Chapter 35

Romance Completed 26341

Bab 35

Pasti. Aku yakin dengan kemampuanku.

Aku memujuk Eddie untuk berbaring di atas sofa. Dengan berat hati dia menurut permintaanku. Telefon pintar Eddie yang berdering di atas sofa kuambil. Nama ibu Eve terpapar pada skrin. Aku menjawab panggilan tersebut.

“ Ed! Eve… betul ke?”

Suara ibu Eve kedengaran di hujung talian. Wanita separuh umur itu kedengaran panik. Sesekali aku ditenggelami dengan suara wanita itu menangis dan meraung memanggil nama Eve. Tatkala aku cuba untuk berkata sesuatu, talian yang menghubungkan aku dengan ibu Eve terputus.

“ Ed, aku ambilkan kau air ya?”

Telefon itu kucampak ke atas sofa sebelum aku berlalu ke dapur. Sebotol air mineral aku keluarkan daripada peti sejuk. Deringan daripada telefon Eddie kedengaran lagi semasa aku sedang menuang air ke dalam sebiji gelas. Aku mengeluh berat. Kenapa telefon tu menganggu masa yang aku ada bersama-sama Eddie? Telefon itu sepatutnya aku sorokkan tadi.

Aku kembali ke ruang tamu dengan segelas air mineral sejuk. Eddie tidak menghiraukan telefonnya yang berdering secara berterusan. Dia hilang dalam dunia kesedihannya. Aku meletakkan gelas itu di atas meja kopi. Telefon yang masih berdering itu kucapai. Ibu Eve kembali menelefon Eddie.

“ Jangan risau. Biar aku uruskan telefon ni.”

Aku memadamkan telefon itu tanpa menjawab panggilan ibu Eve. Aku mencebik marah. Kedua-dua ibu dan anak sama sahaja. Suka cari pasal dengan aku. Tidakkah mereka tahu betapa berharganya setiap detik yang kukongsi bersama-sama lelaki yang kucintai ini?

“ Ed…”

Aku duduk di atas lantai bersebelahan dengan sofa yang menjadi tempat pembaringan Eddie. Kubelai lembut rambut lebat Eddie. Dia berbaring membelakangi aku. Tidak mengapa, fikirku sambil tersenyum. Aku masih ada banyak masa lagi untuk menakluk hati Eddie sepenuhnya.

“ Minum air dulu, Ed. Atau kau nak aku sediakan makanan?” aku bertanya lembut.

Eddie hanya menggeleng lemah sebagai respon kepada soalanku. Aku tersenyum lagi. Aku terpaksa menahan keinginanku daripada ingin mengucup ubun-ubun lelaki yang kucintai itu. Sebelah tanganku beralih kepada bahu Eddie.

“ Kau tidurlah, rehatkan diri. Aku ada kat sini… untuk kau.” Sengaja aku memperlahankan suaraku di penghujung ayat.

Aku menyandarkan diri pada kaki sofa. Bibirku tidak berhenti daripada mengukir senyuman yang teramat lebar.

Akhirnya. Kita akan bahagia bersama-sama, Ed. Hanya kau dan aku. Aku janji, aku akan jadi wanita yang terakhir untuk kau. Buat selama-lamanya.

******

JULIE

Aku langsung tidak pulang ke rumahku pada malam itu. Pada pagi keesokkannya, aku tersedar daripada lenaku. Mimpi indah menemani tidurku semalam. Eddie tiada di ruang tamu pada ketika aku sedarkan diri. Aku menemuinya di dapur. Dia sedang termenung di sinki.

…bersambung

Bab akan datang:

Bagaimanakah Julie cuba memujuk Eddie daripada kesedihan yang dialaminya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience