DYT 5 - SYARAT

Romance Series 522373

“HOI! jangan ambillah. Hei Hani! I punya nasi goreng tu!” Alah...bagilah.”

Zayn Izrel bangun dari pembaringan. Dia menuju ke arah Darissa yang dari tadi bercakap di dalam tidur.

Apa kena dengan dia ni? Bingit betul. Dari tadi bercakap dalam tidur aje!

Baru sahaja Zayn Izrel mahu menepuk tangan Darissa, matanya terus membulat melihat butang baju tidur milik Darissa yang terbuka satu. Hampir sahaja menampakkan alur dadanya. Air liur ditelan kesat.

Permandangan apakah ini? Adakah ini dugaan? Nak sentuh ke? Ataupun tutup? Bibir digigit perlahan. Kalaulah mereka berdua memang saling mencintai, sudah lama dia menyentuh isterinya. Dan bukankah sepatutnya malam ini, adalah malam pertama mereka? Tapi apakan daya, dia dan Darissa tidak bercinta. Dan adakah suatu hari nanti, cinta akan terbit juga di antara mereka berdua?

Perlahan-lahan tangan kanan dihalakan ke arah baju tidur milik Darissa yang terbuka sedikit itu. Dia mahu menyentuh butang baju tersebut. Perlukah dikancingkan semula?

Hei Zayn! Kau buat apa? Lebih baik kau jangan sentuh! Tapi aku bukan nak sentuh. Aku nak tolong tutupkan aje.

Ah, lelaki. Alasan nak tutup. Tapi sebenarnya nak ambil kesempatan. Bak kata pepatah, sambil menyelam minum air.

Tapi kalau pegang sikit, tak apa, kan? Eh, kau dah kenapa Zayn? Kenapa kau bernafsu pula ni?

“Hoi!” Darissa menjerit secara tiba-tiba.

Zayn Izrel terkejut, lalu melompat ke arah totonya semula. Dengan pantas matanya dipejamkan, dengan wajahnya yang mula berpeluh-peluh. Adakah Darissa nampak apa yang mahu dilakukannya tadi?

Senyap.

Perlahan-lahan matanya dibuka semula. Aik? Dia ni mengigau ke? Senyap pula?

Zayn Izrel bangun, dan memandang ke arah Darissa yang sedang tidur. Fuh! Nasib baik dia tidur. Maknanya dia memang mengigau. Malas mahu berfikir lagi, Zayn Izrel terus sahaja melelapkan matanya semula.  Yang penting esok pagi, dia akan pulang ke kediamannya semula.

Ting!

Bunyi pesanan ringkas telah masuk ke dalam telefon bimbit milik Zayn Izrel. Siapa pulalah yang mesej waktu pagi buta begini?

Mesej dibuka. Ternyata mesej tersebut adalah dari Natasya.

-You tak sentuh dia kan Zayn? Promise me? You milik I Zayn.-

Zayn Izrel melepaskan keluhan. Apa yang perlu dibalasnya?

 

 

TEPAT pukul 6.30 minit pagi, Zayn Izrel sudah siap membersihkan dirinya. Perlukah dia mengejutkan Darissa dari tidur? Dan mengajaknya solat subuh bersama-sama? Lampu bilik terus dinyalakan. Tetapi tiada tanda-tanda yang isterinya itu mahu bangun.

Malas mahu menunggu lagi, Zayn Izrel terus sahaja menunaikan solat subuh secara berseorangan.

Usai solat, Zayn Izrel terus melangkah turun ke bawah. Dia sudah terfikir mahu pulang ke kediamannya selepas sarapan nanti.

“Eh, Zayn? Awalnya kamu turun?” tegur Datin Dahlia, yang kebetulan mahu naik ke atas.

“Ha, err...” Zayn Izrel berfikir. Panggilan apa yang mahu dipanggil?

“Panggil mummy aje.”

“Oh, mummy. Ha, ya. Zayn selalu bangun awal.”

“Mana Riss? Dia tak turun pula?”

“Oh, Riss tak bangun lagi mummy. Masih tidur lagi. Tak naklah kacau dia. Penat sangat kut. Malam tadi pun dia mengigau. Terkejut juga Zayn,” ujar Zayn Izrel sekadar berbasa-basi.

Datin Dahlia ketawa. “Riss memang macam tu. Dia kalau penat, memang kuat mengigau. Dia mengigau buka mata tak?”

Berkerut dahi Zayn Izrel ketika ini. “Oh, tak ada pula. Terpejam aje. Kenapa mummy?”

“Kalau dia mengigau buka mata, jangan Zayn terkejut pula. Dia dulu kerap macam tu, tapi waktu dia kecil la. Penat mummy dengan abi pergi cari dia. Rupa-rupanya dia dekat dapur sorang-sorang lap meja makan, dalam keadaan mata dia terbuka. Kadang-kadang dia pergi basuh pinggan, walaupun pinggan tu dah basuh. Bila dia dah besar, dah tak ada macam tu dah. Kami ada bawa dia pergi jumpa doktor. Dan doktor cakap, Riss ada somnambulisme, tidur berjalan.”

“Oh, iya ke? Macam itu pun ada juga ya?”

“Itulah. Nasib baiklah dia tak keluar rumah. Kalau tak, pening kami. Ini, kamu turun nak breakfast ke? Mak Temah masih tengah siapkan breafkfast lagi.”

“Oh, tak adalah. Cuma Zayn tak tahu nak buat apa dalam bilik. Itu yang Zayn turun.”

“Zayn, ni mummy nak cakap sikit boleh?”

“Mummy nak cakap apa tu?”

“Mummy tahu, Zayn dengan Riss kahwin, bukan sebab saling mencintai. Tapi, suami mummy dengan papa Zayn yang aturkan. Dan mummy benar-benar harap, Zayn dapat bukakan hati Zayn untuk Riss. Mummy tak nak perkahwinan kau orang berdua hanya sementara. Tapi mummy nak perkahwinan Zayn dan Riss kekal untuk selama-lamanya. Boleh tak Zayn janji dengan mummy?”

Apa yang perlu dia jawab? Perlukah dia berjanji? Baru sahaja malam tadi, dia dan Darissa berbincang. Dan masing-masing juga bersetuju untuk tidak masuk campur urusan antara satu sama lain.

“Zayn?”

“Insya-Allah mummy. I will try.” Zayn Izrel tersenyum.

“Alhamdulillah.”

“Ni, mana abi?” Zayn Izrel mengubah topik.

“Abi mengaji. Zayn pergi tunggu dekat bawah ya? Ataupun Zayn nak jalan-jalan dekat luar pun boleh. Kejap lagi siaplah Mak Temah tu masak.”

“It’s okay. Zayn tunggu dekat ruang tamu aje.”

Datin Dahlia mengangguk. Dia terus sahaja berlalu meninggalkan Zayn Izrel di situ.

Zayn Izrel mengerling jam tangannya. Lagi 10 minit akan menghampiri pukul 7 pagi. Berapa lama dia perlu berada di dalam rumah ini? Darissa belum bangun. Mak Temah pula belum siap masak. Tak akanlah dia mahu pulang begitu sahaja? Sekarang ini, mahukah Darissa berpindah dan tinggal dengannya?

 

 

MASING-MASING baru sahaja selesai menjamah sarapan pagi. Datuk Azlan terus merenung tajam ke arah Darissa.

“Abi tak tahulah dengan kamu ni. Dah pukul 7.30 pagi, tak bangun-bangun. Solat subuh langsung entah ke mana? Macam mana nak jadi seorang isteri yang baik? Zayn pula yang menunggu di bawah. Kalau mummy tak kejut Riss tadi, entah pukul berapalah Riss nak bangun,” bebel Datuk Azlan.

“Riss penatlah. Mengantuk. Memanglah tak sedar. Habis tu, Riss boleh buat apa?”

“Kuncilah jam tu. Zayn pun kata tak sampai hati nak kejutkan Riss dari tidur.” Datuk Azlan menggeleng.

Darissa memandang Zayn Izrel yang dari tadi diam membisu.  Back-up la sikit! Sekurang-kurangnya cakaplah apa-apa, supaya abi tak fikir buruk pasal aku! Ni tak. Asyik diam aje. Langsung tak nak bersuara! Malam tadi, ada pula suara.

“Kamu Zayn, jangan biar isteri kamu ni. Kamu sebagai suami kena tegur Riss. Sekarang ni tanggungjawab abi dah selesai. Dan sekarang, Zayn yang kena galas tanggungjawab tu.”

“Insya-Allah abi. Zayn akan cuba galas tanggungjawab Zayn, sebagai seorang suami. Abi jangan risau.”

“Hmm, baguslah. Ini kau orang berdua ada plan nak honeymoon ke mana-mana ke?”

Zayn Izrel dan Darissa terkejut. Honeymoon?

“Err, buat masa ni tak ada abi. Zayn pun kena kerja. Bulan ni busy sikit. Kita punya projek perumahan yang dekat Sungai Buloh, baru aje nak bermula. Banyak yang perlu diselesaikan.”

“Oh, ya tak ya juga, kan?”

Zayn Izrel mengangguk.

“Ni, lepas makan terus kemas baju. Zayn dah nak balik dah,” kata Datin Dahlia pula.

“Apa? Kemas baju? Nak buat apa pula?” Darissa mengecilkan kedua-kedua matanya. Nak ke mana pula, sampai nak kena kemas baju?

“Balik rumah suamilah. Tak akanlah nak duduk sini pula?”

Darissa memandang Zayn Izrel. Lelaki ini langsung tidak berbincang apa-apa dengannya.

“Maknanya Kak Riss tak tinggal sini ke?” Nayla mula menyampuk. Entah bagaimana hatinya mula melonjak gembira. Selepas ini, dia tidak perlu menghadap muka kakak angkatnya itu.

Darissa memandang Nayla, dengan renungan yang tajam.

Nayla yang perasankan pandangan Darissa terhadapnya, terus sahaja mengalihkan pandangannya ke arah lain.

“Sudah. Pergi kemas baju-baju kamu tu.”

Darissa memandang Zayn Izrel yang dari tadi langsung tidak mahu bersuara. Memang betullah, mulut ada emas!

Dalam setengah jam, Darissa sudah bersiap-siap, sambil membawa turun beg bagasinya. Zayn Izrel sudah pun menunggu di bawah.

Datin Dahlia terus menarik tangan Darissa.

“Riss, mummy nak pesan ni. Mummy harap, bila Riss dah jadi isteri ni, jangan lupa tanggungjawab Riss pada suami ya? Jangan melawan suami, jaga makan pakai dia. Mummy tak nak dengar, tiba-tiba kata tak serasi ke apa?”

“Mummy... please la. Riss kahwin ni pun, bukan sebab kami bercinta. Mummy rasa, memang boleh bertahan lama ke?”

“ Mummy tahu, Riss dengan Zayn tak bercinta. Tapi mummy tak akan berhenti berdoa, semoga jodoh Riss dengan Zayn akan berkekalan. Dan mummy tak akan lupa berdoa, semoga ada cinta di hati Riss dan juga Zayn. Mummy tahu, abi nak yang terbaik untuk anak dia. Cuba tengok wajah abi tu. Riss tak nampak ke, macam mana happy-nya abi, bila Zayn jadi menantu dia. Please Riss... jangan hampakan kami. Riss berhak bahagia...” ucap Datin Dahlia panjang lebar.

Darissa hanya memandang Zayn Izrel dengan pandangan yang kosong. Kenapa dia tidak tersentuh sedikit pun apa yang dikatakan ibunya tadi?

 

 

PAGAR kediaman milik Zayn Izrel terbuka luas. Mereka sememangnya memandu secara berasingan. Dari dalam kereta, Darissa merenung keadaan pekarangan kediaman milik suaminya.

Mak aih, boleh tahan besar juga rumah dia ni. Dua tingkat pula tu, walaupun sebelum ni duduk bujang. Siap ada security lagi. Tapi sayang. Kolam renang tak ada pula. Kalau tak, boleh juga pergi swimming petang-petang. Bisik Darissa sendiri. Dia benar-benar agak teruja melihat kediaman milik Zayn Izrel.

Darissa memarkirkan keretanya di belakang kereta milik suaminya. Setelah itu, enjin kereta dimatikan. Perlahan-lahan dia berjalan keluar dari perut kereta. Beg bagasi yang berisi dengan pakaiannya dibawa keluar.

“Cepat sikit. Ada benda I nak cakap dengan you,” arah Zayn Izrel. Suaminya itu terus sahaja melangkah masuk ke dalam rumah.

Ee! Bukannya nak tolong bawakan luggage ni. Tak guna punya suami!

“Puan Darissa?”

Darissa merenung seorang wanita, yang boleh dianggarkan di dalam lingkungan umur 40-an.

“Ya saya.”

“Akak orang gaji dalam rumah ni. Boleh panggil Kak Ton.”

“Oh... baiklah.”

“Mari Kak Ton bawakan luggage tu.”

“Eh, tak apalah Kak Ton. Saya boleh bawa sendiri. Lagi pun tak berat mana.”

Kak Ton mengangguk.

Mereka berdua terus melangkah masuk ke dalam rumah. Zayn Izrel pula, sudah pun berada di ruang tamu.

“Kak Ton, tinggalkan saya dengan Darissa sekejap...” arah Zayn Izrel.

“Baik...” Kak Ton terus berlalu ke dapur.

Darissa mengamati suasana di dalam rumah milik Zayn Izrel. Tiba-tiba sahaja matanya tertancap ke arah kolam renang yang berdekatan dengan ruang tamu. Ada sliding door yang menutupi ruangan itu. Kolam renang tersebut tidaklah begitu besar, dan boleh memuatkan seramai empat orang.

Private pool rupanya. Patutlah tak ada dekat luar.

“Please sit down. Ada benda I nak cakap ni.” Zayn Izrel bersuara.

“Hmm, nak cakap apa?” Darissa melabuhkan punggungnya di atas sofa, dengan matanya tidak henti-henti mengamati suasana di dalam rumah ini. Nampak kemas, dan teratur. Yalah, dah ada orang gaji, mestilah sentiasa kemas.

“I nak you dengar betul-betul. Sekarang you dah jadi isteri I. Dan you pun dah tinggal di sini. Dan I ada syarat.”

“Syarat? Syarat apa pula?”

“Yes. Syarat. I ada tiga syarat. So, you kena ikut.”

Darissa mengerutkan dahinya. Apa pula syarat yang mahu diberikan? Dan sekarang ini, kenapa Zayn Izrel seakan mahu menunjukkan kuasanya sebagai seorang suami?

“Pertama, kita tak satu bilik. Dan, bilik kita asing. I tak nak satu bilik dengan you,” ucap Zayn Izrel. Keputusan itu sudah dibuat, sebelum Darissa berpindah ke sini.

Hati Darissa menjerit gembira. Akhirnya! Memang ini yang dia mahukan. Tapi, siapa yang nak satu bilik dengan dia? Perasan! Yes! Tak perlu aku nak hadap muka dia ni.

“Kedua. Mana you pergi, you kena beritahu I.”

“What? Kenapa pula I nak kena beritahu mana I pergi?”

“Yes, you memang kena beritahu I. You ingat, you boleh keluar macam tu aje? Kecuali you nak pergi kerja. You tak perlu beritahu I pun.” Zayn Izrel menyilangkan kedua-kedua tangannya ke dada. Entah kenapa dia boleh membuat syarat seperti itu. Adakah kerana tanggungjawab? Ataupun atas permintaan ibu Darissa?

“Kalau I nak keluar dengan kawan I pun, I kena beritahu?”

“Yes.”

“Isy! Macam-macamlah. Dan, syarat ketiga apa pula?”

“Ketiga. You kena minta izin dengan I, mana you nak pergi. You kena datang menghadap I, untuk minta izin. I tak nak call or mesej. Kalau I tak izinkan, you tak boleh pergi ke mana pun.”

“Seriously? You nak mengongkong I ke? Malam tadi you cakap lain. Hari ini you cakap lain pula? Nampak sangat you tak tepati janji.” Darissa mendengus kasar. Sakit pula hatinya.

“Up to you. So, you kena ikut syarat-syarat I. I tahu, you setuju kahwin dengan I, sebab ada perkara yang buatkan you terpaksa. Kalau tak, you tak nak pun.”

Wajah Darissa terus sahaja berubah. “Apa maksud you?”

“Takut jawatan CEO diberikan pada adik angkat you, kan?”

“Mana you tahu?”

“Mummy beritahu I, sebelum kita gerak pulang ke sini.”

“What? Mummy yang beritahu?”

“Yup. Abi ada cakap pada dia. Dia takkan berikan jawatan CEO dengan semudah itu pada you. Dia nak tengok perkahwinan kita ni bertahan sampai mana.”

“Maksudnya?” Darissa terdiam. Maknanya perkahwinan ini, untuk selama-lamanya? Bagaimana pula dengan Farhan nanti?

“Tapi you cintakan Natasya. Tak akan you nak perkahwinan ni bertahan untuk selama-lamanya?” sambung Darissa lagi.

“Kenapa? Mesti you tunggu I ceraikan you, kan? So, nanti yang buruk tu I la? Yup, memang I cintakan Natasya. Kalau terpaksa kahwin dua, pun I tak kisah.”

“What!” Darissa hampir menjerit.

“Kak Ton, bawa Puan Darissa ke bilik dia. Saya nak keluar.” Zayn Izrel mula bangun. Dia tidak mahu bertekak dengan Darissa.

Kak Ton terkocoh-kocoh menuju ke arah mereka berdua.

“Zayn, you nak kahwin dua ke? You nak madukan I? Kalau macam tu, baik you ceraikan I!”

Zayn Izrel tidak mengendahkan kata-kata Darissa. Malah, dia terus sahaja melangkah keluar dari rumah.

Darissa menghentakkan kedua-kedua kakinya. Dia benar-benar sakit hati. Kahwin dua? Jangan harap! Kalau nak kahwin lain, kena ceraikan aku dulu!

“Err, puan?” Kak Ton bersuara seakan takut-takut. Terkejut juga apa yang didengarnya tadi.

“Hmm, apa!” tengking Darissa.

Terenjut bahu Kak Ton ketika ini.

Darissa tersedar. “Maaf. Maaf Kak Ton. Saya tak sengaja.”

“Tak apa puan. Kak Ton faham.”

“Ee, geram betullah dengan dia tu! Kak Ton tak dengar ke tadi? Ada hati nak kahwin dua? Puihh! Dia ingat saya ni siapa? Ini Darissa la. Aku sunat lagi sekali jantan tu nanti.” Hidung Darissa kembang-kempis menahan marah.

“Err... mari, Kak Ton bawakan puan ke bilik ya?” Kak Ton benar-benar takut mendengar kata-kata Darissa tadi. Sunat lagi sekali?

Nak tak nak, Darissa terpaksa mengekori Kak Ton menuju ke biliknya. Entah bagaimana, rupa biliknya.

“Bilik jantan tu dekat mana?” soal Darissa tanpa menghiraukan apa yang orang gaji Zayn Izrel fikirkan.

“Err, bilik jantan?”

“Yalah, bilik Zayn Izrel,” jawab Darissa bersahaja.

“Oh, yang ini puan...” Kak Ton menunjukkan bilik Zayn Izrel.

“Apa ni? Kenapa mesti bertentangan dengan bilik saya? Isy!”

“Err, entahlah. Mari masuk bilik puan ya?” Daun pintu ditolak.

Darissa melangkah masuk ke dalam. Dia melihat katil bersaiz queen yang sudah siap tersarung cadar berwarna putih. Dinding biliknya juga berwarna putih. Ada almari pakaian dan juga meja solek, yang seakannya baru dibeli.

“Apa ni? Kenapa suram aje bilik ni? Kosong. Tak ada apa yang menarik.”

“Katil tu, Tuan Zayn baru beli dua hari yang lepas. Cadar tu pun, Tuan Zayn yang pilih. Lagi pun rumah ni, Tuan Zayn baru beli. Tak sampai empat bulan dia tinggal di sini “

“Oh, really? But why semuanya nak kena warna putih? Dinding bilik ni? Putih juga. Takkan cadar pun nak warna putih?”

“Err, Kak Ton tak tahu. Tuan Zayn memang suka warna putih.”

“Hmm, tak apalah Kak Ton. Saya ingat nak pergi beli barang rumah. Saya keluar kejap. Tak sukalah tengok cadar warna putih tu.”

“Tapi, puan...”

“Sudah. Kak Ton bawa masuk luggage saya tu. Saya pergi dulu tau? Ni saya nak minta tolong sikit, tanggalkan cadar tu. Saya tak nak pakai cadar warna tu.”

“Hmm, baiklah puan.”

Darissa terus melangkah keluar dari bilik tersebut. Colour cadar putih? Dinding pun putih? Tak ada seri langsung!

Ada yang bca ke Dia Yang Terbaik? Kalau ada tu, terima kasih tau sudi bca...Dan terima ksh juga pd yang komen...

Share this novel

norsila
2023-06-09 18:10:43 

apolah dogil zyn tu..masih dgn natasya yg teruk tu....samo juga dgn farhan..huuu biar dua2 ni di jodohkn joo..samo peten kot..hehe


NovelPlus Premium

The best ads free experience