Chapter 30

Romance Completed 26341

Bab 30

Aku berpusing-pusing di hadapan cermin bilikku. Sesekali aku akan ketawa, sesekali aku akan bersiul riang. Tiada siapa yang dapat menduga betapa bahagia hatiku kini. Empat hari sahaja lagi. Hanya empat hari lagi sebelum aku akan bersatu dengan kekasih hatiku buat selama-lamanya.

Aku mengenakan gincu merah di bibirku. Nampak menyerlah dengan warna putih salji gaun pengantinku. Aku berdiri bercekak pinggang dengan senyuman puas hati bermain di wajahku. Patut ke aku cuba mendandan rambutku dan mengenakan mekap penuh pada wajahku?

Terfikir untuk membuat rakaman video, aku mencapai telefon pintar milikku dan membuka mod perakam video. Telefon itu kudirikan di atas meja tetapi ia jatuh terbaring kerana kurang kestabilan. Aku mengeluh perlahan.

“Susah juga bila telefon dah makin nipis,” bebelku sendirian.

Bunyi ketukan pada pintu kediamanku menghentikan niatku untuk mencapai telefon itu untuk membetulkan kedudukannya. Aku tertanya-tanya siapa pula yang datang pada waktu malam sebegini. Julie sudah pulang sedangkan Eddie masih di pejabatnya untuk menyiapkan tugasan khas. Eddie mahu menyelesaikan kesemua kerja yang penting sebelum bulan madu kami di Paris. Dia ingin menggantikan percutian terdahulu yang terpaksa dibatalkan.

Siapa yang datang?

Aku terus keluar dari bilikku apabila ketukan itu kedengaran lagi. Hatiku ragu-ragu dengan kehadiran tetamu yang datang secara mengejut ini apatah lagi tiada suara yang kedengaran di luar kediamanku. Aku merapatkan telinga kananku kepada daun pintu.

Flat kediamanku ini agak sepi memandangkan di tingkat ini hanya enam buah unit sahaja yang berpenghuni. Unit yang lain masih lagi kosong daripada pemilik tetap mahupun penyewa.

“ Siapa?” aku memberanikan diri untuk bertanya.

Suasana di luar mula senyap buat seketika. Bunyi ketukan pintu juga sudah tiada. Sepi.

“ Eve! Aku ni.”

Suara Julie kedengaran perlahan di balik pintu selepas seketika. Suaranya seakan-akan sedang berbisik. Aku teruja tatkala mendengar suara sahabat baikku itu. Segera aku membuka pintu flatku.

“Ju! Kau kata tak boleh datang sini?” tanyaku gembira. Tetapi aku terdiam apabila melihat pakaian pada tubuhnya. Serba hitam. Lain daripada pakaian tadi. Ada kaca mata hitam tersangkut pada kolar kemeja T Julie.

“Bila masa kau tukar pakaian ni? Serba hitam pula tu?”

Julie tidak menjawab pertanyaanku sebaliknya dia tersenyum sahaja. Aku menjemputnya masuk. Kami berdua menuju ke dalam bilikku. Kedengaran pintu ditutup di belakangku sebaik sahaja aku masuk ke dalam bilik. Aku menoleh ke arah Julie.

“ Kenapa nak tutup pintu? Ada kita aje dalam flat ni?” aku bertanya hairan.

“ Saja,” balas Julie pendek dengan senyuman pada wajahnya.

“ Macam mana, Ju? Cantik tak? Aku baru terfikir nak dandan rambut aku masa kau datang.”

…bersambung

Bab akan datang:

Mengapa Julie berpakaian serba hitam?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience