Chapter 32

Romance Completed 26341

Bab 32

“ Kau sanggup… demi Ed?”

Julie sanggup mencederakan aku hanya kerana cinta rahsianya terhadap Eddie? Selama ini aku langsung tidak sedar akan perasaan Julie terhadap Eddie. Tapi kenapa sekarang? Kenapa aku baru sedar pada masa seperti ini? Kenapa sekarang baru Julie mendedahkan rahsianya?

Perkahwinanku dengan Eddie yang telah mendorong perbuatannya.

Aku menjerit kesakitan. Luka di belakangku bertambah parah dengan setiap perbuatanku mahupun percakapanku. Tikaman tadi tajam menusuk ke dalam tubuhku. Mulutku tidak berhenti-henti memuntahkan darah. Julie masih berdiri dengan lagak bersahaja di hadapanku.

“ Ju… tolong… jangan…”

Julie kembali dengan ketawa mengilainya. Dia langsung tidak terkesan dengan rayuanku. Adakah hatinya sudah keras hanya kerana dia tidak dapat memiliki Eddie? Adakah persahabatan kami selama ini sudah tiada tempat di hatinya?

“ Ju…”

“ Selamat tinggal, Eve. Moga kau bahagia di sana. Aku akan jaga Ed untuk kau.”

Itu merupakan kata-kata terakhir Julie untukku sebelum aku merasakan pisau itu tajam merobek jantungku. Darah merah yang memancut keluar daripada dada kiriku menjadi pandanganku yang terakhir sebelum kegelapan menjemputku.

JULIE

Panggilan daripada Eddie merupakan panggilan pertama yang kuterima pada malam itu. Malam yang menyaksikan bagaimana aku menamatkan segala-galanya. Pada saat itu aku sedang bersantai di ruang tamu kediamanku dengan secawan kopi sambil ditemani oleh gambar Eddie.

“ Ju! Eve… Eve… dia…”

Suara panik Eddie menerpa pendengaranku. Aku meletakkan cawan kopi di atas meja sebelum aku dengan rela hatinya mengikut rentak Eddie. Aku yakin Eddie telah melihat ‘hadiah’ istimewa yang telah kuhantar secara rahsia ke kediamannya.

“ Kenapa, Ed? Cuba bawa bertenang. Kenapa dengan Eve?”

“ Aku tak tahu… aku… arghhh!”

Aku tersentak apabila mendengar jeritan Eddie sebelum berakhir dengan bunyi pasu. Aku terbangun daripada sofa.

“ Ed… relaks Ed…”

Aku mula panik kerana risau Eddie akan mencederakan dirinya sendiri. Sekiranya ada sesuatu yang buruk menimpa Eddie, aku tidak akan memaafkan diriku. Tidak! Tidak sesekali! Eddie teramat penting untukku. Aku tidak dapat hidup tanpa Eddie!

“ Eveeeee!!!”

Raungan Eddie yang semakin lama semakin menggila membuatkan aku kelam kabut. Tergesa-gesa aku mencapai kunci kereta dan kunci rumahku. Telefonku masih melekap pada sebelah telingaku. Aku menyarung kasut dan berlari turun ke tempat parkir kereta.

“ Sabar Ed! Aku datang sekarang. Aku datang sekarang!”

Enjin kereta kuhidupkan. Kereta kupandu laju menuju ke arah kediaman Eddie. Bayangan demi bayangan yang menakutkan mula mengejarku. Peluh dingin membasahi dahiku walaupun suasana dalam keretaku dingin.

Ed!

Eddie sedang terlantar di atas lantai.

Ed!

Eddie sedang bernafas putus-putus.

Ed!

Eddie sedang menahan darah keluar daripada dada kirinya.

…bersambung

Bab akan datang:

Bagaimanakah Julie melindungi dirinya daripada disyaki oleh pihak polis dan Eddie?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience