Chapter 8

Romance Completed 26341

Bab 8

Julie tersenyum lagi sebelum berlalu meninggalkan aku tanpa sepatah kata. Pada ketika itulah aku perasan aku sudah terlupa untuk bertanyakan sesuatu kepada sahabat baikku itu.

Bagaimana dengan makan malam Julie dengan lelaki misteri tempoh hari? Adakah sudah ada bibit cinta di antara mereka?

“ Tak apalah. Lain kali aku tanya dia.” Aku mengingatkan diriku sendiri. Selepas mengunci pintu rumah, aku segera masuk ke dalam bilikku kembali. Masa sudah semakin singkat. Aku perlu bersiap-siap dan segera menuju ke lapangan terbang.

Tak sabarnya aku nak bertemu Eddie kembali!

JULIE

Sebuah kafe menjadi destinasiku yang seterusnya selepas aku pulang dari flat Eve. Keretaku diparkir tidak jauh dari kafe tersebut. Orang ramai memenuhi laluan pejalan kaki. Ada yang sedang bergurau senda dengan kekasih atau kawan-kawan, ada yang sedang fokus kepada skrin telefon pintar masing-masing malah ada juga pasangan tua sedang berjalan sambil berpimpinan. Suara-suara mereka saling bertingkah masuk ke pendengaranku. Pemandangan yang sudah biasa kulihat di bandar ini.

Aku menolak pintu kafe itu sambil memandang ke segenap sudut kafe tersebut. Kafe yang berkonsepkan santai retro itu merupakan kafe kegemaranku. Aku gemar meluangkan masaku selama berjam-jam di dalam kafe ini. Daripada menyiapkan kerjaku atau sekadar membaca buku sambil ditemani secawan kopi panas. Beberapa pekerja tetap kafe ini sudah mengecam aku sebagai salah seorang pelanggan tetap mereka.

“ Selamat datang, Cik Collins. Seperti biasa?”

Salah seorang pelayan di situ mendekatiku sebaik sahaja aku mengambil tempat di sebuah meja yang bersebelahan dengan dinding kaca kafe tersebut. Kitty, namanya. Seorang gadis muda yang berasal daripada keluarga yang menjadikan haiwan ternakan sebagai sumber pendapatan utama. Aku mengenali Kitty hasil daripada singgahanku yang kerap di kafe ini.

“ Ya. Americano panas dan pai epal.”

“ Baiklah.”

Kitty berlalu dari situ untuk mendapatkan makanan yang kupesan. Aku melemparkan pandangan ke luar kafe. Orang ramai masih memenuhi laluan pejalan kaki di luar. Ada yang kelihatan tergesa-gesa ke suatu arah, barangkali terlewat untuk ke tempat yang dituju mereka. Ada yang kelihatan relaks sahaja berjalan-jalan di luar.

Walau bagaimanapun, tiada yang dapat menyaingi kafe ini di hatiku. Salah satu tempat yang pernah menyimpan momen indahku bersama-sama Eddie, lelaki yang kucintai.

Saat hatiku mula berada padanya.

Pada suatu malam tatkala hujan lebat di luar, aku datang ke kafe ini seorang diri. Aku masih ingat bagaimana aku menangis tanpa menghiraukan orang di sekelilingku hanya kerana aku mendapat berita anjing kesayanganku sudah mati kerana dilanggar kereta. Berita yang kuterima daripada ibu membuatkan aku terpana. Anjing itu, Kid merupakan anjing yang paling kusayang.

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah yang dirasakan Julie setelah kematian anjing kesayangannya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience