DYT 4 - TAK AKAN BERTAHAN LAMA

Romance Series 523102

NATASYA cuba menyentuh tangan Zayn Izrel. Tetapi Zayn Izrel pantas mengelak.

“Kenapa dengan you ni. Dari tadi masam aje muka. Something wrong?”

“Ada sebab I ajak you jumpa  sebenarnya.”

“Ada sebab? Ada apa-apa yang tak kena ke?”

Zayn Izrel duduk di bangku batu, sambil menghadap tasik di hadapan. Dan diikuti Natasya.

“Kenapa dengan you ni? I makin risaulah.” Natasya mula tidak sedap hati. Kenapa dengan jantungnya ketika ini? Kenapa semakin laju berdegup?

“Next week I akan bertunang,” ujar Zayn Izrel dengan nada tenang.

Dengan spontan kedua-kedua mata hitam Natasya membulat memandang Zayn Izrel. Tidak salah dengarkah dia?

“You... you cakap apa ni? You nak bertunang? Dengan siapa?”

“Dengan pilihan keluarga I. I terpaksa ikut.”

Natasya berdiri tegak. “You main-main, kan? You tak tipu I, kan?”

“No. I tak tipu you. Memang I nak bertunang dah. Next week keluarga I akan masuk meminang perempuan tu, dan kami akan terus mengikat tali pertunangan.”

“Zayn!” Natasya menjerit. Dia tidak pedulikan orang ramai yang sedang berjalan di kawasan itu.

Zayn Izrel membuang pandang ke arah tasik di hadapannya. Jeritan Natasya tidak diendahkannya. Hatinya lagi sakit apabila mengenangkan perbuatan Natasya pada ibunya tempoh hari.

“Zayn! I’m talking to you! You can’t do this to me!”

“Yes I can.” Zayn Izrel memandang Natasya sekilas.

“Why? Kenapa you sanggup buat I macam ni? Oh, patutlah you tak nak perkenalkan I kepada family you? Sebab you tak cintakan I? Dan selama ini, you hanya nak permainkan  I?”

“Tak, I tak permainkan you. I’m truly love you. Tapi you...” Zayn Izrel terdiam.

“Tapi apa? Cakap dengan I. Apa yang I dah buat? Tak cukup cantik ke I ni?” Air mata Natasya mula bertakung.

“Kenapa you tolak mama I? Kenapa you cakap mama I orang tua kutuk? Kenapa Sya?”

“Wha... what?” Natasya mula tergagap-gagap.

“I dah cuba untuk membantah. I dah tunjuk gambar you pada family I, yang I dah ada you. Tapi, you dah hancurkan semuanya...”

“Apa you cakap ni? I tak faham.”

“You ada jumpa mama I, minggu lepas. Mama I ada tolong seorang mak cik jual keropok. Tapi you langsung tak layan. Sampaikan you boleh tolak mak cik jual keropok tu, termasuklah mama I sekali.”

Wajah Natasya terus sahaja berubah. Tiba-tiba sahaja dia teringat kejadian minggu lepas.  “Maksud you, I tolak mama you?”

“Yes! Itu mama I! You panggil dia orang tua kutuk. Kenapa you jadi macam tu Sya? Kenapa?”

“Zayn, I’m so sorry Zayn. I didn’t know she’s your mom. Kalau I tahu dia mama you, I memang tak akan buat dia macam tu.”

“Sya, kalau dia bukan mama I sekali pun, you tak patut buat orang tua macam tu. Mana adab you? Sampaikan mama I cakap, you tak sesuai dijadikan menantu. I dah cuba banyak kali pujuk dia, tetapi sia-sia.”

“Zayn, I minta maaf banyak-banyak. I sanggup jumpa mama you. I sanggup minta ampun pada dia. I sanggup Zayn.” Natasya mula merayu.

“Dah terlambat. Pihak perempuan pun dah bersetuju. Barang hantaran pun dah dibeli. Sudahlah. Lepas ini, kita tak perlu berhubung lagi.” Zayn Izrel mula bangun.

Air mata Natasya mula mengalir laju. “Zayn, you tak boleh buat I macam ni Zayn. Zayn, I terlalu cintakan you. Jangan tinggalkan I. Kalau you tinggalkan I, macam mana I nak teruskan kehidupan I?”

“Benda ni tak akan jadi, kalau you jaga adab you.”

“Ya, I tahu I silap, sebab kurang ajar. Tapi, I rimas. Awal-awal I dah tolak secara baik, tapi mak cik tu tetap memaksa. I jadi cepat serabut. Kebetulan mama you pula datang. I memang tak tahu langsung itu mama you. I sanggup Zayn. I sanggup mohon ampun pada mama you. I sanggup Zayn. Please jangan tinggalkan I.” Tangan Zayn Izrel diraih.

“Apa yang I boleh buat? I terpaksa bersetuju. Mama I memang tak nak I berhubung dengan you lagi. Dan dia suruh I pilih dia, atau pun you.”

“Zayn please...”

“I’m sorry Natasya. Just forget me.” Zayn Izrel terus sahaja berlalu pergi meninggalkan Natasya di situ.

Natasya jatuh terjelepuk di situ, dengan air matanya yang tidak henti-henti mengalir. Dia memandang Zayn Izrel yang sudah jauh meninggalkannya.

 

 

“AKU terima nikah, Darissa binti Azlan dengan mas kahwinnya tiga ratus ringgit tunai.”

“Sah?” soal jurunikah.

Dua orang saksi mengangguk, dan turut mengatakan sah.

Akhirnya Darissa sah menjadi isteri kepada Zayn Izrel. Perasaan Darissa ketika ini menjadi libang-libu. Benarkah dia kini sudah menjadi seorang isteri? Dan dia sudah mempunyai suami?

Jurunikah mula menadah kedua-kedua tangannya untuk membaca doa. Dan yang lain-lain ikut turut serta.

Darissa dan Zayn Izrel hanya bertunang selama tiga minggu sahaja. Dan semua urusan perkahwinan dapat dilakukan dalam masa tiga minggu itu. Dan nasib baik jugalah, masing-masing sudah pernah menghadiri kursus perkahwinan.

Dan sepanjang pertunangan, mereka berdua langsung tidak bertemu. Persiapan perkahwinan mereka pula, hanya diuruskan oleh keluarga masing-masing.

Saat ke butik pengantin, Darissa hanya ditemani oleh ibunya dan juga Hani. Dan dia juga tidak pernah berbual dengan Zayn Izrel, apatah lagi berbalas mesej.

“Baiklah, dah boleh sarungkan cincin pada pasangan.”

Zayn Izrel menghampiri Darissa. Ini kali pertama dia melihat Darissa mengenakan tudung. Lain benar wajah wanita itu. Perlahan-lahan tangan isterinya ditarik, lalu cincin berlian disarungkan ke jari manisnya. Kenapa tangan Darissa berasa sejuk? Zayn Izrel menarik nafas lega. Nasib baiklah cincin yang dibelinya tidak longgar dan juga tidak ketat.

Manakala Darissa pula mengeluarkan cincin suasa yang ditempahnya minggu lepas. Dia juga hanya mengagak sahaja jari manis milik Zayn Izrel. Cincin tersebut terus sahaja disarungkan. Fuh! Nasib baik muat.

“Cium tangan suami tu Riss,” arah Datin Dahlia.

Darissa membuat wajah malasnya. Tangan Zayn Izrel diraih, lalu dikucup laju. Cepat-cepat dia melepaskan tangan suaminya. Sikit pun dia tidak rasa ingin memegang terlalu lama. Entah kenapa, dia benar-benar berasa kekok.

“Boleh pegang semula tak, tangan suami tu? Tak sempat saya nak tangkap gambar ni. Laju sangat, dah terlepas.” Jurukamera tersebut mula bersuara.

“Yalah, cepat sangat. Salam semula,” kata Datuk Azlan pula.

Darissa mendengus kasar. Nak tak nak dia terpaksa meraih tangan Zayn Izrel semula. Wajah suaminya dipandang. Langsung tiada senyuman yang terukir di bibirnya. Kenapalah lelaki ini juga yang menjadi suaminya? Kenapa bukan lelaki lain?

Zayn Izrel pula memang tidak terasa ingin tersenyum. Lebih-lebih sekarang ini, dia benar-benar kekok. Dia tidak tahu kenapa dengan perasaannya. Kenapalah dia boleh bersetuju dengan permintaan keluarganya untuk menerima Darissa sebagai isterinya? Kenapa dia tidak berfikir panjang? Adakah kerana terlalu mengikut sahaja permintaan keluarganya?

Dan dalam tiga hari yang lepas, Natasya telah menghubunginya semula. Kata Natasya, dia sanggup menunggunya, walaupun beberapa tahun. Perlukah dia teruskan hubungannya dengan Natasya? Lagi pun kasih sayang dan cintanya terhadap Natasya, tetap tidak berubah.

Gambar mereka berdua ditangkap seberapa banyak yang boleh.

Datin Qasidah tersenyum melihat anak lelakinya bersama dengan Darissa. Sama cantik, sama padan. Tidak sia-sia dia memilih Darissa sebagai menantunya. Dan nasib baiklah bukan Natasya yang menjadi menantunya.

Datin Dahlia menghampiri Datin Qasidah yang dari tadi tidak henti-henti tersenyum.

“Tak sia-sia kita calonkan mereka berdua, kan?”

“Betul tu. Sama cantik sama padan I tengok dia orang berdua. I harap, rumah tangga mereka berdua berkekalanlah hendaknya. I ni risau juga sebenarnya. Yalah, dia orang bukannya bercinta pun. Tapi suami kita yang tentukan jodoh mereka berdua.”

“Insya-Allah. Harap-harap jodoh mereka panjang. Kita banyak-banyakkan berdoa.”

Masing-masing mengangguk sesama sendiri.

Perlahan-lahan Nayla menghampiri Darissa yang baru selesai bergambar dengan Zayn Izrel. Tak sangka, Zayn Izrel merupakan CEO Z. Empayar. Dia benar-benar cemburu dan berasa sakit hati melihatnya. Kenapalah bukan dia yang dipilih?

“Tahniah Kak Riss, dah jadi isteri orang dah.”

Darissa memandang Nayla dengan renungan yang tajam. “Kau memang sukakan tengok aku? Kenapa bukan kau aje yang nikah dengan jantan tu? Tak pasal-pasal aku terpaksa bersetuju, disebabkan aku tak nak jawatan tu diberikan kepada kau.” Darissa tarik muka. Memang dia tidak suka melihat Nayla. Wanita itu hanya pandai berpura-pura.

Nayla mencebik menahan tangis.

“Tak payah kau nak buat muka sedih depan aku ni. Kau tu berpura-pura aje. Aku dah dapat tangkap kau punya mimik muka ni. Pergilah sana. Tak payah nak dekat dengan aku ni.”

Tanpa menunggu lagi, Nayla terus sahaja melangkah meninggalkan Darissa di situ. Tangan kanannya digenggam kuat. Jika diikutkan rasa amarahnya, sudah lama wajah Darissa makan penumbuknya.

 

 

MAJLIS persandingan berjalan dengan sungguh meriah sekali. Darissa dan Zayn Izrel mengenakan busana pengantin berwarna hijau zamrud, yang ditempah khas dari pereka terkenal, iaitu Rizman Ruzaini.

Dari tadi Zayn Izrel merenung sahaja wajah Darissa. Kenapa dia merasakan Darissa sungguh cantik? Adakah warna hijau zamrud telah menaikkan seri wajah isterinya?

Zayn! Jangan kau cepat jatuh cinta! Cinta pertama kau adalah Natasya!

Tak! Tak! Aku tak rasa apa-apa pun. Cuma aku rasa dia cantik. Itu sahaja. Bisik hati kecilnya.

Usai sahaja acara bersanding, mereka berdua turun pula ke meja santapan. Darissa laju sahaja menuju ke meja santapan tersebut, tanpa menunggu Zayn Izrel.

Hani dengan pantas mencubit lengan Darissa.

“Auch! Sakitlah. You ni kenapa?”

“You tinggalkan husband you macam tu aje?”

“Isy, suka hati I lah. Nak buat apa I tunggu?”

“Kalau ia pun, jangan tunjuk sangat tak suka tu. Kalau abi you tengok you macam ni, you ingat, dalam masa terdekat ni, dia boleh beri jawatan CEO tu terus? Entah-entah lambat. Fikirlah sikit.”

Darissa mencebik. “Isy, yalah.” Darissa terus melabuhkan punggungnya di kerusi.

Hani terus membantu Darissa mencedok nasi dan juga lauk pauk ke dalam pinggan Darissa. Manakala Zayn Izrel pula, sedang sibuk berbual-bual dengan seorang rakannya.

“You tengok tu? Orang nak makan, time macam ini jugalah dia nak berbual dengan kawan dia. Memang patutlah I tinggalkan dia tadi. You tu yang beria-ia suruh I tunggu.”

“Eh, mestilah kena tunggu. Tak kisahlah dia tengah berbual-bual ke apa? Tapikan, I nak tanya sikit.”

“You nak tanya apa?”

“You dengan dia memang langsung tak bercakap ke?”

“You tengok ada I bercakap dengan dia? Memang taklah. Dari kami bertunang, nikah, sampailah bersanding ni, langsung tak bercakap. Entah. I tak rasa nak bercakap dengan dia. Dia mungkin kecewa sebab kahwin dengan I. Dan bukannya dengan kekasih dia.”

“Tak kisahlah dia nak kecewa pun. Sekarang ni, you dah jadi isteri dia dah. Pelik-pelik aje you all berdua ni. Tak bercakap-cakap. Masing-masing dalam mulut ada emas.” Hani menggeleng. Dia tahu, apa yang terjadi tentang perkahwinan ini, setelah diceritakan Darissa. Dia juga tidak sangka, Datuk Azlan telah membuat rancangan seperti itu.

“Eh, ada you nampak Farhan datang ke sini tak?”

“Farhan? Tak ada pula I nampak. Eloklah dia tak datang.”

“I ni bukan apa. Risau dia datang ke sini, buat kecoh.”

“Masalahnya tak ada. Sudahlah tak payah nak fikir pasal Farhan tu. You kena buang perasaan you tu terhadap Farhan. Sekarang ni, you kena buka hati you tu untuk suami you.”

“Sudahlah, I nak makan. Malas nak cakap lagi. Boring.”

“Isy, orang cakap tak nak dengar. Sekarang ni tunggu kejap. Husband you tu masih berbual-bual lagi. Tak akan nak makan dulu pula?”

“Err, pengantin lelaki. Boleh duduk sekarang? Saya nak tangkap gambar,” kata jurukamera yang tiba-tiba sahaja muncul di hadapan meja santapan.

Zayn Izrel tersedar apabila dirinya dipanggil, lalu dia meminta izin dari rakannya untuk ke meja santapan. Punggungnya terus dilabuhkan di sebelah Darissa.

“Baiklah, siap sedia ya?”

Masing-masing mula mengangkat sudu dan garfu.

“Okey, suami suap isteri. Isteri suap suami ya?”

Berkerut dahi Darissa dan Zayn Izrel ketika ini.

“Ha, buat apa lagi tu? Ikutlah cakap jurukamera ni.” Datuk Azlan tiba-tiba sahaja muncul di situ bersama dengan Datuk Zafar.

Darissa tersentak. Bibir diketap kuat. Kenapalah bapanya kerap sangat muncul? Dan kenapa pula dia perlu menyuap Zayn Izrel?

Nak tak nak terpaksa jugalah Darissa menyuap Zayn Izrel. Manakala Zayn Izrel turut menyuapnya. Pelbagai gaya yang disuruh jurukamera tersebut. Tibalah saat, jurukamera mengarahkan mereka berdua menatap mata antara satu sama lain.

Pada awalnya Darissa seakan tidak bersetuju. Tetapi disebabkan bapanya berdiri di situ, terpaksa jugalah dia menatap mata Zayn Izrel.

Masing-masing terdiam kaku, sambil menatap antara satu sama lain. Jantung Darissa berdegup dengan kencang ketika ini, begitu juga dengan Zayn Izrel.

“Wah, cantik. Nice... very nice...” ucap jurukamera itu, sambil jarinya menekan butang kamera, beberapa kali.

Darissa tidak mengerti dengan perasaannya ketika ini. Kenapa dengan jantungnya? Kenapa begitu laju berdegup? Jika dia menatap mata Farhan, tidak pernah pula dia merasa seperti ini.

 

 

MALAM itu, Zayn Izrel bermalam di rumah keluarga Darissa. Pada awalnya dia mahu pulang sahaja ke kediamannya. Tetapi disebabkan keluarganya telah mengarahkannya tidur di rumah keluarga Darissa satu malam, terpaksa jugalah Zayn Izrel turutkan.

“Buat apa tu Abang Zayn?” tegur Nayla, dari arah belakang.

“Err, tak buat apa. Cuma tak tahu yang mana satu bilik Kak Darissa.”

“Oh, bilik akak dekat tingkat atas. Bukan tingkat yang ini. Jom, Nay bawakan.”

Zayn Izrel menurut. Belum sempat dia mahu melangkah, Darissa sudah muncul di anak tangga.

“Lamanya you dekat bawah tadi. Jom.” Darissa terus menarik tangan Zayn Izrel. Zayn Izrel yang tidak tahu apa-apa hanya menurut. Kenapa Darissa tiba-tiba sahaja memegang tangannya?

Nayla mengetap bibirnya menahan marah.

Tiba sahaja di tingkat tiga, mereka terus berhenti di muka pintu bilik. Daun pintu ditolak. Darissa terus melepaskan pegangan tangannya. Dia terpaksa berbuat demikian di hadapan Nayla. Dia juga tidak mahu Nayla mengadu apa-apa pada bapanya.

“Masuklah. Buat apa dekat depan pintu tu lagi?”

Zayn Izrel terus melangkah masuk ke dalam.  Beg kecil yang berisi pakaiannya diletakkan di atas sofa. Entah masa bilalah ibunya memasukkan pakaiannya ke dalam beg. Macam tahu-tahu aje, dia tidak mahu bermalam di sini. Dia merenung Darissa yang sepertinya sudah selesai membersihkan diri. Isterinya itu sudah mengenakan pyjama kain cotton berlengan panjang.

Darissa duduk di birai katil. Dia tidak tahu apa yang harus dia lakukan. Menyuruh suaminya mandi?

“We need to talk.” Zayn Izrel mula bersuara. Dia menghampiri Darissa.

Darissa menelan liur. Suara garau Zayn Izrel menerpa ke telinganya. Dan suaminya kini, sudah berdiri di hadapannya, dengan busana pengantin masih tersarung di tubuhnya.

“I tahu, kita kahwin ni atas permintaan keluarga kita. I tak cintakan you. I dah ada Natasya. Iaitu wanita yang you pernah jumpa sebulan yang lalu. Dan I tahu, you pun tak cintakan I. Mungkin perkahwinan kita ni tak akan bertahan lama.”

“Ya, I know. Memang tak akan bertahan lama,” balas Darissa bersahaja.

Zayn Izrel tersenyum paksa. “Up to you, what do you want to do. I don’t care. For me, perkahwinan ini wujud, disebabkan oleh permintaan keluarga kita. Bila tiba masanya, kita akan membawa haluan masing-masing.”

Darissa sudah tersenyum lebar. Ini yang dia harapkan. “Thank you so much, kerana memahami I. I harap, you tak masuk campur dalam kehidupan I, dan I pun tak akan masuk campur dalam kehidupan you. Sepertimana yang you cakap tadi, bila tiba masanya, kita akan membawa haluan masing-masing. Lagi pun, you terlalu mencintai Natasya, bukan?”

“Yes. I terlalu cintakan dia. Dan I tahu, you mesti cintakan kekasih you, kan?”

Perlahan-lahan Darissa mengangguk. Ya, dia masih cintakan Farhan. Farhan juga ada merayu kepadanya, supaya tidak berkahwin dengan Zayn Izrel. Tapi apa yang mampu Darissa lakukan? Bapanya sememangnya tidak menyukai Farhan. Kalau dia memilih Farhan, jawatan CEO tidak akan diberikan kepadanya. Malah, Nayla pula yang akan dipilih.

“So, I tak tahu berapa lama I dapat bertahan hidup berumah tangga dengan you. So, macam yang I cakap tadi, bila tiba masanya...”

“Kita akan membawa haluan masing-masing. Sudahlah, you pergilah mandi. Malam ni you tidur bawah. Toto dengan bantal I dah letak atas sofa tu,” potong Darissa. Malas dia mendengar Zayn Izrel berhujah panjang-panjang. Lebih baik dia tidur sahaja. Matanya juga sudah tidak mampu dibuka. Dia benar-benar mengantuk. Laju sahaja kakinya memanjat katil.

Zayn Izrel pula berdiri pegun memandang Darissa yang sudah menarik selimut, dan menutup satu tubuh badannya.

Isy, janganlah dia tengok aku tidur. Tak pasal-pasal aku berselubung satu badan. Kerana takut Zayn Izrel menuntut haknya, terpaksalah Darissa tidur dalam keadaan dirinya berselubung.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience