Chapter 26

Romance Completed 26341

Bab 26

Siulan kegembiraanku semakin lama semakin perlahan. Aku mula panik kerana apa yang kucari tidak dijumpai. Kesemua barangan yang berada di dalam kotak itu kubuang ke lantai.

Tiada.

Aku mencari lagi. Lantai itu mula bersepah dengan semua barangan yang kubuang tadi. Aku mula panik lantaran ketiadaan pasport milikku.

Memang tiada!

Aku cuba menenangkan diriku yang sudah panik. Aku yakin pasport itu berada di dalam kotak ini. Aku tidak pernah menyimpan pasportku di tempat lain.

Atau aku tersilap letak?

JULIE

Mataku melekat kepada kalendar di hadapanku. Tarikh hari ini adalah tarikh yang sepatutnya Eddie dan Eve berlepas ke Paris. Tarikh yang sepatutnya mencipta sejarah buat Eve tetapi menurut Eddie, rancangan itu terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab tertentu.

Dan aku tahu kenapa rancangan itu terpaksa dibatalkan.

Pernah juga Eve menelefonku dan bercerita mengenai kesedihannya kerana rancangan Eddie itu terpaksa dibatalkan. Aku cuba menenangkan dia daripada terus-terusan menangis kekesalan. Katanya dia terlupa di mana pasport miliknya diletakkan. Aku mendengar sahaja apa yang diucapkan oleh Eve.

Aku ketawa perlahan.

Bulan di langit malam tidak kelihatan kerana dilindungi awan. Aku masuk ke dalam bilik yang menyimpan rahsiaku. Pintu bilik itu kukunci. Senyumanku lebar tatkala melihat berpuluh-puluh malah beratus-ratus wajah Eddie sedang tersenyum kepadaku.

Aku baru sahaja ingin merebahkan tubuhku di atas lantai ketika telefonku berbunyi.

Eve.

“ Helo, Eve. Kenapa?”

Dalam hatiku tidak berhenti-henti aku menyumpahnya kerana menganggu masaku untuk ‘bersama-sama’ dengan Eddie. Suara teriakan Eve memeritkan pendengaranku. Aku menjauhkan telefon itu daripada telingaku buat beberapa ketika.

“ Kenapa kau menjerit sakan ni? Kau tak kesian ke kalau aku jadi pekak?” kataku agak kasar.

“ Maaflah, Ju. Aku tengah gembira sangat-sangat ni.”

Benar. Suara Eve memang kedengaran bahagia sekarang ni. Kenapa? Apa pula yang terjadi? Bukankah sepatutnya dia tengah bersedih kerana rancangan istimewa Eddie untuk membawanya ke Paris itu terpaksa dibatalkan?

“ Ed lamar aku, Ju! Ed! Lamar! Aku! Dia nak aku jadi isteri dia!”

Aku terpegun bukannya kerana teriakan Eve kembali memeritkan pendengaran telingaku tetapi kerana aku tidak percaya dengan apa yang Eve ucapkan. Lidahku kaku untuk mengucapkan perkataan kepada Eve. Terasa detak jantungku berhenti. Terasa kedua-dua kakiku kebas tidak dapat bergerak. Terasa masaku berhenti mengalir.

“ Ed ajak aku makan malam sebab rancangan ke Paris tu tak jadi. Dia main piano untuk aku dan dia lamar aku depan orang ramai! Aku dah rasa macam dalam filem. Aku betul-betul tak percaya Ed lamar aku!”

Eve terus-terusan bercerita kegembiraannya kepadaku tanpa perasan sepi daripadaku. Aku mengetap bibir. Setiap kata-kata daripada Eve mengenai lamaran Eddie merupakan belati tajam yang menusuk ke setiap ruang hatiku.

…bersambung

Bab akan datang:

Bagaimanakah reaksi Julie semasa mendengar berita gembira daripada Eve itu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience