Prasangka

Romance Series 16692

Pasar malam Taman Ria Jaya yang kebiasaannya sesak dengan orang ramai menjadi lengang kerana hujan renyai. Yasmin, yang sedang asyik memilih sayur-sayuran segar di salah satu gerai, tidak perasan Nisa sedang memerhatikannya dari jauh. Perlahan-lahan, Nisa menghampiri Yasmin. Dia mencuit pinggang Yasmin.

“Min!” sapanya ceria.

Yasmin terjerit kecil, geli. Dia segera menoleh.

“Nisa! Lama tak nampak,” balas Yasmin teruja. Mereka berpelukan erat. Sudah hampir setahun mereka tidak bertemu.

“Jom sembang dulu, Min. Aku belanja,” ajak Nisa sambil menarik tangan Yasmin. Mereka berjalan ke sebuah kedai makan berhampiran dan memilih meja yang sedikit jauh dari kaunter.

Tidak lama kemudian, seorang pelayan datang mengambil pesanan.

“Teh ais satu,” pinta Yasmin lembut.

“Nescafe panas,” tambah Nisa dengan nada ramah.

Yasmin memandang Nisa sambil tersenyum. “Hang macam mana sekarang? Masih kerja kilang tu lagi ka?”

“Iya, aku masih kerja di situ. Eh, aku dengar cerita hang dah bercinta dengan Encik Arman. Betoi ka?” tanyanya dengan loghat Kedah, diselangi gaya bahasa Indonesia.

“Betoi la... Mana hang tau?” Yasmin tersipu-sipu malu.

“Lama dah aku tau. Encik Arman tu suka kat hang. Untung hang, Min! Dapat dia yang elok, baik, handsome... Dah la kaya pulak,” usik Nisa sambil ketawa kecil.

“Hish... Mana ada lah. Merepek ja hang ni,” balas Yasmin, cuba menafikan.

“Betoi la aku cakap. Dia anak orang kaya, Min. Ayah dia Dato’, ada bisnes besaq. Kalau hang kahwin dengan dia, tak payah kerja dah lepas ni,” tambah Nisa lagi, nada usiknya makin menjadi-jadi.

Namun, riak wajah Yasmin berubah.

“Anak Dato’? Hang tau mana semua ni?” soalnya, terkejut. Selama ini, Arman tidak pernah bercerita tentang latar belakang keluarganya. Yasmin selalu menyangka Arman hanyalah orang biasa yang menyambung pelajaran ke Jepun dengan biasiswa.

“Semua orang kat kilang dah tau la, Min,” balas Nisa bersahaja. Dia perasan perubahan pada wajah Yasmin.

“Ada apa, Min?” tanya Nisa, lalu mencapai tangan Yasmin di atas meja.

“Tak dak apa,” jawab Yasmin sambil cuba mengukir senyuman. Namun, hatinya berbaur. Fikirannya dipenuhi seribu satu persoalan.

“Dia tak pernah bagitahu apa-apa pasal keluarga dia. Takkan orang macam dia boleh sukakan aku. Aku orang susah, adik-beradik pun ramai. Nanti mak dan ayah dia ingat aku nak menumpang senang pulak...” fikir Yasmin.

Hati kecilnya mula dihantui prasangka.

“Nisa, aku balik dulu la ya. Sakit kepala,” kata Yasmin tiba-tiba sambil bangun. Dia terus menuju ke tempat motornya diparkir, meninggalkan Nisa terpinga-pinga.

----

Setibanya di rumah, Yasmin hanya duduk termenung sambil menatap telefon bimbitnya. Dia tahu Arman sedang bekerja syif malam.

“Kenapa Arman tak pernah bagitahu apa-apa? Aku mula berkawan dengan dia sejak Oktober tahun lepas. Dah sepuluh bulan kami bercinta. Hampir setahun,” bisik Yasmin perlahan.

Dia berkira-kira sendiri. Sejak dari mereka mula bercinta, Yasmin tidak pernah menyimpan rahsia daripada Arman. Segala hal tentang keluarganya, Arman tahu. Tapi kenapa Arman tidak pernah berkongsi apa-apa tentang keluarganya sendiri?

Hatinya terasa berat. Perasaan terkilan mula menyelubungi dirinya.

“Apa motif Arman sebenarnya?” bisik Yasmin perlahan, sambil memandang kosong ke arah telefon bimbitnya.

----

Zitt...Zitt...telefon bimbit Yasmin yang diletakkan di atas meja makan berbunyi.

"Awak ada kat mana? Saya ada kat Parkson," Arman menghantar pesanan WhatsApp.

"Saya ada kat kedai makan. Tengah rehat dengan kawan-kawan. Ada apa?" balas Yasmin.

"Saya teman cousin saya shopping. Nak jumpa awak. Rindu."

"Saya rehat. Tak ada dekat kaunter. Awak pergilah teman cousin awak shopping." Yasmin meletakkan telefon bimbitnya ke atas meja, malas hendak berbalas pesanan lagi. Dia masih serabut memikirkan hal semalam.

Selesai makan, Yasmin dan kawan-kawannya balik semula ke Parkson. Sudah sebulan dia bekerja sebagai promoter di Parkson. Mujur Hazrul membantu merekomendasikan Yasmin untuk bekerja di situ. Darwish pula baru sahaja mendapat lesen motosikal.

Ketika Yasmin tiba di kaunter jenama tempat dia bekerja, dia perasan pasangan yang sedang menuruni eskalator. Arman dan seorang wanita. Seksi, berambut blonde, cantik, dan tinggi lampai. Yasmin mencebik. Cousin? Bukan main wanita itu memaut lengan Arman. Manja betul. Arman pun sampai dah tak tahu halal haram, berperangai begitu di tempat awam? Yasmin bermonolog sendiri.

Yasmin menarik nafas panjang, cuba menahan rasa yang bergelodak di dalam hati. Dia melangkah perlahan ke kaunter tempat kerjanya, namun matanya masih tertancap pada pasangan itu yang kini sibuk memilih kasut wanita. Arman tampak selesa, malah ketawa kecil sambil wanita itu menarik lengannya ke sana ke mari. Yasmin mengetap bibir. Cepat-cepat dia memalingkan pandangan. Menyampah.

"Kenapa hang muram semacam ni?" tegur Suraya, rakan sekerja Yasmin yang sedang menyusun pakaian lelaki berjenama Polo ke atas rak.

"Tak ada apa-apa. Penat sikit," Yasmin cuba tersenyum, tetapi senyumannya hambar.

Sepanjang petang itu, Yasmin bekerja seperti biasa. Dia cuba mengalihkan fikirannya daripada berfikir yang bukan-bukan. Hari ini Arman bercuti. Pasti mereka pergi ke mana-mana, fikir Yasmin lagi.

----

Sebaik tamat waktu bekerja, Yasmin menghidupkan semula telefon yang dimatikan sebelum masuk ke kaunter tadi. Memang prosedur di Parkson begitu. Mereka perlu mematikan telefon semasa waktu bekerja.

Zitt... zitt... Bertalu-talu pesanan WhatsApp daripada Arman masuk. Yasmin mengabaikannya dan memasukkan telefon ke dalam beg galas.

Enjin motosikal EX5 dihidupkan. Yasmin memecut laju dalam hujan renyai dan kegelapan malam.

Banggggg...!

Yasmin melambung ke udara sebelum terhempas ke jalan tar dan tergolek beberapa kali. Kepalanya terasa pening, pandangannya kabur. Dia hanya mendengar suara hiruk-pikuk orang ramai yang semakin menghampiri.

“Kaki... kaki aku...” Yasmin mengerang kesakitan. Kaki kirinya terasa sakit yang amat sangat, bagai ditikam-tikam. Dalam kekalutan itu, fikiran Yasmin tiba-tiba melayang kepada Ameena. Ameena seorang diri di rumah!

Dengan susah payah, Yasmin mengheret tubuhnya yang terasa berat ke arah beg galasnya yang terpelanting tidak jauh. Tangannya menggigil ketika membuka zip beg, lalu mengeluarkan telefon. Dia segera mendail nombor Arman.

“Hello,” kedengaran suara Arman di hujung talian.

“Awak... saya accident...” Suara Yasmin lemah, hampir tenggelam di celah nafasnya yang tidak teratur.

“Yasmin? Awak kat mana?” Nada suara Arman berubah cemas.

“Ameena... Ameena... ada dekat rumah sorang-sorang. Tengok Ameena...” Yasmin bersusah payah bercakap, memikirkan Ameena yang tinggal seorang diri di rumah. Darwish keluar untuk menjemput Melur di tempat kerja.

“Yasmin? Yasmin!” panggil Arman cemas, tetapi talian terputus.

Seorang lelaki yang tidak dikenali datang menghampiri dan mengambil telefon Yasmin, lalu memasukkannya semula ke dalam beg galasnya.

“Saya hantar cik ke hospital naik kereta saya.” Suara lelaki itu kedengaran tenggelam timbul di telinga Yasmin.

Segalanya semakin kabur. Yang pasti, sakit di kaki kirinya terasa semakin mencengkam, hampir tidak tertanggung.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience