DYT 16 - BUNGA ROS

Romance Series 538264

DARISSA menghempaskan tubuh badannya di atas katil. Pandangannya terus dihalakan ke arah siling. Entah bagaimana air matanya tiba-tiba sahaja mengalir perlahan. Kenapa dadanya berasa sebak? Adakah kerana panggilan tadi? Baru sahaja dia mahu membuka hatinya untuk Zayn Izrel. Tetapi semuanya hancur hanya satu panggilan sahaja.

Kenapa kau terlalu bodoh Darissa?  Kenapa? Kenapa terlalu cepat sangat kau percayakan dengan kata-kata Zayn Izrel? Adakah hanya kerana nafsu semata? Sehinggakan kau boleh lupa, tujuan kau sebenarnya? Tak. Bukan kerana nafsu, tapi aku memang nak bukakan hati aku untuk Zayn. Tetapi semuanya dah hancur! Kepercayaan aku terhadap Zayn hilang! Hilang semuanya hanya gara-gara Natasya!

Darissa memegang dadanya. Baru dia sedar yang butang baju tidurnya sudah dibuka separuh. Lehernya turut disentuh dan diraba kasar. Tiba-tiba dia berasa jijik. Sungguh jijik!

Darissa dengan pantas mengayunkan langkahnya  menuju ke bilik air. Air pancuran dibuka kasar, lalu airnya turun membasahi tubuh badannya.

Darissa tidak mengerti. Kenapa dia perlu menangis? Adakah  kerana kecewa? Leher dan bibirnya dilap dengan menggunakan span. Tetapi entah kenapa, agak payah untuk dia menghilangkan kesan ciuman Zayn Izrel. Seakan masih terasa sentuhan bibir suaminya itu.

Perlahan-lahan tubuh Darissa melorot ke bawah, dengan tubuh badannya bersandar pada dinding. Kedua-dua matanya dipejam rapat.

Kau tak boleh lemah Darissa! Selepas ini, kau jangan termakan dengan kata-kata Zayn Izrel lagi! Anggaplah apa yang berlaku tadi, adalah tidak sengaja.

 

 

JAM sudah menunjukkan pukul 6.30 minit pagi. Darissa sudah selesai menunaikan solat subuh. Sejak kejadian malam tadi, Zayn Izrel langsung tidak menjenguknya. Dan pagi ini, dia hanya menunaikan solat subuh secara berseorangan sahaja. Entah kenapa, pagi ini agak mudah Darissa bangun pagi. Adakah kerana menunggu Zayn Izrel?

Tok! Tok!

Kedengaran pintu diketuk.

Darissa terkejut bercampur gembira. Adakah itu Zayn Izrel? Dan suaminya itu mahu mengajaknya solat subuh bersama? Tetapi dia baru sahaja selesai solat. Dan kenapa tiba-tiba sahaja dia gembira? Bukankah malam tadi, dia sudah tekad tidak mahu termakan dengan kata-kata Zayn Izrel?

“Riss?” panggil Kak Ton dari luar pintu.

Riak wajah Darissa terus sahaja berubah. Bukan Zayn Izrel? Tetapi Kak Ton?  Tiba-tiba sahaja dia berasa kecewa.

“Ya, ada apa Kak Ton?”

“Oh, Riss dah bangun ya?”

“Ya, kenapa Kak Ton?” Darissa masih duduk di atas sejadah.

“Tak ada apa. Tuan Zayn pesan pada Kak Ton malam tadi, suruh kejut Riss solat subuh.”

“Zayn? Pesan pada Kak Ton? Kenapa dia suruh Kak Ton pula yang kejutkan saya? Dianya mana?” Darissa bangun dari sejadah, dan mahu menuju ke muka pintu.

“Sebab Tuan Zayn tak ada di rumah sekarang ni. Dia mesej Kak Ton malam tadi, yang dia bermalam di hospital.”

Kaki Darissa terus terhenti. Zayn Izrel bermalam di hospital? Jadi, suaminya menemani Natasya?

“Oh iya ke? Saya dah bangun dah. Lepas ni, tak payah datang kejutkan saya. Saya bukannya budak-budak lagi. Lagipun solat itukan wajib?”

“Oh... tak apalah. Kak Ton pun ikut arahan Tuan Zayn. Kalau macam itu, Kak Ton turun dulu ya?”

“Hmm...” Itu sahaja kata-kata yang mampu keluar daripada mulutnya. Darissa benar-benar kecewa!

 

 

HANI merenung Darissa yang sedang termenung memandang komputer di hadapannya.

“Riss, you daripada tadi asyik termenunglah. Meeting pun you tak beri tumpuan. Sampaikan abi you pun perasan. What’s wrong? Ada apa-apa yang you nak  ceritakan kepada I?”

“I tak tahu nak cerita macam mana. Bodoh ke I ni?”

“Hei, kenapa cakap bodoh pula ni? Cubalah cerita. Manalah tahu, lepas you cerita akan buatkan fikiran you lega ke?” Hani meraih kedua-kedua tangan Darissa. Pasti ada yang tidak kena pada sahabat baiknya itu.

“Malam tadi...”

“Malam tadi kenapa?”

“I...”

Hani masih menunggu Darissa menyusun kata.

“Malam tadi I dan Zayn hampir bersama.”

“Apa? Hampir?”

Darissa mengangguk.

“And then, apa jadi?”

“Tapi tak jadi pun. Sebab ada panggilan masuk masa tu. You tahu siapa yang call?”

“Siapa?”

“Pihak hospital. Natasya kekasih Zayn, telan pil tidur terlalu banyak, dan hampir meragut nyawanya.”

“Eh, seriuslah? Kenapa sampai macam itu sekali? Apa penyebabnya dia telan pil tidur tu?”

Darissa melepaskan keluhan kecil. “I rasa, Zayn sebenarnya tak dapat lupakan Natasya, walaupun dia dah cakap dia dah tak ada apa-apa hubungan lagi dah dengan kekasih dia tu. I tahu, sekarang ni I hilang ingatan. Mungkin Zayn putus dengan Natasya disebabkan rasa bersalah. Tetapi sebenarnya, dia tak mampu nak lupakan kekasih dia tu,” ujar Darissa panjang lebar.

“I sebenarnya terkejut juga, lepas you cerita semalam, yang Zayn tiba-tiba kata dah tak ada apa-apa hubungan dengan kekasih dia tu. Sedangkan dia memang dah bercinta dengan Natasya tu, sebelum you hilang ingatan lagi. I sebenarnya nak cakap dengan you semalam. Tapi I tak sampai hati...” Hani terdiam seketika.

“Entah-entah perempuan tu yang dah buat sampai you hilang ingatan tak?” Hani meneka.

“Memang perempuan itulah yang tolak I sebenarnya. Dan bukannya sebab tergelincir.”

“Apa? Bukan sebab tergelincir? Tapi you kata, you tergelincir.”

“Hani... sebenarnya I tak hilang ingatan pun. I saje buat-buat hilang ingatan. Itu pun atas bantuan Danial juga.”

Terkebil-kebil mata Hani ketika ini.

“I terpaksa buat macam itu. I ingat bila I buat macam tu, abi akan mudah bagi jawatan CEO pada I nanti. Dan I juga terpaksa sebut nama Farhan masa di hospital tempoh hari, untuk buatkan Zayn cemburu. Dan I juga sengaja katakan yang kekasih I adalah Farhan. Dan I belum berkahwin. Tapi tak sangka pula, Zayn boleh putuskan hubungannya dengan Natasya. Lain yang I rancang, lain pula yang jadi.” Darisaa terdiam seketika.

“Dan sekarang ni, I tak tahu. Betul atau tidak yang Zayn dah putuskan hubungannya dengan Natasya. Ataupun dia sengaja reka cerita, supaya I ni percaya dengan kata-kata dia. I ni terlalu bodoh. Bodoh sangat. Hampir sahaja malam tadi, I serahkan diri I...” Berkaca-kaca mata Darissa ketika ini.

Hani terus sahaja bangun, lalu tubuh Darissa dipeluk erat. “Sudahlah. Janganlah macam ni.”

“I tak tahu. Kenapa dengan I ni Hani. Kenapa air mata ni asyik nak mengalir aje...”

“Ke sebenarnya you dah jatuh cinta pada Zayn?”

Darissa terdiam di dalam pelukan Hani. Dia jatuh cinta pada Zayn Izrel?

 

 

SUDAH dua hari Zayn Izrel menjaga Natasya di hospital. Kata doktor, Natasya akan dibenarkan pulang pada hari esok. Dan dua hari juga dia tidak bersua muka dengan Darissa. Rasa bersalah mula menyelebungi dirinya.

“Zayn, I nak makan. I lapar sangat...” rengek Natasya.

Zayn Izrel merenung wajah Natasya yang masih lagi pucat. Wajah wanita itu benar-benar  tidak berseri. Mungkin kerana kesan pil tidur yang dimakannya dua hari yang lepas.

Zayn Izrel mula membuka bekal yang dibawanya dari rumah. Itu pun makanan tersebut, semuanya dimasak oleh Kak Ton.

“Cepatlah Zayn... I lapar sangat.”

Zayn Izrel berdecit perlahan, tetapi didengari Natasya.

“You terpaksa jaga I ke? Sampai nak mengeluh macam tu?”

Zayn Izrel tidak menghiraukan kata-kata Natasya. Sudu diambil, lalu nasi bersama lauk sup ayam digaul bersama.

“Bismillah...” Sudu yang berisi nasi terus disuakan ke arah mulut Natasya.

Natasya pantas menepis, lalu sudu yang dipegang Zayn Izrel tadi, terjatuh di atas lantai, bersama-sama dengan nasi yang sudah pun bertaburan.

Zayn Izrel terkejut dengan perbuatan Natasya. “What’s wrong with you!”

“What’s wrong with me? Betullah, you sebenarnya terpaksa jaga I.” Natasya berpaling ke arah lain.

“You sudahlah menyusahkan I, lepas tu you nak tunjukkan tanda protes you dekat I pula?”

Natasya memandang Zayn Izrel semula. “Apa you cakap? I menyusahkan you?”

“Yes! Memang you menyusahkan I. You sepatutnya bersyukur bila ada orang nak jaga you. Ini tak, langsung tak nak bersyukur.”

“Kalau macam tu, you blah la. Tak payah jaga I!”

“Oh, senangnya you bercakap. I ni masih ada hati nurani lagi, sebab I fikir you tak ada orang nak jaga. Mak you pula di kampung, dah tua. Kalau dia tahu you buat perangai macam ni, you tak fikir ke  apa perasaan dia nanti?”

“I don’t care. Kalau you rasa I memang dah menyusahkan you, lebih baik you pergi aje. Kenapa you nak jaga I juga? Kenapa? Kenapa tak biarkan aje, I mati?!”

“Kenapa tak biarkan you mati? Hei Natasya, kita bercinta hampir setahun. Apa yang you save dalam phone book you? Encik tunang? Bila masa pula kita bertunang? Dan pihak hospital call I, kata you sebut-sebut nama I. So, you ingat I boleh biarkan you macam tu aje? I datang jaga you ni pun, atas rasa tanggungjawab. Tipulah kalau I nak buat tak tahu, atau buat bodoh, sedangkan you terlantar sakit. Tapi pandai juga you ya, sempat call ambulance, and then baru makan pil tidur tu.” Zayn Izrel tersenyum sinis.

“Ya! Memang itu sahaja caranya, supaya I tahu you masih cintakan I lagi ataupun tidak. Kalau tak, you mesti tak akan datang. Dan sebenarnya perasaan you terhadap I, masih ada lagi, kan?”

“Perasaan terhadap you? Perasaan cinta tu dah tak ada dah,” jawab Zayn Izrel bersahaja.

Natasya ketawa sinis. “Kalau macam tu, you berambus! I tak perlukan simpati daripada you.”

“Simpati? Yes, memang I bersimpati dengan you. Perasaan cinta, dan kasih sayang I, dah tak ada, sejak you tolak mama I dulu. I ni yang bodoh, masih nak teruskan hubungan dengan you. Dan mungkin sebab I teruskan juga dengan you, atas dasar kasihan, dan bukannya cinta.”

“You!” jerit Natasya.

Zayn Izrel terus sahaja bangun dari kerusi. Dia tidak mahu lagi bertekak dengan Natasya.

“Pandai-pandailah you balik sendiri esok. Jangan call-call I lagi.” Laju sahaja Zayn Izrel mengayunkan langkahnya meninggalkan Natasya yang sedang menahan marah waktu ini.

Sekarang ini dia perlu berdepan pula dengan Darissa. Bagaimanakah caranya dia mahu memujuk isterinya itu?

 

 

“AWAL Riss balik?” Kak Ton baru sahaja selesai menyapu di pekarangan rumah.

“Saya saje balik awal. Saya tak nampak pun kereta Zayn. Dia tak balik lagi ke?”

“Tuan Zayn baru aje keluar. Dia minta Kak Ton masak makan malam untuk... hmm... untuk...” Kak Ton terdiam.

“Natasya?” teka Darissa.

Kak Ton mengangguk perlahan.

“Zayn suruh? Kenapa baik sangat dia nak jaga perempuan tu? Dia tak sedar ke, yang dia tu suami orang? Lelaki ni, memang tak cukup dengan seorang perempuan ke?”

“Err... Kak Ton minta maaf. Tak sepatutnya Kak Ton beritahu perkara sebenar.”

“Tak perlu nak minta maaf Kak Ton. Kalau saya tak tanya, saya pun tak tahu. Beria sangat dia nak jaga perempuan tu dekat hospital. Kata tak ada apa-apa hubungan. Tapi, masih lagi nak berhubung. Kenapa tak mati aje perempuan tu? Itukan lagi bagus!”

“Riss? Riss? Oi, Riss!” Hani bersuara kuat.

Darissa tersentak. Bayangan Kak Ton terus sahaja hilang. “You ni kenapa? Tiba-tiba menjerit dekat telinga I ni?”

“Yalah, daripada tadi I panggil. Tak ada nak pandang I langsung. Borak-boraklah dengan I ni. Sudahlah jalan tengah jammed. Isy, kenapalah meeting lambat sangat habis. Ini mahu pukul 9 malam baru sampai rumah.”

“Eloklah tu. Biar lambat sikit sampai rumah. I pun tak perlu nak balik awal sangat.”

“Ee, apa you ni. I ni dah tak larat sangat dah. I nak tidur aje.”

“Sinilah. Kita tukar driver. You tidur, I drive.”

“Eh, betul ke ni?”

“Betullah. Berhentilah dekat tepi.”

Hani terus sahaja memberi signal ke kiri, lalu keretanya berhenti di pembahagi jalan. Mereka berdua terus sahaja menukar tempat duduk.

Darissa sudah terfikir mahu pulang lewat, malam ini. Jika dia pulang pun, Zayn Izrel pasti tiada di rumah.

Dan sudah semestinya suaminya itu berada di hospital ketika ini. Itu pun dia ada menghubungi Kak Ton petang tadi, dan bertanyakan keberadaan suaminya itu.

Kata Kak Ton, Zayn Izrel tidak pulang lagi. Kali terakhir adalah tengah hari tadi. Itu pun pulang untuk membersihkan diri, dan seterusnya membawa bekal untuk Natasya.

Usai menghantar Hani, Darissa terus sahaja memandu menuju ke Dataran Merdeka. Dia menghabiskan masanya di sana, sehinggalah pukul 11.30 minit malam. Kerana terlalu penat dan mengantuk, akhirnya Darissa memandu pulang.

Perjalanan dari Dataran Merdeka ke kediaman Zayn Izrel, hanya mengambil masa 30 minit sahaja.

Kereta memasuki ke pekarangan rumah. Dia benar-benar terkejut melihat kereta Audi milik Zayn Izrel di ruang parkir. Suaminya sudah pulang? Ah, kenapa dia perlu memikirkan lelaki itu?

Briefcase diambil, lalu di berjalan keluar dari perut keretanya. Sunyi sepi suasana ketika ini. Pasti Zayn Izrel sudah pun tidur. Yalah, waktu pula sudah menunjukkan pukul 12.05 minit malam. Pasti suaminya itu kepenatan menjaga Natasya di hospital. Penatlah konon?

Dengan langkah malasnya, Darissa menaiki satu persatu anak tangga menuju ke biliknya. Daun pintu ditolak, lalu lampu dibuka.

“Oh, mak kau!” Darissa melatah. Terkejut dia melihat Zayn Izrel yang sedang berbaring di atas katilnya, sambil memeluk sejambak bunga ros.

“Hei baby. Apa yang terkejut sangat tu?” Zayn Izrel tersenyum.

Darissa mengecilkan kedua-kedua matanya memandang Zayn Izrel. “Apa you buat dalam bilik I ni?”

“Tunggu you baliklah. Lama sangat I tunggu. Sampai dah nak tertidur I ni. Sinilah.”

“For what? Sekarang ni I nak you keluar dari bilik I.”  Darissa membuka pintu bilik seluas-luasnya.

Zayn Izrel terus sahaja bangun dari katil, lalu menuju ke arah Darissa. “Baby?”

“Shut up! I tak nak dengar perkataan baby ke apa ke? Semuanya I tak nak dengar. Sekarang ni, you keluar! Jangan nak masuk ke dalam bilik I ni lagi.”

Zayn Izrel tersenyum nipis. “Okey, I keluar. Tapi, ambillah bunga ni.”

Darissa memandang bunga yang dihulurkan Zayn Izrel kepadanya. Bunga tersebut diambil, lalu dicampak ke atas lantai dengan kasar.

“I tak nak bunga busuk you ni! You ingat you bagi I bunga, I suka? Sikit pun I tak suka!”

“Bunga busuk? Tapi itu bunga ros. Bukannya bunga tahi ayam.” Zayn Izrel terus mengambil bunga yang dicampak Darissa tadi. Ada beberapa helai kelopak bunga ros, sudah bertaburan di atas lantai.

“You tak payah nak mengajar I la. Baik you bagi bunga busuk tu pada Natasya. Kenapa nak bagi pada I pula? I tak perlukan benda-benda bodoh macam ni! You ingat you bagi I bunga ni, I happy? Senang-senang you nak pujuk I? Dan I terus lupakan apa yang dah berlaku?” Darissa berpeluk tubuh. Tidak. Dia tidak akan berlembut lagi.

“I tahu, you marahkan I sejak kejadian dua hari yang lepas. Dan I tahu, I tak fikirkan perasaan you. I minta maaf. Semua ni memang salah I.”

“Sudahlah, I tak nak dengarlah apa-apa alasan pun. Sekarang ni you berambus! Jangan tunjuk muka you depan I ni lagi! Lagi bagus kalau you ceraikan I!”

Zayn Izrel menahan marah saat mendengar perkataan cerai. Tetapi dia tidak mahu menunjuk kemarahannya. “I tak akan ceraikan you. Sampai bila-bila pun I tak akan ceraikan.”

“Oh, you dah temankan Natasya sampai dua hari di hospital. Dan you buat I macam tak wujud. You ada hati lagi nak cakap macam tu? Sebenarnya you tipu I kan? You kata dah tak ada apa-apa hubungan lagi dengan dia, tapi you masih bersama dengan dia. Habis tu I ni siapa pada you? I ni bukan isteri you ke? Hampir sahaja I bukakan hati I untuk you, tapi you sia-siakan peluang yang I bagi!” Darissa meluahkan semua yang terbuku di hatinya.

“Ya, I tahu. I dah sia-siakan peluang yang you bagi. Tapi you kena faham dengan keadaan Natasya. Dia hampir mati. Lagipun  family dia bukan tinggal di sini. Dia cuma ada mak sahaja. Disebabkan itulah I bertanggungjawab untuk jaga dia. Tetapi itu tak bermakna I masih cintakan dia. Perasaan cinta itu dah tak ada. I benar-benar berharap yang you faham dengan keadaan I. I tersepit Riss... I tak boleh nak biarkan dia macam tu.”

“Kalau you dah tak boleh biarkan dia macam tu, you kahwinlah dengan dia. Lepas tu ceraikan I! I tak perlukan suami macam you lagi! Lagipun kekasih I yang sebenarnya Farhan. Kenapa I tak kahwin dengan dia aje? Macam mana pula I boleh terkahwin dengan you ha?”

“Farhan tu dah sememangnya curang! Kenapa you masih nak fikirkan si Farhan tu?!” Zayn Izrel bersuara tinggi. Kenapa nama Farhan yang disebut?

“Oh, Farhan curang. Habis tu you? You pun samalah juga! Dua kali lima!”

Zayn Izrel mahu meraih tangan Darissa. Tetapi dengan pantas Darissa memberikan satu tumbukan yang kuat pada perutnya.

Buk!

Zayn Izrel tidak sempat mengelak. Perutnya benar-benar berasa senak akibat tumbukan padu daripada isterinya tadi.

“Rasakan! Pergi mengadu pada Natasya tu!” Darissa terus masuk ke dalam biliknya, lalu pintu dihempas kuat.

Zayn Izrel terduduk di atas lantai, dengan kedua-kedua tangannya memeluk erat perutnya. Bibir diketap kuat menahan sakit. Wajahnya mula kemerahan. Dia benar-benar tidak menyangkakan, yang Darissa sanggup menumbuk perutnya.

Di dalam bilik, Darissa bersandar pada pintu. Dia terdiam kaku. Perlahan-lahan tubuhnya melorot ke bawah. Apa yang aku dah buat tadi? Kenapa aku tumbuk perut dia? Ya Allah, aku dah berdosa.

Share this novel

norsila
2023-07-03 21:40:25 

bodohnya zyn.. leh jaga 2 mlm tnpa blk rmh..ingat 48 jm mnempel kat nastasya tu leh slmtkn rmhtnggamu...hahahaha..bodohnya..spatutnya blklah doktor ado nurse ado jaga dio..hisss memang patut kono tumbok hahaha padan muko..huuu


NovelPlus Premium

The best ads free experience