DYT 3 - BERSETUJU

Romance Series 522373

“HEI, pergilah. Tak payahlah sibuk nak jual-jual keropok kau ni. Shuh....shuh pergi sana.” Natasya baru sahaja selesai membeli Starbucks bersama dengan rakannya Elly.

Wanita separuh abad yang menjual keropok ikan itu, masih lagi mengejar Natasya dan juga rakannya Elly sehingga ke tempat letak kereta.

“Tolonglah dik. Belilah keropok acik ni. Acik nak beli beras dengan telur. Tolonglah dik,” rayu wanita tua itu.

“Makan ajelah keropok kau tu. Jual keropok, ada pula duit beli bahan.” Natasya menjeling. Dia tidak mahu melayan wanita tua itu.

“Keropok ni, acik ambil dekat orang. Acik cuma dapat duit sikit, dari jual keropok ni. Ambil satu pun tak apa dik.” Wanita tua itu masih tidak henti-henti mengejar Natasya.

Natasya hilang sabar ketika ini. Laju sahaja dia menolak wanita tua itu. Wanita tua tersebut terus jatuh terduduk di atas jalan.

“Padan muka kau! Sibuk nak kejar-kejar orang.”

“Sudahlah Sya. Tak payah nak cakap apa-apa lagi. Menyampah betul aku. Dari tadi tak habis-habis nak suruh orang beli keropok dia. Orang dah cakap tak nak, lagi nak kejar sampai ke sini.” Elly menekan butang kunci keretanya.

“Eh, dik. Kenapa tolak mak cik ni? Diakan orang tua. Tak perlulah sampai nak tolak.” Datin Qasidah bersuara. Memang dari tadi dia telah memerhatikan mereka bertiga.

“Kau ni siapa? Kau ejen dia ke? Kaulah yang tukang bawa penjual keropok, datang jual keropok dekat semua orang, kan?” Natasya meneka.

“Apa?” Wajah Datin Qasidah di dalam keadaan keliru.

“Tak payah nak buat muka blur. Shuh... shuh... Tak payah nak menyemak dekat sini. Tengok pakaian kau ni pun dah tahu. Mesti ejen dia, kan?”

Datin Qasidah merenung pakaian yang dipakainya. Ya, dia memang seorang yang simple. Dia tidak begitu suka mengenakan pakaian yang mahal, atau terlalu menyerlah, walaupun dia seorang Datin. Dia lebih suka mengenakan seluar palazo, bersama dengan blouse. Tudung pula, kadang-kadang dia akan mengenakan tudung sarung, ataupun tudung bawal sahaja. Jika ada majlis kenamaan, barulah dia mengenakan pakaian yang bersesuaian.

“Kurang ajar betul kamu ni. Sekarang ni minta maaf dengan mak cik ni.” Datin Qasidah membantu wanita tua itu untuk bangun.

“Aku tak nak! Kau blahlah. Semak betul. Pergilah bawa orang kau ni, pergi jual dekat tempat lain. Dekat tempat elit ni juga dia nak menjual.”

“Cepatlah Sya. Kita gerak. Tak payah layan orang tua berdua tu.” Elly sudah masuk ke dalam perut kereta. Natasya juga mahu masuk ke dalam, tetapi lengannya ditarik pula.

“Minta maaf dengan mak cik ni!” arah Datin Qasidah.

“Eh, orang tua kutuk ni. Tarik-tarik tangan orang pula.” Natasya terus sahaja menolak wanita yang memegang lengannya ketika ini.

Datin Qasidah tidak sangka yang dia akan ditolak oleh wanita itu. Dia terus jatuh terjelepuk di atas jalan, dengan kedua-dua tapak tangannya melekap pada jalan tar tersebut.

“Ya, Allah!” rintih Datin Qasidah. Tapak tangannya mula berasa pedih.

“Lain kali jangan nak tunjuk baik dekat sini. Cepat Elly, jom blah.”

Elly terus menghidupkan enjin keretanya, lalu keretanya meluncur laju meninggalkan kawasan itu.

Wanita tua yang menjual keropok tadi, terus sahaja membantu Datin Qasidah untuk bangun. “Puan, puan okey ke?”

“Tak apa. Tak apa. Saya okey. Luka sikit aje tapak tangan ni.”

“Maafkan akak. Akak tak sangka pula perempuan tadi nak tolak puan.”

“Sudah. Tak ada apalah.” Datin Qasidah mengeluarkan dompet dari beg tangannya.

“Ambil dua ratus ni. Buat beli barang dapur,” sambungnya lagi.

“Eh, betul ke ni? Puan tak nak beli keropok ni?”

“Tak apa. Saya tak perlukan keropok ni. Akak boleh aje jual dekat siapa-siapa lagi nanti. Duit ni, saya ikhlas beri pada akak.”

“Syukur alhamdulillah. Terima kasih banyak-banyak.” Wanita tua itu, terus meminta izin untuk pergi.

Datin Qasidah sekadar mengangguk sedikit. Setelah itu, dia merenung kedua-kedua tapak tangannya. Ada sedikit calar dan juga darah di situ.

Kurang ajar betul perempuan tadi. Memang tak ingin aku bermenantukan perempuan macam tu!

 

“MANA mama!” Zayn Izrel yang baru sahaja habis kerja, terus sahaja bergegas ke rumah keluarganya. Dia benar-benar terkejut apa yang berlaku pada ibunya petang tadi.

“Ada dekat bilik tuan,” ujar Mak Besah.

Zayn Izrel terus berlari anak menaiki anak tangga menuju ke bilik ibu bapanya.

“Mama!” Pintu bilik ditolak kasar.

“Apa yang menjerit dari tadi?” Datin Qasidah menggeleng perlahan.

“Mak Besah call Zayn, kata mama kena tolak. Siapa yang tolak tu? Beritahu Zayn sekarang.”

“Sudahlah. Mama malas nak fikir. Sakit hati pula, bila ingat muka perempuan tu.”

“Perempuan yang tolak mama?”

“Yalah. Dia pergi tolak mak cik jual keropok. Mama pun pergilah tolong. Boleh-boleh pula dia tolaknya mama ni. Mama terus terjatuh. Yang paling mama tak boleh terima, dia kata mama orang tua kutuk. And then dia cakap mama ni ejen, yang hantar orang jual keropok. Eee, geram! Bila diingat-ingatkan balik.”

Gigi diketap kuat. Zayn Izrel benar-benar marah saat mendengarnya. “Mama ingat muka perempuan tu?”

“Mestilah mama ingat. Sampai bila-bila mama tak akan lupakan muka perempuan tu. Memang tak sesuai langsung dibuat menantu!” Datin Qasidah mendengus kasar.

Zayn Izrel mengeluh perlahan. Kedua-dua tapak tangan ibunya diraih. Dia melihat tapak tangan ibunya yang sudah calar-balar, dan juga merah.

“Dah sapu minyak ke ni?”

“Sudah. Mak Besah yang letakkan tadi.”

“Malam ni, Zayn tidur sini. Zayn temankan mama ya?”

“Hmm, yalah. Kenapa Zayn tak nak tinggal di sini je? Rumah ni banyak bilik, kan?”

“Tak apalah. Zayn dah besar dah. Tak naklah tinggal dengan family lagi. Nak juga merasa tinggal sendiri.”

“Yalah. Mama pun tak boleh nak halang. Nanti mama suruh Mak Besah masak sedap-sedap ya?”

Zayn Izrel mengangguk. Siapalah wanita yang telah menolak ibunya tadi?

 

Tiga hari kemudian...

“BETUL ke keputusan awak ni?” soal Datin Qasidah.

“Apa yang tak betulnya?”

“Awak kena tanya Zayn dulu. Saya takut dia dah berpunya.”

“Berpunya apanya? Dia kata belum berpunya lagi. Saya awal-awal dah tanya dia. Kalau dia dah berpunya, tak adanya saya berani pergi terima lamaran kawan saya tu.”

“Dah terbalik pula. Selalunya lelaki yang masuk meminang perempuan. Ini perempuan yang masuk meminang lelaki.”

“So, esok kita pergi jumpa dengan Datuk Azlan dan bini dia. Dia orang nak berbincang dengan kita sekali lagi.”

“Habis tu, kita tak nak bincang dengan Zayn dulu ke?”

“Zayn tu, nanti kita fikir. Lagi pun saya tahu, Zayn akan terima. Dia tak pernah tolak permintaan saya.”

“Hmm, baiklah. Saya ikut aje. Mana yang baik untuk awak, baik untuk saya juga.”

 

 
ZAYN IZREL memandu perlahan menuju ke kediaman keluarganya. Entah apa yang mahu mereka berjumpa dengannya. Katanya ada hal penting.

Deringan telefon bimbit milik Zayn Izrel telah mengejutkannya. Zayn Izrel terus menekan butang jawab di stering kereta miliknya.

“Hello.”

“Hello Zayn. Zayn, you buat apa?” Natasya bersuara.

“I tengah drive. On the way ke rumah family I. Kenapa?”

“Alah, iya ke? Baru nak ajak you temankan I dinner.”

“Sorry. I tak dapat nak temankan you. Lagi pun, family I nak jumpa I. Ada perkara penting katanya.”

“Perkara penting? Apa pula tu?”

“I don’t know. Nanti dah sampai sana, baru I tahu.”

“Hmm, okeylah. Esoklah kita jumpa, ya?”

“Okey. Sorry tau?”

“It’s okay. Bye Zayn. Love you.”

“Love you too.”

Natasya terus mematikan talian. Tidak lama itu kereta yang dipandu Zayn Izrel tiba di kediaman milik keluarganya.

Di muka pintu sudah kelihatan susuk tubuh ibunya yang sedang menantikannya. Apakah yang penting sangat agaknya?

“Assalammualaikum.”

“Waalaikummussalam. Masuk Zayn. Papa pun ada dah tu. Dia tunggu dekat ruang tamu.”

Zayn Izrel membuka kasutnya. Dia terus melangkah masuk ke dalam bersama dengan ibunya.

Tiba sahaja di ruang tamu, bapanya sudah tersenyum memandangnya.

“Aik, pa. Masuk-masuk dah tersenyum-senyum. Ada apa-apa ke?”

“Ha, duduk. Ada benda papa nak cakap dengan kamu ni.”

Zayn Izrel terus melabuhkan punggungnya di atas sofa, begitu juga dengan Datin Qasidah.

“Baiklah. Papa ada perkara nak bincang dengan Zayn ni. Papa harap, apa yang papa rancangkan ni, harap-harap menjadi.”

Datin Qasidah sudah tersenyum di sisi suaminya.

“Apa dia tu pa?”

“Papa sebenarnya nak calonkan kamu dengan anak kawan papa. Iaitu Darissa, anak perempuan Datuk Azlan. Kamu ada jumpa dia seminggu yang lepas.”

“What? Papa cakap apa ni? Kenapa tiba-tiba nak calonkan Zayn dengan anak Datuk Azlan pula?”

“Papa dan mama dah berkenan dengan anak Datuk Azlan. Next week kita masuk meminang Darissa.”

“Tapi Zayn dah berpunya,” ujar Zayn Izrel laju.

Riak wajah Datuk Zafar terus berubah. “Apa maksud Zayn dah berpunya? Tapi, Zayn kata Zayn tak berpunya lagi.”

“Zayn sebenarnya tak nak beritahu perkara sebenar lagi. Zayn ingat nak tunggu setahun, baru Zayn perkenalkan dia pada papa dan juga mama.”

Datuk Zafar mengeluh perlahan. “Apa yang papa nak cakap pada Datuk Azlan nanti? Siapa perempuan tu? Anak Datuk mana?”

“Dia bukan anak Datuk pa. Dia hanya anak orang biasa. Kalau papa dan mama nak jumpa, esok juga Zayn bawa.”

Datin Qasidah memandang suaminya. Tiada harapan mereka mahu berbesan dengan Datuk Azlan dan juga Datin Dahlia.

Zayn Izrel mengeluarkan telefon bimbitnya. Gambar Natasya dicari. Setelah itu, dia terus menuju ke arah ibu bapanya. “Papa, mama, ini Natasya.”

Mata Datin Qasidah terbelalak ketika ini, saat melihat wajah kekasih anak lelakinya itu.

“Itu perempuan yang kamu nak jadikan isteri?”

“Ha? Apa maksud mama?” Zayn Izrel terpinga-pinga.

“Perempuan itulah yang panggil mama orang tua kutuk. Dan perempuan tu jugalah yang tolak mama, sampai kedua-kedua tapak tangan mama ni luka! Mama tak izinkan Zayn teruskan hubungan dengan perempuan tu!”

Berderau darah Zayn Izrel mendengarnya. Natasya yang menolak ibunya? Dan Natasya jugalah yang memanggil ibunya orang tua kutuk?

“Dia yang tolak mama?” Zayn Izrel seakan tidak percaya. Tak mungkin Natasya sanggup berbuat begitu.

“Ya! Memang dia yang tolak mama. Mama dah cakapkan, perempuan macam itu tak sesuai dibuat menantu. Sampai bila-bila mama tak akan lupakan perbuatan dia pada mama.”

“Tapi mama... mungkin dia tak kenal mama? Sebab tu dia tak tahu.”

Datuk Zafar memandang dua beranak itu. Kalau betullah wanita itu yang telah menolak isterinya tempoh hari, dia juga tidak akan bersetuju.

“Eh, Zayn. Apa kamu cakap ni? Dia tak kenal ke, dia kenal ke? Adab tu perlu ada. Oh, kalau dia tahu yang mama ni Datin Qasidah, jadi dia tak akan buat macam tu? Mana adab dia pada orang tua? Sudah! Mama tak akan setuju! Kalau Zayn berdegil nakkan dia juga, mama sampai bila-bila tak akan anggap dia menantu mama!” Datin Qasidah mula bangun dari sofa.

“Dan mama sampai bila-bila tak akan lupakan apa yang dia dah buat pada mama. Mungkin masa itu Allah nak tunjukkan pada mama, siapa dia tu. Sekarang ni Zayn pilih! Mama, atau perempuan kurang ajar tu!” Datin Qasidah terus melangkah meninggalkan mereka berdua di situ.

Zayn Izrel terdiam saat mendengar kata-kata yang keluar dari mulut ibunya. Luluh hatinya ketika ini. Pandangannya terus dihalakan kepada bapanya.

“Papa, tak tahu pula yang Zayn sudah berpunya.” Datuk Zafar melepaskan keluhan, lalu bangun dari sofa.

“Zayn fikirlah masak-masak. Nak teruskan dengan kekasih Zayn tu, atau pun teruskan dengan pilihan kami? Papa pun tak nak paksa  Zayn.” Datuk Zafar terus berjalan meninggalkan anak lelakinya di situ.

Zayn Izrel meraup wajahnya. Apa yang perlu dia lakukan? Dia terlalu sayangkan ibunya dan juga bapanya. Tetapi dalam masa yang sama, dia juga sayangkan Natasya.

Why Natasya? Kenapa you sanggup buat macam tu?

 

“KENAPA tu mummy? Kenapa Nay kena panggil sekali?”

“Ada yang abi nak sampaikan. Jadi, Nay kenalah dengar sekali.”

Mereka berdua tiba di ruang tamu. Di ruang tamu sudah kelihatan, Darissa dan juga Datuk Azlan.

“Cepat duduk,” arah Datuk Azlan.

Datin Dahlia dan juga Nayla terus sahaja duduk.

“Baiklah, semua dah ada. Sebenarnya ada yang abi nak sampaikan. Abi pun dah berbincang dengan mummy. Dan apa yang abi nak sampaikan ni, abi harap Riss terima.”

Darissa memandang kedua-kedua orang tuanya. Dia perlu menerima? Adakah dia bakal menyandang jawatan CEO?

“Okey, minggu depan keluarga Datuk Zafar akan masuk meminang Riss.”

Darissa tersentak. Masuk meminang? Keluarga Datuk Zafar?

“So, kami dah merancang nak satukan Riss dengan Zayn Izrel, anak Datuk Zafar.”

“What? Abi cakap apa ni? Satukan Riss dengan Zayn Izrel? Seriously? Abi, Riss dah berpunyalah. Riss dah ada Farhan.”

“No! Abi tak nak Farhan jadi menantu dalam rumah ni! Lelaki itu tak layak untuk Riss!” Suara Datuk Azlan meninggi.

Darissa terdiam mendengar kata-kata Datuk Azlan. Farhan tidak layak?

Nayla tidak sangka, yang Darissa bakal dipinang. Kenapa Darissa yang dipilih? Kenapa bukan dia? Jika dia yang dipilih, sekurang-kurangnya dia dapat keluar dari rumah ini untuk selama-lamanya. Dan sepertinya dia pernah dengar nama Zayn Izrel. Tetapi dia tidak ingat di mana.

“Abi tak boleh buat Riss macam ni. Riss cintakan Farhan. Kami dah merancang nak berkahwin. Tapi abi kena beri Farhan masa untuk kumpul duit,” rayu Darissa.

Tanpa menunggu lagi, Datuk Azlan terus sahaja mencampakkan gambar-gambar Farhan dengan wanita lain di atas meja kaca di hadapan mereka berempat.

“Tengok tu! Gambar siapa tu!”

Perlahan-lahan tangan Darissa mengambil beberapa keping gambar di atas meja kaca tersebut. Darissa benar-benar terkejut saat melihat gambar-gambar Farhan bersama dengan bermacam-macam wanita. Air matanya mula bertakung. Jadi, Farhan telah menipunya? Tak akan kliennya semua wanita?

“Itu abi upah orang untuk follow Farhan. Dengar cerita, dia dah keluar dengan macam-macam wanita. Abi terlalu sayangkan Riss. Abi tak nak hidup Riss hancur disebabkan Farhan.”

“Tapi Farhan cakap, dia terpaksa keluar untuk dapatkan sales.”

“Nah, tengok yang itu pula. Adakah bukti itu dah cukup kuat?”

Darissa merenung pula gambar Farhan yang sedang berciuman dengan wanita lain. Jantung Darissa hampir luruh, saat melihat gambar itu. Terketar-ketar tangan Darissa ketika ini.

“Minggu depan, keluarga Zayn Izrel akan datang meminang. Riss akan bertunang dengan Zayn. Suka atau tak suka, Riss harus terima.”

“Tapi Riss tak nak. Riss tak nak kahwin dengan dia! Lagi pun Zayn Izrel dah ada kekasih!”

“Yup, abi tahu dia dah ada kekasih. Tapi dia orang dah putus. Sebab Datin Qasidah, ibu kepada Zayn, tak sukakan perempuan tu. Dan Zayn pun dah bersetuju untuk terima Riss.”

“Apa? Dia bersetuju?”

“Ya, dia dah bersetuju.”

“Tapi Riss tak nak!” Darissa mula bangun dari sofa. Dia tidak mahu lagi perbincangan itu diteruskan.

Datin Dahlia dan Nayla masih diam membisu. Mereka tidak berani menyampuk, walau sedikit pun.

Datuk Azlan sudah hilang sabar. Tidak fahamkah Darissa, yang dia mahukan yang terbaik untuknya?

Darissa mahu melangkah pergi dari situ.

“Abi tak kira! Abi nak juga Riss nikah dengan lelaki pilihan abi, daripada Riss terus berhubung dengan Farhan! Mana Riss nak? Teruskan hubungan dengan Farhan, atau jawatan CEO diberikan kepada Nayla?”

Darissa dan Nayla benar-benar terkejut. Bulat mata Darissa ketika ini. Wajah Datuk Azlan dan Nayla dipandang silih berganti.

“Abi nak beri jawatan tu pada Nayla?” soal Darissa, dengan riak wajahnya yang tidak puas hati.

“Yes! Abi akan bagi, kalau Riss tak setuju bernikah dengan Zayn.”

“Jangan macam itu abi. Kesianlah dekat Kak Riss. Nay tak nak jawatan CEO tu.”

“Kamu diam Nay. Selama ini abi tak pernah halang apa yang Kak Riss nak buat. Tapi, kali ini abi tak boleh sabar lagi. Pada awalnya abi ingat Farhan dapat membahagiakan Kak Riss. Tapi, sangkaan abi salah.” Datuk Azlan terdiam seketika.

“Beberapa kali juga abi terserempak Farhan bersama dengan wanita lain. Pada awalnya abi takut, abi salah tengok. Tapi sebenarnya memang ya, Farhan keluar dengan wanita lain. Sampaikan boleh bercium. Kalau atas urusan kerja, kenapa perlu sampai bercium? Abi menahan sabar hampir tiga bulan untuk dapatkan bukti. Tapi bila abi dah bagi bukti, Kak Riss kamu langsung tak nak percaya,” sambung Datuk Azlan. Dia nampak kelihatan kecewa.

Datuk Azlan mula bangun. “Terpulang dekat kamu Riss. Abi malas nak fikir lagi. Sekarang ni kamu nak terima Zayn, atau pun tidak? Kalau kamu nak juga dengan Farhan, abi akan berikan jawatan CEO pada Nayla. Habis cerita.”

Darissa terus menghalakan pandangannya ke arah Nayla. Dia nampak Nayla sedang tersenyum ketika ini.

Tak, aku tak akan bagi jawatan tu pada dia! Dia hanya anak angkat!

“Baiklah. Riss bersetuju terima Zayn sebagai suami Riss.”

Wajah Nayla terus berubah.

Darissa tersenyum mengejek memandang Nayla. Ingat aku bodoh? Dapat sahaja jawatan CEO tu, aku akan minta cerai dengan Zayn Izrel!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience