Chapter 23

Romance Completed 26341

Bab 23

Aku melihat ke hadapanku. Aku cuba mengalihkan perhatianku daripada terlalu memikirkan mengenai rancangan Eddie untuk melamar Eve tetapi cubaan itu menghampakan aku. Semakin aku cuba tidak mempedulikan hal ini semakin gelisah aku dibuatnya.

Sampai sahaja di kediamanku, aku mengajak Eddie untuk naik ke flat sewaanku. Pelawaan itu diterima oleh Eddie dengan senang hati. Aku juga dengan hati yang tidak menentu gembira dengan persetujuan Eddie.

“ Kau nak apa? Jus? Kopi?” aku bertanya sewaktu kami masuk ke dalam lif.

“ Jus. Aku cuba nak kurangkan pengambilan kafein.”

“ Puding, nak? Atau kau masih kenyang?”

“ Bolehlah. Terima kasih, Ju.”

Masuk sahaja ke dalam flat sewaanku, aku menanggalkan jaket putih yang kupakai tadi lalu kusangkut pada dinding. Aku baru sahaja ingin masuk ke dapur sebelum panggilan Eddie mengejutkan aku. Pantas aku menoleh ke arahnya. Eddie sedang menghampiriku dengan wajah yang berkerut.

“ Kenapa lengan kau jadi macam ni?”

Eddie bertanya sambil menarik lengan kiriku. Aku berpura-pura terperanjat. Mataku melihat kepada kesan luka yang masih merah pada lengan kiriku. Kesan luka akibat torehan pisau oleh diriku sendiri semalam.

Tanpa perasaan takut, aku membiarkan mata pisau yang tajam itu menghiris kulitku. Tatkala titisan demi titisan cecair merah mengalir daripada torehan itu dan menitik ke atas lantai, pandangku kosong memerhatiku darahku sendiri.

“Oh! Ini… aku terkena pisau malam semalam. Tak sakitlah,” aku berkata dengan nada bersahaja tetapi Eddie masih dengan wajah yang risau.

“Kenapa tak balut lengan kau ni? Macam mana kalau terjangkit dengan kuman?”

Inilah yang aku inginkan. Aku mahu Eddie risau akan diriku. Aku mahu perhatian Eddie beralih kepadaku walaupun hanya untuk seketika. Walaupun hanya untuk masa ini.

Akan tiba saat di mana di mata Eddie hanya ada aku. Aku. Bukannya Eve mahupun perempuan lain.

“Tak ada apa-apa. Lengan aku luka sikit ajelah,” aku bermain tarik tali lagi dengan Eddie pada hari ini. Eddie mengeluh berat.

“Dah. Kau duduk sini. Aku tolong balut luka kau.” Eddie menarik aku ke arah sofa. Selepas memastikan aku duduk dia berlalu ke dapur. Terdengar suaranya bertanyakan mengenai kit pertolongan cemas.

“Dalam kabinet atas belah kiri,” laungku.

Tanpa mengambil masa yang lama Eddie kembali dengan kit pertolongan cemas di tangannya. Aku cuba menahan senyum tatkala Eddie duduk di sebelahku. Dengan lemah lembut dia menarik lengan kiriku. Aku hanya mendiamkan diri sewaktu Eddie merawat lukaku.

“Hati-hati dengan sebarang objek tajam. Kalau jadi macam ni lagi, jangan biarkan aje luka tu tak berbalut. Bahaya,” Eddie mengomel sewaktu membalut lengan kiriku. Aku mengangguk sahaja.

…bersambung

Bab akan datang:

Adakah Julie akan melakukan sesuatu yang tidak disangka?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience