Chapter 17

Romance Completed 26341

Bab 17

Telefonku hampir sahaja tercampak ke dalam sinki. Tiada sesiapa yang dapat menduga betapa bahagia diriku pada saat ini.

Temu janji! Eddie mengajak aku untuk bertemujanji esok! Esok!

Aku cuba menenangkan diriku daripada terus hanyut dalam kegembiraan aku. Aku tidak putus-putus daripada mengukir senyuman lebar. Berulang kali aku membaca mesej kedua daripada Eddie itu.

Temu janji! Bersama-sama Eddie! Berdua!

Pada saat itu mataku jatuh kepada deretan pisau dapur yang kuletak berdekatan dengan sinki. Suatu idea menerpa mindaku secara tiba-tiba. Perlahan-lahan tangan kananku bergerak untuk mengambil sebilah pisau. Mataku jatuh pula kepada lengan kiriku. Pisau itu kurapatkan kepada lengan kiriku itu.

******

EVE

Pada hujung minggu sebegini semestinya aku ingin bersama-sama kekasih hatiku walaupun baru sahaja beberapa malam lepas kami sudah menghabiskan masa bersama-sama. Aku mahu Eddie sentiasa ada di hadapanku. Daripada saat aku membuka mata selepas lena yang panjang di malam hari sehinggalah tiba tikanya untuk aku kembali melelapkan diriku.

Tetapi nasibku tidak baik pada hujung minggu ini kerana Eddie memaklumkan bahawa dia ada urusan yang perlu diselesaikan secepat mungkin. Terpaksalah aku menghabiskan masa lapangku di hujung minggu dengan menonton apa sahaja rancangan yang akan ditayangkan pada kaca televisyen. Untuk keluar ke mana-mana aku sudah tiada hati.

Atau aku patut hubungi Julie? Sejak malam itu, aku langsung tidak berhubung dengan dia.

Telefon pintarku yang berada di atas meja makan kucapai lalu tanpa berlengah lagi aku mendial nombor telefon Julie. Kurapatkan telefonku ke telinga kiri.

“ Nombor yang anda dial…”

Pantas aku mematikan panggilan.

Kenapa pula tidak berangkat? Julie ke mana?

Entah mengapa hatiku berasa kurang enak. Tubuhku menggigil kesejukan. Adakah ini sesuatu petanda bagiku agar berhati-hati?

JULIE

Sempena temu janjiku bersama-sama Eddie pada hari ini, aku mengenakan pakaian terbaik yang kurasakan mampu memaku pandangan Eddie kepadaku. Aku tiba di Empire Mall tiga puluh minit awal daripada masa yang kami janjikan. Kurasakan tiada apa-apa yang akan merosakkan hari ini. Suatu hari yang indah bersama-sama lelaki yang kucintai.

Jaket putih paras pinggul melekap elok kepada tubuhku. Aku memakai blaus merah jambu longgar tanpa lengan bersama-sama seluar jean berwarna biru gelap. Sepasang kasut but berwarna khaki menjadi pilihanku untuk dipadankan dengan pakaianku. Aku menjeling kepada lengan kiriku yang terlindung dengan lengan jaketku.

Mataku tidak lepas daripada merenung skrin telefon pintar milikku. Detik demi detik masa yang berlalu kurasakan semakin membuatkan aku tidak sabar. Walaupun jarak masa yang akan menemukan aku dengan Eddie akan sampai tidak lama lagi, tetapi bagiku semakin lama jam berdetik semakin jauh jarak antara kami.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah penampilan Julie mampu memukau pandangan Eddie terhadapnya?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience