Chapter 1

Romance Completed 26341

BAB 1

JULIE

“ Ju….”

“ Ya?”

“ Ju…”

“ Ya?”

“ Ju…”

“ Awak kat mana?”

Suaraku separuh menjerit. Daripada tadi lagi aku mendengar dia menyeru namaku tetapi aku langsung tidak dapat mencari bayangannya. Di manakah dia bersembunyi? Aku hanya dapat melihat kabus di persekitaranku.

“ Awak kat mana?”

Kali ini aku menguatkan suaraku. Aku ingin bertemu dengannya. Aku sangat ingin bertemu dengannya. Aku tidak mahu berseorangan dan sesat di dalam kabus ini. Jika dia ada bersama-samaku, aku tidak akan kesunyian.

Dari kejauhan aku mendengar suaranya. Aku mula panik kerana dia sudah semakin jauh daripadaku. Kaki dihayun laju menuju ke arah suaranya.

“ Jangan pergi! Tolong jangan pergi!”

Semakin lama langkahku semakin laju. Mataku menangkap bayangan tubuhnya jauh di hadapanku. Aku tidak berputus asa. Walaupun tubuhku sudah terasa penat tetapi aku gagahkan juga demi mendapatkan dia.

“ Ju?”

“ Jangan pergi!” aku merayu.

“ Selamat tinggal…”

“ Jangan! Argh!”

Kakiku tersadung kepada gumpalan kabus yang terasa pejal. Saat aku terjatuh, dia menghilangkan diri.

Tidurku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada Eve. Mimpiku hilang terbang entah ke mana disebabkan dia. Dia meminta tolong aku untuk menemaninya di rumah lantaran kebosanan. Bosan kerana Eddie perlu menghadiri suatu seminar syarikat tempat kekasih sahabatku itu bekerja.

“ Aku tengah seronok mimpi, kau kacau aku pula,” aku merungut.

“ Maaflah, Ju. Aku tak tahu kau tidur lagi. Temankan aku ya? Aku bosan sangat-sangat ni,” dia memujuk.

Memikirkan Eve yang keseorangan di flat yang disewanya, aku bersetuju untuk datang. Lagi pun aku langsung tiada aktiviti yang dirancang untuk mengisi masa lapangku di hujung minggu ini.

“ Lagi sejam aku sampai. Jangan telefon aku sebelum sejam berlalu, faham?”

Rungutan Eve tidak aku endahkan. Aku mencampak telefon pintar milikku di atas katil selepas memasang mod senyap. Tuala yang tersangkut pada almari kucapai. Tanpa berlengah lagi aku segera bersiap-siap untuk ke rumah Eve.

Sebelum melangkah keluar dari flat sewaanku, sempat aku menjenguk ke sebuah bilik yang terletak berhampiran dengan dapur. Bilik yang aku sentiasa pastikan ianya berkunci untuk mengelakkan rahsia terbesarku terbongkar. Rahsia yang bakal memberi kebahagiaan dan kemusnahan yang serentak dalam hidupku.

Kehadiran aku disambut dengan gembira oleh Eve. Ini merupakan kali pertama aku bertemu dengannya sejak seminggu yang lalu. Minggu lepas, Eve mengheret aku bersama-samanya dengan Eddie untuk menghadiri suatu pertemuan dengan rakan-rakan sekerja Eddie. Aku tahu Eve berniat untuk memasangkan aku dengan mana-mana rakan sekerja Eddie tetapi malangnya, sudah ada suatu nama yang terpahat dalam hatiku. Dan aku yakin, Eve tidak tahu siapakah pemilik nama itu.

...bersambung

Bab akan datang:

Siapakah yang berada di dalam hati Julie?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience