DYT 34 - KOMA

Romance Series 522373

Dua hari sebelum...

NAYLA sedang menunggu dengan penuh sabar ketika ini. Dalam masa yang sama, wajahnya telah dipakaikan dengan topeng muka. Dia tidak mahu, orang yang pernah diupahnya sebelum ini, mengenali wajahnya. Lagipun, mereka memang tidak kenal siapakah dia.

“Mana orang yang kau orang cakap tu? Dah setengah jam aku tunggu ni.”

“Maaf cik. Lelaki tu dah on the way ke sini. Dia tertidur tadi, baru balik dari luar negara.”

“Isy! Boleh pula dia tidur!”

Nayla duduk di kerusi, sambil menyilangkan kedua-kedua tangannya ke dada. Rasa amarahnya tidak dapat dibendung. Mahu sahaja dia mengamuk di situ juga. Setelah itu dia bangun semula, sambil berjalan ke hulu ke hilir.

Hampir setengah jam dia berkeadaan seperti itu. Setelah itu, dia duduk kembali di atas kerusi.

“Mana dia? Dia nak duit ke tak nak duit? Menyusahkan betullah!”

“Lama tunggu?”

Kedengaran satu suara garau dari arah belakang. Pelik. Suaranya kedengaran bunyi terlalu kasar. Dan seakan bukan suara sebenar.

Nayla pantas berpusing. Tiba-tiba sahaja dia terdiam. Inikah lelaki yang bakal membunuh Darissa? Kenapa dia turut mengenakan topeng muka?

“Sorry, tertidur. Jetlag. By the way, I’m Sean.” Lelaki itu menghulurkan tangannya.

Sean? Nayla masih terdiam kaku.

“Hello?”

“Sorry?”

Sean memandang wanita di hadapannya. Kenapa perlu menutup muka? Adakah kerana tidak mahu identitinya diketahui? Sepertimana dirinya?

“I’m someone.”

“What?”

“You tak perlu tahu nama I. By the way, you tahu tujuan I, kenapa I upah you?”

Sean terus sahaja duduk di kerusi, sambil kedua-kedua tangannya disilangkan ke dada. “Of course I tahu. So, siapa mangsanya?”

Nayla mengeluarkan sekeping gambar, lalu diletakkan di atas meja. “I nak you bunuh dia. I tak nak dia hidup. Next week, dia akan diumumkan sebagai CEO Rafflesia Group yang baru. I tak nak jawatan tu diberikan kepada dia. Sepatutnya jawatan CEO tu, I yang punya. Selepas dia mati nanti, semuanya akan jatuh ke tangan I. Dan Datuk Azlan, turut akan tersungkur!”

“Oh, disebabkan jawatan, sanggup nak membunuh?”

“You jangan nak perli I! Rafflesia Group family I yang punya. Mereka yang rampas daripada keluarga I!” Nayla menengking.

Sean terus ketawa. “Relax. Tak perlu nak menengking.” Gambar di atas meja terus sahaja dicapai. Tiba-tiba sahaja dia terdiam kaku saat melihat gambar tersebut.

“Bunuh perempuan tu. I tak nak dia hidup. Minggu ini, dia akan ke Melaka. I nak you bunuh dia di sana. You buatlah apa yang patut. Dan jangan sampai diri you tertangkap. I dengar, perempuan tu tahu seni bela diri.”

Sean masih diam membisu, dengan tangannya masih memegang gambar yang diberikan wanita itu tadi.

“Why you nak I bunuh dia?” Sean bersuara.

“Disebabkan Datuk Azlanlah, ibu bapa I mati. I nak hak I kembali. Tak mungkin semudah itu I akan lupakan apa yang telah Datuk Azlan lakukan.”

Sean tersenyum sinis. Tetapi senyumannya tidak kelihatan, kerana tersorok dengan topeng muka yang dipakainya.

“Ini, cheque lima puluh ribu. Balance I akan bayar setelah you selesaikan.”

“No need.”

“What do you mean?”

“Bayar, bila dah selesai.” Sean terus bangun dari kerusi, dan mahu melangkah meninggalkan wanita itu.

“Wait.” Nayla menahan.

Sean berhenti melangkah.

“Sebelum itu you perlu tahu, yang perempuan tu dah ada suami. Dan I dapat tahu, yang suami dia pun ada seni bela diri.”

Sean tergamam. Darissa sudah berkahwin? Dan sudah mempunyai suami?

Nayla berjalan ke hadapan. “Ingat, jangan sampai you tertangkap. Kalau you tertangkap, I takkan bertanggungjawab. Dan anggaplah, yang kita ni tidak pernah berurusan.”

Nayla mahu melangkah, tiba-tiba sahaja dia jatuh tersungkur ke atas lantai. Topeng muka yang menutupi wajahnya turut terjatuh di atas lantai. Nayla tercengang. Bagaimana dia boleh terjatuh? Pantas dia menggapai topeng mukanya, lalu dipakaikan semula ke wajahnya.

Sean tersenyum. Memang sengaja dia membuatkan wanita itu terjatuh, supaya kamera kecil yang disangkut di hujung lengan bajunya, dapat menangkap wajah wanita tersebut.

Nayla dengan pantas bangun, lalu berlari keluar dari gudang lama itu.

 

DARISSA memandu dengan penuh berhati-hati ketika ini. Kalau hendak diikutkan hatinya, mahu sahaja dia memandu dengan laju. Tetapi, dia tidak boleh terlalu mementingkan diri sendiri. Dalam masa yang sama, matanya sempat mengerling ke arah Zayn Izrel yang sibuk berbalas mesej dengan penyiasat persendiriannya.

“Jangan drive laju sangat. Tak lari ke mana bukti tu,” pesan Zayn Izrel.

“Kenapa dia tak send dekat you aje bukti tu?” Darissa memandang Zayn Izrel sekilas.

“Better jumpa depan-depan, kan lagi bagus? You tak contact abi dengan mummy, kan?”

“Tak. Kita dapatkan bukti dulu, and then terus kita bawa ke balai. Kalau boleh, hari ini juga I nak Nayla ditangkap.”

Tiba-tiba sahaja Zayn Izrel meraih tangan kiri Darissa, lalu dikucup perlahan. Darissa sedikit terkejut, saat Zayn Izrel meraih tangannya.

“Walau apa pun yang terjadi, I tetap akan bersama-sama dengan you, sehingga ke akhir nafas I.”

Kedua-kedua kening Darissa bertaut rapat. “Kenapa you cakap macam tu? You takutkan I.”

“Apa yang I takutkan you pula?”

“Yalah, tiba-tiba aje cakap macam tu. Macam, ada sesuatu yang nak terjadi.”

Zayn Izrel tersenyum nipis. “Tak payah nak takutlah. Tak ada apa yang akan berlaku.”

Darissa masih menumpukan pemanduannya. Dia tidak mahu terlalu memikirkan kata-kata Zayn Izrel tadi. Harap-haraplah tiada perkara buruk yang akan berlaku nanti.

Dalam pukul 5 petang, mereka tiba di Kuala Lumpur. Darissa terus sahaja memarkirkan keretanya di bahu jalan. Kawasan tersebut tidak begitu ramai orang. Tetapi hampir berdekatan dengan taman rekreasi.

“Private investigator you dah sampai ke?”

“Sudah. Itu kereta dia.”

Mereka berdua terus melangkah keluar dari perut kereta, dan menuju ke arah kereta milik penyiasat persendirian Zayn Izrel.

Pintu dibuka. Seorang lelaki bertubuh sasa berjalan keluar dari kereta tersebut.

“Riss, ini penyiasat persendirian I. Nama dia Maleek.”

“Puan Darissa.” Maleek menundukkan sedikit kepalanya. Setelah itu, satu sampul coklat terus sahaja dihulurkan kepada Zayn Izrel.

“Dalam tu ada bukti yang mengatakan Cik Nayla memang dah rancang nak bunuh Puan Darissa. Dan saya juga ada dapat bukti yang lain, di mana ada seorang lelaki pernah diupah oleh Cik Nayla sebelum ini.”

“Memang tak syak lagi. Memang Nayla nak bunuh I.” Darissa menahan marah, dengan tangan kanannya digenggam kuat.

“Tapi, macam mana you boleh jumpa lelaki tu? Dengan lelaki itu, bukti apa pula?” soal Darissa lagi.

“Saya memang follow Cik Nayla hampir seminggu. Dan Cik Nayla pernah arahkan lelaki yang diupahnya sebelum ini, untuk belikan pil tidur. Dan pil tidur tersebut, adalah untuk arwah Farhan. Disebabkan itulah, arwah meninggal dunia gara-gara pil tidur tersebut. Saya ada membuat report polis, supaya mendapat kebenaran untuk melihat CCTV, di mana kali terakhir Cik Nayla dan arwah Farhan bertemu.”

“Jadi, Farhan meninggal dunia gara-gara mengantuk, disebabkan pil tidur yang telah dimasukkan Nayla?”

Maleek mengangguk.

“Tapi, kenapa lelaki yang diupah Nayla boleh menceritakan kesemuanya pada you? Bukankah itu dikatakan berpaling tadah? Dan sekarang ini, lelaki itu turut bersubahat juga. Takkan nak lepaskan dia macam itu sahaja?”

“Sebab, lelaki yang diupah Cik Nayla, tidak menerima bayaran yang dijanjikannya sebelum ini. Kata Cik Nayla, kerja yang dilakukan hanya kecil. Dan tidak perlu menerima bayaran yang terlalu tinggi. Jadi, Tuan Zayn pun dah arahkan saya untuk bayar lelaki itu dengan nilai yang tinggi, supaya dia menceritakan kesemuanya.”

Darissa memandang Zayn Izrel di sebelahnya. “You arahkan private investigator you, untuk bayar lelaki yang pernah diupah Nayla sebelum ini? Banyak sangat ke?”

“Baby, I tak kisah langsung soal bayaran. Yang penting sekarang ni, kita dah dapatkan bukti. Tak lama lagi, Nayla akan tertangkap.”

Darissa benar-benar terharu dengan apa yang sudah dilakukan Zayn Izrel untuknya.

“Oh, lupa pula. Saya ada satu lagi bukti, yang Cik Nayla ada pergi ke kubur arwah Farhan.”

“Dia ke kubur arwah Farhan?”

“Ya, dia ada ke sana dalam pukul 2 pagi. bercakap di hadapan kubur arwah Farhan. yang dia mahu membunuh Datuk Azlan dan juga Datin Dahlia.” Penyiasat persendirian tersebut mengeluarkan kameranya. Dia telah mendapatkan rakaman tersebut daripada seorang paranormal yang telah meletakkan kameranya di tanah perkuburan yang pernah didatangi Nayla sebelum ini.

Bulat mata Darissa saat mendengar pengakuan Nayla, yang mahu membunuh ibu bapanya. Dan paling dia terkejut, nama Farhan turut disebut. Rupa-rupanya dia telah meminta Farhan melakukan perbuatan syirik?

“Rakaman itu saya dapat daripada seorang paranormal. Kebetulan masa itu, memang dia tinggalkan kameranya di sana. Tak sangka pula, Cik Nayla boleh termasuk dalam rakaman tersebut.”

“Kita dah ada tiga bukti. Allah dah permudahkan urusan kita,” ujar Zayn Izrel.

“You ada copy semua ni?” soal Darissa kepada Maleek.

“Ada. Memang saya ada buat copy. Takut nanti, perkara lain yang berlaku pula, kan?”

Darissa mengangguk. “Dan sekarang ini, I betul-betul nak tahu. Kenapa Nayla sanggup buat semua ini. Dan I nak tahu, kenapa dia nak bunuh abi, mummy dan I?”

Zayn Izrel meraih tangan Darissa. “Baby, you jangan serabutkan kepala you fikirkan pasal tu. Bukti dah ada sekarang ini. Dan kita bawa aje semua bukti ini kepada pihak polis. Tahulah pihak polis nak siasat macam mana nanti.”

“Betul cakap Tuan Zayn. Yang penting sekarang ini, kita bawa aje bukti semua ni.”

“Sekarang?” soal Darissa.

Zayn Izrel dan Maleek mengangguk.

“Baiklah. Kita pergi sekarang.”

“Wait, I nak ke toilet sekejap.”

“Jangan lama sangat.”

“Why? Nak ikut sekali?” Zayn Izrel mengusik.

Wajah Darissa sudah merona merah.

“I pergi kejap.” Zayn Izrel mencuit hidung mancung Darissa, lalu dia menyeberangi jalan menuju ke taman rekreasi untuk ke tandas.

Maleek pula tersenyum melihat pasangan suami isteri itu. “Tangan Tuan Zayn tu masih belum baik lagi?”

“Dah okey dah tu. Next week dah tak perlu pakai kain anduh dah.”

Maleek mengangguk sedikit. “Baiklah, saya tunggu di sana sahaja ya puan? Bukit Aman?”

Darissa mengangguk.

Maleek terus masuk ke dalam perut kereta. Enjin kereta dihidupkan, lalu keretanya bergerak meninggalkan kawasan itu.

Darissa pula menunggu Zayn Izrel di luar pintu kereta. Dalam masa yang sama, dia menahan rasa amarahnya. Kalau hendak diikutkan hatinya, mahu sahaja dia menyerang Nayla. Tetapi dia tidak boleh berbuat demikian. Takut pula nanti, akan jadi kes lain pula.

Dalam 10 minit, muncul Zayn Izrel di tepi jalan, setelah selesai dia ke tandas tadi. Jarak Zayn Izrel dengan Darissa lebih kurang beberapa meter sahaja.

Darissa memandang wajah Zayn Izrel, sambil tersenyum manis. Entah kenapa dia berasa bahagia saat melihat wajah suaminya itu. Mungkin kerana selepas ini, tiada sesiapa lagi yang akan mengganggu kebahagian mereka berdua.

Belum sempat Zayn Izrel mahu menyeberangi jalan, entah bagaimana, tiba-tiba sahaja ada sebuah kereta muncul dengan laju, lalu melanggar tubuh Zayn Izrel.

Bam!

Tubuh Zayn Izrel terus terpelanting ke seberang jalan, akibat dilanggar oleh kereta tersebut.

Darissa tercengang. Bibirnya menggeletar, dan kedua-kedua lututnya terasa longgar.

“Zayn... Zayn...” Tersekat-sekat suara Darissa, melihat tubuh suaminya yang sudah tertiarap di tepi jalan. Laju jantungnya saat ini. Kejadian tersebut betul-betul berlaku di hadapan matanya. Siapakah yang telah melanggar Zayn Izrel tadi? Adakah orang upahan Nayla?

Kereta yang melanggar Zayn Izrel tadi, sudah bergerak laju meninggalkan kawasan itu. Darissa langsung tidak dapat menangkap wajah pemandu tersebut. Lebih-lebih lagi, cermin keretanya yang terlalu gelap. Dan nombor plat keretanya juga, langsung tidak tertera.

Darissa terus meluru ke arah Zayn Izrel, yang kini sudah dikerumuni oleh orang ramai.

“Zayn! Zayn!” jerit Darissa. Air matanya mula mengalir laju di pipi.

Beberapa orang yang melalui jalan itu, turut berhenti, dan mahu memberi bantuan.

“Tolong, tolong call ambulance. Tolong saya!” jerit Darissa lagi.
 
Darissa terus sahaja memangku kepala Zayn Izrel di atas ribanya. Darah di kepala suaminya mula mengalir perlahan-lahan, lalu membasahi baju kurung yang dipakainya.

“Ri... Riss...” Tersekat-sekat suara Zayn Izrel pada ketika ini. Wajah Darissa seakan kabur dari pandangan matanya.

“Ya, I’m here. I’m here... Zayn you bertahan ya? Please bertahan. Kejap lagi, ambulance datang. You tahan ya?” Darissa sudah teresak-esak saat ini.

“Riss... ma... maafkan I.”

“No, no please. Jangan tinggalkan I. Jangan tinggalkan I. Jangan cakap apa-apa. Ya, Allah! Tolong... tolonglah...” Merembes laju air matanya saat ini.

“I... I sa...sayangkan...” Mata Zayn Izrel terus tertutup rapat, tanpa sempat dia menghabiskan kata-katanya.

“Zayn! Zayn!”

 

NAYLA sudah semakin takut. Dia benar-benar terkejut saat mendengar ibu angkatnya menerima panggilan daripada Darissa tadi. Zayn Izrel telah dimasukkan ke ICU, akibat dilanggar lari. Kenapa Zayn Izrel pula yang dilanggar? Kenapa bukan Darissa? Apa yang telah Sean lakukan? Tetapi benarkah itu adalah kerja Sean?

Dan yang paling dia takut, dia mendengar Darissa menjerit di corong telefon. Dan dia juga ada mendengar namanya disebut.

Tanpa berlengah lagi, Nayla terus sahaja mengemas pakaiannya. Dia perlu melarikan diri ke luar negara hari ini juga.

Sedang dia mengemas pakaiannya, tiba-tiba sahaja kedengaran bunyi siren polis di luar rumah.

Tergamam Nayla saat ini. Sial!

Nayla terus sahaja bangun. Tilamnya diangkat tinggi. Pistol jenis Glock-17 yang disimpan lama di bawah tilam tersebut, diambil. Tidak, dia tidak akan membiarkan keluarga Datuk Azlan begitu sahaja. Jika dia perlu mati, dia sanggup mati.

Pintu biliknya tiba-tiba sahaja ditolak kuat. Kelihatan Datuk Azlan sudah pun berdiri di muka pintu. Kenapa bapa angkatnya pulang? Bukankah lelaki itu berada di Johor Bahru?

“What have you done?!” jerkah Datuk Azlan.

“What? Apa yang Nay dah buat?”

“Nay, buat apa ha? Kenapa sanggup buat kami macam ni? Sampaikan Zayn dilanggar kereta. Dan sekarang ni, pihak polis dah sampai. Dia nak tangkap Nay.”

“Kenapa tiba-tiba Nay nak ditangkap? Apa yang Nay dah lakukan?”

“Nay jangan berdolak-dalik. Patutlah abi rasa tak sedap hati. That’s why abi balik ke Kuala Lumpur dengan tergesa-gesa. Rupa-rupanya ada perkara buruk yang nak berlaku. Kenapa Nay? Kenapa Nay sanggup buat semua ni? Kenapa Nay nak bunuh kami? Pihak polis dah dapat bukti daripada penyiasat persendirian Zayn. Dan sekarang ni, pihak polis nak datang tangkap kamu. Abi benar-benar menyesal ambil Nay dari rumah anak yatim dulu,” ujar Datuk Azlan. Datin Dahlia yang berdiri di belakang, turut berasa kesal.

“Tuan, tuan boleh tangkap anak angkat saya ni.” Datuk Azlan terus mengarah pihak polis menangkap Nayla.

“Tak! Aku tak nak masuk penjara! Kau patut mati Azlan!” Nayla terus menjerit. Glock-17 yang disorok di belakang badannya, terus dihalakan ke arah Datuk Azlan.

“Abang!” Datin Dahlia menjerit kuat.

Belum sempat Nayla mahu menarik picu, dirinya terlebih dahulu ditembak oleh salah seorang pegawai polis yang berdiri di belakang Datuk Azlan.

Bang!

Tembakan tepat mengenai bahu Nayla. Glock-17 yang dipegangnya, terus terjatuh di atas lantai.

Argh!

Nayla menjerit kuat, sambil menahan rasa sakit akibat ditembak tadi.

“Nay!” Datuk Azlan menjerit.

Dua anggota polis meluru masuk ke dalam, lalu menangkap Nayla yang sudah terbaring di atas lantai.

“Argh... sa... sakit...” rintih Nayla.

“Call ambulance,” arah seorang anggota polis berpangkat sarjan, yang bernama Sarjan Ahmad.

Salah seorang anggota terus mengangguk, dan menerima arahan. Tubuh Nayla terus sahaja diangkat.

“Tuan sekejap. Boleh ke saya bercakap dengan anak saya?”

Sarjan Ahmad memandang Datuk Azlan. “Baiklah.”

Kedua-dua mata Datuk Azlan terus tertancap ke arah Nayla. “Nay, kenapa dengan kamu ha? Apa yang kami dah buat sebenarnya pada kamu? Sampaikan kamu sanggup nak bunuh kami? Nak bunuh Riss?” Sebak suara Datuk Azlan saat ini. Datin Dahlia turut berasa sebak. Dia benar-benar terkilan dengan sikap Nayla.

Nayla memandang wajah ibu bapa angkatnya silih berganti. “Sebab kau... daddy dan mama aku mati... Sebab kau, dah rampas semuanya daripada kami! Rafflesia sepatutnya milik aku! Bukannya kau orang!” rintih Nayla, dalam keadaan dirinya yang cedera parah. Dia tetap tidak mahu beralah.

“Apa Nay cakap ni?”

“Ya! Daddy aku cakap, kau dah belot. Kau tukar nama pemegang saham, kepada nama kau. Daddy aku dah pesan awal-awal pada aku, yang aku perlu rampas semula Rafflesia Group tu walaupun masa itu umur aku baru 11 tahun. Sepatutnya Riss dah lama mati. Tapi aku tak sangka dia boleh hidup, walaupun aku dah tolak dia ke dalam sungai. Sekurang-kurangnya bila dia dah mati, dah tentu-tentu Rafflesia Group akan diberikan kepada aku, bila kau orang berdua dah meninggal dunia.”

Datuk Azlan melepaskan keluhan berat. “Nay sebenarnya dah kena tipu dengan arwah daddy Nay sendiri. Sebenarnya, Nadir yang belot. Dia hampir tukar nama pemegang saham tu.” Nadir merupakan bapa kandung kepada Nayla, dan juga merupakan rakan baiknya.

“Abi terlalu percayakan dia. Habis duit syarikat diambilnya. Nay nak tahu, macam mana daddy dan mama Nay meninggal? Mereka meninggal dunia, saat dikejar pihak polis. Dan mereka bawa lari duit syarikat sebanyak 5 juta, di dalam sebuah kereta. Abi tahu, Nay mesti tak pernah tonton tv, tak pernah ada telefon bimbit. Sebab daddy Nay seorang yang straight. Dan tak nak Nay terdedah dengan semua tu. Lia, ambilkan keratan akhbar tu.”

Pihak polis yang berada di situ, turut mendengar perbualan mereka berdua, sementara menunggu ambulance datang ke sini untuk membawa Nayla ke hospital.

Kedua-kedua kening Nayla bertaut rapat. Tak mungkin. Tak mungkin bapanya sanggup menipunya. Bahunya yang ditembak tadi, semakin berdenyut-denyut. Banyak darah yang mengalir ketika ini.

Datin Dahlia menerima arahan suaminya. Tidak lama itu dia muncul sambil membawa keratan akhbar yang diminta Datuk Azlan tadi.

“Tengok ni, baca. Duit 5 juta tu berterbangan dan terbakar, saat kereta yang dipandu daddy Nay, terbabas, dan telah melanggar sebuah lori. Dan mereka berdua meninggal dunia di tempat kejadian.”

“Oh, saya ingat pasal kes ni. Kes 16 tahun lepas. Duit sebanyak 5 juta terbakar dan berterbangan di highway menghala ke utara,” ujar Sarjan Ahmad.

Datuk Azlan mengangguk, lalu memandang ke arah Nayla semula. “Abi mengambil masa selama dua tahun untuk stabil-kan semula company abi yang hampir dilingkupkan oleh arwah daddy Nay. Masa itu bapa Zayn, banyak bantu abi untuk stabilkan balik company abi itu. Selepas tiga tahun baru abi terfikir untuk mengambil kamu sebagai anak angkat kami. Abi tak sampai hati biarkan anak kawan baik abi, diletakkan di rumah anak yatim. Walaupun daddy kamu dah banyak menipu. Lagipun kamu tak salah. Kenapa abi nak bencikan kamu? Tapi abi tak sangka, kamu memang berniat tak baik pada kami.” Sebak dada Datuk Azlan saat menutur kata.

Nayla tidak percaya dengan kata-kata Datuk Azlan. Tak mungkin. Tak mungkin bapanya akan menipu.

“Aku tak percaya apa yang kau cakap. Kau penipu! Orang tua kutuk tak sedar diri!”

“Diam!” Sarjan Ahmad menengking.

Nayla tersentak dengan suara pegawai polis itu.

“Dah, sekarang bawa dia turun. Biar undang-undang sahaja yang selesaikan.”

“Baik tuan,” jawab dua anggota serentak.

Datuk Azlan tidak mahu memandang wajah anak angkatnya itu. Dia benar-benar terluka dengan Nayla.

Nayla terus sahaja dibawa keluar dari biliknya. Glock-17 yang terlepas dari tangan Nayla turut diambil oleh pihak polis, sebagai bahan bukti.

“Kenapa dia buat macam itu pada kita abang?” soal Datin Dahlia.

“Saya tak tahu. Dan saya juga tak sangka, sebenarnya dia dah rancang sesuatu sejak kita ambil dia dari rumah anak yatim tu. Yang saya lagi terkejut, dia mengaku yang dia pernah tolak Riss ke dalam sungai. Tapi kenapa Riss tak pernah bercerita pada kita?”

Masing-masing terdiam. Mereka benar-benar tidak dapat menerima apa yang telah dilakukan Nayla.

 

 
DARISSA tidak henti-henti menangis di dalam pelukan rakan baiknya Hani. Danial yang berdiri di tepi, hanya mampu berdoa semoga Zayn Izrel dapat diselamatkan. Dia benar-benar terkejut menerima panggilan daripada Darissa tadi.

“Kalau Zayn pergi tinggalkan I macam mana? Kenapa lama sangat dia di dalam? Teruk sangat ke kecederaan dia?” Air matanya tidak henti-henti mengalir.

Hani menyeka air mata rakan baiknya itu. “Riss, you kena banyak-banyakkan berdoa. I tahu, Zayn kuat. Zayn takkan tinggalkan you,” pujuk Hani.

“Riss, macam mana dengan Zayn Riss?” Datin Qasidah muncul bersama-sama dengan Datuk Zafar.

“Papa, mama... Zayn masih di dalam lagi. Riss tak tahu kenapa lama sangat.” Darissa memeluk tubuh ibu mentuanya.

Datuk Zafar dan Datin Qasidah benar-benar berasa susah hati.

Tidak lama itu, Datuk Azlan dan juga Datin Dahlia muncul. Nampak wajah mereka berdua kelihatan sugul. Darissa mendapat tahu, yang Nayla sudah dimasukkan ke hospital, akibat cedera ditembak di bahagian bahu. Sekarang ini, bukan Nayla keutamaannya. Yang penting sekarang ini, adalah Zayn Izrel.

Klak!

Kedengaran pintu wad kecemasan ditolak. Seorang doktor lelaki berjalan keluar bersama dengan jururawat sebelahnya.

“Kami cuba sedaya upaya kami, untuk selamatkan Encik Zayn. Dan alhamdulillah, dia selamat.”

“Ya Allah. Alhamdulillah ya Allah...” Darissa menangis terharu, sambil memeluk tubuh ibunya.

Masing-masing turut gembira mendengarnya.

“Tapi ada satu saya nak beritahu.”

Darissa tersentak. “Apa maksud doktor?”

“Kemungkinan Encik Zayn akan mengalami koma.”

“A... apa?” Berpinar-pinar mata Darissa ketika ini. Lututnya semakin longgar, dan tubuh badannya menjadi lemah.

“Tak... tak...”  Darissa terus sahaja jatuh pengsan di dalam pelukan ibunya.

Share this novel

norsila
2023-09-27 23:08:13 

tq lega rasanya..cumo zyn koma ..huu


NovelPlus Premium

The best ads free experience