Dua Jiwa

Romance Series 16692

Arman mengesat peluh di dahinya. Walaupun kipas siling masjid berputar dan aircond terpasang, peluh tetap membasahi dahinya. Cemas. Tangannya dikepal, basah. Sesekali dia meramas jari-jarinya yang bertaut. Dato’ Adnan, yang duduk bersila di tepi, menyedari keadaan Arman yang gugup. Bahu Arman dicengkam lembut.

“Bertenang... relax... tarik nafas perlahan-lahan.”

Arman memejamkan mata. Perlahan, dia menarik nafas dalam-dalam.

Tok kadi, saksi, dan saudara-mara pihak lelaki sudah berada di dalam masjid. Hanya pengantin perempuan dan rombongannya masih dalam perjalanan. Setelah menunggu hampir 15 minit, barulah rombongan pengantin perempuan tiba.

Dari jauh, Arman nampak Yasmin berjalan sambil diapit oleh Melur dan Dahlia. Dia mengenakan sepasang pakaian berwarna putih dan bertudung krim, sambil memegang jambangan bunga di tangan. Yasmin kelihatan begitu anggun dengan persalinan akad nikahnya dan solekan tipis. Arman tersenyum, matanya menyoroti setiap langkah Yasmin sebelum pahanya ditepuk perlahan oleh Dato’ Adnan.

Ziyad, Rayyan, dan Darwish mengambil tempat di celah-celah rombongan pengantin lelaki yang duduk menghadap Tok Kadi. Alang pula duduk berdekatan dengan Tok Kadi. Sebagai adik seibu-sebapa, dia mewakilkan Tok Kadi untuk melafazkan ijab dan kabul.

Tok kadi yang duduk di hadapan kelihatan sedang menyemak dokumen-dokumen pasangan pengantin. Dia perlu memastikan semua dokumen lengkap.

“Semua dah sampai, ya?” soal tok kadi sambil membetulkan mikrofon di hadapannya. Matanya meliar memandang ke arah kumpulan wanita di belakang.

Tok kadi kemudian membuka majlis akad nikah dengan doa, memohon keberkatan dan kelancaran untuk penyatuan dua jiwa itu. Setelah habis berdoa, tok kadi membaca khutbah nikah. Semua yang hadir diam, memberi tumpuan.

“Tadi kita dah praktis banyak kali, kan? Cuba sebut sekali lagi, kali terakhir sebelum kita mulakan akad nikah,” ujar tok kadi dengan tenang.

Arman mengangguk.

“Aku nikahkan akan dikau dengan Yasmin Afifah binti Kamarudin, yang berwakil walikan aku, dengan mas kahwinnya sebanyak seribu dua ratus ringgit tunai.”

“Aku terima nikahnya Yasmin Afifah binti Kamarudin dengan mas kahwinnya sebanyak seribu dua ratus ringgit tunai,” lafaz Arman penuh semangat.

“Alhamdulillah. Kita mula sekarang,” ujar tok kadi sambil menghulurkan tangannya kepada Arman.

Tangan mereka bertaut erat. Arman menarik nafas panjang, cuba menenangkan diri. Kata-kata tok kadi tadi bergema dalam benaknya. Dia telah menghafal lafaz itu berulang kali, namun rasa gugup tetap menyelubungi.

Tok kadi memandangnya dengan tenang, sambil tersenyum kecil.

“Insya-Allah semuanya akan dipermudahkan.”

Yasmin, yang duduk di ruang wanita, sempat melirik ke arah Arman. Wajahnya juga kelihatan sedikit cemas.

Dato’ Adnan sekali lagi menepuk bahu Arman.

“Tarik nafas, fokus, lafazkan dengan yakin.”

Saat lafaz akad mula diucapkan, suara Arman sedikit bergetar. Namun, dia menyempurnakan lafaz tersebut dengan jelas:

“Aku terima nikahnya Yasmin Afifah binti Kamarudin dengan mas kahwinnya sebanyak seribu dua ratus ringgit tunai.”

Para saksi tersenyum lega.

“Sah?” tanya tok kadi kepada mereka.

“Sah!” jawab mereka serentak.

Suasana masjid tiba-tiba dipenuhi ucapan syukur dan senyuman. Yasmin meletakkan tangan kanan di dada, gementar, debaran halus menyelubungi dada, manakala Arman akhirnya menghela nafas lega. Dia tersenyum lebar sambil menyapu peluh yang masih membasahi dahinya.

“Alhamdulillah,” bisik Arman sambil memandang ke arah Yasmin yang kini telah sah menjadi isterinya. Selesai ijab-kabul tok kadi membaca lafaz taklik.

Saudara-mara, rakan-rakan, dan jurufoto yang diupah sibuk mengambil gambar.

Setelah habis taklik di baca, Zulaikha, yang membawa dua dulang berisi cincin dan wang mas kahwin yang digubah indah, menghampiri pengantin perempuan. Dia duduk di situ, diikuti oleh Puan Raudhah dan beberapa saudara Arman.

Kemudian, Arman datang dan duduk melutut di hadapan Yasmin. Dia mengambil cincin dan menyarungkannya ke jari manis isterinya. Tangan Yasmin terasa dingin dan sedikit gementar. Dahi Yasmin dicium lembut. Dia membatu, wajahnya merona merah. Saat itu diabadikan oleh mereka yang sedang mengambil gambar.

Datin Raudhah mengesat air mata dengan tisu. Dia bersyukur. Akhirnya, setelah menanti hampir lapan tahun, anak bongsunya itu berkahwin juga. Dia selalu bimbang Arman tidak akan berkahwin kerana masih patah hati akibat ditinggalkan kekasihnya dahulu. Mujur, kemunculan Yasmin berjaya mengetuk pintu hati Arman.

----

Majlis akad nikah diraikan dengan kenduri doa selamat di rumah Yasmin. Selepas selesai acara akad nikah di masjid, mereka semua berkumpul di rumah Yasmin. Dua biji khemah disewa bersama meja dan kerusi untuk memudahkan tetamu menjamu selera. Semua nasi dan lauk-pauk untuk majlis akad nikah pada hari ini dimasak sendiri oleh Yasmin dan adik-beradiknya.

Tetamu mula memenuhi ruang di bawah khemah yang dihias dengan kain berwarna putih dan emas. Makanan dihidangkan secara bufet. Hidangan utama disusun di atas meja di hujung khemah. Makanan pencuci mulut pula terdiri daripada kek, kuih-muih, dan laksa yang disumbangkan oleh jiran-jiran serta saudara-mara Yasmin disusun di bawah bumbung tempat parkir.

Dari jauh, Arman dan Yasmin ternampak kelibat Abang Lan bersama rakan-rakan dari kilang Saidai. Abang Lan tersenyum lebar, turut berkongsi kegembiraan dengan pernikahan dua orang kenalannya itu.

“Tahniah. Selamat pengantin baru. Semoga kekal hingga ke anak cucu,” ucap Abang Lan dengan nada berseloroh. Arman tersenyum bahagia, sementara Yasmin tersenyum malu.

“Kahwin juga hampa berdua akhirnya,” tambah Abang Lan lagi, sambil ketawa kecil.

“Tahniah, Yasmin dan Encik Arman,” sapa Nisa dan Desi pula, sambil tersenyum manis ke arah pengantin baru.

Yasmin membalas senyuman dua sahabatnya itu sambil mengangguk kepada Nisa dan Desi.
“Terima kasih, Nisa, Desi. Aku ingat hampa tak dapat datang,” balas Yasmin lembut.

Arman menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Abang Lan. Genggamannya erat sambil berkata,
“Terima kasih, Abang Lan, sebab sudi datang. Terima kasih jugak atas gurauan-gurauan Abang Lan yang membuatkan saya memberanikan diri meluahkan perasaan saya pada Yasmin,” ucapnya penuh syukur.

“Serabut aku tengok hang dok macam tu saja. Tu lah gunanya kawan, betul dak?” balas Abang Lan dengan nada berseloroh, diiringi gelak kecil Nisa dan Desi.

Mereka semua duduk bersembang di meja di bawah khemah. Sejak tadi, ramai rakan dari kilang Saidai datang pada waktu rehat mereka. Majlis akad nikah itu diadakan pada hari Jumaat, kebanyakan rakan-rakan mereka bekerja syif pagi.

Abang Lan berkongsi cerita tentang pengalamannya bekerja di kilang Saidai. Sesekali, gelak tawa mereka memecah suasana, menambahkan keceriaan majlis.

Nisa memegang tangan Yasmin yang dihiasi inai di atas meja.
“Aku macam nggak percaya semua ini benar-benar terjadi,” ucapnya perlahan, wajahnya penuh teruja.

Yasmin tersenyum tulus.
“Aku lagi tak percaya yang aku dah jadi bini orang. Macam mimpi,” balasnya, membuatkan Nisa dan Desi tersenyum penuh makna.

“Buruan datang, ya sayang. Teman mama papa ada di sini,” gurau Nisa sambil mengusap perut Yasmin dengan lembut.

Pantas, jari Yasmin mencubit lengan Nisa.
“Aduh!” jerit Nisa sambil menggosok lengannya yang kelihatan merah, disambut gelak tawa Desi.

Memang Nisa, Desi, dan Nita suka menyakat Yasmin yang agak pemalu. Nita pula bercuti hari ini dan mungkin akan datang pada petang nanti.

Majlis terus berlangsung hingga pukul lima petang, manakala majlis resepsi di rumah Yasmin akan diadakan pada hari Ahad nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience