DYT 29 - PENYELAMAT

Romance Series 522373

DERUAN enjin kereta milik Datuk Azlan telah mengejutkan Darissa yang dari tadi menunggu. Dia lantas bangun dari sofa, lalu berlari keluar menuju ke pekarangan rumah.

Dua susuk tubuh keluar dari perut kereta ketika ini. Darissa terus melemparkan senyuman kepada kedua ibu bapanya itu.

“Riss. Mari sini,” panggil Datuk Azlan.

Darissa mengangguk. Dia terus menuju ke arah mereka berdua. Dia benar-benar teruja ketika ini.

Ibunya Datin Dahlia, mula membuka pintu kereta di bahagian penumpang.

“Nayla, marilah keluar.”

Seorang  gadis remaja berjalan keluar dari perut kereta, sambil tersenyum.

“Inilah Nayla, yang abi katakan semalam. Mulai hari ini, Nayla akan tinggal bersama-sama dengan kita. Dan Nayla dah jadi sebahagian daripada keluarga kita juga. Riss boleh anggap Nayla sebagai adik Riss.”

Darissa tersenyum lebar. “Tak sunyilah Riss lepas ini. Sebab Riss dah ada adik. Mari Nayla, ikut akak. Nayla boleh panggil Kak Riss. Jom, akak tunjukkan bilik Nayla.”

“Kak Riss pula, boleh panggil Nayla, Nay ya?”

Darissa tersenyum lagi. “Okey, Nay.” Tangan gadis itu ditariknya. Mereka berlari anak menaiki anak tangga, sehingga ke tingkat dua.

“Yang ini bilik Nay, dan sebelah ni bilik Kak Riss. Bilik kita sebelah menyebelah sahaja. Jadi, kalau ada apa-apa ke, Nay boleh datang bilik akak.”

“Baik Kak Riss.”

Tunak mata Darissa merenung wajah gadis itu. “Cantik betul Nay ni. Wajah pun putih bersih aje, kalau nak dibandingkan dengan akak ni,” puji Darissa.

Nayla ketawa kecil. “Mana ada cantik. Akak pun cantik jugalah.”

“Cantik ke macam ni? Sudahlah muka pun gelap. Dengan berminyaknya. Jerawat lagi.” Darissa menyentuh wajahnya.

“Kalau macam itu, akak kenalah jaga pemakanan.”

“Maksud Nay?”

 “Nanti Nay ajarkan ya, macam mana nak jaga cara pemakanan kita?”

Darissa mengangguk.

“Dan sebenarnya Kak Riss, kalau kita tak jaga pemakanan, memang akan effect pada kulit wajah kita juga. Tengok macam Nay, bersihkan kulit wajah Nay ni?”

Darissa mengangguk.

“Sebab Nay memang pantang sikit kalau bab-bab makan ni.”

“Nay umur berapa?”

“14 tahun.”

“Eh, beza setahun aje dengan Kak Riss. Muda-muda Nay dah pantang makan. Kalau Kak Riss, macam-macam Kak Riss makan. Keropoklah, coklatlah. Sebab itulah ya, kulit muka akak ni berjerawat and berminyak ya? Berat badan akak ni jangan cakaplah, dah nak masuk 58kg.”

“Ya, sebab itu kena jaga makan. Kita muda-muda ni, mestilah kena control makan. Jangan nak tunggu dewasa baru nak menyesal. Kalau tak, lelaki pun tak pandang kita.” Nayla ketawa.

Darissa turut ketawa. “Nay mesti ada boyfriend, kan?”

Nayla tersenyum. “Tak adalah Kak Riss. Malas nak fikir. Sekarang ni, Nay nak fokus belajar aje. Dan Nay bersyukur sangat, bila Datuk Azlan dan Datin Dahlia ambil Nay jadi anak angkat mereka. Yalah, sebelum ni Nay duduk dekat rumah anak yatim, kan?” Nayla terdiam.

“Nay, janganlah cakap lagi. Kak Riss tahu, Nay masih bersedih lagi.”

“Dah sebulan dah dia orang pergi. Rasa sedih tu dah tak ada dah. Dah ajal dia orang pergi dulu, kan? Okeylah Kak Riss, Nay nak rehat. Penat pula rasanya.”

“Okey. Nay rehatlah. Nanti kita turun makan sama-sama ya?”

Nayla mengangguk, sambil tersenyum. Dia terus sahaja melangkah masuk ke dalam biliknya.

Darissa masih berdiri di muka pintu bilik gadis itu. Akhirnya, aku dah ada adik. Tak adalah aku sunyi sangat lepas ni.

 

 

Tiga minggu kemudian...

“KAK RISS nak ikut tak, Nay pergi mandi air terjun?”

“Mandi air terjun?” Darissa duduk di gazebo, sambil mengelap wajahnya dengan menggunakan tisu. Suasana pada waktu ini sungguh panas.

“Ya, nak tak?”

“Dekat mana?”

“Hulu Langat.”

“Hulu Langat? Jauh tu.”

“Sekarang ni musim panas. Rasa nak mandi air terjun aje.”

“Dekat rumahkan dah ada swimming pool. Kita mandi swimming pool ajelah.”

“Alah, swimming pool dengan air terjun tak sama. Kita mandi sanalah ya? Nay dah janji dengan kawan. Kakak dia nak mandi dekat sana esok. Jomlah ya? Kita naik kereta dengan kakak dia sekali?”

“Tapi, abi mesti tak bagi. Lebih-lebih lagi, jauh dari rumah.”

“Kak Riss tak rasa bosan ke? Duduk dekat rumah ni aje. Tak keluar-keluar langsung? Dah jadi macam katak bawah tempurung pula.”

“Kalau macam tu, Kak Riss tanya abi dululah. Kalau dia bagi, kita pergi.”

“Alah, tak payah cakaplah. Kita pergi aje. Kalau cakap nanti, tak bagi pula.”

“Tapi...”

“Tak payah tapi-tapi. Kita pergi ajelah ya?”

Darissa terdiam, sambil memikirkan sesuatu. Perlukah dia tidak meminta izin? Jika dia dimarahi bapanya nanti, bagaimana pula?

“So, macam mana?”

“Baiklah. Esok kita pergi.”

“Ha, macam itulah. Esok kita pergi, kita tunggu dekat simpang jalan besar tu. Nanti kakak kawan Nay, datang pick-up. Kalau mummy tanya, cakap aje kita pergi sekolah. Okey?”

Bagaikan lembu dicucuk hidung, Darissa menurut sahaja.

Keesokan harinya Darissa dan Nayla bertolak ke Hulu Langat, seperti yang dikatakan Nayla semalam. Tepat pukul 10 pagi, mereka tiba di sana.

Nayla dan juga rakannya iaitu Farzana, berjalan keluar dari perut kereta, begitu juga dengan Darissa. Suasana di sini benar-benar nyaman.

“Macam mana dengan tempat ni? Nampak best, kan?” soal Nayla.

“Best. Kak Riss memang tak pernah datang ke tempat macam ni.”

“Ha, macam itulah. Bila tak pernah pergi, kenalah pergi. Ni kalau kita beritahu abi, confirm abi tak bagi.”

“Agak-agak lama tak kita dekat sini?”

“Tak tahu. Kena tanya pada Kakak Far la.”

Darissa berpusing memandang wanita di hadapannya, yang sedang mengeluarkan raga makanan. “Err, Kak Fuza. Agak-agak lama tak kita dekat sini?” soal Darissa.

Kak Fuza memandang Darissa sekilas. “Kita baru sampai, dah fikir nak balik?”

“Err, tak. Saya cuma nak tahu.”

“Paling lewat pun pukul 4. Kenapa?”

“Pukul 4? Macam lambat sangat.”

“Takkan nak mandi air terjun sekejap sangat? Sekarang dah pukul 10. Kita nak BBQ lagi. Nak mandi lagi. Lama tu. Lagipun, boyfriend akak tak sampai lagi. Nak kena tunggu dia juga ni.” Kak Fuza memandang Darissa seakan tidak berpuas hati.

“Kak Riss. Jangan risaulah. Abi tak marahlah.” Nayla cuba memujuk.

“Tapi...”

“Alah, Kak Riss ni. Jangan risaulah. Bukannya kita nak buat benda jahat pun. Kita pergi mandi aje.” Farzana pula bersuara.

“Kak Riss, janganlah macam ni. Kita dah sampai, kan?”

Darissa mengeluh perlahan. “Baiklah, harap-harap abi tak marah.”

“Dah, cepat. Tolong angkat barang ni. Kita kena ambil kawasan yang cantik sikit. Sekarang ni tak ramai orang lagi.” Kak Fuza terus mengunci keretanya.

Mereka terus membantu Kak Fuza mengangkat barang, lalu berjalan mencari kawasan yang tenang dan juga cantik, seperti yang diminta Kak Fuza tadi.

Pada awalnya Darissa sedikit tidak tenang. Lebih-lebih lagi, ibu bapanya tidak mengetahui yang dia dan Nayla sudah sampai ke sini. Lama-kelamaan dia terus sahaja terlupa. Lebih-lebih lagi dapat bermandi-manda di air terjun yang cantik sebegini.

“Eh, kau orang. Dekat atas sana ada tempat cantik tau? Apa kata kita pergi atas sana?”

“Err, tapi...”

“Alah, jomlah. Takkan kita nak mandi dekat bawah ni? Lagipun biarlah kakak aku dengan boyfriend dia tu. Malas nak kacau. Jomlah?” Farzana memberi cadangan.

Nayla sudah teruja. “Jomlah Kak Riss.”

Darissa akur, lalu mereka bertiga menyusuri jalan menuju ke belah atas, seperti yang dikatakan Farzana tadi.

Tiba sahaja di atas, Darissa kelihatan teruja melihatnya.

“Cantiknya...” Bersinar-sinar mata Darissa saat ini. Memang tak dinafikan kawasan air terjun di bahagian atas, memang benar-benar cantik.

“Cantik betul tempat ni,” puji Nayla pula.

“Cantik, kan? Tapi tak ramai orang yang tahu dekat atas ni,” ujar Farzana.

“Err, tapi tak bahaya ke, mandi dekat tempat macam ni?”

“Bahaya apanya. Kita mandi tepi itu ajelah.” Nayla terus menarik tangan Darissa menuju ke gigi air. Begitu juga dengan Farzana.

Mereka mula bermandi-manda dengan gembiranya. Adakalanya Nayla mengusik, dengan menolak tubuh Darissa ke tengah. Setelah itu, dia menarik kembali tangan kakak angkatnya itu. Sememangnya Darissa tidak begitu pandai berenang. Dia hanya boleh mandi, jika airnya hanya pada paras pinggangnya sahaja.

Sedar tak sedar waktu sudah menghampiri pukul 3 petang.

“Kak Riss!”

Darissa berpaling. “Apa dia?”

“Jom, kita pergi atas batu sana?” tunjuk Nayla.

“Pergi sana?”

“Yalah. Jomlah.”

“Tapi sana, mesti dalam tu. Bahaya.”

“Alah, kita berdiri atas batu tu aje.”

“Yalah, bukannya nak mandi pun. Berdiri atas batu aje.” Farzana pula bersuara.

Nak tak nak Darissa terpaksa menurut sahaja, apa yang dipinta Nayla. Mereka bertiga terus sahaja menuju ke arah batu besar tersebut. Sudahlah hanya ada beberapa orang sahaja di situ. Suasana pula sememangnya sunyi.

Tiba sahaja di sana, mereka bertiga terus sahaja memanjat batu besar, yang dikatakan Farzana tadi. Masing-masing mula menghayati suasana di situ.

“Dalam juga air dekat bawah ni. Bahaya.” Mata Darissa terarah pada air di hadapannya.

“Kita bukan nak terjun mandi pun. Kalau jatuh, memang lemaslah jawabnya.” Nayla bersuara sinis. Tetapi Darissa tidak dapat menangkap kata-katanya tadi.

Darissa memejamkan matanya, untuk  menghayati suasana di situ. Tanpa dia sedar, yang Farzana sudah pun turun dari batu besar tersebut. Manakala Nayla pula, berdiri di belakang Darissa.

Tiba-tiba sahaja tubuh Darissa ditolak dari arah belakang.

Bush!

Darissa  sudah pun berada di dalam air ketika ini, akibat ditolak secara tiba-tiba tadi. Matanya terarah pada Nayla yang masih berdiri di atas batu besar tersebut. Gadis itu sedang tersenyum memandangnya.

“Nay!” Darissa menjerit, dengan tubuhnya yang tenggelam timbul ketika ini. Kedua-kedua tangannya mula tergapai-gapai. Kakinya benar-benar tidak dapat mencecah pasir. Sudah semestinya paras air sudah melebihi paras kepalanya ketika ini.

Darissa cuba melonjakkan tubuhnya ke atas, tetapi dia tidak berjaya. Susuk Nayla sudah pun menghilang daripada pandangannya. Begitu juga dengan Farzana.

Ke manakah mereka berdua pergi? Dirinya ditinggalkan begitu sahaja? Adakah ajalnya setakat ini sahaja? Darissa mula membayangkan wajah ibu bapanya pada ketika ini. Dia benar-benar menyesal, kerana tidak meminta izin terlebih dahulu daripada mereka. Kenapa Nayla menolaknya? Adakah kerana mahu menamatkan riwayatnya?

“To... long... tolong...” Darissa cuba bersuara, dengan air sedikit demi sedikit masuk ke dalam mulut, dan hidungnya. Kepalanya mula sedikit pening.

Tiba-tiba sahaja dia melihat ada seorang lelaki bercermin mata, dan berbingkai kuning, sedang berenang ke arahnya. Mata Darissa tidak lepas memandang wajah lelaki itu. Tiba-tiba sahaja tubuhnya ditarik, lalu lehernya dipeluk erat. Dirinya sedang diselamatkan?

Tiba-tiba sahaja cermin mata yang dipakai lelaki tadi, sudah terapung di atas air. Tangan kiri Darissa, pantas menggapai cermin mata tersebut, lalu digenggam erat. Setelah itu, tubuhnya dibawa ke tepi, lalu dibaringkan di atas pasir.

Uhuk! Uhuk!

Darissa terbatuk-batuk ketika ini. Air laju sahaja keluar dari mulut dan hidungnya.

“Awak?” Lelaki itu bersuara, sambil menepuk-nepuk pipi Darissa.

Darissa membuka matanya, sambil memandang wajah lelaki tersebut. Lelaki itu bertubuh kurus kering, dan juga memiliki jerawat pada wajahnya. Hanya itu sahaja yang dapat diingati Darissa.

“Awak okey tak ni?” soal lelaki itu lagi.

Darissa mengangguk. Suaranya seakan tersekat di kerongkong. Mungkin terlalu banyak air yang ditelannya tadi.

“Weh Rel! Kau buat apa lagi tu! Cepatlah. Dia orang dah makin jauh ke dalam ni. Tertinggal kita nanti.” Seorang lelaki bersuara, dan tidak jauh daripada mereka berdua.

“Ha, kejap. Aku nak pastikan dia okey ke tak aje!” Lelaki tadi, memandang Darissa semula.

“Dah okey ya? Saya pergi dulu.” Lelaki tersebut terus sahaja bangun, lalu melangkah meninggalkan Darissa di situ.

“Ke... kejap.” Suara Darissa perlahan pada saat ini. Tetapi lelaki tersebut sudah pun jauh meninggalkannya. Cermin mata milik lelaki itu, masih digenggam erat.

Aku betul-betul terhutang budi pada dia...

“Baby?” Zayn Izrel mengetik jarinya pada wajah Darissa.

Darissa memandang Zayn Izrel semula, lalu tersenyum. “I betul-betul terhutang budi dengan you Zayn. Kalaulah you tak ada masa tu, I mesti dah tak ada dalam dunia ni lagi.” Dada Darissa berasa sebak.

“Dan I juga tak sangka, yang you dah jadi suami I. Rupa-rupanya kita dekat sahaja,” sambung Darissa lagi.

“Macam mana you boleh tahu itu I?”

“Sebab I tengok gambar you dalam almari kaca dekat ruang tamu. Memang wajah itu I ingat sampai sekarang. Mana mungkin I lupa wajah penyelamat I. Cermin mata you yang bingkai kuning tu pun, I masih simpan.”

“Lah, dekat you ke cermin mata I tu? I ingatkan dah hanyut. Masih ada lagi ke sellotape pada bingkai tu?”

Darissa ketawa kecil. “Yalah. Masih ada lagi. Dan I masih simpan. Nak bagi, you cepat sangat pergi. Tapi, kenapa bingkai cermin mata you, ada sellotape?”

“Sebab member I pergi pijak. Kebetulan memang ada bawa sellotape dalam beg masa tu. Itu yang I sellotape aje. Dan masa tu, I masuk hutan. And then I tertinggal jauh dengan kumpulan masa tu. Kebetulan I nampak ada orang lemas, dan orangnya adalah you. I memang dah tak fikir apa dah, I terus terjun selamatkan you. Tapi, apa motif Nayla tolak you?” Zayn Izrel masih tidak mengerti.

“You tahu tak, apa yang dia cakap pada I? Dia memang nak tolak I. Dan dia kata, hanya nak bergurau. You boleh imagine tak? Alasan apa tu? Bergurau?”

“Sebab itulah, you tak suka dia?”

“Yup, dari kejadian itulah, I mula bencikan Nayla. I dah tak rasa nak ada adik lagi. Dan I mula, ambil kelas renang. I fikir, I kena belajar semuanya. Kelas pertahanan diri, I ambil masa I form six. Masa tu, I dah duduk asrama. Sebabnya I tak nak tengok muka Nayla.” Darissa terdiam seketika, sambil mengambil nafas.

“Dan pasal I lemas tu, I memang tak berani nak beritahu abi. Jadi I rahsiakan sehinggalah sekarang. Dan I rasa, kes yang I nak dibunuh di R&R bulan lepas, mungkin dalangnya adalah Nayla juga. Cuma pihak polis, masih menyiasat kes itu lagi,” jelas Darissa.

“Dia nak bunuh you atas sebab apa? Ada tak you tanya family you, macam mana dia orang terfikir nak ambil Nayla jadi anak angkat mereka?”

Darissa menggeleng. “I tak pernah tanya. Masa tu I fikir, yang I nak ada adik aje. Dan semalam, staff I meninggal dunia, iaitu Tini. Dia meninggal, sebab kena langgar lari. That’s why I balik ke KL secara mengejut semalam.”

“Yalah, you tiba-tiba dah sampai KL. Tipulah, kalau I tak sakit hati.” Zayn Izrel mencebik.

“I minta maaf, sebab tinggalkan you macam itu aje. Sebenarnya arwah Tini ada nak bagi bukti kepada Hani.”

“Bukti?”

“Ya, bukti. Tapi arwah tak sempat nak bagi bukti kepada Hani. Sebab arwah dilanggar, betul-betul di hadapan Hani.”

Riak wajah Zayn Izrel mula berubah.

“Dan I tak tahu, bukti apa yang Tini nak bagi pada Hani. Dan I rasa, kematian Tini ada kena mengena dengan Nayla juga. Dan kalau you nak tahu, Nayla pernah beritahu arwah Tini, supaya berhenti kerja. Tapi apa motif dia suruh arwah berhenti kerja? Hati I kuat mengatakan, yang Nayla ada rancangkan sesuatu, yang I tak tahu.” Darissa melepaskan keluhan yang berat.

“Kenapa I jadi semakin risau bila dengar apa yang you sampaikan tadi?” Tangan kiri Zayn Izrel mula meraih tangan Darissa.

Darissa tersenyum pahit. “I dah buat report polis semalam. Dan pihak polis akan siasat kes kematian Tini. Dan I juga terfikir, nak upah private investigator untuk siasat Nayla.”

Zayn Izrel melepaskan keluhan. “I takut apa-apa jadi pada you nanti.”

“You takut kenapa pula?”

“Mestilah I takut. Kalau dulu Nayla boleh tolak you, tak mustahil yang sekarang ini pun, adalah rancangan daripada dia juga. Kita patut pergi ke balai polis, dan beritahu pada pihak polis, yang dalangnya adalah Nayla.”

“Kalau nak tuduh Nayla pun, pihak polis mesti minta bukti. Macam mana, kita nak bagi bukti? Bukti pun tak ada.”

“Ya tak ya jugakan?”

“Tak apalah. Nanti tahulah apa yang I nak buat. I dah minta Hani untuk dapatkan phone number private investigator untuk I.”

“Tapi kalau you nak minta pertolongan I, you beritahu I okey? I tak boleh biarkan you tanggung sorang-sorang. Sebagai seorang suami, tugas I adalah untuk lindungi you.”

“Untuk lindungi I? Sepertimana you selamatkan I 13 tahun lalu?” Darissa terus sahaja bangun, lalu duduk di atas riba Zayn Izrel. Leher suaminya dipeluk erat.

“Lain betul muka you sekarang, kalau nak dibandingkan dengan yang dulu. I memang tak kenal langsung.” Zayn Izrel memandang wajah Darissa.

“Dulu I berisi, berjerawat dekat wajah. Zaman-zaman remaja, faham-fahamlah. Mana nak jaga muka? Nak jaga berat badan lagi. Macam you dulu jugalah. Kurus kering, berjerawat jugakan? Tapi, kenapa dulu you pakai cermin mata? Sekarang tak pakai pun?”

“I buat lasik surgery. That’s why I tak pakai cermin mata dah. You cakap I kurus kering? Sekarang ni kurus kering tak?”

“Sekarang ni sasa...” Darissa bersuara menggoda, sambil menggigit bibir.

“Please jangan gigit bibir, you buat I tak keruan.”

“Kalau tak keruan nak buat apa?”

Tanpa amaran, Zayn Izrel terus sahaja memagut bibir Darissa. Dia mengucup bibir isterinya dengan penuh hangat, sambil dia mendalamkan lagi kucupannya. Tangan kirinya jangan cakaplah, habis merayap di seluruh tubuh isterinya itu.

Darissa memeluk erat tubuh Zayn Izrel, sambil membalas kucupan suaminya itu. Apabila nafsu menguasai diri, masing-masing mula tidak sedar diri.

Nafsu Zayn Izrel mula melonjak naik, begitu juga dengan Darissa. Tiba-tiba sahaja Darissa melepaskan tautan bibirnya, lalu tubuh Zayn Izrel ditolak, supaya tubuh suaminya itu rebah di atas sofa. Dia langsung tidak ingat, akan tangan suaminya yang masih mengenakan kain anduh.

Darissa terus sahaja duduk di atas tubuh Zayn Izrel, sambil tubuhnya menekan kuat tangan suaminya itu.

“Aduh! Tangan I, tangan I!” Merah padam wajah Zayn Izrel saat ini, menahan sakit. Tubuh Darissa sudah pun menghempap kuat, pada tangannya ketika ini.

Darissa benar-benar terkejut dengan jeritan Zayn Izrel. Dia bingkas bangun dari tubuh suaminya itu.

“Alamak-alamak! Macam mana ni?” Darissa sudah tidak tentu arah.

“Tangan I... sakit. Sakit sangat ni.”

Darissa yang langsung tidak memikirkan keadaan dirinya ketika ini, laju sahaja berlari keluar dari bilik suaminya itu.

“Baby!” laung Zayn Izrel. Tidak sempat dia menahan isterinya, yang sudah pun berlari keluar dari biliknya.

“Mama! Mama!” jerit Darissa.

“Apanya Riss?” Datin Qasidah terkejut melihat Darissa berlari ke arahnya.

“Mama, Zayn. Zayn, Zayn punya tangan.”

Mata Datin Qasidah terarah pada baju yang dipakai Darissa ketika ini. Butang baju menantunya itu, sudah terbuka separuh, hingga menampakkan pakaian dalam menantunya itu.

“Riss, butang baju tu.”

Darissa tunduk. Dia melihat butang bajunya sudah terbuka separuh. Bila masa pula Zayn Izrel membukanya? Darissa pantas mengancingkan semula butang baju yang dipakainya ketika ini.

“Kenapa ni? Apa dah jadi?” Datuk Zafar pula muncul di situ. Dia yang sedang bersiap-siap mahu pergi bekerja, terkejut dengan suara menantunya tadi.

“Err, tangan Zayn.” Datin Qasidah sudah memandang Darissa dan suaminya silih berganti.

“Tangan Zayn kenapa?”

“Saya, err, saya tak tahu.” Datin Qasidah sudah tergagap-gagap. Tak lain tak bukan, adalah yang dilakukan anak dan menantunya tadi.

Datuk Zafar terus menuju ke bilik anak lelakinya. Dia melihat wajah Zayn Izrel kemerahan, sedang menahan sakit.

“Kenapa dengan tangan tu Zayn?” Datuk Zafar memegang tangan anaknya.

“Aduh pa, sakit-sakit. Tangan Zayn tak boleh gerak ni.”

“Ya Allah. Kamu terlanggar apa-apa ke tadi?”

“Ha, ya. Terlanggar almari baju tu,” jawab Zayn Izrel sambil memandang Darissa, yang sedang menyorok di belakang ibunya.

“Sudah, papa hantar pergi hospital sekarang. Tunggu kejap, papa tukar baju.” Datuk Zafar terus sahaja berjalan keluar dari bilik tersebut.

Datin Qasidah memandang anak dan menantunya silih berganti. “Apa kenalah kau orang berdua ni? Dah tak tahan sangat ke? Tak boleh ke nak tahan sikit? Hmm, nampak gayanya lambatlah nak baik tangan Zayn tu. Ha, puasalah lagi lama. Padan muka kau orang berdua.”

“Eh, mana mama tahu ni?” soal Zayn Izrel pelik.

“Habis tu, kalau dah butang baju Riss terbuka, sampai nampak pakaian dalam dia? Apa pula tu?” Datin Qasidah menggeleng.

Darissa sudah termalu sendiri di situ. Alah, kantoi pula dengan mama. Ni semua salah Zayn! Nak goda aku sangat, sampai aku terlupa tangan dia.

Share this novel

norsila
2023-08-12 00:15:45 

hahaha kasar naaa..

Hawani Hashim
2023-08-11 23:14:32 

Adoiiii Ris ni slow la sikit hahaha tq update next ya


NovelPlus Premium

The best ads free experience