Arman dan Alang menyusun kerusi di bawah khemah. Semua lebihan makanan telah dibawa masuk ke dalam rumah, disalin ke dalam bekas lain, dan bekas dipulangkan kepada pekerja katering. Di sudut lain, Ziyad dan Rayyan sibuk melipat meja, sementara Darwish menyapu sampah yang bertaburan di lantai.
Di dapur, Yasmin, Wardah, Melur, Dahlia, dan Ameena berganding bahu mengemas sisa-sisa selepas kenduri. Lebihan lauk-pauk dipanaskan semula supaya tidak basi, manakala perkakas dapur yang digunakan dicuci dan disusun kembali. Wajah masing-masing jelas keletihan, tetapi rumah tidak boleh dibiarkan berantakan selepas majlis selesai.
Mujur, Ahad minggu depan barulah majlis resepsi perkahwinan Arman dan Yasmin diadakan di rumah pengantin lelaki. Dengan itu, mereka ada masa untuk berehat sebelum bertolak ke Johor Bahru nanti.
Setelah selesai mengemas dapur, Yasmin mandi untuk membersihkan diri. Seusai mandi, Yasmin naik ke biliknya untuk merehatkan diri. Badannya terasa betul-betul penat. Setelah daun pintu dibuka, Yasmin terkejut apabila melihat Arman sudah duduk bersantai di atas katil. Dia menyangka Arman masih berada di luar rumah mengemas khemah kenduri. Wajah Yasmin merona merah. Terasa begitu janggal melihat lelaki itu bersantai di atas katilnya.
"Dah siap berkemas?" soal Arman sambil tersenyum bahagia. Matanya tidak lepas memandang Yasmin yang baru lepas mandi. Dia memakai T-shirt lengan pendek, seluar tracksuit, dan bertuala di kepala. Yasmin ragu-ragu mahu membuka tuala yang membalut kepalanya. Akhirnya, dia duduk di birai katil membelakangi Arman sambil mengelap rambut basahnya dengan tuala.
Arman hanya memerhatikan setiap tingkah laku Yasmin. Ini kali kedua dia melihat rambut Yasmin terlepas begitu. Sebelum ini, dia pernah melihat Yasmin tanpa tudung ketika wanita itu terlibat dalam kemalangan.
Harum bau syampu yang Yasmin pakai menusuk hidung Arman. "Awak pergilah mandi dulu. Badan dah berpeluh tu," ujar Yasmin tanpa memandang Arman. Tiba-tiba, sepasang tangan kekar memeluk pinggang Yasmin dari belakang.
"Wanginya syampu yang awak pakai," ucap Arman dengan suara perlahan.
"Mak...!" Yasmin terjerit, terkejut lantas melompat turun dari katil. Arman ketawa terkekeh-kekeh. Sengaja dia mahu mengusik Yasmin. Dia tahu Yasmin seorang yang pemalu, sangat sensitif, dan protektif. Silap hari bulan, dia boleh kena tumbuk dengan Yasmin kerana memeluknya begitu.
Arman mengambil tuala Yasmin yang sudah terjatuh di atas lantai lalu turun ke bawah untuk mandi. Yasmin mengurut dadanya yang terasa berdebar-debar. Seketika kemudian, Arman yang sudah siap mandi naik semula ke bilik dengan hanya memakai tuala.
Yasmin segera memalingkan muka. Arman mengambil pakaian dari dalam beg pakaian yang diletakkan di sudut bilik. Bilik Yasmin dihias indah dengan bunga-bunga dan kain emas putih mengikut tema majlis resepsi mereka. Bunyi desiran kipas angin berdiri yang berada di hujung sudut bilik mengheningkan suasana.
"Awak dah ambil wuduk?" soal Arman sambil mengenakan pakaian. Dia memakai baju Melayu berwarna kelabu dan berkain pelikat. Yasmin mendongak. Mulutnya ternganga, masih terpinga-pinga.
"Pergi ambil wuduk dulu. Kita solat Maghrib sama-sama. Dah masuk waktu solat, kan?" ucap Arman lembut, memandang Yasmin dengan senyuman tipis di bibir. Yasmin mengangguk perlahan sebelum turun ke bawah untuk mengambil wuduk.
Buat pertama kalinya, mereka berdua solat bersama dengan ikatan yang baru terbina.
Selepas solat, Arman melipat sejadah sementara Yasmin berdiri di depan almari, menyangkut telekung. Sekali lagi, tangan besar Arman meraih pinggang Yasmin. Dia meletakkan dagu di kepala Yasmin yang hanya separas dadanya, membuatkan wanita itu seram sejuk.
"Awak... kalau malam ni saya nak bawa awak tidur kat hotel, awak nak tak?" ujar Arman dalam nada menggoda. Yasmin tersipu malu, faham benar hasrat sebenar Arman.
"Sini adik-beradik awak ramai. Saya segan," tambah Arman sambil tersenyum.
Yasmin mengangguk perlahan tanda setuju. Kemudian, keduanya bersiap menuju ke destinasi yang hanya mereka saja tahu.
-----
Khadijah berjalan mundar-mandir di ruang tamu, wajahnya penuh resah. Setiap sudut rumah diselongkarnya, namun teddy bear busuk milik Nayla tetap tidak dijumpai. Di hujung sofa, Nayla sudah mula menangis teresak-esak.
"Abang, mana teddy busuk Nayla ni? Nanti dia nak tidur mulalah mengamuk!" seru Khadijah kepada suaminya, Muiz.
Muiz, yang baru melabuhkan badan di kerusi malas, mengangkat muka. "Dalam bilik dia takkan tak ada?" soalnya, malas-malas.
"Tak ada, bang! Dah cari tadi," balas Khadijah, sedikit geram.
Dato’ Adnan dan Datin Raudhah yang sedang asyik menonton televisyen turut bangkit membantu. Mereka tahu betapa pentingnya teddy bear itu untuk Nayla.
"Tak ada pun," sampuk Datin Raudhah sambil mengerutkan dahi. "Lepas balik dari kenduri rumah Yasmin tadi, tak nampak langsung teddy bear tu."
"Cuba call Arman, mintak dia carikan. Kalau jumpa, suruh dia hantar terus. Rumah Yasmin bukannya jauh," saran Dato’ Adnan, tenang.
Khadijah segera mencapai telefon di atas meja kecil depan TV. "Jumpa tak Mama?" tanya Nayla penuh mengharap.
"Sabar ya, sayang. Mama cari. Nanti Mama suruh Pak Su hantar sini," pujuk Khadijah dengan suara lembut sebelum mendail nombor adiknya, Arman.
"Hello?" suara Arman kedengaran di hujung talian.
"Arman, kau tolong tengok teddy bear busuk Nayla tu kejap. Ada tak kat rumah Yasmin?" Khadijah terus bertanya, nadanya mendesak.
"Orang ada kat luar ni, Kak Deeja. Cuba call Ziyad, suruh dia cari," balas Arman, memberi cadangan.
"Kau balik nanti carilah. Lepas tu hantar sini. Nayla nak tidur dia cari teddy bear tu," pinta Khadijah.
"Orang tak balik malam ni. Orang tidur hotel," jawab Arman jujur.
Khadijah terkedu. Talian diputuskan dengan cepat sebelum dia menjerit, memanggil Datin Raudhah.
"Mama... mama!"
Datin Raudhah yang sedang sibuk mencari teddy bear berpaling ke arah Khadijah. "Kenapa?"
"Arman bawa Yasmin tidur hotel!" adu Khadijah, geram.
Datin Raudhah terdiam sejenak sebelum menggeleng, wajahnya penuh dengan rasa tidak percaya. "Ishhh... budak ni! Dah pesan tak boleh tidur sekali sampai habis kenduri rumah kita. Dia buat juga perangai!" bebelnya dengan nada geram.
Dato’ Adnan yang berdiri di sisi tersenyum kecil. "Anak kita tu lelaki, awak. Dah 32 tahun umurnya. Awak rasa dia boleh tunggu lagi ke? Dah halal, jadi suami isteri, kan?" ujarnya, cuba membela Arman.
"Kalau ikut adat tak bolehlah, abang. Berapa hari je lagi nak kenduri kat sini. Sabar sikit pun tak boleh?" Datin Raudhah merungut, mengerutkan kening. Dia mengeluh kecil.
Dengan tiada pilihan lain, Khadijah mendail nombor Ziyad, berharap adik Yasmin itu boleh membantu mencari teddy bear Nayla yang tertinggal di rumah Yasmin.
Share this novel