DYT 36 - SEPADAN

Romance Series 522373

“HEY! Why you push him?!” Darissa menahan marah, saat melihat seorang pelajar dibuli.

“Move!”  Lelaki kulit putih, mahu menolak tubuh Darissa, tetapi dengan pantas Darissa mengelak, lalu dia memberikan satu tendangan pada lelaki tersebut. Lelaki kulit putih itu, terus sahaja terlentang ke belakang. 

“You bitch!” marahnya.

Darissa tersenyum sinis ke arah lelaki kulit putih tersebut. Dia terus berpusing ke arah lelaki berkaca mata, yang masih duduk di atas tanah. Tanpa menunggu, Darissa terus mengatur langkah menuju ke arah lelaki berkaca mata itu.

“Hey, are you alright?” Darissa menghulurkan tangannya, untuk membantu lelaki berkaca mata itu bangun.

“Miss! Watch out.” Lelaki berkaca mata itu bersuara kuat.

Darissa dengan pantas berpusing, lalu satu tendangan kuat terus dihalakan pada kepala lelaki kulit putih itu, yang mahu menyerangnya.

Bam!

Lelaki kulit putih tersebut terus jatuh tersembam di atas lantai. Rakan sekelas lelaki kulit putih yang melihat kejadian itu, terus menjerit saat melihat rakan mereka sudah jatuh tersembam ketika ini.

“Hey bitch! Are you crazy?”

“Your friend is crazy, not me. Sial. Mentang-mentanglah ini negara kau, nak tunjuk besar kepala pula!” Darissa sudah bersiap sedia. Pasti mereka mahu menyerangnya.

“What are you talking about?”

“Talk to my hand.” Darissa menunjukkan tapak tangannya.

Tetapi hakikatnya mereka tidak menyerang. Malah mereka beredar dari situ, sambil membantu rakan mereka yang ditendang Darissa tadi. 

“Blah pun. Ingatkan nak bergaduh tadi,” ujar Darissa dalam bahasa melayunya.

“Awak orang Malaysia?” soal lelaki berkaca mata itu, sambil bangun dari atas tanah.

“Eh, ha’ah. Saya orang Malaysia. So, awak orang Malaysia jugalah ya?”

“Ya. Err... saya Shahrul.” Shahrul menghulurkan tangannya.

Darissa terus sahaja menyambut salam daripada lelaki itu. “Darissa. Boleh panggil Riss.”

Shahrul benar-benar teruja dengan wanita itu. “Terima kasih sebab tolong saya. Tak sangka, awak tahu seni bela diri.”

“Oh, saya start belajar sejak dari sekolah. Yalah, sekurang-kurangnya kena tahu jugalah seni bela diri ini, kan? Lebih-lebih lagi, dah merantau negara orang ni.” Darissa mengukirkan sedikit senyuman.

“Ya, betul juga.”

“Ada kelas ke?”

“Ada. Pukul 8.30.”

“Course apa ambil?”

“Accounting and finance.”

“Wah, mesti math kacang ajekan bagi awak?”

“Alhamdulillah. Bolehlah. Awak pula ambil courses apa?”

“Sama juga macam awak. Tapi, itulah. Tak minat sangat sebenarnya. Nak tak nak terpaksa jugalah ambil courses tu.”

“Oh, family ada company sendiri?”

Darissa hanya tersenyum. Kalau boleh, dia tidak mahu begitu mendedahkan bisnes keluarganya.

“Nak dekat 8.30 dah ni. Jom?”

Mereka berdua terus sahaja bergerak bersama menuju ke kelas. Shahrul tersenyum, sambil memandang Darissa. Sekurang-kurangnya ada juga kawan di sini.

Sedar tak sedar, sudah empat tahun perkenalan Darissa dan juga Shahrul. Walaupun begitu, hubungan mereka tidak lebih hanya sekadar rakan sekelas sahaja. Tetapi dalam diam, Shahrul mempunyai perasaan terhadap Darissa. Tetapi apakan daya, Shahrul terpaksa memendamkan sahaja perasaannya.

Mana tidaknya, dia berasa kerdil di sisi wanita itu. Lebih-lebih lagi Darissa hanya melayaninya tidak lebih daripada seorang kawan. Pernah dia bergurau, dan mengatakan yang dia jatuh cinta terhadap Darissa. Tetapi Darissa hanya ketawa sahaja. Sejak dari itu, Shahrul tidak lagi bergurau seperti itu.

Dan Shahrul juga, mula mengambil kelas seni bela diri atas saranan Darissa. Dan Darissa juga menyambung kelas taekwondonya, sepanjang dia belajar di sini.

Darissa tersenyum sendiri, sambil berbalas mesej. Shahrul berjalan menuju ke arah Darissa, sambil membawa dua bungkus roti.

“Nah, roti.”

“Eh, Rul. Thanks.”

“Senyum kenapa tu?”

“Oh, tak ada. Abi saya mesej. Baru habis kelas taekwondo ke?”

Shahrul mengangguk, sambil menggigit roti yang dipegangnya.

“Tak sabar nak balik Malaysia. Awak pula?”

“Saya? Entah, tak rasa nak balik pun lagi. Ingat nak cari pengalaman kerja dekat sini dulu. Tapi, tengoklah nanti, macam mana.” Shahrul mengukirkan senyuman.

“Err, awak tak nak kerja sini ke? Jomlah, kerja sekali. Tak adalah saya sunyi.” Shahrul mencuba memujuk Darissa. Kalau boleh, dia tidak mahu Darissa pulang ke Malaysia terlalu awal.

Darissa mahu membuka mulut.

“Lah, kau orang berdua dekat sini rupanya.”

Darissa tersentak. Tidak sempat dia mahu membalas pertanyaan Shahrul tadi. “Eh, Mas. Sinilah join sekali.”

Mas laju sahaja menuju ke arah mereka berdua.

“Ha, dah alang-alang kau dekat sini. Aku nak tanyalah, kau nak balik Malaysia, atau nak cari pengalaman kerja di sini?”

“Aku? Mestilah nak balik Malaysia semula.”

“Ha nampak tak Shahrul? Mas nak balik Malaysia, awak pula nak kerja di sini. Jomlah, ikut balik Malaysia sekali?”

Shahrul hanya tersenyum nipis. Soalan yang ditanya Darissa, dibiarkan sepi.

Itulah kali terakhir mereka berjumpa. Setelah itu, Shahrul tidak lagi bertemu dengan Darissa. Nombor telefon Darissa juga tidak dapat dihubungi. Sepertinya nombor tersebut sudah tidak lagi digunakan. Hilang arah Shahrul pada masa itu. Dan dalam masa yang sama, dia turut terluka, kerana Darissa pulang tanpa memberitahunya. Sememangnya dia tidak tahu lebih terperinci tentang keluarga Darissa. Kerana Darissa lebih banyak berahsia, walaupun mereka sudah mengenali lebih dari empat tahun.

 

 

DARISSA melihat jam di dinding yang sudah pun menunjukkan pukul 1 tengah hari. Seperti biasa, Darissa akan makan tengah hari di hospital, dan berbual-bual dengan suaminya.

Walaupun Zayn Izrel masih tidak sedarkan diri, Darissa tetap tidak berputus asa. Dia tahu, suatu hari nanti, pasti Zayn Izrel akan sedar daripada koma.

Dan sejak beberapa hari ini juga, Darissa seakan tidak cukup tidur. Kadang-kadang dia akan mengalami sakit kepala. Semalam, semasa pemeriksaan kandungan, jururawat sudah berpesan kepadanya, supaya makan makanan yang boleh menambahkan darah. Tetapi Darissa hanya mengangguk. Pesanan tersebut diambil sambil lewa sahaja.

Beg tangan diambil dari atas meja, lalu dia melangkah keluar dari bilik pejabatnya. Tiba-tiba sahaja perutnya mengeras.

“Auch...” Kedua-kedua tangannya memeluk perut. Tulang belakangnya juga berasa sakit. Tidak pernah-pernah dia merasa sebegini. Kenapa perutnya mengeras?

“Riss? What happened?” Shahrul tiba-tiba muncul di situ.

“Pe... perut I. Sakit.” Wajah Darissa kelihatan pucat.

“Nak pergi hospital ke ni?”

Mata Darissa seakan berbalam-balam. Dia melihat tubuh Shahrul seperti bergoyang-goyang.

“Riss?”

Darissa tidak dapat bertahan lagi, akhirnya dia pitam di situ. Nasib baiklah, Shahrul sempat menyambut tubuh Darissa, daripada terlentang.

Hani yang kebetulan mahu mencari Darissa, terkejut melihat Darissa yang sudah berbaring di atas riba Shahrul. “Eh, kenapa ni Shahrul?”

“Riss pengsan. Kita kena bawa dia ke hospital.”

Hani mengangguk. Mereka berdua terus sahaja membawa Darissa ke hospital. Hani menjadi risau. Sudahlah Darissa dalam keadaan mengandung. Lebih-lebih lagi, dengan Darissa mengandungkan anak kembar. Janganlah apa-apa terjadi kepada rakan baiknya itu.

Hampir satu jam, Darissa dirawat. Shahrul dan Hani pula menunggu di ruang menunggu. Tidak lama itu, seorang jururawat berjalan menuju ke arah mereka berdua.

“Ya, nurse. Macam mana dengan keadaan dia?” soal Shahrul?

“Encik suami dia ya?” Jururawat itu menyoal.

“Err...”

“Eh, bukan. Dia bukan suami dia. Dia hanya staff.” Hani memotong.

“Oh, iya ke? Okey tak apa. Puan Darissa, dalam keadaan stabil sekarang ni. Tapi dia perlu ditahan wad. Disebabkan dia kekurangan darah dalam badan. Lebih-lebih lagi dalam keadaan dia tengah mengandung ni. Nampak sangat wajah dia dalam keadaan kepenatan. Mana suami dia ya?”

“Suami dia pun ada dekat hospital ni. Dah empat bulan di sini. Tetapi suami dia masih di dalam keadaan koma.”

“Koma? Empat bulan? Oh, pesakit yang bernama Zayn Izrel ke?”

“Ya, dia.”

“Oh, saya ingat. Dia pesakit yang dilanggar lari. Sampai sekarang tak dapat tangkap lagikan, orang yang langgar tu?”

Hani mengangguk.

“Tak apalah. Awak berdua boleh melawat Puan Darissa. Dia dah ditolak masuk ke Wad 6B.”

“Baik. Terima kasih ya nurse,” ucap Hani.

Jururawat tersebut terus sahaja berlalu pergi.

Hani tidak menunggu lagi, dia terus sahaja melangkah menuju ke wad yang dikatakan jururawat tersebut, tanpa mengajak Shahrul.

Shahrul masih tidak berganjak dari situ. Dia berasa berang dengan Hani. Kalau dia mahu berpura-pura menjadi suami Darissa pun, rasanya tiada masalah. Bukannya jururawat tersebut mahu meminta kad pengenalan pun.

Semak! Getusnya.

Laju sahaja dia menuju ke arah wad Darissa. Tiba sahaja di sana, dia melihat Darissa sedang menangis teresak-esak saat ini di dalam pelukan Hani.

“Riss? What’s wrong?” soal Shahrul sambil menghampiri mereka berdua.

“Nasib baiklah you ada masa tu. I betul-betul takut, bila doktor cakap, akan membahayakan kandungan I.”

Hani menyeka air mata Darissa. “Sudahlah. Janganlah menangis lagi. Nanti baby dalam perut sedih tengok you macam ni.”

“Dan doktor pun ada cakapkan tadi, yang you kena makan makanan tambah darah. Macam kerang? Hati?” sambung Hani lagi.

“Tapi Riss tak suka kerang dengan hati,” ujar Shahrul pula.

Hani memandang Shahrul. “Tahu pula you, bila Riss tak makan makanan macam itu.”

“I dah kenal Riss empat tahun lebih. Takkanlah I tak tahu makanan apa yang dia suka, dan makanan apa yang dia tak suka?” Shahrul tersenyum sambil duduk di kerusi memandang Darissa.

Hani memandang Shahrul atas bawah. Macam ada yang tak kena dengan lelaki ini.

“Kenapa you balik Malaysia tak beritahu I? I call you tak dapat-dapat. Sampai ke hari ini, I tertanya-tanya.”

“Rul, I minta maaf. Masa itu I kelam-kabut nak balik ke Malaysia. I dapat berita, yang abi I dimasukkan ke hospital. Sampaikan I tak sedar, yang beg tangan I dicuri. Kebetulan dalam tu ada wallet dan handphone. Nombor phone you dan juga Mas, I langsung tak hafal. Dan you pula, macam menjauhkan diri daripada I. Masa tu I fikir, mungkin ada sesuatu yang I dah buat, sampaikan you macam tak nak berhubung dengan I lagi.” Darissa terdiam seketika.

“I ada buat salah apa-apa pada you ke?” sambungnya lagi.

Shahrul tersenyum nipis. “Tak, you tak buat salah apa pun. Tapi sekarang I happy. You dah ada depan mata I.”

Ehem!

Hani berdeham. “You boleh balik Shahrul. Waktu lunch pun dah nak habis ni.”

Shahrul memandang Hani. “Tak boleh ke kalau I nak jaga Riss?”

“Jaga Riss? You dengan Riss bukan suami isteri. I ada. I boleh jaga dia. You pun, baru start kerja hari ini. Takkan hari pertama dah nak ponteng?”

Darissa ketawa kecil. “Ikutlah cakap Hani. Dia bos you tau?”

Shahrul berpura-pura tersenyum. Tetapi di dalam hatinya membentak geram. “Okeylah, kalau dah macam itu, I balik dulu. Nanti I datang lagi ya?”

Darissa mengangguk.

Shahrul terus sahaja melangkah keluar dari wad tersebut. Tinggallah Darissa dan Hani di situ.

“Kenapa you cakap dengan Shahrul macam itu?”

“What? Betullah apa yang I cakap. You dengan dia bukannya suami isteri pun. Kenapa dia nak kena jaga you pula?” Hani seakan tidak berpuas hati.

“I dengan dia dah berkawan lama dah. Masa I belajar dulu, dialah yang banyak tolong I, kalau I perlukan pertolongan.”

“Tapi itu tak semestinya, dia boleh duduk sini jaga you. You dengan dia, kena jaga batas. Kalau you nak ke toilet ke, nak mandi ke, takkan dia pula nak buat semua tu?”

“Takkanlah I nak dia mandikan I pula?”

“Tak, bukan macam itu. Cuma I tak nak Shahrul tu rapat sangat dengan you. Lagipun you tu isteri orang. Nanti kalau orang lain tengok, tak ke akan timbul salah faham? Hmm, Tak apalah, malam ni I jaga you. I tak call family you, takut dia orang susah hati pula.”

“I masih jaga batas I. I pun tak nak dia jaga I.” Nada suara Darissa kedengaran dalam keadaan sebak.

“Riss, janganlah ambil hati, dengan kata-kata I tadi. I minta maaf, kalau kata-kata I tadi, telah mengguris hati you.”

“It’s okay. Tapi... kalau Zayn tak koma, mesti dia akan jaga I, kan? Layan I macam puteri. Apa yang I nak makan, mesti dia turutkan.” Darissa melepaskan keluhan. Air matanya mula bertakung.

“Sudahlah. Takkan nak menangis lagi? Sekarang ni, I nak you kuat. Jaga pemakanan. Jaga kesihatan. Ini tak, setiap hari you mesti pergi jenguk Zayn aje. Sampaikan I tengok you, macam tak cukup tidur. You kena ingat, you tu mengandung. Nanti bila dah sarat nanti, lagilah you susah nak bergerak sana sini.” Rambut Darissa diusap lembut.

“I ni kalau nak diikutkan, nak aje bawa Zayn tu balik rumah. Tapi mak mentua I tu, nak juga Zayn dijaga di sini. Dia orang tak kisah langsung,  kalau nak berhabiskan duit untuk bayar bil hospital. Katanya nak yang terbaik untuk anak dia. Tapi sebenarnya, I tak nak susahkan family mentua I. Ada sekali tu, mak mentua I beri cadangan, nak bawa Zayn ke hospital luar negara. I memang tak bagi. Kalau dah duduk di sana, entah berapa lama?”

“Hmm, yalah. Takkan nak duduk luar negara pula.”

“I ni kadang-kadang dah putus asa. Dan I tak tahu, bila Zayn akan sedar.” Air mata diseka perlahan.

“Insya-Allah. Percayalah, Zayn pasti akan sedar, sebelum you bersalin.”

“You rasa dia akan sedar sebelum I bersalin?”

Hani mengangguk. Dia tahu, dia telah memberikan harapan palsu. Tetapi, dia tidak mahu Darissa cepat berputus asa. Lebih-lebih lagi Darissa di dalam keadaan mengandung. Dan emosi orang mengandung ini terlalu sensitif.

Dan ada satu yang membuatkan dirinya tertanya-tanya. Kenapa Shahrul langsung tidak terkejut, saat dia memberitahu kepada jururawat tadi, bahawa suami Darissa berada di hospital ini dan juga koma? Adakah Shahrul sudah mengetahuinya?

“I nak tanyalah.”

“Hmm, you nak tanya apa?”

“Shahrul tahu ke, yang Zayn koma?”

“Ha? I tak beritahu lagi pun. Kenapa? Dia dah tahu ke?”

“Err, tak. Sebab, masa tadi nurse tanya Shahrul tu husband you ke? I terus potong. I cakap Shahrul tu hanya staff. Dan I juga beritahu, yang husband you ada dekat hospital ni. Tapi pelik juga. Sebab, Shahrul tak nampak terkejut langsung. Dan tiba-tiba aje, dia volunteer nak jaga you dekat sini.”

“I tak faham...” Darissa tidak mengerti.

“Sudahlah. Tak payahlah fikir lagi. Okeylah, I nak ke rumah you kejap. Nak ambil pakaian you. Ada apa-apa nak I bawa tak?”

“Tak ada. Bawa ajelah pakaian I.”

“Okey, I pergi dulu. Kejap lagi I datang balik.” Hani terus melangkah meninggalkan wad tersebut. Dalam masa yang sama, dia memikirkan Shahrul. Macam ada yang tidak kena dengan lelaki itu.

 

 

Dua minggu kemudian...

“YOU nak pergi mana?”

“I nak ke hospital.”

“Riss, you sedar tak dengan keadaan you ni? You tak sihat. You tak ingat ke, yang you kena tahan wad dua minggu yang lepas? You tengah mengandung sekarang ni.” Shahrul menghalang.

“Tapi, I kena jenguk Zayn juga. I tak boleh biarkan Zayn keseorangan.”

“Sekarang ni Zayn masih koma. Orang koma ni makan masa untuk sedar. You nak ke baby dalam perut tu bermasalah?” Shahrul tahu yang suami Darissa dalam keadaan koma sekarang ini. Itu pun, setelah dia meminta wanita itu menjelaskan kepadanya. Cuma, Darissa tidak pernah membawanya untuk melawat suaminya itu.

Darissa menggeleng. Tiba-tiba sahaja air matanya mengalir laju.

“Hey, why are you crying?” Shahrul menghampiri Darissa.

“Sebenarnya I mengidam nak makan nasi ganja dekat Ipoh. Tapi, disebabkan I tak boleh nak drive jauh, I terpaksa tahan.”

“Teringin nak makan nasi ganja?”

Darissa mengangguk. “Tapi, Hani cuti balik kampung. I tak boleh nak drive jauh-jauh ke sana. Dan I pun tak nak susahkan family I dan mentua I.”

“You nak makan nasi ganja? Okey, I bawa you? Kita pergi sama-sama?”

“Tak. I tak nak susahkan you. Lagipun I isteri orang. I tak boleh nak berdua dengan you. Kita kena jaga batas kita.”

“Riss, kita ni dah kenal lama dah. Ya, I tahu you isteri orang. Dan kita perlu jaga batas kita. Tapi, tak salahkan, kalau I bawa you pergi makan sana? Dan tunaikan hajat orang mengidam? Benda tu tak salah pun.”

Darissa menelan liur. Dia benar-benar ingin merasa Nasi Ganja Ipoh.

“Jom, kita pergi sekarang? Sempat lagi ni. Paling lewat pun, kita akan balik malam?”

Darissa serba salah. Pelukah dia menerima sahaja ajakan Shahrul?

“Jom?” Shahrul masih mencuba.

Akhirnya Darissa bersetuju. Mereka berdua terus sahaja bergerak ke Ipoh, di mana terletaknya Restoran Nasi Ganja Ipoh.

Dalam pukul 3.30 minit petang, mereka berdua tiba di Ipoh. Setelah mendapatkan parkir, mereka berdua terus mendapatkan tempat duduk.

“You tunggu sini. I pergi ambilkan makanan untuk you.”

“Tak susahkan you ke?”

“Tak adalah. You pun tengah mengandung, takkan you nak beratur pula?” Shahrul terus sahaja beratur. Manakala Darissa pula menunggu di situ.

Dalam 10 minit, Shahrul muncul sambil membawa dua pinggan nasi ganja.

Kecur air liur Darissa, melihat nasi yang dibawa Shahrul ketika ini.

“Makanlah. Lepas dah mengidam you.”

Darissa tersenyum. “Thanks Rul.”

“I happy dapat tunaikan apa yang you idamkan. I tak kisah, kalau nak kena drive sampai ke hujung dunia sekali pun. I tetap akan tunaikan, demi you.”

Darissa terdiam. Demi dia?

Tepat pukul 10 malam mereka tiba di Kuala Lumpur semula. Kereta yang dipandu Shahrul, terus sahaja memasuki pekarangan kediaman suami Darissa. Darissa pula sedang tidur nyenyak di sebelah. Kalau boleh, dia tidak mahu menghantar wanita itu pulang. Dan dia mahu menghabiskan masanya dengan wanita itu.

Perut Darissa yang bulat ditenung lama. Kenapa kau mengandung Darissa? Wajah Darissa turut dipandang. Bermula dari mata, hidung, dan terakhir, bibir.

Mesti si koma tu, lelaki pertama yang kiss you kan? Getusnya.

Tok! Tok!

Tingkap kereta diketuk.

Darissa terjaga daripada tidurnya. Dia melihat Kak Ton sedang berdiri di luar pintu.

“Eh, kita dah sampai ke?” Darissa pantas membuka pintu kereta. Kenapa Shahrul tidak kejutkannya daripada tidur?

“Riss...” Kak Ton bersuara.

“Kenapa you ketuk cermin kereta kuat sangat? Terkejut tahu tak, majikan you ni?” Shahrul menahan marah.

Kak Ton terpinga-pinga. Tiba-tiba sahaja dia dimarahi. “Maaf encik. Sebab Kak Ton tengok, lama sangat dekat sini.”

“Ha, berapa lama?” soal Darissa pelik.

“Err, 15 minit.”

“15 minit? Kenapa you tak kejutkan I?” soal Darissa kepada Shahrul.

“Err, I tengok you nyenyak sangat. I tak sampai hati nak kejutkan.”

Darissa tersenyum nipis. “Tak apalah. Apa-apa pun, terima kasih sebab bawa I makan dekat Ipoh. I hargai sangat-sangat.”

Shahrul hanya mengangguk.

“Okeylah, I masuk dalam dulu.” Darissa terus sahaja melangkah keluar dari perut kereta, lalu melangkah masuk ke dalam rumah, tanpa memandang ke belakang. Dia benar-benar penat. Kalau boleh, dia hendak terus tidur sahaja.
 
Shahrul melihat kediaman milik suami Darissa. Akhirnya dia tahu, di mana tempat tinggal Darissa.

 

HARI ini kandungan Darissa sudah pun memasuki tujuh bulan. Manakala Zayn Izrel pula, masih lagi belum sedarkan diri. Sudah enam bulan suaminya itu terlantar di hospital.

Kadang-kala itu, Shahrul akan menemani Darissa untuk pemeriksaan kandungan. Pada awalnya Darissa cuba untuk tidak menyusahkan lelaki itu, tetapi Shahrul tetap bertegas mahu menemaninya. Bukan itu sahaja. Setiap hari, ada sahaja pakaian bayi yang dibeli oleh Shahrul.

Tok! Tok!

Pintu bilik diketuk.

“Masuk.”

Kelihatan Hani di muka pintu. “You busy?”

“Tak ada sangat. Cuma, I letih sikit.”

Hani terus menarik kerusi, lalu duduk di hadapan Darissa.

“Ada apa?”

“I nak cakap sikit ni.”

“Apa dia?”

“I tengok you kerap sangat pergi lunch dengan Shahrul. Kadang-kadang tu, dia temankan you check-up, kan?”

“Hmm, ya. Kenapa?”

“Staff dekat sini dah mula cakap pasal you. Dan ada juga yang terserempak, nampak you dekat hospital dengan Shahrul. Riss, I tak nak orang cakap yang bukan-bukan pasal you. You tu isteri orang Riss. Nanti kalau family, and family mentua you tahu macam mana?”

Darissa terdiam. “I dah cuba tolak. Tapi, Shahrul tetap nak temankan I. I tak dapat nak tolak.”

“Ya, I tahu. Tapi, you boleh minta tolong I, kan? I boleh temankan you.”

“I tak nak susahkan you.”

“You tak nak susahkan I. Tapi, you susahkan Shahrul. Riss, please jangan terlalu rapat sangat dengan Shahrul. I takut, Shahrul tu ada hati pada you.”

Darissa ketawa kecil. “Tak ada maknanya dia ada hati pada I. Kalau dia ada hati, dah lama dah dia luahkan isi hati dia, sejak kami belajar di UK dulu. Takkanlah sekarang, dia baru nak ada hati pada I? Tengok I ni, tengah sarat mengandung. Takkan nak jatuh cinta dengan orang mengandung pula?”

Hani menggeleng. “Please Riss. Jangan bagi harapan pada dia.”

Darissa memandang Hani dengan seribu persoalan. Kenapa dia langsung tidak berasa apa-apa? Baginya, Shahrul hanya mahu membantunya sahaja. Salahkah? Salahkah jika Shahrul hanya mahu membantunya?

 

 
DARISSA berjalan perlahan-lahan, menuju ke arah lif, dengan keadaan dirinya yang sedang sarat. Kedua-kedua kakinya turut membengkak, begitu juga dengan tubuh badannya yang turut berubah, menjadi semakin berisi.

Butang lif ditekan. Ramai pelawat yang keluar masuk saat ini.

“Riss!” Shahrul muncul di belakang.

“Eh, Shahrul? You buat apa dekat sini?” Darissa benar-benar terkejut.

“I follow you. You nak pergi mana? Melawat husband you?”

Darissa mengangguk sedikit.

“Kalau I nak melawat sekali boleh? Sebab, you tak pernah bawa I pun.”

“Hmm, you nak melawat?”

“Ya. If you benarkan? It’s okay, kalau you tak benarkan, I tak pergi.”

“Hmm, jomlah.”

Shahrul tersenyum. Mereka berdua terus sahaja menuju ke wad Zayn Izrel. Daun pintu wad terus ditolak.

“Assalammualaikum anje. Baby datang ni.” Darissa tersenyum.

Shahrul mengecilkan matanya. Anje? Baby?

“Rul, duduklah. Inilah husband I. Zayn Izrel.” Darissa menarik tangan kanan Zayn Izrel, lalu dikucup lembut. Begitulah rutinnya. Setiap kali, datang dan pulang, dia tidak akan lupa untuk menyalami tangan suaminya.

“Oh, boleh tahan orangnya. Lebih kacak daripada I. Jealous pula I,” ucap Shahrul, bersahaja.

Darissa ketawa. “Of course husband I kacak. Sepadan dengan I, kan?”

“Tapi, lagi padan kalau you dengan I?”

Dahi Darissa sedikit berkerut. Kenapa dengan Shahrul?

Shahrul ketawa panjang. “You ni, I gurau ajelah. You dengan husband you, bagai pinang dibelah dua. Of course you dengan dia sepadan. Itu tak dinafikan lagi.”

“You ni. Suka sangatlah cakap macam itu. Nak bergurau, macam tak kena tempat pula.”

“Alah, sorry la. Jangan ambil hati. I cuma nak bergurau aje. Lupa pula, hari ini you tak mengidam nak makan apa-apa ke? Kut, teringin nak makan nasi kandar dekat Penang pula ke? I boleh bawakan? Dekat Ipoh kita dah pergi. Penang tak nak pula ke?”

Darissa mula hilang sabar dengan Shahrul. Kenapa dengan lelaki ini? Perlukah bercakap semua itu, di hadapan Zayn Izrel?

Darissa terus sahaja menarik tangan Shahrul, dan mereka berdua melangkah keluar dari bilik wad tersebut. Darissa tidak mahu, Shahrul berkata apa lagi. Walaupun Zayn Izrel masih tidak sedarkan diri lagi, dia tahu, pasti suaminya ada mendengarnya.

Pada saat ini, jari jemari Zayn Izrel bergerak sedikit, seakan memberi reaksi dengan apa yang dikatakan lelaki tadi.

Share this novel

norsila
2023-10-14 20:01:56 

zayn3 bilo risa sorng bbual dgn nya ..tk nk lak sdar..bilo ado orng ke tiga mmancing cemburunya..bru nk tkial2 nk sdar..hehehehe...agak klu risa ckp ada boyfiend..hahaha terus tsdar kot..


NovelPlus Premium

The best ads free experience