NATASYA terkejut melihat Shahrul yang sedang memandangnya. Mata suaminya juga merah menyala. Kenapa tiba-tiba sahaja Shahrul pulang? Bagaimana pula Shahrul boleh tahu dia di sini?
“Sha... Shahrul...” Natasya benar-benar ketakutan.
“Aku tanya apa kau buat dekat sini?”
“I... I...”
“Kau selongkar barang aku?”
“Tak... I tak selongkar barang you.”
“Kau ingat aku bodoh? Yang bersepah itu apa? Dan sekarang ni kau dah tahu aku siapa, kan?”
Kedua-dua kaki Natasya lemah longlai. Dia tidak mampu untuk berdiri tegak. Dengan rasa ketakutan mula menerpa dalam dirinya.
“Jawab aku. Kau dah tahu aku siapa, kan?”
“Kenapa ada banyak gambar Darissa dekat dinding kau? Dan gambar Zayn sekali. You yang langgar Zayn, kan?” Natasya cuba memberanikan diri.
“Kau siapa nak tahu pasal semua tu!”
“I ni isteri you tahu? Kalau I tahu you pembunuh, I takkan kahwin dengan you tahu tak!”
“Kau ingat, aku hadap sangat perempuan macam kau ni? Kau tu layak dijadikan pelacur, dan bukannya isteri.” Shahrul perlahan-lahan menghampiri Natasya. Tetapi Natasya mengundur sedikit demi sedikit. Adakah dia akan dibunuh? Lebih-lebih lagi melihat wajah Shahrul yang tengah menyinga saat ini.
“Apa yang you nak buat ni?”
“Sekarang ni kau dah tahu semuanya. Aku takkan biarkan kau. Kau patut mati Natasya. Patut mati.”
“Shah... Shahrul, jangan...” Natasya cuba untuk melarikan diri. Dengan pantas dia menolak semua barang-barang yang ada di dalam bilik tersebut, tetapi Shahrul laju sahaja menepis.
“Mana kau nak lari? Kau takkan dapat lari daripada cengkaman aku.”
“I akan jerit. Biar semua orang dengar.”
“Jerit?” Shahrul ketawa.
Berkerut dahi Natasya saat ini.
“Tak ada siapa yang akan tahu kalau kau mati. Jiran sebelah dah balik kampung. Dan untuk pengetahuan kau, aku beli rumah dekat sini, sebab tak ramai yang nak beli, disebabkan harga yang mahal. Depan rumah aku ni tak ada rumah. Disebabkan itulah, aku pilih rumah yang paling hujung.”
“Shahrul, you tak boleh buat I macam ni.” Air mata Natasya sudah mula bertakung di dalam kelopak mata.
“Aku boleh buat... sebab aku dah bunuh banyak orang.” Senyuman Shahrul terukir di bibir.
Perlahan-lahan Shahrul mengeluarkan satu wayar hitam, dari poket seluarnya. Awal-awal lagi dia sudah bersiap sedia dengan memakai sarung tangan. Dia mendapat tahu Natasya ke sini, setelah menerima mesej daripada jirannya, yang mengatakan ada seorang wanita yang telah mengaku sebagai isterinya, dan juga telah masuk ke dalam rumahnya. Apabila dia mengetahuinya, kelam-kabut Shahrul pulang ke Malaysia.
Mata Natasya tertancap ke arah tangan Shahrul yang kini sedang memegang wayar. Apa yang suaminya mahu lakukan? Adakah dia akan dicekik dengan menggunakan wayar tersebut?
“Shahrul, you nak buat apa ni?”
“Aku dah cakap tadikan? Kau patut mati. Kau ingat, aku nak biarkan kau hidup, setelah apa yang kau dah lihat sekarang ni?”
Perlahan-lahan Natasya mengundurkan langkah. Tak, dia tidak mahu mati. “Please, jangan bunuh I. I ni isteri you. Please, I merayu sangat-sangat...” rayu Natasya. Dalam masa yang sama, dia berharap yang Zayn Izrel dan Darissa cepat-cepat ke datang ke sini.
“Aku tak pernah anggap kau ni isteri aku. Kau ingat, kau layak jadi isteri aku? Dalam hati aku ni hanya ada Darissa. Kau dah rosakkan semua plan aku. Kau berlakon dengan mama aku, supaya aku nikah dengan kau. Kau ingat aku tak tahu?”
Natasya menelan liur. Tetapi dalam masa yang sama, hatinya sedikit terluka.
“Ya memang aku yang langgar Zayn, sebab aku nak dia mati. Dan aku boleh kahwin dengan Darissa. Tapi laki tu tak mati. Dan mama pula memaksa aku pulang, dan berpura-pura sakit. Masa tu aku tak fikir panjang, dan aku setuju nikah dengan kau. Plan aku terkubur macam itu aje. Dan sekarang ini, aku tak nak siapa-siapa halang aku lagi! Kau tak perlu wujud dalam hidup aku Natasya! Tak perlu wujud!”
Dengan keberanian yang ada, Natasya terus ketawa. Walaupun dalam hatinya ada sedikit ketakutan. “You berani nak bunuh I? Cubalah kalau you berani. Bila-bila masa sahaja Zayn dan Darissa akan sampai. I dah beritahu location rumah you ni. Dan dia orang pun dah tahu, sebenarnya you yang langgar Zayn!”
Riak wajah Shahrul terus sahaja berubah. Natasya sudah memberitahu kesemuanya?
“Kau cakap apa tadi? Dia orang dah tahu?”
Natasya tersenyum sinis. “Ya! Dia orang dah tahu!”
“Betina sial!”
Pang!
Wajah Natasya terus sahaja ditampar, lalu dia terjatuh di atas lantai. Tamparan lelaki itu benar-benar kuat, sehingga dia merasakan kepalanya sedikit pusing.
Tidak berhenti di situ, rambut Natasya terus sahaja direntap kuat, lalu dahinya dihentakkan di atas lantai.
Bam!
Argh! Natasya menjerit kesakitan.
“Kau patut mati! Mati!” jerit Shahrul, dalam dirinya yang sudah menggila. Tangannya masih menggenggam kuat, wayar hitam yang dikeluarkan dari kocek seluarnya tadi.
“Kau ingat aku akan biarkan kau musnahkan aku, Natasya?” Suaranya penuh dengan ancaman. Tak, dia tidak akan membiarkan Natasya bersenang-lenang, setelah apa yang telah dia lakukan.
“Shahrul, jangan…” Natasya merayu, dengan tangannya memegang perut.
Shahrul tersenyum menyeringai. Seronok dia melihat Natasya merayu.
“Anak kita... tolong jangan apa-apakan I...” Air matanya mengalir laju.
“Anak?” Shahrul tersenyum mengejek. Suara yang penuh dengan kebencian.
Natasya mengangguk, dengan air matanya yang tidak henti-henti mengalir. Dahinya membengkak, akibat dihentak pada lantai tadi.
“Kau ingat aku peduli? Kau dah pilih pihak lain Natasya. Kau pilih Darissa. Kau pilih Zayn. Tapi aku? Kalau kau fikirkan anak, kau pasti akan rahsiakan semua ni.” Shahrul memintal wayar di tangannya, membentuk gelung yang kelihatan seperti jerat maut.
Natasya tidak mahu mati. Laju sahaja dia menendang bahagian privasi milik Shahrul, sehinggakan lelaki itu tersungkur ke belakang.
Dengan tenaga yang ada, Natasya cuba melarikan diri, tetapi kakinya terasa lemah dengan jantungnya berdegup kencang. Belum sempat Natasya melangkah keluar dari bilik tersebut, Shahrul terlebih dahulu menarik lengannya dengan kasar, dan memaksanya berpaling.
“Tak ada jalan keluar untuk kau!” Dengan sekelip mata, wayar tersebut sudah melilit leher Natasya.
Natasya cuba menjerit, tetapi suaranya terputus apabila Shahrul mengetatkan cengkaman wayar tersebut, sehingga tubuhnya terdorong ke belakang.
“Mati kau... mati...” bisik Shahrul di telinga Natasya.
Natasya cuba meronta-ronta sambil jari-jemarinya mencakar-cakar wayar yang kini menggigit kulit lehernya. Matanya sudah membulat, sambil mencari udara yang semakin hilang sedikit demi sedikit.
“A... anak kita…” Suara Natasya tersekat-sekat ketika ini.
“Shahrul!” Jeritan Darissa memecah kesunyian.
Tetapi belum sempat Shahrul berpaling, Zayn Izrel sudah meluru ke arahnya. Wajahnya tegang menahan rasa amarah.
Zayn Izrel terus sahaja mencengkam bahu Shahrul dengan kekuatan yang penuh, lalu menariknya ke belakang hingga wayar tersebut terlepas dari leher Natasya.
Tubuh Natasya terus terjatuh di atas lantai, sambil terbatuk-batuk. Dia cuba mencari udara untuk bernafas.
“Berani kau nak bunuh dia?!” laung Zayn Izrel. Suaranya menggeletar dengan kemarahan yang tidak terkawal.
Shahrul tersenyum. Mulutnya terbuka untuk membalas, tetapi Zayn Izrel tidak memberi peluang. Tumbukannya terus sahaja mendarat tepat pada rahang Shahrul.
Buk!
Shahrul hampir terjatuh, tetapi kedua-dua kakinya berdiri pegun. Darah mula mengalir di tepi bibir. Tetapi matanya masih penuh kebencian dan tiada rasa ketakutan.
“Zayn, cukup!” Darissa menjerit, lalu berlari ke arah Natasya untuk memastikan wanita itu masih bernafas.
Tetapi Zayn Izrel tidak peduli. Dia menyerang Shahrul sekali lagi. Tangannya terus mencengkam kolar baju Shahrul, lalu tubuh lelaki itu dihumban ke dinding.
“Kau cuba bunuh aku, dan sekarang kau nak bunuh Natasya pula? Kau fikir kau boleh lari dari semua ni?” Zayn Izrel melayangkan satu penumbuk sekali lagi, kali ini ke perut Shahrul, dan telah membuatkan lelaki itu tersungkur.
Shahrul mengangkat tangannya, cuba untuk melawan, tetapi Zayn Izrel pantas memberikan satu lagi tendangan pada perut Shahrul, sehingga membuatkan lelaki itu terus terduduk menahan sakit.
Darissa perasankan Natasya yang benar-benar di dalam ketakutan. Tubuh wanita itu terus sahaja dipeluknya.
Dan tiba-tiba sahaja, bunyi siren polis mula kedengaran dari jauh, mendekati rumah milik Shahrul.
Zayn Izrel dan Darissa memandang antara satu sama lain. Akhirnya pihak polis telah pun tiba, setelah dihubungi Darissa tadi.
Shahrul memandang mereka bertiga dengan penuh rasa dendam. Tetapi dia tahu tiada maaf baginya. Mungkin pengakhiran hidupnya adalah ke tali gantung.
Setahun kemudian...
DARISSA melihat Zayn Izrel dan Danial sedang sibuk membakar ayam dan juga daging. Hari ini, dia, Zayn Izrel, Danial dan juga Hani sedang bercuti di Cameron Highland. Anak-anak pula dijaga oleh keluarga masing-masing.
Hani pada ketika ini, sedang ketawa melihat Danial yang dari tadi terkial-kial untuk membakar ayam.
“Apa yang lawak sangat tu?”
“Tengoklah Danial tu. Entah apalah dia buat. Langsung tak tahu nak bakar.”
“Husband you tu doktor, memanglah tak tahu nak buat semua tu.”
“Dah penat dah I ajar dia. Tapi tengoklah, macam tu juga.”
Darissa tersenyum. “Lamakan kita tak bercuti macam ni?”
“Lamalah juga. Ini pun, barulah Danial dapat cuti. Faham-fahamlah, nak cuti tu bukan main payah lagi. Bukan macam kita yang kerja office ni, ada jugalah cutinya.”
Darissa mengangguk.
“You ada ke contact Natasya?” soal Hani tiba-tiba.
“Natasya? Entah, I pun dah tak tahu pasal dia dah. Last I jumpa dia 5 bulan yang lepas. Dia kata nak pindah duduk UK.”
“Baguslah tu. Tak perlulah dia duduk dekat Malaysia ni. I bukan apa, you faham-faham ajelah, Natasya tu dah single. Kalau dia contact Zayn lagi, takut cinta berputik kembali aje.”
“Isy, tak adanya. Tapi kalau dia berani kacau, memang I tak bagi muka. But Zayn pun dah beritahu I, dia dah blocked nombor Natasya tu. Yalah, betul juga you cakap, Natasya sekarang dah single. Nasib baiklah dia dah tak duduk sini lagi.”
“Tapikan, I tak expect yang Shahrul tu langgar Zayn, semata-mata nakkan you.”
“You tak expect. I lagilah. Isy, tak naklah. Lelaki pembunuh tu.”
Darissa teringat kembali kejadian setahun yang lepas, di mana kejadian Shahrul hampir membunuh Natasya. Nasib baiklah dia dan Zayn Izrel sempat menyelamatkan Natasya. Kalau tidak, Natasya pasti sudah tiada di dunia ini lagi. Anak yang dikandung Natasya pula, telah pun gugur dan tidak dapat diselamatkan. Manakala Shahrul pula, telah pun dijatuhi hukuman mati, akibat pembunuhan yang telah dia lakukan.
Encik Shahrum pula, benar-benar terkejut apabila menerima berita, di mana anaknya telah membunuh ramai orang. Berulang kali lelaki itu meminta maaf kepada Natasya, dia dan juga Zayn Izrel.
Manakala ibu Shahrul pula telah dimasukkan ke wad sakit mental, kerana tidak dapat menerima kenyataan, yang anak lelakinya seorang pembunuh dan telah dibawa ke tali gantung.
MEREKA berdua sedang duduk di balkoni sambil mengambil angin malam, dengan ditemani cahaya bulan.
“Petang tadi mama ada call.” Darissa memecah kesunyian. Dia terus merebahkan kepalanya di dada bidang milik suaminya.
“Mama cakap apa?”
“Dia kata nak bawa Hadif dengan Hafiq pergi pantai esok. I cakap bawa ajelah. And then mummy dengan abi I pun ikut sekali.”
“Okeylah tu, bawa cucu.” Zayn Izrel meramas lembut rambut Darissa. Sesekali itu dia mengucup rambut isterinya itu.
“Seronok tengok dia orang dah rapat semula. Kalau tak sebelum ini, ada aje yang tak kena. Lebih-lebih lagi masa you koma. Dalam tempoh tu, I rasa betul-betul kehilangan you. Dan macam-macam pula dugaan yang datang.”
“I minta maaf baby... sepanjang I koma, I tak dapat temankan you. Tak dapat temankan pergi check-up kandungan. Apatah lagi saat you bersalin. Sampai sekarang I masih berfikir. Kalaulah masa tu Nayla tak wujud. Shahrul pun tak wujud, mesti kita tak...”
Darissa terus meletakkan jarinya pada bibir Zayn Izrel.
“Jangan cakap macam tu. Semua ni dah tertulis. Kita tak boleh nak melawan takdir. Tapi I bersyukur, akhirnya you sedar juga. Mungkin sebab you kuat.”
“Jangan cakaplah, tempoh I koma tu memang I selalu dengar you bercakap dengan I. Tapi I tak tahu, kenapa susah sangat untuk I sedar.”
“Tak apalah, kita lupakan perkara yang lalu. Jadikan ia satu kenangan. Sekarang ni kita fokus pada diri kita, dan anak-anak.”
Zayn Izrel menarik tangan Darissa lalu dibawa ke bibirnya. Tangan isterinya itu dikucup lembut.
“Terima kasih baby, sudi jadi isteri anje dan ibu kepada anak-anak kita.”
Darissa mengangguk senyum. “Dan terima kasih anje, terima baby dalam hidup anje. Takkan baby sia-siakan cinta kita. I love you so much anje.”
Zayn Izrel tersenyum. “I love you too baby.”
Darissa memeluk erat lengan sasa suaminya. Dengan pandangannya terus dihalakan ke arah bulan yang sedang mengambang penuh. Dia benar-benar bahagia bersama dengan Zayn Izrel. Hanya dia yang terbaik untuk selama-lamanya.
-TAMAT-
Terima kasih yg masih menunggu DYT.. akhirnya DYT telah menemui penamat. Maaf, ambil masa yg lama untuk tamatkan. Dan Alin akn biarkan novel ni free reading sehingga hujung bln. Mungkin bulan September nanti, Alin akn jdikan novel ni unlock chapter utk elakkan plagiat. TQ sekali lagi.
Share this novel