Chapter 10

Romance Completed 26341

Bab 10

Tanpa menunggu Eve menghabiskan ayatnya aku terus mematikan panggilan telefon. Telefon bimbitku dimatikan. Aku tidak mahu Eve terus-terusan mencuba untuk menghubungiku.

Beberapa keping not wang aku selitkan di bawah cawan kopi yang langsung tidak kusentuh itu. Aku sempat memberi isyarat kepada Kitty untuk datang mengutip bayaranku sebelum aku segera keluar dari kafe itu. Panggilan Kitty langsung tidak kuhiraukan.

Keretaku dipecut laju meninggalkan kawasan kafe tersebut. Aku tidak tahu apa yang sedang dirasakan olehku kini. Mataku singgah kepada tanganku yang perit dengan panas cawan kopi tadi. Aku tersenyum sinis.

Perlu ke telefon aku? Penting sangat ke aku untuk bersama-sama mereka? Eve tak rasa aku akan menganggu saat saat indah berdua bersama-sama Ed ke?

Bodoh.

Sampai sahaja di kediamanku, aku terus meluru ke bilik yang menempatkan segala barangan kesayanganku. Aku berbaring di atas lantai dingin. Foto Eddie yang sedang tersenyum kupeluk erat. Tanpa sedar air mataku mengalir.

******

EVE

“ Nombor yang anda dial tidak dapat dihubungi. Sila…”

Aku mengeluh dengan wajah yang penuh kecewa. Log panggilan yang dibuat olehku diperhatikan. Hanya ada nama Julie pada senarai itu.

Ke mana Julie pergi?

Sudah beberapa kali aku cuba menghubungi Julie tetapi usahaku sia-sia sahaja. Setiap panggilanku akan terus masuk ke dalam mel suara. Adakah Julie benar-benar tidak sihat sehingga dia tidak mahu ada gangguan? Tetapi semasa dia datang untuk membantuku memilih pakaian yang sesuai sebelum ke lapangan terbang siang tadi, kulihat Julie sihat-sihat sahaja.

Aku ingin menyuarakan kebimbanganku kepada Eddie tetapi tidak pula aku sampai hati untuk menganggu rehat kekasihku itu. Eddie baru sahaja pulang daripada seminar yang dihadirinya. Semestinya dia mahu berehat sepuas-puas hatinya sebelum kembali bekerja. Selepas makan bersama-sama Eddie tadi, kami terus kembali ke rumah masing-masing.

Ju… kau sakit sangat ke?

Lama aku memerhati telefon bimbit di tanganku, berharap akan ada panggilan balas daripada Julie.

Atau dia ada masalah lain?

Aku kenal Julie. Dia tidak suka menceritakan masalah peribadi yang dihadapinya walau kepadaku, sahabat baiknya. Julie lebih suka memendamkan sahaja masalahnya itu.

Masalah dengan teman lelakinya?

Sampai sekarang aku belum berpeluang untuk bertanya Julie mengenai makan malam istimewanya bersama-sama seseorang itu. Aku hanya mampu membuat andaian lelaki itu adalah teman lelaki baharu Julie.

Aku melihat jam di telefon bimbitku. Sudah hampir mencecah tengah malam. Mustahil aku dapat keluar seorang diri pada tengah malam sebegini untuk ke kediaman Julie.

“ Tak apalah. Aku telefon dia esok ajelah,” aku menggumam sendirian lalu berlalu masuk ke dalam bilik tidurku. Aku tersenyum sendirian tatkala memeluk patung beruang besar yang Eddie hadiahkan kepadaku dahulu.

…bersambung

Bab akan datang:

Siapa agaknya teman lelaki Julie yang dimaksudkan Eve itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience