Umi Sakit 2

Romance Series 16692

Yasmin sudah selesai mandi. Sudah ramai yang keluar masuk bilik air walaupun baru pukul 5 pagi. Ketika kembali ke katil, Umi sudah bangun tidur.

"Umi nak pi tandas, nak mandi," pinta Umi perlahan. Yasmin mengambil uniform hospital yang bersih, tuala, dan alatan mandi untuk Umi. Yasmin membantu Umi turun dari katil dengan cermat. Walaupun begitu, Umi masih mengaduh sakit kaki. Kaki Umi bengkak. Umi duduk di atas kerusi roda, dan Yasmin menolak kerusi roda masuk ke dalam bilik air.

Yasmin menanggalkan baju yang dipakai Umi. Dia mahu memandikan Umi.

"Tak apa, Umi mandi sendiri." Tubuh Umi terketar-ketar ketika cuba berdiri sambil memegang besi pemegang di tepi dinding. Umi membuka paip air pancuran. Air paip turun membasahi tubuh Umi. Yasmin yang berdiri di belakang Umi menahan sebak.

Air matanya mengalir di pipi, seperti air paip yang membasahi tubuh Umi. Yasmin memandang sayu tubuh yang dulunya kuat menggendong dan membesarkan mereka adik-beradik, kini sudah tidak seperti dulu. Entah kenapa, hati Yasmin kuat mengatakan kali ini sakit Umi tidak sama seperti sebelum ini. Yasmin cepat-cepat mengelap air matanya sebelum Umi nampak.

Setelah selesai mandi, Umi mengambil wuduk untuk solat Subuh nanti. Setelah siap berpakaian, Umi baring semula di atas katil. Yasmin duduk di kerusi menunggu azan Subuh.

----

"Kamu keluar tunggu di luar ya. Sekejap lagi doktor pakar nak mai check pesakit," arah seorang jururawat, meminta Yasmin dan beberapa penjaga lain keluar dari wad sementara doktor pakar datang memeriksa pesakit di situ. Yasmin mengambil beg galasnya lalu keluar menunggu di ruang kaki lima Wad Kenanga Lapan. Beberapa penjaga lain turut duduk menunggu di situ. Yasmin duduk bersila sambil bersandar ke dinding.

"Kak tunggu siapa?" soal seorang gadis yang duduk tidak jauh dari Yasmin.

"Kak tunggu mak. Mak kak duduk Wad Kenanga Lapan," balas Yasmin.

"Mak kami pun duduk Wad Kenanga Lapan, katil nombor empat," balas gadis itu teruja.

"Mak kak duduk katil nombor lima belas, katil hujung. Mak adik sakit apa?" soal Yasmin pula.

"Mak kami kena kanser payudara. Ini kali yang ke berapa dah masuk hospital. Bulan lepas pun mak duduk hospital seminggu. Kami mai jaga. Alhamdulillah, Allah bagi rezeki kami boleh jaga mak kami," Yasmin terkesima mendengar kata-kata gadis itu. Riak wajahnya nampak begitu tenang dan bersemangat. Sudah berulang kali ibu gadis itu keluar masuk hospital, namun dia sedikit pun tidak patah semangat.

"Sepatutnya aku kena lebih bersemangat sebab diberi kesempatan untuk jaga Umi yang sakit, bukannya bersedih dan lemah," Yasmin bermonolog sendiri.

"Kak, kami nak turun pi beli makanan."

"Ha... okay," Yasmin mengangguk. Gadis itu berjalan menuju ke arah lif. Jam di skrin telefon bimbit Yasmin menunjukkan pukul 10 pagi. Yasmin risaukan keadaan Umi di dalam wad. Kalau Umi nak minum air atau nak ke tandas, Umi tak mampu bergerak sendiri.

"Lambat lagi ka doktor pakar nak habis check pesakit dalam wad?" rungut Yasmin sendiri.

----

Tutt...tutt...tutt...tutt...! Telefon bimbit Yasmin yang diletakkan di atas kabinet kecil di tepi katil berbunyi. Tertera nama Alang di skrin telefon. Pantas Yasmin mengangkat telefon itu untuk menjawab panggilan.

“Assalamualaikum, Kak Min.” Kedengaran suara Alang di hujung talian.

“Waalaikumussalam. Ya, Alang, ada apa?”

“Alang ada kat lobi Hospital Sultan Abdul Halim ni. Umi duduk wad mana? Katil nombor berapa?”

“Wad Kenanga Lapan, katil nombor lima belas,” balas Yasmin. Tidak berapa lama kemudian, Yasmin nampak Alang dari arah pintu sedang berjalan menuju ke arah katil Umi. Sampai di depan Yasmin, Alang menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Yasmin. Tangan Yasmin dicium tanda hormat kepada kakaknya itu. Hampir setengah tahun mereka tidak berjumpa. Umi sedang tidur.

“Umi... Umi...” panggil Yasmin dengan suara yang lembut sambil mencuit-cuit bahu Umi. Umi membuka mata, perlahan-lahan memalingkan muka ke arah Yasmin dan Alang.

“Alang mai ni, Umi. Dia baru sampai,” kata Yasmin separuh berbisik di telinga Umi. Pantas Alang memeluk Umi. Sebak Alang melihat Umi terbaring lemah.

“Mana Shida dengan anak-anak hang?” suara Umi kedengaran perlahan.

“Ada kat kereta, Umi. Budak-budak tak boleh masuk. Satgi Alang turun, baru Shida boleh naik pula.”

“Hmmmm... tak pa lah. Hang... tak kerja... ka?” Suara Umi tenggelam timbul. Umi nampak semput. Yasmin menggosok-gosok dada Umi.

“Alang ambik cuti tiga hari. Umi tak payahlah cakap banyak. Satgi letih,” kata Alang, kasihan melihat keadaan ibunya itu. Alang duduk di tepi katil Umi, merapikan pakaian ibunya. Alang dan Yasmin terdiam seketika. Pandangan mereka bertemu, seakan-akan masing-masing mengerti apa yang bermain di fikiran mereka.

----

Dahlia menuang air panas ke dalam jug besar yang berisi dua paket serbuk teh. Dia mahu membancuh air teh untuk menjamu Alang dan keluarganya. Dahlia mengeluarkan biskut empat segi gula dari dalam balang lalu menyusunnya ke dalam pinggan kaca. Pinggan kaca berisi biskut itu diangkat ke ruang tamu dan diletakkan di atas meja kecil.

Kemudian, Dahlia ke dapur semula. Seketika kemudian, Dahlia datang membawa dulang berisi sejug air teh dan beberapa biji cawan kaca lalu diletakkan di atas meja kecil tadi. Dahlia duduk di atas kusyen menghadap Alang. Dia menuang air teh ke dalam cawan lalu diberikan kepada Alang, Shida, dan anak-anak mereka.

Anak-anak Alang berselera makan biskut empat segi gula yang dicicah dengan air teh. Sengaja Dahlia membancuh air teh itu suam-suam supaya budak-budak itu dapat minum. Ameena duduk bersila di atas lantai di sisi Rayyan dan Darwish sambil menonton cerita kartun.

“Ameena tak tanya ka Umi pi mana?” Alang separuh berbisik, memperlahankan suaranya takut Ameena terdengar.

“Dia tahu Umi dok kat hospital. Selalu malam-malam dia tidur dengan Umi. Sekarang ni dia tidur dengan Liya. Malam-malam dok selimut kepala ingatkan tidur. Rupa-rupanya dok menangis dalam selimut rindu Umi,” cerita Dahlia. Memang dalam banyak-banyak adik-beradik, Ameena paling manja dengan Dahlia.

Apatah lagi, Ameena sudah dua minggu tidak berjumpa Umi. Kanak-kanak berusia bawah dua belas tahun tidak dibenarkan melawat pesakit atau masuk ke dalam wad. Kadang-kadang Yasmin, Melur atau Dahlia ada buat panggilan video dari hospital, tetapi Umi tak larat nak bersembang banyak-banyak. Umi hanya terbaring di atas katil.

Ameena nak peluk Umi. Ameena rindu Umi. Rayyan dan Darwish juga sudah banyak kali bertanya bila Umi nak balik.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience