di hadapan Ainul yang tidak henti berceloteh.


"Saya rasa ada orang dalam yang cuba tuduh saya. Cuba jatuhkan saya. Ada orang yang tak sukakan saya. Saya bukannya nak salahkan sesiapa, tetapi apa yang berlaku sekarang seolah-olah menjadikan saya sebagai kambing hitam. Seolah-olah mahukan Tuan Zarul atau Tuan Aiman benci dan pecat saya."


Zarul melirik ke segenap wajah Ainul tanpa berkelip.


"Jadi... Saya merayu sangat pada Tuan Zarul. Tolong percaya apa yang saya cakap. Saya tak bersalah dalam hal ni. Saya tak suka bila Tuan Zarul layan dan marah saya macam ni. Hati saya tak tenang." Serentak itu Ainul mengangkat kepala ke arah Zarul. Zupp! Matanya terus bersabung dengan anak mata coklat milik Zarul. Barulah Ainul sedar keadaan mereka yang sedang berdiri rapat sekarang.


Tanpa sedar, kedua-dua belah tangan Zarul naik ingin menyentuh pipi Ainul. Dia betul-betul terpukau dan tersentuh dengan apa yang dikatakan Ainul. Gadis itu nampak sangat bersungguh merayu agar dirinya tidak marah. Seolah-olah sangat terdesak mahukan kepercayaannya. Nampak terkesan dengan tingkah laku dinginnya.


Sedar bahawa Ainul tidak suka dirinya disentuh, Zarul menjatuhkan kembali tangan di sisi. Tetapi mata dan jarak antara mereka masih dikekalkan seperti tadi.


"Gosh, I want to hug you so bad right now!" Zarul meraup rambutnya ke belakang. Cuba menahan perasaan. Dia sebenarnya tidaklah marah sangat kepada Ainul. Cuma agak terkejut dan terkilan dengan apa yang terjadi. Tidak mungkin Ainul sanggup menikamnya dari belakang. Dia sendiri pun tidak percaya dengan semua itu. Disebabkan hal itulah, dia membawa Ainul bersama sekarang. Mahu berbincang dan menyiasat tentang masalah tersebut.


"Ha?" Ainul sedikit terkedu. Wajahnya sudah berbahang merah. Tidak menyangka, ini pula reaksi yang ditunjukkan oleh Zarul.


"All the things you said, buatkan aku nak pergi cari tok kadi sekarang juga. Ikat kau jadi isteri aku." Senyuman nakal mula menghiasi hujung bibir Zarul. Ainul sekadar terkebil-kebil memandang.


Bertambah terkejut apabila tangan Zarul mula memintal-mintal hujung tudung Ainul. Terpusing-pusing seperti anak kecil yang menarik hujung tudung ibunya meminta ais krim.


"Kau cakap kau tak sukakan aku? But... your action said differently?" Zarul mendekatkan pula kepala pada telinga kanan Ainul. Berbisik penuh lembut.


"Sanggup cuci stor and dipotong gaji semata-mata nak dapatkan kepercayaan aku, semata-mata tak nak aku marahkan kau, hmm? You seem so disturb when I don't talk to you right?" Zarul tergelak suka. Dia mula menjarakkan ruang antara mereka. Jelas wajah Ainul sudah berubah malu. Sekarang Zarul yakin, Ainul turut menyimpan perasaan yang sama sepertinya. Cuma wanita itu mungkin masih tidak sedar tentang perasaan itu.


"Saya... Saya..." Kalut Ainul mahu menegakkan benang yang basah. Hatinya bagai dipalu kuat dengan kata-kata yang keluar dari mulut lelaki itu.


"What Ainul Liyana?" Gemersik suara Zarul bertanya. Sengaja membuat nada romantis saat menyebut nama Ainul.


"Saya tak nak disebabkan saya, Tuan Zarul kecewa buat kali kedua." Kepala Ainul kembali menunduk.


"Cukuplah sekali saya tarik segala-galanya dari sisi Tuan Zarul..." Dan bicara itu hanya dibisikkan untuk dirinya sendiri. Dia malu untuk mengangkat muka. Rasa berdosa mahu memandang Zarul.


"Aku percayakan kau Ainul. Dulu, sekarang dan selamanya..." Zarul tersenyum simpul.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience