Hilang

Romance Series 16692

Pranggg...! Kedengaran bunyi bising dari luar rumah. Yasmin yang sedang memasak di dapur terus meluru keluar. Ada dua orang lelaki bertubuh besar sedang membawa satu tong cat. Tong cat diletakkan di atas lantai. Mereka membuka penutup tong, menampakkan cat merah di dalamnya.

"Hoi! Apa yang hampa nak buat ni?" jerkah Yasmin yang sedang berdiri di depan pintu rumahnya. Degup jantungnya berdebar kencang. Perasaan takut dan marah menyerbu dada.

"Macam yang kami bagitau hari tu la, kak. Suruh Aidil bayar duit yang dia pinjam," balas salah seorang lelaki itu dengan nada keras. Jarak tempat mereka berdiri hanya tiga kaki dari Yasmin.

"Hampa pi cari Aidil la! Yang hampa dok kacau aku dengan adik-adik aku, dah kenapa hah?"melengking suara Yasmin. Geram sungguh rasanya. Sudah beberapa kali lelaki-lelaki ini datang membuat kacau dan merosakkan barang-barang di rumahnya.

"Baik hampa berambus sebelum aku call polis," ugut Yasmin. Dia mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar. Namun, belum sempat dia mendail talian kecemasan, telefon bimbitnya dirampas oleh salah seorang lelaki itu.

Panggg...! Telefon bimbit Yasmin berkecai di lantai. Yasmin terkedu.

"Arghhh...! Tak guna." Yasmin menjerit histeria. Jeritan Yasmin menarik perhatian jirannya, Abang Saad, yang tinggal di tingkat tiga. Dia segera turun ke tingkat dua.

"Baik hampa berambus sebelum satu flat ni turun!" gertak Abang Saad kepada dua lelaki itu.

"Kami pun tak mau cari masalah. Suruh Aidil bayar hutang, selesai masalah," jawab salah seorang lelaki itu sebelum mereka beredar.

"Terima kasih, Abang Saad, turun tolong Min," ucap Yasmin dengan nada suara yang bergetar. Memang Yasmin takut setiap kali lelaki lelaki itu datang membuat kacau, namun dia cuba memberanikan diri.

"Depa tak akan berhenti buat kacau selagi Along tak bayar hutang dia. Along pun tak tau dah hilang pi mana. Hampa pindah la, Yasmin. Bahaya hang dengan adik-adik duduk sini. Ziyad pun tak ada," kata Abang Saad, bersimpati dengan nasib Yasmin.

"Saya pun ada juga terfikir nak pindah dari sini. Risau dengan keselamatan adik-adik. Nanti saya bincang dengan Wardah dan Melur," ucap Yasmin perlahan.

Yasmin masuk ke dalam rumah. Dia melangkah ke biliknya dengan langkah yang longlai lalu merebahkan diri di atas katil. Hati kecilnya berkata—mereka mesti berpindah dari situ.

----

Kereta Perodua Bezza diparkir di bawah flat. Yasmin, Wardah, dan Hazrul keluar dari kereta lalu terus naik ke tingkat dua. Wardah mengeluarkan segugus kunci dari beg tangannya dan membuka pintu rumah. Yasmin terus masuk ke dalam biliknya, manakala Wardah dan Hazrul pergi ke dapur.

"Kak Min... Kak Min," panggil Wardah dari dapur.

"Ada apa, Wardah?" pekik Yasmin dari dalam bilik. Dia sedang mengemas pakaian di dalam almari. Baju dan tudung dikeluarkan dari penyangkut baju, dilipat, dan diletakkan di atas katil.

"Kak Min, mai la sini sat," panggil Wardah lagi. Yasmin keluar dari bilik dan terus ke dapur.

"Ada apa?"

"Mana dapur gas dengan tong gas?" soal Wardah.

Baru Yasmin perasan dapur gas tidak ada di atas kabinet dapur. Tong gas juga tiada di bawah sinki. Yasmin membuka pintu kabinet dapur untuk memeriksa jika ada tong gas simpanan. Namun, kabinet itu kosong. Yasmin dapat mengagak ke mana perginya dua biji tong gas dan dapur tersebut.

"Yasmin... Yasmin," kedengaran suara Kak Shikin memanggil dari luar rumah. Tidak lama kemudian, Kak Shikin sudah melangkah masuk melalui pintu depan yang terbuka.

"Yasmin nak mai angkut barang ka?" soal Kak Shikin.

"Ya, Kak Shikin. Petang semalam kami bawa baju yang nak dipakai dengan tilam bantai nak tidoq ja. Ni nak mai ambik dapur gas, nak masak."

"Malam semalam Along balik. Kak Shikin nampak dia dok angkut dapur gas dengan tong gas. Dia kata dia nak juai dekat Bangla."

Riak muka Yasmin berubah hampa.

"Kami ingat esok baru nak angkut barang, Kak Shikin. Esok baru semua pakat cuti. Tak sangka pula Along nak juai dapur gas dengan tong gas," sampuk Wardah.

"Harga tong gas la ni seratus jugak la. Dah la Along pinjam duit dengan Ah Long, tak bayaq sampai Ah Long dok mai kacau hampa," ujar Kak Shikin kesal.

"Pening kepala jugak la macam ni, Kak Shikin. Tong gas dua biji Along ambik jual. Haishhh!" Wardah mengeluh geram.

"Baik hampa mai angkut cepat barang-barang hampa. Along tu kita tak tau dia nak buat apa lagi lepas ni. Biaq dia dok sorang-sorang kat rumah ni," desak Kak Shikin.

----

Tutt... tutt... tutt... tutt... Sudah berkali-kali Arman mendail nombor telefon Yasmin yang diperolehnya daripada Nisa. Namun, tiada jawapan. Nombor itu dimatikan. Sebulan sebelum pulang dari Jepun, Arman mendapat khabar bahawa Yasmin sudah berhenti kerja.

Setelah mula bekerja semula hari ini, Arman terus mencari Nisa untuk meminta nombor telefon Yasmin. Arman bangun dari kerusi, lalu melangkah keluar mendapatkan Nisa yang sedang memeriksa barang di mesin A1.

“Nisa,” panggil Arman.

“Ada apa ya, Encik Arman?”

“Awak tahu alamat rumah Yasmin?” soal Arman.

“Tahu.” Nisa mengambil sekeping kertas kecil lalu menulis alamat Yasmin di atasnya.

“Flat dua puluh dua, tingkat dua, rumah nombor lapan?” soal Arman, mahu mendapatkan kepastian.

“Iya, betullah tu. Aku selalu ke sana tiap lebaran,” ujar Nisa.

Arman memasukkan kertas kecil itu ke dalam poket jumpsuitnya. Sepulang kerja nanti, dia bercadang terus ke rumah Yasmin. Dia tidak mahu bertangguh lagi.

Arman memandu keretanya menuju ke arah rumah Yasmin. Dia memarkir kereta di bawah flat, lalu cepat-cepat mendaki anak tangga menuju tingkat dua. Rumah nombor lapan terletak di sebelah kiri. Arman berdiri di depan pintu. Pintu grill dikunci dengan mangga. Sudah pasti penghuni rumah ini tiada.

Arman mengetuk pintu rumah sebelah. Kukk... kukk... kukk...!

“Assalamualaikum…” Seorang remaja lelaki membuka pintu.

“Waalaikumussalam. Abang cari sapa?” soal remaja itu sambil mendongak memandang Arman, yang tingginya seratus lapan puluh sentimeter.

“Emm… sebelah ni rumah Yasmin, kan?” soal Arman kembali, teragak-agak.

“Ya, sebelah ni rumah Kak Yasmin. Tapi dia dah pindah.”

“Pindah? Pindah ke mana?” Mata Arman membuntang, terkejut.

“Hmmm... yang tu saya tak tahu, bang.”

Remaja itu masuk semula ke dalam rumah dan memanggil ibunya yang berada di dalam bilik. Tidak lama kemudian, seorang wanita berusia empat puluhan muncul di muka pintu.

“Cari Yasmin, ka?” soal wanita itu, mahukan kepastian.

“Ya, kak. Saya cari Yasmin. Dia pindah ke mana, kak tahu tak?” soal Arman, nada suaranya terdesak.

“Ish... kami tak tau dia pindah pi mana. Dia pindah malam. Orang kat sini tak tau depa pindah mana,” ujar wanita itu bersungguh-sungguh. Riak wajah Arman berubah hampa.

“Tak apa lah, kak. Terima kasih.”

Arman terus turun ke bawah dan masuk ke dalam keretanya. Wanita itu memerhati pergerakan Arman dari balkoni flat.

“Awat mak kata tak tau Kak Min pindah pi mana? Hari tu Angah nampak mak dok sembang dengan Kak Min masa dia dok angkut barang,” soal remaja itu kehairanan.

“Haish... lepas ni, kalau sapa-sapa mai tanya Kak Min dengan adik-adik dia pindah pi mana, jangan dok cerita. Kata tak tau. Takut Ah Long tu hantar orang mai riki (siasat),” pesan wanita itu dengan nada tegas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience