Kak Huda yang baru keluar dari pejabat nampak Yasmin sedang makan bersama Nisa dan Yulia di kantin. Kak Huda pergi ke arah mereka lalu duduk di kerusi sebelah Yasmin yang kosong. Dia sekadar mahu bertanya khabar Umi Yasmin.
"Mak macam mana, Yasmin?" tanya Kak Huda.
"Sekarang mak saya ada kat kampung, Kak. Adik-adik ikut balik kampung. Mak tak boleh bangun dah, semuanya kena orang uruskan," cerita Yasmin.
"Allahu, esok dah mula puasa. Sedihnya," Kak Huda turut bersimpati dengan Yasmin.
"Itulah, Kak. Ini kali pertama kami kena berpuasa tanpa Umi."
"Sabar ya, Yasmin." Kak Huda menggosok-gosok belakang Yasmin. Tiba-tiba, Arman turut duduk di kerusi panjang itu. Tray nasinya diletakkan di atas meja bersama sebotol air mineral.
"Tumpang duduk sekejap," tegur Arman. Semua mata tertumpu pada Arman.
"Eh, Encik Arman, kenapa duduk situ? Duduk sinilah, dekat dengan Yasmin," usik Nisa, gadis Indonesia yang memang cukup gemar mengusik Yasmin. Tangan Nisa dicubit oleh Yasmin. Malu.
"Ya lah, Encik Arman. Buat apa duduk jauh-jauh. Iyakan, Kak Huda?" tambah Yulia pula. Seronok mereka melihat reaksi Yasmin. Semua rakan sekerja mereka sudah tahu yang Arman sukakan Yasmin. Yasmin saja yang tidak tahu apa-apa. Dia hidup dalam dunianya saja. Yasmin memang tak ambil tahu urusan orang lain. Walaupun selalu diusik dengan Arman, Yasmin menganggap kawan-kawannya sekadar bergurau.
Muka Arman yang putih menjadi merah. Dia hanya senyum diusik begitu.
"Encik Arman dah lah handsome, tinggi, putih, badan pun kekar gitu. Senang kau, Min," usik Yulia lagi.
"Elok Encik Arman ni, Min. Rugi kalau hang tak mau," tambah Nisa pula dengan campuran loghat Kedah dan Indonesia. Kak Huda ketawa terkekeh-kekeh. Aduh! Kawan-kawan Yasmin dari seberang ni memang berfikiran terbuka. Yasmin pula yang rasa malu.
"Dah habis makan kan? Jom simpan tray, masuk kerja. Rehat dah nak habis. Encik Arman tu takpalah, bos-bos. Kita ni kuli, nanti kena marah." Yasmin cepat-cepat bangun untuk menyimpan tray lalu terus masuk ke bilik loker. Nisa dan Yulia mengekorinya. Kak Huda bangun mahu membeli makanan.
----
Yasmin terjaga dari tidur setelah mendengar bunyi jam penggera yang diset sebelum tidur malam tadi. Pukul 4:30 pagi. Sempatlah dia memasak nasi dan memanaskan semula lauk-pauk semalam.
Yasmin keluar dari bilik menuju ke dapur. Ada bunyi dari arah dapur. Melur sudah pun bangun sejak pukul 4 tadi dan sedang memanaskan makanan. Nasi sudah masak dalam periuk elektrik. Sejug air teh panas sudah siap dibancuh.
"Awalnya hang bangun, Melur?" sapa Yasmin.
"Tak jerap tidur, Kak Min. Takut tak terjaga sahur," sahut Melur. Makanan sudah dihidang oleh Melur di atas meja makan. Melur pergi ke bilik hujung mahu mengejutkan Ziyad. Along keluar sejak selepas Maghrib semalam dan masih belum balik hingga pagi.
"Abang Yad... Abang Yad..." panggil Melur sambil menggerak gerakkan badan Ziyad. Ziyad terjaga dari tidur sambil menggosok mata.
"Bangun. Sahur," kata Melur. Ziyad bangun lalu masuk ke bilik air. Hanya mereka bertiga yang bersahur pagi itu. Selepas bersahur Yasmin terus mandi dan mengenakan telekung. Sejadah dihampar menghadap kiblat. Yasmin mengambil al Quran lalu duduk membaca di atas sejadah sambil menunggu masuk waktu solat subuh. Hari ini Yasmin bekerja shif pagi.
----
Pukul 7.15 malam. Arman mengangkat sebuah kotak besar dan meletakkannya di atas meja di kantin.
"Mohamed... Mohamed..." Arman memanggil Mohamed yang duduk di meja tidak jauh dari situ.
"Ada apa, Encik Arman?"
"Ini ada nasi ayam. Saya buat kenduri. Ajak kawan-kawan ambil," suruh Arman. Mohamed memanggil kawan-kawannya untuk mengambil nasi ayam. Arman mengambil tiga bungkus nasi ayam dari dalam kotak lalu diberikan kepada Yasmin, Nisa, dan Yulia yang sedang duduk menunggu waktu berbuka. Sudah ramai rakan sekerja mereka dari group C duduk menunggu waktu berbuka bersama-sama.
"Ambillah. Saya buat kenduri sikit untuk berbuka ni," ujar Arman sambil duduk di kerusi panjang tidak jauh dari Yulia dan Nisa. Yasmin duduk bertentangan dengan mereka.
"Terima kasih, Encik Arman. Semoga murah rezeki," kata Yulia sambil tersengih.
"Bukan murah rezeki aja. Semoga cepat-cepat kahwin," sahut Nisa dengan nada nakal. Arman hanya tersenyum. Memang lelaki berusia tiga puluh tahun itu mudah tersenyum. Yasmin menghela nafas.
"Mula dah," sambut Yasmin. Arman mencuri pandang Yasmin, sengaja mahu melihat reaksi Yasmin yang memang dikenali sebagai seorang yang pemalu dan tidak banyak cakap.
Yulia sudah memasang radio siaran Kedah FM untuk mendengar azan Maghrib. Beberapa minit kemudian, azan Maghrib berkumandang dari corong-corong speaker telefon bimbit mereka. Masing-masing mula membaca doa dan berbuka puasa.
Arman menjamah beberapa biji kurma dahulu mengikut sunnah, kemudian dia meneguk air kosong yang diambil dari mesin Coway di kantin.
Yasmin makan kuih-muih yang dipesan daripada kawan-kawan yang keluar membeli juadah berbuka puasa di bazar Ramadan petang tadi. Nasi ayam pemberian Arman dia ingin bawa pulang ke rumah.
Sengaja Yasmin makan kuih-muih sahaja kerana tidak mahu perutnya terlalu penuh sehingga kurang selesa ketika solat Maghrib nanti. Serentak Yasmin dan Arman bangun mahu ke surau untuk menunaikan solat Maghrib.
"Aku nak solat dulu ya. Nanti ramai orang," pinta Yasmin.
"Okay, Min," sahut Yulia sambil berselera menyuap nasi berlaukkan ikan keli goreng ke dalam mulut.
"Encik Arman dah habis makan? Makan kurma saja?" soal Nisa.
"Balik kerja nanti baru makan nasi." Nisa mengangguk tanda faham. Yasmin dan Arman berjalan menuju ke surau yang disediakan oleh pihak kilang.
"Mak awak dah keluar hospital?" soal Arman memberanikan diri bertanya soalan peribadi kepada Yasmin. Takut juga kalau-kalau Yasmin tidak melayan pertanyaannya itu.
"Dah. Sekarang mak duduk di kampung," balas Yasmin ringkas. Dia mahu cepat-cepat solat sebelum surau penuh. Yasmin membuka pintu surau perempuan lalu hilang di sebalik pintu. Arman lega. Sekurang-kurangnya Yasmin tidak susah hati lagi sebab ibu Yasmin sudah keluar dari hospital.
"Mak dia dah sihat kot?" gumam Arman lalu masuk ke dalam surau lelaki.
Share this novel