DYT 26 - I KNOW YOU LOVE ME

Romance Series 522373

DARISSA membasahkan wajahnya. Setelah itu, dia merenung wajahnya begitu lama di hadapan cermin. Kenapa Zayn Izrel memarahinya? Bukankah dia yang sepatutnya memarahi lelaki itu?

Jam di tangan dikerling sejenak. Sudah menghampiri pukul 1 pagi ketika ini. Keluarganya dan juga keluarga mentuanya, sudah pun tiba di Pulau Pinang. Dan sekarang ini mereka menginap di hotel, di mana Darissa menginap. Dan disebabkan Zayn Izrel dimasukkan ke hospital kerajaan, mereka tidak dibenarkan datang melawat pada waktu sebegini. Dan akan datang pada keesokan harinya.

Sudah tidurkah Zayn Izrel? Ataupun sudah makankah dia?

Darissa mengelap wajahnya menggunakan tisu. Nafas ditarik sedalam-dalamnya, lalu dihembus perlahan.

Satu, dua, tiga. Kau perlu kuat Riss. Zayn tengah sakit sekarang ini. Biarlah kalau dia bencikan kau. Yang penting, kau perlu jaga dia, sampai dia sihat. Darissa cuba mengukirkan senyuman, walaupun agak payah untuk dia tersenyum.

Perlahan-lahan dia mengayunkan langkah menuju ke wad suaminya. Suasana pada ketika ini, agak kelihatan sunyi sepi. Hanya kedengaran bunyi mesin oksigen apabila dia melalui setiap pintu wad kiri dan kanannya. Suaminya pula di tempatkan di wad kelas pertama. Dan hanya dibenarkan seorang sahaja yang masuk untuk menjaga pesakit.

Tiba sahaja di hadapan pintu wad suaminya, Darissa terus sahaja menolak daun pintu tersebut secara perlahan-lahan. Dan pada ketika ini, Zayn Izrel sedang terkial-kial untuk mencapai bubur ayam di atas meja, di sebelah kanannya.

Darissa dengan pantas berjalan masuk ke dalam. “Zayn, kejap...”

Zayn Izrel tersentak. Dengan pantas dia merebahkan badannya semula, sambil berpaling ke arah lain.

“You nak makan ya?” Darissa meletakkan beg tangannya di atas meja.

Darissa perasan, yang Zayn Izrel masih lagi dingin dengannya. Tetapi dia cuba untuk tersenyum.

“Sekejap ya? I cuci tangan I dulu.” Darissa terus menuju ke bilik air untuk mencuci tangannya. Setelah itu dia muncul semula. Sudu besi yang ditepis Zayn Izrel tadi, kelihatan ada di atas meja.

“Sudu tu nurse tolong bersihkan ke?”

Zayn Izrel masih diam membisu. Sudah seperti ada emas di dalam mulutnya.

“Tak apalah I pergi cuci lagi sekali.” Darissa terus mencuci sudu tersebut, setelah itu dia muncul semula.

“Sini. I suapkan you. Tapi, bubur ni dah sejuk. Tak apa ke, you makan bubur sejuk ni?”

Senyap.

Darissa sudah hilang sabar ketika ini.

“Zayn I nak suap you ni.”

Zayn Izrel masih diam membisu.

“Hello? I cakap dengan tunggul ke sekarang ni? Ataupun roh dah terkeluar daripada jasad? Dan yang berada di hadapan I sekarang ni, adalah jasad yang sedang merajuk?”

Zayn Izrel terus memandang Darissa dengan renungan yang tajam.

“Apa you cakap tadi? Roh terkeluar daripada jasad? Kenapa? Nak sangat I mati ke? Supaya you boleh pergi dekat kekasih you tu?”

Darissa tersenyum. “Ha, ada pun. Ingatkan dah tak ada. Rasanya tangan you aje yang sakit. Bukannya mulut. Sampai orang tanya banyak kali pun, tak nak jawab. Sekarang ni I nak suap you makan.”

“I tak nak makan.”

“Tak nak makan? Tadi bukan ke you nampak macam nak makan? Terkial-kial tadi I tengok you capai bubur ni. Tiba-tiba tak nak makan pula?”

“I tak nak makan! You tak faham bahasa ke?!” Suara Zayn Izrel mula meninggi.

“Shuh! Diamlah. Ingat ini rumah? Ini hospital tau? Tak payah nak tinggi suara tu. Suara tu, boleh dengar sampai ke luar.”

Zayn Izrel mengetap giginya menahan marah. Tiba-tiba sahaja dia dimarahi Darissa. Sudahlah tadi diperli. Roh keluar daripada jasad?

“Sekarang ni tak payah nak tunjuk keras kepala. I nak suap ni. Nanti kalau tak makan, kebulur pula.” Darissa terus mencedok bubur ayam di dalam bekas, yang dipegangnya ketika ini.

“Bismillah...” Sudu dihalakan ke arah mulut Zayn Izrel, tetapi suaminya menghalakan wajahnya ke arah lain.

“Makanlah. Nanti lapar.” Darissa cuba berlembut. Tetapi Zayn Izrel langsung tidak mahu berpaling ke arahnya.

Tanpa menunggu lagi, Darissa terus sahaja bangun dari kerusi. Wajah suaminya terus ditarik, supaya memandang ke arahnya.

“Makan...” Darissa pantas menekan kedua-kedua pipi Zayn Izrel dengan menggunakan tangan kirinya, lalu mulut suaminya terbuka sedikit. Bubur ayam terus sahaja disuapkan ke dalam mulut suaminya itu.

“Ha, kan senang.”

“Apa ni?” Bubur ayam yang disuap Darissa tadi, sudah pun berada dalam mulutnya.

“Kunyah ajelah. Tak payah nak mengada-ngada sangat.” Darissa menjeling. Geram pula dia dengan karenah Zayn Izrel.

“You faham tak I...”

“Shuh!” Darissa memotong percakapan Zayn Izrel saat ini.

Zayn Izrel terus terdiam.

“Tak payah nak membebel. Telan aje bubur tu. Letihlah dengar membebel-bebel campur nak merajuk bagai. Tak habis-habis nak keras kepala. Dah sakit, buat cara sakit. Ke nak panggil Natasya datang sini jaga you? Baru you happy? Yalah, I datang sini, asyik nak bad mood aje, kan?”

“Mana ada. Siapa yang nak dia jaga.”

“Manalah tahu, kut nak dia jaga.”

“You kalau rasa malas nak jaga I, baik you balik ajelah. Datang sini pun menyakitkan hati.”

Kedua-kedua bebola mata Darissa naik ke atas. “Kalau nak diikutkan memang malas pun. Tapi itulah, nanti apa pula family you cakap. Husband sakit dekat hospital. Wife dekat hotel tidur sedap-sedap, ya tak? Takkan nak buat diri I ni kantoi pula?” Darissa tersenyum sinis.

“You!”

“Sudahlah. Malas I nak bertekak dengan you. Cepat sikit habiskan bubur ni. I dah mengantuk ni. Nak tidur.”

“Bagi sini bubur tu. Tak payah nak suapkan I. Tangan kiri I ni masih berfungsi lagi. I boleh suap sendiri.”

“Oh, okey.” Darissa terus meletakkan bekas bubur ayam di hadapan Zayn Izrel. Dia terus melangkah menuju ke arah sofa, lalu tubuhnya direbahkan di atas sofa tersebut.

Tajam mata Zayn Izrel merenung ke arah Darissa saat ini. Darissa benar-benar menyakitkan hatinya!

“You baliklah. Tak payah nak jaga I.”

“Suka hati you la nak cakap apa pun. Makan cepat, bagi habis. Ni kalau nak ke toilet ke, kejutkan I.”

Kembang-kempis hidung Zayn Izrel menahan marah saat ini. Tiba-tiba sahaja telefon bimbitnya berdering. Tertera nama Natasya saat ini. Panggilan tersebut pantas sahaja dijawab.

“Hello Natasya.” Matanya melirik ke arah Darissa ketika ini.

“Ya, I dekat hospital sekarang ni. Kena tahan wad. Tapi mana you tahu I accident? Oh, Danial?”

Darissa mendengar sahaja perbualan Zayn Izrel bersama Natasya di telefon. Kenapa tidak suruh sahaja wanita itu datang ke sini menjaganya?

“Tak payahlah. Jangan susahkan diri you. I dekat Penang ni. Lagipun wife I ada dekat sini jaga I. Dia tengah buat apa? Oh, dia tengah tidur. Siap package berdengkur lagi tu. Penat sangat dia hari ini jaga I.”

Kurang asam! Dia cakap aku berdengkur?

“Okey. Thanks Natasya.” Zayn Izrel terus mematikan talian.

“Wah, wah... romantiknya you all berdua. Why not, you suruh dia datang sini jaga you?”

“Nak buat apa susahkan dia? Baik I susahkan you aje. Apa gunanya you, sebagai seorang isteri?”

“Oh, sedar pula you, yang I ni isteri you? Sebelum ni, tak ada pula you fikir yang you dah ada isteri? Dah ada isteri pun tak sedar diri. Masih nak menggatal dengan betina lain! Lepas tu, tak jujur pula tu.”

“Eh, you tu patut cermin diri dulu, sebelum you nak cakap I. Dah pandai nak play victim pula? Dah lupa ke, apa yang you cakap semalam? You berpura-pura cintakan I, sebab mahukan jawatan CEO tu. Dan you cakap lagi, Farhan sedang tunggu you, kan? You memang nak jadi isteri yang nusyuz ke?!”

Darissa terus sahaja bangun dari sofa.  Mencerlung tajam matanya ketika ini.

“Oh, I play victim? Dan semua ni salah I? It’s okay, I terima. Ya, salah I semuanya. Dan I juga seorang isteri yang nusyuz. Oh lupa, I memang berpura-pura cintakan you.” Matanya mula berkaca-kaca ketika ini. Dengan pantas dia berlari masuk ke dalam tandas. Kenapa? Kenapa kata-kata Zayn Izrel tadi, menyakiti hatinya?

 

 

 

KEDENGARAN azan subuh sedang berkumandang ketika ini. Darissa terjaga daripada tidurnya. Dia terkejut melihat yang dia sedang tidur di sebelah Zayn Izrel ketika ini. Jangan cakap dia mengigau malam tadi?

Darissa cuba mengingati kembali, apa yang telah terjadi kepadanya. Tetapi dia langsung tidak ingat. Pantas dia bangun dari katil, lalu berlari masuk ke dalam tandas.

Zayn Izrel perlahan-lahan membuka matanya, apabila merasakan Darissa sudah pun terjaga daripada tidurnya. Bibir disentuh lembut. Malam tadi, Darissa telah mengucup bibirnya dalam keadaan dirinya sedang mengigau.

Zayn Izrel benar-benar menikmati kucupan isterinya itu. Terasa seperti baru sahaja ianya terjadi. Tiba-tiba dia teringat kembali apa yang telah terjadi malam tadi.

“Zayn... why you buat I macam ni... Do you know how much I love you? I love you, with all my heart...”

“Riss...” Zayn Izrel terkebil-kebil memandang Darissa. Bukankah malam tadi, mereka berdua bergaduh? Kenapa tiba-tiba sahaja Darissa berubah?

“Zayn... I tak suka you berhubung dengan Natasya. I cemburu. I tak suka...” Darissa terus sahaja memagut bibir Zayn Izrel. Dikucup dengan penuh rasa kasih ketika ini. Zayn Izrel sikit pun tidak terkejut, malah dia turut membalas kucupan isterinya itu, tanpa mereka sedar yang mereka kini berada di hospital.

Tiba-tiba sahaja Darissa terdiam. Isterinya sudah menyambung tidurnya semula. Tangan kiri Zayn Izrel mula merangkul tubuh Darissa, lalu dipeluk dengan erat. “I know you love me baby...” bisiknya perlahan.

Klak!

Zayn Izrel tersedar daripada lamunan, saat mendengar pintu bilik air dibuka. Darissa sudah mengambil wudhuk ketika ini.

“You nak solat ke?”

Zayn Izrel mengangguk, sambil tersenyum manis memandangnya.

Berkerut dahi Darissa saat ini. Apa hal mamat ni? Tiba-tiba aje senyum? Takkan sebab aku tidur sebelah dia malam tadi? Aku ada buat benda pelik ke?

“Err, sorry malam tadi I tidur atas katil tu sekali dengan you. I tak sedar. Mungkin I ada mengigau semalam.”

“You tak ingat ke apa yang berlaku malam tadi?”

“Maksud you? I ada buat benda pelik?”

“Nak kata pelik tu tak. Tapi I suka.”

Sah! Aku buat benda pelik. “Hmm, cepatlah ambil wudhuk. I tunggu.”

Zayn Izrel terkial-kial turun dari katil. Darissa yang melihat keadaan itu, terus sahaja membantu Zayn Izrel.

“You dah ambil wudhuk, kan?”

“Tak apa. I boleh ambil semula.” Darissa terus memapah Zayn Izrel menuju ke tandas.

“I rasa nak mandi. Rasa tak selesa pula bila tak bersihkan diri.”

“Tapi tangan you ni? Macam mana you nak mandi?”

“Lap badan?”

“Err, kejap. I pergi ambil tuala kecil untuk lap badan you. Nasib baik I ada bawa malam tadi.” Darissa terus berjalan keluar untuk mengambil tuala kecil. Setelah itu dia muncul semula, sambil membawa tuala kecil tersebut.

Baju hospital yang dipakai Zayn Izrel mula dibuka butangnya satu persatu. Terserlah dada bidang suaminya ketika ini.

Ah, rasa seperti lama tidak dikucup dada bidang milik Zayn Izrel. Mahu sahaja dia menyembamkan wajahnya di dada bidang milik suaminya itu.

Zayn Izrel mula perasankan mata Darissa, yang terarah pada dadanya.

“Tak nak sentuh?” Sengaja Zayn Izrel menduga Darissa.

“Ha?” Darissa tersedar.

“Tak rasa rindu? Bila waktu malam, you suka kiss dada I ni. I missed that moment.” Tangan kiri mula diangkat, lalu dia mengusap lembut lengan Darissa.

Please! Jangan digoda waktu pagi begini. Darissa menelan liur.

“Riss... I missed you so much...” bisik Zayn Izrel dengan suara menggoda.

“Zayn... kita dekat hospital ni.”

“Kalau dekat hospital pun kenapa? Don’t you missed me?” Bersinar-sinar mata Zayn Izrel ketika ini. Dia tahu, Darissa sebenarnya menyintainya. Dan kata-katanya tempoh hari, adalah palsu.

Darissa memandang wajah Zayn Izrel. Ya, dia begitu rindukan suaminya itu. Tetapi gara-gara suaminya tidak jujur, Darissa menjadi semakin tawar hati.

“I know, you love me Riss... I tengok daripada pandangan mata you pun, I dah tahu.”

Darissa senyap, langsung tidak membalas kata-katanya.

“Riss I don’t want to lose you. I’m really missed you.” Tangan kiri Zayn Izrel mula merangkul pinggang Darissa, lalu isterinya terus terduduk di atas ribanya.

“Look at me baby...” Zayn Izrel mula merapatkan wajahnya pada wajah Darissa. Semakin lama, semakin hampir wajah mereka. Ketika ini, hanya kedengaran deru nafas mereka berdua sahaja.

Darissa sudah memejamkan kedua-kedua matanya. Dia rela. Rela bibirnya dikucup suaminya.

“Encik Zayn? Encik Zayn?” 

Mereka berdua tersentak. Darissa bingkas bangun dari atas riba suaminya.

“Ya nurse,” laung Zayn Izrel dari dalam.

“Encik Zayn, seorang sahaja ke di dalam?”

“Tak. I dengan wife.”

“Oh, baik. Risau pula saya, tengok pesakit tak ada di katil. Cepat ya? Saya nak periksa keadaan encik.”

“Tunggu sekejap ya? I nak cuci muka dulu.”

“Baik.”

Darissa memandang Zayn Izrel. “Cuci muka you dulu. Nanti dah settle semua, I lap badan you. I solat sendirilah ya?”

Zayn Izrel tersenyum lemah. “Hmm, okey.”

 

RASA agak payah Darissa menelan nasi yang berada di dalam mulutnya ketika ini. Dan teringat kembali mesej yang dihantar Natasya kepada Zayn Izrel pagi tadi. Dia secara tak sengaja, telah terbaca mesej tersebut, saat suaminya sedang menunaikan solat subuh.

Tak disangka, Natasya sudah dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk melawat Zayn Izrel. Kenapa wanita itu langsung tidak berputus asa? Dan apa yang perlu dilakukan sekarang ini? Adakah dia mahu berputus asa sahaja? Atau pertahankan sahaja haknya? Zayn Izrel adalah suaminya! Kenapa dia pula yang perlu mengundurkan diri?

Darissa terus sahaja bangun dari kerusi. Beg tangan terus dicapai. Tanpa menunggu lagi, laju sahaja kakinya menuju ke wad Zayn Izrel semula.

Daun pintu wad ditolak kasar. Darissa terus sahaja melangkah masuk ke dalam. 

“Mana you pergi? I’m waiting for you.”

“You dah baca mesej daripada Natasya?” Darissa menyoal, sambil menyilangkan kedua-kedua tangannya ke dada. Dia mahukan jawapan.

“Mesej? Yang dia nak datang ke sini?”

“Yes.”

“You baca?”

“So what? Kalau I baca pun? I ada hak, kan?!” Suara Darissa sedikit meninggi.

“Tak. I tak kisah pun you nak baca. I dah beritahu dia, supaya tak datang ke sini. Nombor dia pun, I dah blocked. I dah pesan pada Danial juga, supaya tak contact dengan Natasya lagi.” 

Mata Darissa mula mengecil. “You dah blocked?”

“Yes, I dah blocked. Lepas ni tak ada rahsia lagi di antara kita berdua. Dan I akan jujur dengan you. I tahu, sebelum ni I tak jujur dengan you. Dan I masih lagi nak berjumpa dengan Natasya. But please... trust me Riss. I betul-betul cintakan you. Dan I tak nak kehilangan you. Mungkin itu adalah perkara bodoh yang I dah lakukan. I janji, I tak akan berhubung dengan Natasya lagi.”

“Sekarang ni I nak tanya you satu soalan. Dan I harap, you jawab dengan jujur. You masih cintakan Natasya lagi?”

“No. I dah tak cintakan dia lagi. Sikit pun, I dah tak ada apa-apa perasaan pada dia. I mengaku, I salah. Sebab I dah bagi ruang pada dia. But now, I nak you sahaja Riss. Only you.... not her.”

Darissa melepaskan keluhan kecil. Perlukah dia gembira mendengarnya?

“Tapi... betul ke kata-kata you tempoh hari, yang you sebenarnya berpura-pura cintakan I? Dan you berlakon, kerana nak dapatkan jawatan CEO tu? Dan you nak kembali semula kepada Farhan? Dan jawatan CEO tu, you dah tak kisah dah? Tolong beritahu perkara sebenarnya pada I Riss. Dan please Riss... jangan kecewakan I...” Suara Zayn Izrel sedikit bergetar ketika ini. Entah kenapa dadanya berasa sebak. Dia risau, jika sebenarnya dia hanya bertepuk sebelah tangan sahaja.

“Apa? Apa yang kamu cakap tadi Zayn?” Datuk Azlan muncul di situ bersama-sama dengan isterinya, dan juga besannya.

Darissa dan Zayn Izrel tergamam ketika ini.

 

DARISSA menunduk sahaja, saat dimarahi Datuk Azlan.

“Kamu tak hilang ingatan?”

Darissa menggeleng perlahan.

“Abi...” Zayn Izrel cuba masuk campur.

“Kamu diam Zayn. Ini antara abi dan juga Riss. Apalah yang kau orang berdua buat sebenarnya ni? Ingat perkahwinan ni, perkara main-main ke?”

“Abi, Riss tahu Riss tak patut buat macam tu. Tapi Riss buat semua tu, sebab tak nak jawatan CEO diberikan kepada Nayla.”

Datuk Azlan menggeleng perlahan. “Kamu ingat, abi ni bodoh ke nak bagi jawatan tu pada Nayla? Dah tentulah abi tak bagi. Dia hanya anak angkat sahaja. Abi takkan sewenang-wenangnya bagi macam itu sahaja pada dia.”

“Apa? Abi cakap apa tadi?”

“Ya, abi dah lama letak nama kamu. Yang abi cakap nak letak nama Nayla tu, hanya sekadar ugutan sahaja.”

Terpinga-pinga Darissa ketika ini. Jadi, selama ini hanya ugutan sahaja?

“Sebelum kamu kahwin dengn Zayn, memang abi dah letak nama kamu. Cuma masa untuk diumumkan, masih belum tiba lagi. Dan abi tahu, abi tak sepatutnya pandai-pandai tentukan jodoh kamu. Tapi abi buat semua ini, sebab tak nak kamu tertipu dengan Farhan lagi. Disebabkan itulah, abi jodohkan kamu dengan Zayn.”

Datuk Azlan terdiam seketika. “Dan, abi sudah salah percaturan. Disebabkan abi pandai-pandai tentukan jodoh kamu, kamu dan Zayn tak bahagia. Hinggakan kau orang berdua, hidup dalam lakonan.”

Zayn Izrel mahu menyampuk, tetapi dia terpaksa mendiamkan diri sahaja.

“Zayn, betul ke kamu dengan Natasya masih bersama lagi? Apa yang mama dengar tadi, yang Zayn dah beri ruang pada Natasya? Dan Zayn juga tak jujur?” Datin Qasidah pula bersuara. Sememangnya mereka berempat telah mendengar apa yang dibincangkan anak dan menantu mereka dari awal lagi.

“Zayn memang bersalah mama. Tapi Zayn  bukannya nak beri ruang kepada Natasya. Tapi, Zayn hanya nak bantu dia sahaja masa itu. Zayn tahu, Zayn tak jujur dengan Riss. Tapi sebenarnya, Zayn betul-betul cintakan Riss. Terlalu cintakan Riss...”

“Zayn...” Natasya tiba-tiba sahaja muncul di situ.

Kesemuanya terkejut melihat kehadiran wanita itu. Berbeza pula bagi Darissa. Wajahnya mula kemerahan menahan marah.

Tak guna! Berani juga dia datang ke sini.

Share this novel

Hawani Hashim
2023-08-06 09:54:24 

Sambungan please tq

norsila
2023-08-04 07:54:47 

aduhhh natasya ni dogil naaa ...bunuh joo natasya ni..hahaha


NovelPlus Premium

The best ads free experience