Umi sakit

Romance Series 16692

Melur mengelap mulut Umi dengan tisu. Umi hanya menjamah sedikit sahaja nasi yang disediakan oleh pihak hospital, selebihnya Melur yang menghabiskannya. Selepas minum sedikit air, Umi berbaring lalu tertidur semula. Melur merebahkan punggung di atas kerusi di sebelah katil Umi. Dari jauh, Melur nampak dua orang kakaknya, Wardah dan Yasmin, berjalan menuju ke arah katil Umi yang terletak paling hujung di tepi tingkap. Wardah baru tiba dari Pulau Pinang.

"Umi macam mana?" soal Wardah sambil duduk di birai katil. Yasmin pula meletakkan bungkusan biskut dan sebotol air mineral 1 liter di atas kabinet kecil di sisi katil. Yasmin berdiri bersandar di tepi tingkap. Hanya ada sebiji kerusi di situ.

"Nanti beli lampin pakai buang untuk Umi. Umi kena pakai lampin. Umi tak larat nak berjalan ke bilik air banyak kali. Kaki Umi sakit," kata Melur dengan wajah risau.

"Ha, nanti akak beli. Kalau Umi nak pergi bilik air, guna kerusi roda," saran Wardah.

"Ha, memang kalau nak mandi atau buang air besar, Melur tolak Umi guna kerusi roda."

"Keadaan Umi makin teruk dari awal masuk hospital hari tu, kan?" soal Wardah. Dia menatap sayu wajah Umi yang sedang tidur.

"Doktor kata apa lagi?" soal Yasmin pula.

"Doktor kata tekanan darah Umi terlalu tinggi. Boleh kena serangan strok. Gula pun tak okay. Bacaan buah pinggang naik sikit saja."

"Itulah, selama ini Umi tak pernah buat pemeriksaan di hospital. Harap beli ubat dari farmasi dan cuba ubat tradisional saja," rungut Yasmin kesal. Sudah berapa kali mereka ajak Umi buat pemeriksaan di hospital, tapi Umi tak mahu.

"Hari ni giliran akak pula jaga Umi. Ada nak apa-apa lagi tak?" soal Wardah kepada Melur. Sudah dua hari Melur mengambil cuti untuk menjaga Umi di hospital.

"Tak ada apa-apa, cuma nak lampin pakai buang untuk Umi saja."

"Lampin tu nanti akak beli di lobi dulu." Wardah bangun, mahu turun ke bawah untuk membeli lampin dewasa untuk Umi. Waktu melawat masih berbaki setengah jam. Dia keluar dari wad lalu terus turun ke bawah menggunakan lif. Harga barang-barang yang dijual di kedai-kedai kecil di lobi memang agak mahal, tetapi Wardah terpaksa beli juga kerana memikirkan keadaan kesihatan Umi.

---

Sudah masuk waktu Maghrib ketika Yasmin dan Melur sampai di rumah. Yasmin memarkir motosikal Honda EX5 Dream-nya di bawah flat. Mereka berdua naik tangga ke tingkat dua rumah mereka. Setelah masuk ke dalam rumah, Yasmin terus menuju ke bilik Umi. Kosong. Rupanya, Dahlia dan Ameena sedang solat di bilik Along yang lebih luas. Along dan Ziyad tiada di rumah. Rayyan dan Darwish sedang menonton siri kartun Shin Chan yang disiarkan di saluran NTV7.

Yasmin masuk ke dalam biliknya untuk menukar pakaian dan mandi. Kali ini, giliran Wardah pula menjaga Umi di hospital. Esok, Melur akan mula bekerja semula. Melur bekerja di butik tudung berjenama di Lagenda Heights. Wardah mengambil cuti selama tiga hari untuk menjaga Umi di hospital.

Sudah dua hari Umi dirawat di hospital. Sebelum ini, Umi masih mampu berjalan, tetapi sejak masuk hospital, keadaan Umi nampak semakin lemah sehingga terpaksa dipapah dan ditolak menggunakan kerusi roda jika mahu ke bilik air.

---

"Yasmin, telefon!" Mohammed yang sedang menulis di meja Leader memanggil Yasmin, yang sedang memeriksa barang di mesin A1. Dup... dap... dup... dap... tiba-tiba jantung Yasmin berdebar-debar.

Entah kenapa, sejak Umi masuk hospital, hati Yasmin rasa resah. Masuk hari ini, sudah sembilan hari Umi berada di hospital. Yasmin segera menuju ke meja Leader yang terletak berdekatan pintu Vacuum Room. Dengan tangan yang gementar, Yasmin mencapai gagang telefon.

"Hello..."

"Hello, Yasmin. Nanti masuk bilik visual sekejap. Check barang. Ada 'reject' terlepas masuk ke sini. Tolong tengok sekejap, ya," kata Kak Safura, penyelia bahagian visual. Kaki Yasmin terasa lemah, dan dia terduduk di tepi meja. Lega. Bukan panggilan telefon dari hospital atau panggilan daripada adik-beradiknya tentang Umi.

"Kenapa dengan Yasmin tu? Sakit?" Arman, yang sedang menukar 'stone' di mesin B5, nampak Yasmin terduduk di tepi meja.

"Mak Yasmin sakit, masuk hospital, Encik Arman. Sudah lebih seminggu. Sebab tu dia nampak macam susah hati," cerita Mansur. Arman baru tahu tentang keadaan Umi Yasmin kerana baru hari ini dia bekerja satu syif dengan Yasmin semula.

Hampir seminggu dia bertukar ke Group B kerana ketiadaan jurutera di kumpulan itu. Hari ini sudah ada jurutera baru yang masuk ke Group B, menggantikan Yamada-san yang sudah balik ke Jepun, jadi Arman ditukarkan semula ke Group C.

---

Yasmin singgah di sebuah kedai makan. Dia mahu membeli nasi ayam yang dipesan oleh Dahlia. Kata Dahlia, Umi mahu makan nasi ayam. Hari ini Yasmin cuti. Dia akan menggantikan Dahlia untuk menjaga Umi di hospital.

Dahlia sudah pulang ke rumah, dan Ziyad yang pergi menjemputnya di hospital tadi. Selesai membeli nasi ayam untuk Umi, Yasmin terus menunggang motosikal menuju ke hospital. Lima belas minit kemudian, pada pukul 8:16 malam, Yasmin tiba di hospital.

Setelah memarkir motosikal di tempat letak motor, Yasmin terus menuju ke lobi hospital. Dia menunjukkan surat kebenaran penjaga kepada pengawal keselamatan yang bertugas. Yasmin masuk ke dalam lif, naik ke tingkat enam ke Wad Kenanga 8, tempat Umi berada.

Ketika Yasmin sampai, Umi sedang tidur. Yasmin meletakkan bungkusan nasi ayam di atas kabinet kecil yang disediakan di tepi katil Umi. Yasmin duduk di atas kerusi sambil bermain telefon. Seketika kemudian, Yasmin tertidur.

Yasmin terjaga setelah merasakan tangannya seperti dikuis-kuis. Umi sudah bangun dari tidur. Jam di skrin telefon bimbitnya menunjukkan pukul 11:30 malam.

"Umi nak air," pinta Umi perlahan. Yasmin menuang air ke dalam cawan lalu diberikan kepada Umi.

"Umi nak makan nasi ayam?" tanya Yasmin. Umi mengangguk. Yasmin membuka bungkusan nasi ayam lalu diletakkan atas riba Umi. Kepala katil dinaikkan sedikit. Yasmin meletakkan sudu di tangan Umi. Umi mencedok sedikit nasi lalu disuap ke dalam mulut.

Tiba-tiba, Umi tersedak dan batuk. Yasmin cepat-cepat menggosok belakang Umi.

"Minum air, Umi," suruh Yasmin. Umi meneguk sedikit air kemudian menggelengkan kepala, tanda tidak mahu makan lagi. Yasmin mengambil nasi ayam itu semula lalu dimasukkan ke dalam plastik dan diletakkan di atas kabinet kecil di tepi katil.

Yasmin menurunkan semula kepala katil. Seketika kemudian Umi tidur lagi. Umi nampak lemah. Memang Umi selalu tersedak ketika makan sejak masuk hospital. Kadang-kadang Umi tidak menjamah langsung makanan yang hospital sediakan. Selera Umi sudah tak macam dulu lagi.

Setelah Umi tidur, Yasmin ke bilik air untuk mengambil wuduk bagi solat Isyak. Dia sudah membawa telekung dan sejadah dari rumah. Yasmin solat berdekatan katil Umi.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience