DYT 39 - MADU

Romance Series 522373

TIDAK senang duduk Zayn Izrel ketika ini. Mana tidaknya, Darissa langsung tidak kembali ke bilik. Tidak rindukah Darissa kepadanya? Dan tidak gembirakah isterinya itu melihatnya?

Jam di tangan dikerling sejenak. Sudah menunjukkan pukul 12.30 minit pagi.

Mesti dia tidur bilik lain. Hmm, tak apalah. Biarlah dia tenang dulu.

Zayn Izrel terus merebahkan badannya di atas katil. Lama-kelamaan dia terus sahaja tertidur, dan hanya bertemankan bantal, tanpa isteri di sisi.

Pada ketika ini, Darissa merebahkan badannya di sofa. Dia termenung memandang siling. Jangan harap dia mahu masuk tidur sekali. Bukan dia tidak tahu, Zayn Izrel pasti akan menuntut haknya. Lebih-lebih lagi, sudah dua tahun mereka tidak bersama. Dan dia juga takut, kalau tiba-tiba dia bersama dengan Zayn Izrel, dan dia akan mengandung. Tidak. Dalam keadaan genting begini, dia tidak akan sesekali membiarkan Zayn Izrel menyentuhnya.

Perlahan-lahan matanya terkatup rapat. Akhirnya Darissa tertidur di ruang tamu.

Keesokan paginya, Darissa merasakan lengannya disentuh. Pantas sahaja Darissa membuka matanya.

“Ya Allah Kak Jijah. Terkejut saya.” Darissa mengurut dada.

“Maafkan Kak Jijah. Tapi, kenapa puan tidur dekat sini? Kenapa tak tidur di bilik?”

“Err, saya malas nak masuk tidur bilik. Ada suami saya.”

“Ha? Suami?” Jijah sedikit terkejut.

“Ya, suami. Sekarang ni dia di bilik.”

“Bukan ke puan cakap, yang suami puan masih koma?”

Darissa mengukirkan senyuman nipis. “Dia dah sedar lima bulan. Saya jumpa dia dekat Eiffel Tower malam tadi.”

“Aik, macam mana pula tu?”

“Susah saya nak jawab soalan Kak Jijah ni.”

“Oh... maaflah, kalau Kak Jijah menyibuk pula. Mesti suami puan, kacak orangnya, kan? Puan pun tak pernah tunjuk pada kami, gambar suami puan.”

Darissa ketawa kecil. “Itu tak dinafikan, dia memang seorang yang kacak. Dan dia juga sebaya dengan Kak Jijah.”

“Kami sebaya?”

“Ya.”

Jijah tersenyum. “Baiklah, puan pergilah masuk ke bilik. Mesti suami puan tertunggu-tunggu dari malam tadi.”

“Err, nantilah saya masuk. Sebenarnya saya kekok bila berdua dengan dia dalam satu bilik. Yalah, sebelum ini saya keseorangan. Tiba-tiba sahaja dia muncul, saya jadi macam tak biasa pula.”

Jijah ketawa. “Cuba biasakan. Hubungan yang longgar, cuba eratkan kembali.”

Darissa tersenyum. “Terima kasih kak. Err, lupa pula. Boleh saya pinjam telekung? Saya ingat nak solat subuh dekat bilik Kak Melur.”

“Oh, boleh. Kejap, Kak Jijah pergi ambil.” Jijah terus mengambil telekung miliknya. Setelah itu, dia kembali, sambil menghulurkan telekung miliknya kepada Darissa.

“Terima kasih kak.”

“Sama-sama. Okeylah. Kejap lagi bangun pula si kembar tu. Akak nak pergi mandi dulu. Kejap lagi nak pergi turun breakfast, kan?”

“Ya. Okeylah. Akak pergilah dulu. Kejap lagi kita turun sama-sama.”

Jijah mengangguk. Dia terus melangkah ke biliknya semula.

Manakala Darissa menuju ke bilik air, yang ada di dalam bilik Kak Melur. Entah kenapa, dia tidak rasa ingin masuk ke dalam biliknya. Biarlah, kalau Zayn Izrel sedang menunggunya. Dia langsung tidak kisah.

Dalam 15 minit, Darissa selesai menunaikan solat subuh. Dia masih teragak-agak untuk masuk ke dalam biliknya.

Nak masuk ke tak nak? Tapi kejap lagi, nak turun breakfast pula. Fikirnya.

Tidak menunggu lama, Darissa terus sahaja mengayunkan kakinya menuju ke bilik. Daun pintu ditolak. Alangkah terkejutnya dia, apabila melihat Zayn Izrel yang sudah berjaga daripada tidur, sambil merenung telefon bimbitnya. 

“Awalnya you bangun? Baru pukul 7.45 pagi.”

“Solat subuhkan tadi? Dan anje tak nyenyak tidur malam tadi. Sebab baby tak ada dekat sisi anje. Macam mana nak tidur nyenyak?”

“Boleh tak jangan panggil baby, anje? I tak suka dengar, you tahu tak? Geli.”

“Baby geli? Bukan ke masa anje tengah koma, baby beria panggil anje? Kenapa bila anje dah sedar, tiba-tiba geli pula?”

“Masa itu hanya sebagai penyuntik semangat untuk you sedar. Tak sangka pula, dah sedar lupa diri,” perli Darissa, sambil kedua-kedua tangannya disilangkan ke dada.

“Tak habis lagi ke, you nak marahkan I? Sampai bila? Sampai I mati?” Zayn Izrel mula hilang sabar.

“Sampai you mati? Kenapa? Nak mati sangat?”

“You memang dah tak cintakan I dah ke? Dah benci sangat tengok muka I ni?”

“Benci? Zayn, I ni dah tak harap apa-apa lagi dah. Mama you pun dah bencikan I. Apa lagi yang boleh dipertahankan? Kalau kita tetap bersama pun, you ingat mama you akan anggap I ni menantu dia lagi? No, dia dah tak anggap dah.”  Darissa sudah berfikir masak-masak, dia tidak mahu lagi meneruskan perkahwinannya dengan Zayn Izrel lagi.

“Apa maksud you tak harap apa-apa lagi dah?”

“Ceraikan I Zayn. You boleh teruskan hidup you. Dan I akan teruskan hidup I. Tapi I merayu pada you, jangan ambil anak-anak kita. Anak-anak, biar I yang jaga.”

Zayn Izrel terus bangun dari katil. “You tak boleh buat I macam ni. Tak, I takkan ceraikan you. Sampai bila-bila pun, you tetap isteri I.”

“You faham tak, yang mama you dah tak anggap I ni menantu dia lagi? I punca you koma. You faham ke tidak?”

“I tak nak faham. Dah memang takdir I. Allah dah tentukan. Takkan I nak menyalahkan takdir? Please baby... jangan minta I ceraikan you. I love you so much. I love you...” Zayn Izrel terus merangkul Darissa ke dalam dakapannya. Dia tidak mahu berpisah dengan isterinya itu. Sungguh dia mencintai Darissa, lebih daripada nyawanya sendiri.

“I nak jadi suami yang terbaik untuk you. I nak jadi bapa yang bertanggungjawab untuk anak-anak kita. Dan I nak kita membesarkan mereka bersama-sama. Please Riss... I tahu, I salah, sebab jauhkan diri daripada you. Macam I cakap sebelum ini, mama I terlalu mendesak I. Sebab itulah, I membawa diri sebentar. Dan bukannya untuk selama-lamanya,” ujarnya lagi.

“Mama you mendesak, tapi you tak nak hadapinya. Why? Sebab you percayakan kata-kata mama you, apa yang dia cakap pasal I?” Darissa cuba melonggarkan pelukan, tetapi Zayn Izrel tetap kuat memeluknya.

“Please Riss... boleh tak kalau kita tak bertekak? I dapat jumpa you di sini, dah cukup buatkan I bahagia.”

Darissa terus menolak Zayn Izrel dengan kuat. Begitu mudah suaminya berkata-kata. Tidak tahukah apa yang dihadapinya, sepanjang lelaki itu di dalam keadaan koma?

“Riss... why...”

“Sekarang ni I nak you balik ke hotel you semula. I tak nak tengok you dekat sini.”

“Riss...”

Tok! Tok!

“Ibu... ibu...”

Zayn Izrel laju membuka pintu. Terjegul anak kembarnya di muka pintu. Berkaca-kaca mata Zayn Izrel saat melihat wajah anak kembarnya. Dipeluk erat tubuh kedua-kedua anak lelakinya.

“I... ibu. nanak...” rengek Zayan Hadif.

Zayan Hafiq pula terkebil-kebil di dalam pelukan Zayn Izrel.

Mata Darissa berkaca-kaca. “Itu ayah sayang. A... yah... ayah.”

“Aa... yah...” Zayan Hadif bersuara pelat. Tetapi dalam masa yang sama, dia tetap cuba untuk melonggarkan pelukan.

“Ya, ayah.” Darissa memandang Zayn Izrel. “You, dia orang takut lagi. Sebab tak pernah jumpa.”

Zayn Izrel perlahan-lahan melonggarkan pelukan. “Ini ayah. Ayah Hadif dengan Hafiq.”

“Ay..ah...?” Zayan Hafiq pula bersuara.

“Ya, ayah. Ni ayah sayang.” Kedua-kedua kepala anak kembarnya diusap lembut. Wajah mereka berdua benar-benar ikut iras wajahnya.

“Maaf, puan. Kak Jijah...” Jijah terdiam di muka pintu. Dia benar-benar terpana melihat wajah suami Darissa. Memang tak dinafikan, lelaki itu benar-benar kacak. Patutlah si kembar turut nampak kacak, walaupun baru berusia setahun lebih.

“Err... Tuan Zayn ya?”

“Ya, saya.”

“Kak Jijah, bawa anak saya bersiap-siap. Kejap lagi kita turun breakfast.”

“Baik puan.” Mata Jijah tidak lepas memandang wajah Zayn Izrel. Kata Darissa, dia sebaya umur dengan suaminya.

“Mari sayang. Kita mandi dulu. Nanti boleh turun bawah, breakfast sama-sama dengan ibu dan...”

“Ayah...” Zayn Izrel bersuara, sambil tersenyum melihat anak kembarnya.

“Oh, ya ayah. Baiklah saya pergi bawa dia orang mandi dulu.” Jijah melemparkan senyuman yang paling manis kepada Zayn Izrel, sambil membawa si kembar ke biliknya semula.

Darissa memandang Zayn Izrel sambil mengerutkan dahinya. “Siapa yang nak you ikut breakfast sekali?”

Zayn Izrel tidak pedulikan Darissa. Malah, dia terus menutup pintu bilik. Tubuh Darissa terus sahaja dicempungnya.

“Eh, apa ni? You nak buat apa ni?”

Tubuh Darissa terus direbahkan di atas tilam. “I dahagakan belaian you... you tak rindukan I?”

“I... I tak nak. I nak mandi.” Darissa terus menolak tubuh Zayn Izrel. Seram sejuk tubuhnya saat ini. Dahagakan belaian? Tak! Dia tidak mahu!

“Riss... you memang tak rindukan I ke?” Zayn Izrel bangun, lalu tubuh Darissa dipeluk dari arah belakang.

“I...” Darissa menelan liur.

“You tak ingat saat kita bersama? Saat kita berkucupan antara satu sama lain? I betul-betul rindukan saat itu.” Zayn Izrel tidak menunggu lama, dia mula mengucup leher jenjang Darissa. Dengan kedua-kedua tangannya mula merayap pada tubuh Darissa.

Darissa memejamkan matanya, dan menikmati setiap kucupan Zayn Izrel pada lehernya. Tipulah kalau dia tidak merasakan apa-apa.

Tok! Tok!

“Puan, puan...” Jijah bersuara.

Darissa tersentak. Dengan pantas dia melonggarkan pelukan. “Err, ya kak.”

“Baju untuk Hadif dengan Hafiq, lupa nak ambil.”

Zayn Izrel mendengus kasar. Laju sahaja dia menuju ke bilik air, dengan rasa amarahnya. Dia memang tidak suka jika ada yang mengganggu.

Darissa memandang Zayn Izrel yang menghilang ke dalam bilik air. Nasib baiklah Jijah datang menyelamat. Kalau tidak, pasti dia dan Zayn Izrel sudah bersama. Dan yang paling dia risau, takut tiba-tiba dia termengandung pula.

 

 
DATIN QASIDAH mengamuk ketika ini. Dia benar-benar sakit hati apabila menerima mesej daripada Zayn Izrel, bahawa anaknya kini berada di Paris bersama-sama dengan Darissa.

“Sakit betul hati saya ni!”

“Awak ni dah kenapa ha? Mengamuk tak tentu pasal. Habis bersepah ruang tamu ni.” Datuk Zafar mengutip bantal dan juga lilin yang dibaling isterinya tadi.

“Saya dah cakap dah! Ceraikan Darissa. Masih tak nak cerai. Yang Darissa itu pun satu, langsung tak nak pergi tuntut fasakh! Tengok! Dia orang dekat Paris sekarang ni. Dan Darissa pun dah tahu, yang Zayn dah sedar daripada koma.”

“Eloklah tu dia dah tahu. Saya tak faham dengan awak ni. Kenapalah tak buang perasaan benci awak pada Riss? Dia tu masih menantu awak. Dan awak dah ada cucu. Tak payahlah nak benci sangat menantu awak tu.”

“Eh, awak masih nak berharap dengan menantu awak tu lagi? Dan sampai ke hari ini, masih tak tahu lagi siapa yang langgar Zayn dulu. Tak mustahil selepas Zayn sedar, entah-entah ada yang berdendam lagi dengan Riss.”

“Oh, jadi awak masih fikir dendam masih ada lagi? Disebabkan itu, awak nak Zayn ceraikan Riss?Sudah-sudahlah tu. Tak perlulah nak memanjangkan lagi. Cucu awak tu pun dah masuk umur setahun lebih. Apa lagi yang awak nak marahkan Riss tu?”

“Saya tak suka dia. Awak faham ke tidak? Natasya tu lagi baik daripada Riss.”

“Dah kenapa pula nama Natasya disebut? Awak memang betul-betul cari pasal. Kalau Riss dengar macam mana?”

“Biarkan dia dengar. Lagipun memang saya pernah sebut nama Natasya. Biar dia sakit hati. Saya betul-betul menyesal, terima dia sebagai menantu saya. Saya betul-betul menyesal! Ini semua salah awak. Dulu, awak dah tolong Azlan, sebab dia nak bankrupt. Dan sekarang, awak nikahkan pula anak kita dengan anak dia. Kenapalah saya bodoh sangat, langsung tak berfikir, yang dia ada musuh. Ini semua salah awak!” Datin Qasidah menarik nafas seketika.

“Dan yang buat saya tak boleh terima, awak masih nak anggap dia menantu? Setelah apa yang terjadi pada anak awak? Nasib baik tak mati anak awak tu!”

“Qasidah!” Suara Datuk Zafar naik seoktaf.

Terenjut bahu Datin Qasidah, saat mendengar suara Datuk Zafar menerpa ke telinganya. Dia benar-benar tidak sangka, yang suaminya itu boleh bersuara tinggi dengannya.

“Awak tengking saya?”

“Ya! Saya dah hilang sabar dengan awak. Saya betul-betul tak boleh terima dengan apa yang awak dah lakukan. Dan saya ni bodoh, tutup aje mata, dengan apa yang awak dah buat. Sampaikan Riss ke sana nak melawat Zayn pun, dia dihalau pula! Cukuplah dua tahun saya berdiam diri dengan sikap awak!” Datuk Zafar terus melangkah naik ke atas. Malas lagi dia mahu bertekak dengan isterinya itu. Yang paling dia tidak boleh terima, yang isterinya sudah bermusuh dengan Datin Dahlia.

Datin Qasidah menggenggam kuat tangannya menahan marah. Tak habis-habis Darissa, Darissa! Menantu tak guna!

Telefon bimbit diambil. Aplikasi WhatsApp terus dibuka, lalu nama Darissa dicari. Setelah itu, jarinya mula menaip. Tidak. Dia tidak mahu anak lelakinya bersama dengan Darissa. Jika Zayn Izrel tidak mahu menceraikan Darissa, biar Darissa yang menuntut cerai.

 
-Zayn dah ada isteri nombor dua. Dan kamu, isteri pertama. Masih lagi nak mengharap cinta daripada Zayn?-

 
Datin Qasidah terus menekan butang hantar. Puas hatinya. Kali ini, Darissa pasti tidak mampu bertahan lagi.

 

 
DARISSA langsung tidak bercakap-cakap ketika ini. Anak kembarnya pula sedang dilayan Kak Melur dan juga Jijah.

Zayn Izrel pula melihat Darissa yang dari tadi bermasam muka. Apa yang tidak kena sebenarnya?

“Baby, you tak makan?” soal Zayn Izrel.

“Tak ada selera.” Darissa tidak mahu bergaduh di hadapan pengasuh dan anak-anaknya.

“You tunggu sini kejap. I pergi ambilkan makanan untuk you.”

“Zayn tak payahlah. I memang tak selera langsung ni.”

“Jangan degillah. Nanti you sakit macam mana? I juga yang susah.”

“Kisah pula aku sakit,” gumam Darissa perlahan.

“Apa you cakap tadi? I tak dengar.”

“Tak ada apalah. Ambillah makanan apa-apa pun.”

Zayn Izrel terus bangun dari kerusi dan menuju ke hadapan, untuk mengambil makanan, untuk isterinya.

“Saya ke ladies room kejap.” Darissa turut bangun, dan meninggalkan pengasuhnya bersama-sama dengan anak kembarnya.

Jijah pula sikit pun tidak melepaskan pandangannya merenung suami majikannya. Kenapa Darissa seakan tidak suka dengan Zayn Izrel? Adakah ada berlaku salah faham sekarang ini, di antara mereka berdua?

“Kamu tengok apa Jijah? Dari tadi akak tengok kamu tengok suami Puan Darissa macam nak telan,” tutur Kak Melur.

Jijah tersedar. “Err, mana ada. Mana ada Jijah tengok husband dia. First time tengok, kan? Salah ke?”

“Tak salah. Tapi akak tak suka kamu tengok-tengok laki orang. Akak tak nak kamu buat masalah lagi.”

Jijah menjeling. “Macam teruk sangat pula kesalahan yang Jijah buat sebelum ini.”

“Eh, Jijah. Tak ingat ke, yang kamu dibuang kerja sebab apa? Ini kira beruntunglah kita dapat kerja dengan Puan Darissa. Dapat bercuti sampai ke luar negara. Kita kerja pun, just jaga anak dia aje. Tak macam sebelum ini. Macam-macam kerja kena buat. Gaji pun lambat.”

“Itu akak yang lambat. Jijah okey aje dapat gaji.”

“Kamu okey, sebab kamu tu ada scandal dengan suami bekas majikan kita. Jangan nak buat-buat lupa pula ya!” Suara Kak Melur sedikit meninggi.

“Apa yang diborakkan tu?” Zayn Izrel muncul sambil membawa sarapan untuk Darissa.

“Eh, Tuan Zayn. Tak ada apa. Bincang dengan Kak Melur nak berjalan ke mana lepas ini.” Jijah tersipu malu.

Kak Melur mengetap bibirnya menahan marah. Menyesal pula dia mengajak Jijah bekerja sekali dengannya.

“Mana wife saya?”

“Ke ladies room.” Kak Melur menjawab. Dia nampak Jijah cuba untuk menggatal dengan Zayn  Izrel.

“Saya nak tanyalah. Sepanjang saya tak ada, ada ke wife saya menangis ke? Atau tak happy ke?”

Jijah mahu membuka mulut, tetapi Kak Melur terlebih dahulu bersuara.

“Selalulah saya nampak dia menangis. Kadang-kadang dia ada juga luahkan perasaan pada saya, yang dia rindukan Tuan Zayn. Dia cakap, walaupun Tuan Zayn tak sedar beberapa tahun sekali pun, dia tetap akan setia dengan Tuan Zayn.”

Zayn Izrel sudah tersengih sendiri.

Pap!

Bahunya disentuh dari arah belakang.

“Zayn!”

Zayn Izrel tersentak. “Danial? Hani?”

“Yalah. Siapa lagi?” Danial menarik kerusi, untuk Hani. Hani terus sahaja melabuhkan punggungnya di kerusi tersebut, sambil memandang Zayn Izrel.

“Kau orang bercuti sekali?”

“Yalah. Bercuti sekali. Dah alang-alang Riss ajak sekali, kita orang on aje. Terkejut aku, bila Riss kata kau dekat sini. Dahlah aku try contact kau tak dapat-dapat.”

“Sorry la, aku perlukan masa sikit. Dan aku pun tak sangka, terjumpa Riss dekat sini.”

“I tak fahamlah, why you jauhkan diri daripada Riss?” Hani menyampuk. Sebenarnya dia sakit hati melihat Zayn Izrel saat ini.

Danial menarik hujung baju Hani. Dia tidak mahu suasana menjadi tegang.

“I tahu, I dah lukakan hati dia. Tapi, I sebenarnya tertekan dengan mama I. Dan setiap hari, I didesak supaya ceraikan Riss.”

Jijah dan Kak Melur mendengar sahaja. Tetapi Jijah tersenyum sendiri. Ini bermakna, Darissa tidak disukai oleh mentuanya.

“You anak mak ke? Yang nak ikut sangat cakap mama you tu? You kan lelaki. You seorang suami. Seorang ayah. You sepatutnya buat keputusan sendiri. Tak perlu nak ikut cakap orang lain. Dua tahun Riss terpaksa hidup sendiri.”

“Ayang sudahlah. Kita jangan masuk campur. Biar Riss dan Zayn settle-kan masalah dia orang.” Danial cuba menenangkan Hani.

“Ayang ni bukan apa. Kesian tengok Riss tu.”

“Hani, I minta maaf sebab I dah lukakan hati Riss. But don't worry,  sekarang ni I cuba nak pujuk dia. Dan I akan cuba untuk betulkan keadaan. I tak nak kehilangan Riss. Sejujurnya, I tak nak kehilangan dia. I terlalu cintakan dia.”

“Baguslah, dan jangan cakap aje. Kalau boleh, kembalikan semula senyuman dia. Dah lama I tak tengok dia senyum, sejak you koma.”

“Insya-Allah...” Zayn Izrel hanya mampu tersenyum nipis. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan lagi.

Tidak lama itu, Darissa muncul semula. Dengan wajahnya yang sembap seakan baru lepas menangis.

“Riss, kenapa ni?” Hani bangun dari kerusi.

“Baby?” Zayn Izrel sudah risau melihat Darissa.

“Zayn, we need to talk.” Darissa terus berjalan meninggalkan meja makan tersebut.

Zayn Izrel tidak mengerti. Dia terus sahaja mengekori Darissa dari belakang.

Kak Melur memandang Jijah. Apa yang telah terjadi dengan majikan mereka?

Darissa terus menuju ke arah taman yang berdekatan dengan hotel tempatnya menginap. Dia terus duduk di kerusi batu, sambil kedua-kedua tangannya disilang ke dada.

“Baby, what's wrong? Why are you crying?”

“Apa lagi yang you dah sorokkan daripada I?”

“You cakap apa ni?”

“You nikah senyap-senyap di belakang I, kan? Dan I dah ada madu? Disebabkan itu ke, you tak nak berdepan dengan I? Dan you guna alasan didesak mama you, tapi sebenarnya you dah ada isteri nombor dua? Mana wife nombor dua you tu? Dia ada dekat sini ke? Dan sebenarnya you datang ke Paris ni, sebab honeymoon? How could you do this to me?!”

Terpinga-pinga Zayn Izrel saat ini. Nikah? Madu? Honeymoon? Apa yang cuba Darissa sampaikan?

NATASYA menangis tidak henti-henti dari tadi. Tiba-tiba sahaja dia dimarahi oleh ibu mentuanya.

“Dua bulan. Dua bulan dia tak balik. Kenapa? Apa yang kamu dah buat? Kenapa tak pandai langsung nak ambil hati dia? Kamu dah tahukan, dia macam mana?”

“Mama, Sya memang tak tahu. Sya dah cuba call dia dan text dia. Tetapi dia senyap. Bila Sya call, masuk ke voice mail.” Natasya menangis teresak-esak, sambil memegang perutnya.

“Buang masa betul aku, nikahkan dia dengan kamu. Aku terima kamu jadi menantu aku pun, sebab nak kamu ubah sikap dia. Kamu tahu tak, macam mana susahnya aku nak pujuk dia, supaya dia nikah dengan kamu? Kamu tahu ke tidak.”

“Sya tahu mama. Sya tahu...”

“Kalau dah tahu, kenapa tak pandai nak pujuk dia? Ambil hati dia?”

“Sebab, dia tak ada hati dengan Sya. Dah macam-macam cara Sya buat. Tapi, dia langsung tak pandang Sya ni...”

“Tak ada hati, tapi kamu tetap mengandung juga.”

Natasya menundukkan wajahnya.

“Sudahlah aku nak balik. Sekarang ni, cuba contact dia lagi. Pujuk dia balik.”

“Baik mama.” Natasya melihat ibu mentuanya yang sudah pun berjalan keluar dari rumahnya. Sekarang ini, bagaimana dia mahu menghubungi suaminya?

Share this novel

Rohani Hussin
2023-10-28 18:12:53 

mcm2 konflik..bila nk la riss dan zayn nk hidup bahagia


NovelPlus Premium

The best ads free experience