Arman memapah Dato' Adnan keluar dari bilik air. Dia berjalan perlahan, mengikut rentak abahnya itu.
"Abah ni, kaki elok lagi. Boleh berjalan. Tak perlu kamu nak papah abah," bebel Dato' Adnan, lemas diperlakukan sebegitu oleh ahli keluarganya.
"Kitorang ni takut abang pitam dalam bilik air tu," sampuk Datin Raudhah. Setelah keadaan Dato' Adnan stabil, barulah mereka memohon untuk melanjutkan rawatan ke Hospital Pakar Metro, jadi tidak perlulah dia dan suaminya berkongsi bilik air lagi.
Jenuh juga nak menunggu giliran mandi setiap pagi kerana wad sentiasa penuh dengan pesakit dan penjaga. Itulah kali pertama Datin Raudhah menggunakan khidmat hospital kerajaan. Yang seronoknya, dia tidak pernah merasa bosan sepanjang lima hari menemani suaminya di Hospital Sultan Abdul Halim, kerana di dalam wad ada ramai orang yang boleh diajak berbual.
Seketika kemudian, Khadijah dan Muiz masuk sambil membawa sebakul kecil buah-buahan.
"Ya Allah, siapa la yang nak makan semua ni? Tadi mama kamu suruh Arman belikan epal dengan limau," bebel Dato' Adnan lagi. Kalau boleh, cepat-cepat dia mahu keluar dari hospital.
"Simpanlah dalam peti sejuk tu. Kan ada peti sejuk tu ha," ujar Datin Raudhah. Arman tersengih. Seperti biasa, mama dan abahnya memang tidak sependapat. Ada saja topik yang menjadi perdebatan mereka.
"Budak yang tolong abang hari tu, kamu dah WhatsApp ke?" soal Dato' Adnan kepada Datin Raudhah.
"Saya suruh Arman tolong WhatsApp. Saya kan dok teman abang di hospital ni ha."
"Kamu ada WhatsApp budak tu?" Dato' Adnan menyoal anak bongsunya pula.
"Sudah. Kitorang dah berkenalan, dah berbual panjang lebar. Semalam Adik ajak dia keluar minum."
"Baik dan jujur budak tu, kan? Kalau ada anak perempuan lagi, saya dah pinangkan untuk jadi menantu," gurau Datin Raudhah.
"Dulu tak nak anak ramai, sekarang anak-anak dah tua, yang sorang lagi tak kahwin-kahwin, baru nak menyesal," sindiran Dato' Adnan, diiringi ketawa Arman, Khadijah, dan Muiz.
"Adik pun kena perli?" Arman masih tersengih geli hati.
----
Umi bangun dari kerusi, cuba menyambung kerjanya. Namun, Umi terduduk semula. Umi mahu memasak makanan tengah hari sebelum Ameena, Darwish, Rayyan, dan Dahlia pulang dari sekolah. Sudah dua hari Umi sakit kepala. Dia menggagahkan diri untuk berjalan ke bilik tidur.
"Along... Along." Umi memanggil Along yang sedang tidur di biliknya.
"Along... Along...!" panggil Umi lagi, kali ini dikuatkan sedikit suaranya. Along bangun duduk sebentar lalu terus ke bilik Umi.
"Kenapa, Umi?" Along menguap, matanya terasa berat kerana terlalu mengantuk.
"Umi nak pi klinik, kepala Umi sakit," Umi sudah tidak dapat menahan kesakitan. Dia segera bersiap, dan Along membawa Umi ke klinik kesihatan yang berdekatan dengan rumah mereka. Setelah sampai di klinik, Along mengambil kad pengenalan Umi untuk proses pendaftaran. Along diberikan nombor giliran.
Setelah hampir tiga puluh minit menunggu, Umi dipanggil masuk ke dalam bilik rawatan. Doktor yang bertugas mengambil tekanan darah Umi setelah bertanya beberapa soalan.
"Tekanan darah Puan tinggi sangat ni. Puan kena pi hospital," kata doktor. Doktor itu menulis surat rujukan dan membuat beberapa panggilan.
"Puan baring atas katil dulu. Nanti kami hantar ke hospital naik ambulans." Dada Umi terasa sesak. Dia berbaring di atas katil, Umi teringat akan anak-anaknya yang akan pulang dari sekolah tidak lama lagi, terutamanya anak bongsunya, Ameena.
Tidak berapa lama kemudian, Umi ditolak masuk ke dalam ambulans dan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim. Along mengikut Umi ke hospital dengan van. Dia sempat menelefon Ziyad untuk memaklumkan keadaan Umi dan meminta Ziyad menjemput Ameena di sekolah nanti.
----
Rayyan dan Darwish mengangkat basikal masing-masing ke atas flat. Basikal diletakkan di tepi balkoni rumah mereka lalu dimangga. Setelah masuk ke dalam rumah, mereka mencari kelibat Umi seperti biasa. Ziyad berada di dapur, sedang menyediakan air sirap untuk mereka. Ameena berada di dalam bilik Umi, tertidur keletihan setelah pulang dari sekolah.
"Mana Umi?" soal Darwish.
"Umi masuk hospital. Along ada kat hospital dengan Umi." Ziyad menunggu Dahlia pulang dari sekolah. Dia mahu menyuruh adiknya yang berusia sembilan belas tahun itu mengemas barang-barang Umi untuk dibawa ke hospital.
Tepat pukul 2.30 petang, Dahlia sampai di rumah. Sekolah Menengah Bandar Sungai Petani agak jauh dari rumah mereka kerana sekolah menengah berdekatan rumah mereka tidak menyediakan kelas untuk tingkatan enam. Setelah masuk ke dalam rumah, Dahlia hairan melihat Ziyad yang sepatutnya bekerja, berada di rumah.
" Hang tak pi kerja ka?" sapa Dahlia.
"Umi masuk hospital. Nanti hang tolong kemas barang-barang Umi yang nak dibawa ke sana." Dahlia agak terkejut, ini pertama kali Umi masuk hospital dan di tahan di wad kerana masalah kesihatan. Dia segera masuk ke bilik untuk mengemas barang keperluan Umi.
"Nanti hang masaklah apa-apa untuk depa. Umi tak sempat masak tadi." Ziyad keluar membawa sebuah beg pakaian dan raga berisi termos, sebotol air minum, cawan, bekas untuk mengisi makanan, sudu dan garfu.
Share this novel