Chapter 12

Romance Completed 26341

Bab 12

“Sehingga malam ni pun Ju tak ada telefon awak balik?”

Aku pantas mengangguk.

“Kenapa baru nak beritahu saya? Macam mana kalau ada apa-apa terjadi kat Ju?” Eddie bersuara agak tegas.

“Maaf…” kataku serba salah.

“Tak apalah. Lepas makan kita pergi flat dia, ya? Janganlah sedih sayang,” Eddie cuba memujukku kembali. Aku menarik senyum nipis.

“Baiklah.”

JULIE

Mataku kosong apabila melihat senarai panggilan yang masuk sewaktu aku mematikan telefon bimbitku sejak petang semalam. Nama Eve berderet di log panggilan masuk.

Tiada.

Langsung tiada.

Langsung tiada panggilan daripada Eddie.

Selepas aku kembali ke kediamanku semalam, aku memencilkan diriku ke dalam bilik rahsiaku. Bilik yang dipenuhi dengan gambar-gambar dan segala barang yang mempunyai kaitan antara aku dengan Eddie. Walaupun sudah banyak kali perutku meminta-minta untuk diisi tetapi aku langsung tidak mempedulikan perutku yang lapar.

Aku kenyang. Aku berasa kenyang dengan hanya menghabiskan masaku di bilik itu.

Telefon kulemparkan ke atas meja. Wajahku masam.

Kenapa Eddie langsung tidak menelefon aku? Terlampau gembira kerana dapat meluangkan masa bersama-sama Eve agaknya.

Bunyi loceng pintu menganggu niatku untuk mencapai patung yang kujahit gambar Eddie di wajahnya. Tanpa berlengah lagi aku terus keluar dari bilik itu dan menguncinya. Loceng flatku kembali berbunyi. Aku langsung tidak dapat mengagak siapakah tetamu yang datang secara mengejut pada malam ini.

Mustahil Eve mahu pun Eddie. Bukankah mereka berdua sedang bersukaria pada saat ini?

“ Ju!”

Eve melompat untuk memelukku sebaik sahaja pintu flat kubuka. Aku tercengang-cengang. Eddie yang sedang berdiri di hadapanku menghadiahkan senyuman kepadaku. Aku malu-malu sendirian membalas senyumannya.

“Masuklah,” pendek sahaja aku mempelawa mereka. Keinginanku untuk terus menatap wajah Eddie kutahan. Debaran yang mula rancak di dada terasa menyesakkan pernafasanku.

“ Eve kata kau sakit. Demam ke?”

Keprihatinan Eddie bertanyakan kesihatanku membuat hatiku melompat kegembiraan. Pantas aku mengukir senyuman yang paling manis untuknya.

“ Pening sikit.”

“ Kenapa kau matikan telefon kau, Ju? Risau betul aku,” Eve bertanya.

“ Bateri mati. Aku lupa nak cas.”

Aku ke dapur untuk membuat air walaupun dihalang mereka berdua. Kedua-dua mereka menegaskan bahawa mereka baru sahaja makan malam tetapi aku tidak mengendahkan mereka berdua. Aku tersenyum kerana di dalam peti sejukku masih ada kek vanila yang dibuatku dua hari lepas. Kek kegemaran Eddie. Nasibku baik kerana kek itu masih berbaki banyak.

“ Nak aku tolong?”

Aku tersentak mendengarkan suara itu. Pantas aku berpusing ke belakang. Eddie sedang berdiri di pintu dapur.

“Kau… pergilah duduk. Kesian Eve duduk seorang kat luar tu,” aku gugup.

“Tak apa. Lagipun dah lama tak jumpa kau, Ju.”

…bersambung

Bab akan datang:

Apakah perasaan Julie apabila Eddi berkata sebegitu?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience