MEREKA bertiga berpandangan sesama sendiri. Darissa benar-benar terkejut dengan apa yang disampaikan Natasya tadi.
“Shahrul suami you? Dan you juga tengah mengandungkan anak dia? Kenapa semuanya ada kena mengena dengan kita semua? Shahrul pula kawan lama I, masa kami study dulu.” Darissa bungkam.
Natasya terkejut. Maknanya Darissa mengenali Shahrul. Patutlah gambar Darissa terlalu banyak. Jangan kata, Shahrul sebenarnya menyukai Darissa? Dan disebabkan itulah, Zayn Izrel dilanggar?
“So, sekarang ni you datang jumpa kami berdua untuk beritahu siapa yang langgar Zayn? Siapa orangnya?” Dada Darissa berdebar-debar saat ini. Janganlah orang yang melanggar Zayn Izrel adalah orang yang dikenalinya. Dan adakah Shahrul orangnya?
Zayn Izrel juga tidak sabar mendengarnya. Sekurang-kurangnya mereka menemui bukti.
“Hati I kuat mengatakan yang langgar Zayn dua tahun yang lepas, adalah Shahrul,” ujar Natasya. Dia langsung tidak berasa ragu-ragu.
Melopong mulut Darissa mendengarnya. Begitu juga dengan Zayn Izrel. Darissa benar-benar tidak sangka.
“Ini ada gambar yang dilekatkan di dinding bilik Shahrul. I tak tahu kenapa banyak sangat gambar Darissa dekat dinding tu. Dan gambar Zayn turut ada.” Telefon bimbit dihulurkan kepada mereka berdua.
Darissa dan Zayn Izrel melihat gambar yang ditunjukkan oleh Natasya. Memang benar terlalu banyak gambar Darissa di situ. Gambar Zayn Izrel turut ada seperti yang dikatakan Natasya tadi. Ada beberapa keratan akhbar mengenai kemalangan yang melibatkan Zayn Izrel dua tahun yang lepas, turut diambil Natasya.
Yang paling mereka terkejut, gambar Zayn Izrel yang tertulis MATI dan juga TAK MATI, telah membuatkan Darissa menjadi semakin takut. Meremang bulu romanya saat ini.
“Ini mungkin video lama. I tak tahu you kenal perempuan ini atau tidak. Sebab, dia ada sebut nama you Darissa. I terjumpa video ni, dalam telefon bimbit lama Shahrul.” Natasya terus menunjukkan video seorang wanita yang terjatuh, lalu topeng mukanya tertanggal dari wajahnya.
Darissa dan Zayn Izrel melihat video tersebut. Usai menonton, masing-masing terdiam.
“You kenal perempuan tu?” soal Natasya.
“Dia arwah Nayla. Anak angkat keluarga I...” Darissa bersuara perlahan.
Darissa memandang Zayn Izrel. “Maknanya, Nayla dah upah Shahrul untuk bunuh I? Tapi... kenapa you mangsanya? Dan bukannya I?” sambungnya lagi.
Zayn Izrel kehilangan kata-kata.
“I rasa ada lagi bukti lain di rumah Shahrul. Tapi I tak ambil. Kalau you nak bukti yang lain, I akan pergi ambil. Sebab, I tak dapat nak bawa semuanya,” ujar Natasya.
Darissa benar-benar tidak menyangka yang Shahrul sanggup bertindak sebegitu.
“Sekarang ni, di mana dia?” soal Darissa.
“I pun dah berapa bulan tak jumpa dia. Dia menghilang ke luar negara. I cuba contact dia, tapi tak dapat.”
“Dia larikan diri ke?” soal Zayn Izrel pula.
“Tak tahu. Kalau dia larikan diri, kenapa nak tinggalkan semua bukti dekat rumah? Kalau I tak masuk ke bilik hujung yang Shahrul tak benarkan I masuk, mesti I takkan tahu yang Shahrul ada simpan semua bukti di rumah di Kuala Lumpur.”
“Sebab sebelum ini Shahrul memang pernah bekerja dengan I, dan tinggal di Kuala Lumpur. Tapi... macam mana pula you boleh kahwin dengan Shahrul?”
“Mama dia memang nak I jadi menantu dia. Masa itu Shahrul menolak. Dia tak nak. Jadi mama dia berpura-pura jatuh sakit, dan disebabkan itulah, Shahrul terpaksa pulang ke Johor Bahru untuk jaga mama dia. Dan I juga terpaksa berlakon, supaya nampak lakonan itu benar-benar menjadi.”
Darissa dan Zayn Izrel berpandangan sesama sendiri. Yang membuatkan Darissa tertanya-tanya apa yang membuatkan Shahrul melanggar Zayn Izrel? Dan bukannya dia? Sedangkan arwah Nayla mengupah Shahrul untuk membunuh dia. Jangan cakap, yang sebenarnya Shahrul menyukainya? Dan dia cuba untuk melenyapkan Zayn Izrel daripadanya, supaya Shahrul boleh mendekatinya?
“Jadi, sekarang ni you dah tak bertemu dengan dia, kan? Dan dia telah ke luar negara?”
“Ya. Dan I fikir, dengan bukti yang ada, kita boleh bawa ke balai polis. Dan biar pihak polis yang mengambil tindakan.”
“Tapi, macam mana kita nak buat report polis, sedangkan Shahrul tiada di sini?”
Mereka bertiga masing-masing berfikir.
“Macam mana ya?” Darissa benar-benar buntu.
“Tak pun macam ni, biar I balik ke rumah Shahrul dulu, dan ambil bukti-bukti yang lain? Mungkin pihak polis ada cara untuk menangkap Shahrul?” Natasya memberi cadangan.
“Tapi...” Darissa terdiam.
“Kenapa baby?” soal Zayn Izrel pula.
“Natasya tengah mengandungkan anak Shahrul. Sanggup ke kita ke balai polis untuk buat report?”
“I dah memang tak kisahkan semua tu. Biarlah. Lagipun Shahrul tak pernah anggap I ni isteri dia. Dia mendatangi I masa dia tengah mabuk. Dan anak ni. Tak perlukan bapa macam dia.” Natasya menunduk. Dada berasa sebak. Kadang-kadang dia merasakan dirinya begitu malang.
“So, macam mana?” Zayn Izrel pula bersuara.
“Seperti yang I katakan tadi, I akan ambil bukti di rumah Shahrul. Dan esok pagi, kita buat report?”
Darissa dan Zayn Izrel mengangguk serentak.
“Baiklah, apa-apa I contact semula.”
Darissa dan Zayn Izrel mengangguk. Mereka perlu menunggu Natasya mengambil beberapa bukti, sebelum membuat report polis esok.
USAI bertemu dengan Natasya tadi, Zayn Izrel terus mengajak Darissa berjumpa dengan ibunya, bagi menyelesaikan masalah antara Darissa dan juga Datin Qasidah.
“You rasa, apa penerimaan mama you nanti? I kalau boleh, tak nak jumpa mama you. I takut pergaduhan berlaku nanti.”
“Baby, nak tak nak kita perlu berbincang juga. Kalau tak, sampai bila-bila tetap akan macam ni. Macam mana kita nak hidup bahagia macam orang lain?”
“Tapi...”
“Sudah tak perlu berbincang lagi. Kita dah nak sampai.”
Kereta yang dipandu Zayn Izrel terus sahaja berhenti di hadapan pekarangan kediaman keluarganya.
“I takut.”
“I ada. Tak perlu takut.”
Darissa menarik nafas, setelah itu dia menghembuskan nafasnya dengan perlahan. Kali ini dia tekad. Dia perlu pertahankan rumah tangganya. Takkan dia mahu berpisah? Dua tahun dia bertahan, jadi dia tidak mahu mensia-siakannya.
Zayn Izrel membuka pintu kereta di bahagian penumpang, lalu dia menghulurkan tangannya kepada Darissa.
“Come,” ajak Zayn Izrel.
Darissa menurut. Tangannya digenggam erat oleh suaminya.
“Buat apa datang ke sini!” lantang sahaja suara Datin Qasidah, sambil meluru ke arah mereka berdua.
“Apa mama ni? Boleh tak layan Riss elok-elok? Riss masih menantu mama lagi.”
“Menantu mama? Mama dah tak anggap Riss ni menantu mama lagi! Bila Zayn nak ceraikan Riss?”
Darissa diam membisu. Dia tahu, pasti ibu mentuanya tidak akan menerimanya lagi sebagai menantu.
“Zayn takkan ceraikan Riss. Riss selama-lamanya isteri Zayn. Jangan berani-berani mama minta Zayn ceraikan Riss. Zayn datang ke sini sebab nak mama berbaik semula dengan Riss. Bukannya meminta Zayn ceraikan Riss,” ujar Zayn Izrel dengan suara yang cuba dikawalnya. Dia tidak mahu menderhaka. Tetapi jika keadaan memaksanya, dia terpaksa melawan.
“Berbaik? Mama takkan berbaik dengan perempuan yang dah buatkan anak mama koma. Tak, mama takkan biarkan. Lagipun sehingga kini, masih belum tertangkap orang yang dah melanggar Zayn. Mama tak nak, anak mama mati, gara-gara dendam terhadap keluarga Riss. Cukup. Mama tak nak dah! Sekarang ni, Zayn ceraikan Riss sekarang juga!”
“I dah cakapkan? Mama you tetap nak kita bercerai Zayn.” Darissa bersuara. Dadanya mula berombak.
Zayn Izrel tidak mendengar kata-kata Darissa. Malah dia memandang ke arah Datin Qasidah. “Ceraikan Riss?”
“Yes! Mama nak Zayn ceraikan Riss sekarang juga! Depan-depan mama!”
“Kalau Zayn tak nak?”
Tiba-tiba sahaja sebuah kereta berhenti di hadapan mereka bertiga. Datuk Zafar keluar dari perut kereta. Dia terkejut melihat anak dan menantunya di situ.
“Eh, bila Zayn balik?”
Zayn Izrel menuju ke arah bapanya, lalu tangannya dikucup lembut.
“Riss, tak nak salam papa?” Datuk Zafar memandang menantunya.
Darissa tersenyum kelat. Dia berjalan menghampiri bapa mentuanya.
“Eh, yang awak beria sangat ni kenapa? Saya nak Zayn bercerai dengan Riss. Awak masih tak faham-faham ke?” Datin Qasidah tidak berpuas hati.
“Awak diam. Jangan nak menyampuk. Walau macam mana pun, Riss tetap menantu saya.”
“Menantu? Awak tak ingat ke berapa lama Zayn koma? Gara-gara perempuan ni juga? Dan sampai sekarang tak tahu siapa yang langgar Zayn. Awak ingat orang tu akan biarkan Zayn dengan Riss? Tak, saya takkan biarkan. Saya tak nak anak saya mati!”
“Diam!” tengking Datuk Zafar.
Terenjut bahu Datin Qasidah saat ini. Tidak sangka suaminya boleh menengkingnya.
“Saya dah banyak bersabar dengan awak. Awak siapa nak menidakkan takdir? Riss pun tak minta benda ni jadi. Bukan salah Riss, Zayn dilanggar. Cubalah awak berada di tempat Riss. Dan saya di tempat Zayn. Berlaku perkara yang sama. Awak nak ke, saya ceraikan awak? Dan tinggalkan awak dan anak-anak?”
Datin Qasidah tertunduk.
“Awak tak nak, kan? Saya faham naluri seorang ibu. Tak nak apa-apa terjadi pada anak dia. Tapi tak ke kejam, bila awak pisahkan Zayn dengan Riss? Hadif dengan Hafiq macam mana pula? Nak ke dia orang tak dapat kasih sayang seorang ayah? Awak sanggup ke?”
Datin Qasidah menggeleng perlahan. Hatinya tersentuh. Dan dia juga berasa bersalah. Kenapalah dia langsung tidak sedar, sehingga dia menyakiti hati menantunya.
Darissa perlahan-lahan menghampiri ibu mentuanya. “Mama, Riss minta maaf. Riss tahu, Riss bukan menantu yang baik untuk mama.”
Datin Qasidah terus menarik tubuh Darissa ke dalam dakapannya. “Maafkan mama Riss. Maafkan mama. Mama berdosa. Mama tak pernah faham isi hati Riss. Mama pentingkan diri sendiri. Maafkan mama.” Air matanya laju mengalir, begitu juga dengan Darissa.
Zayn Izrel dan Datuk Zafar tersenyum melihat mereka berdua. Akhirnya kemelut di antara Darissa dan juga Datin Qasidah telah diselesaikan.
“Kalau Zayn tahu boleh berbaik macam ni, baik suruh papa aje yang cakap,” bisik Zayn Izrel.
Datuk Zafar sudah tersenyum.
MALAM itu Natasya memandu semula ke rumah Shahrul. Dia ingin mencari bukti yang lain. Rasanya dia ada terjumpa pen-drive di dalam laci. Mungkin ada bukti yang telah disimpan di dalamnya.
Tepat pukul 11.30 minit malam, Natasya tiba di sana. Usai mengunci pintu, dia terus sahaja melangkah ke bilik, yang tersimpan semua barang-barang peribadi milik Shahrul.
Pen-drive yang dilihatnya semalam terus sahaja diambil. Dia mahu melihat isi kandungan di dalam pen-drive tersebut. Komputer terus sahaja dibuka. Setelah itu, pen-drive tersebut dicucuk pada port USB. Dia mencari folder di dalamnya, sehingga dia ternampak perkataan SETTLED. Laju sahaja tetikus ditekan.
Tiba-tiba sahaja mata Natasya membulat. Dia benar-benar tidak sangka apa yang dilihatnya ketika ini. Kenapa begitu banyak folder yang tertulis nama-nama pelanggannya?
Laju sahaja dia membuka folder tersebut satu persatu. Dan tiba-tiba tekaknya berasa loya. Dan dia juga seakan mahu pitam saat ini. Mana tidaknya, begitu banyak gambar mayat di dalamnya. Suaminya benar-benar pembunuh! Dan juga psycho!
Natasya berasa tidak mampu melihatnya lagi. Dengan perutnya menggelegak seakan mahu termuntah. Kedua-dua kakinya juga lemah untuk berdiri tegak.
Aku... aku tak boleh tunggu sampai esok. Hari ini juga aku perlu bawa semua bukti ini ke balai polis. Ataupun aku call pihak polis sekarang juga?
Dia terus mengambil telefon bimbitnya. Nombor telefon Zayn Izrel terus sahaja didail.
Tidak lama itu, panggilan terus sahaja dijawab. “Hello...”
“Hello. Ya, Natasya. Ada apa?”
“I rasa kita perlu buat report polis hari ini juga.”
“Hari ini?”
“Ya, I... I tak lalu tengok semua ni. I nak, nak muntah.”
“Apa maksud you?”
“Zayn, you dengan Darissa perlu datang ke sini juga. I send you location.”
“Okey, okey. I datang sekarang dengan Riss. You tunggu sana.”
“Baik.” Talian terus sahaja dimatikan.
Setelah menghantar alamat rumah suaminya, Natasya terus menutup komputer tersebut. Setelah itu, pen-drive terus dicabut dari port USB, lalu dibawa masuk ke dalam beg tangan.
Kenapa aku boleh kahwin dengan pembunuh? Kenapa?
Natasya melihat bukti yang lain. Terdapat juga nombor plat kereta yang berlainan nombor disimpan di dalam almari. Adakah itu nombor plat palsu?
Kenapa Shahrul boleh jadi sampai begini? Apa sebab dia terfikir mahu menjadi pembunuh? Natasya benar-benar kehilangan kata-kata.
Kedengaran seakan bunyi pintu dibuka dari bawah. Tetapi Natasya tidak mengendahkannya. Mungkin itu adalah bunyi angin. Tak mungkin Shahrul akan pulang. Sedangkan lelaki itu sudah hilang entah ke mana.
Natasya menyelongkar pula di bahagian bawah almari. Mungkin ada benda lain yang telah disorok oleh suaminya.
“Apa kau buat dekat sini?”
Kedengaran satu suara dari arah belakang.
Natasya tergamam. Jantungnya seakan terhenti. Dengan pantas dia berpusing. Shahrul! Shahrul sudah pulang!
Share this novel