Jauh

Romance Series 16692

Susah payah Yasmin bertatih ke dapur. Dia mahu menuam kakinya yang bengkak. Pintu peti sejuk dibuka, lalu dia mengambil bungkusan plastik berisi ais kiub. Sedikit ais diambil dan dimasukkan ke dalam tuala kecil. Yasmin kembali ke ruang tamu dan duduk di atas kusyen. Kain batik diselak hingga paras paha. Dia mula menuam kakinya. Lebam di kakinya sudah berkurang sedikit berbanding hari pertama kemalangan.

Pandangan Yasmin tertumpu pada sebiji bakul berisi buah oren, epal merah, dan anggur hitam, pemberian Zulaikha sebelum gadis itu bertolak pulang ke Johor tadi. Walaupun tidak begitu mengenali Zulaikha, Yasmin mengakui gadis tinggi lampai itu sangat mudah didekati dan peramah. Zulaikha tidak kekok membantu Yasmin yang sedang cedera. Yasmin merasa kesal kerana pernah berburuk sangka terhadap Zulaikha sebelum ini.

“Sama cantik, sama padan dengan Arman,” fikir Yasmin, terasa dirinya tidak setanding dengan wanita itu.

Arman memang kacak orangnya, tinggi, dan berpewatakan menarik. Kulitnya putih bersih, berbanding Yasmin yang berkulit sedikit gelap. Yasmin menarik nafas panjang, melawan perasaan rendah diri yang mula menguasai hatinya.

Dia bangun berjalan perlahan-lahan menuju ke bilik. Sesampai di sana, Yasmin berdiri di hadapan cermin. Dia memandang wajahnya yang sedikit kusam.

“Tak secantik Zulaikha,” gumamnya perlahan. Yasmin menghela nafas berat sebelum melabuhkan duduk di birai katil. Tadi semasa Zulaikha datang dia memakai gaun merah jambu pastel dan mengenakan solekan nipis. Memang nampak cantik ditambah senyuman manis yang tidak lekang terukir di bibir Zulaikha.

“Layakkah aku untuk Arman?” bisiknya, bermonolog sendiri. Perasaan sedih dan rendah diri terus menyelubungi dirinya.

“Aku dah banyak susahkan Arman,” keluhnya perlahan. Pandangan Yasmin tertumpu pada telefon bimbit yang terletak di atas katil. Dia hanya merenung kosong skrin telefon itu.

Arman sedang bekerja syif pagi, jadi dia tidak dapat menghantar mesej WhatsApp sekarang. Yasmin teringat perbualan mereka semalam, apabila Arman meminta dia berhenti kerja kerana risaukan keadaannya. Kata-kata itu masih bermain di fikiran, dan Yasmin masih memikirkan cadangan tersebut.

Yasmin terasa jauh hati sejak mengetahui latar belakang keluarga Arman dan kemunculan Zulaikha. Yasmin mula ragu-ragu, adakah hubungan mereka mampu bertahan hingga ke jinjang pelamin?

----

Arman membuka paip pancuran di bilik mandi. Air dingin mengalir deras, membasahi tubuhnya yang kepenatan selepas seharian bekerja. Bau wangi shower gel menyelubungi ruang bilik mandi. Selepas mencuci rambut dan memberus gigi Arman keluar dari bilik mandi dengan hanya memakai tuala mandi. Dia duduk di birai katil.

Arman mencapai telefon di atas kabinet. Skrin telefon dibuka, tetapi tiada pesanan daripada Yasmin. Arman menghela nafas panjang.

Sejak kebelakangan ini, Yasmin semakin menjauh. Dia jarang membalas WhatsApp, dan apabila Arman bertandang ke rumahnya, gadis itu lebih banyak mendiamkan diri. Apa sebenarnya yang mengganggu fikiran Yasmin? fikir Arman. Adakah kerana dia tidak dapat bekerja sekarang atau masalah kewangan?

Arman pernah menawarkan bantuan kewangan bulanan, tetapi Yasmin menolak. Bagaimana lagi dia harus buktikan pada Yasmin betapa dia mencintai gadis itu.

Gadis genit dengan alis lebat dan bulu mata melentik itu sudah bertakhta di hati Arman sejak pertemuan pertama mereka di tepi tasik Darulaman Perdana. Personaliti Yasmin yang garang dan tegas menarik perhatian Arman. Namun, Yasmin sendiri sering merasakan dirinya tidak cantik, padahal ramai lelaki di kilang dulu yang meminatinya. Cuma, mereka takut hendak mendekati Yasmin kerana Yasmin dikenali sebagai gadis pendiam dan sukar didekati.

Arman melirik skrin telefon. Pukul 9.15 malam. Masih ada masa untuk bertandang ke rumah Yasmin. Dia segera mengenakan pakaian dan turun ke ruang tamu.

Khadijah sedang menonton televisyen bersama anak-anaknya.

“Hai, nak ke mana malam-malam macam ni?” tegur Khadijah, sudah dapat mengagak kemana hala tuju adiknya itu.

“Sekejap je, sebelum pukul sepuluh orang balik,” jawab Arman sambil tersengih.

“Kau ni, setiap hari ke sana. Apa pulak kata jiran-jiran Yasmin nanti?” soal Khadijah dengan nada serius.

“Kak, please. Sekejap je. Yasmin tak balas WhatsApp ni,” rayu Arman, cuba meraih simpati.

“Takkanlah semua WhatsApp kau dia nak kena balas. Mungkin dia tengah tidur ke, makan ke. Sudahlah, kau pergi naik atas sekarang!” arah Khadijah. Garang.

Arman merapatkan kedua-dua tapak tangan, membuat isyarat merayu. Wajahnya dibuat-buat kelihatan kasihan.

“Aku bagitahu mama dan abah perangai kau ni!” ugut Khadijah.

Arman mengeluh, terpaksa mengalah. Dia naik semula ke bilik dan merebahkan diri di atas katil.

“Dah umur tiga puluh satu pun masih nak kawal,” rungut Arman sambil tersengih sendiri. Gelihati mengenangkan Khadijah yang masih mengugut seperti waktu dia kecil dahulu.

----

Arman menggenggam kuat stereng kereta. Wajahnya merah padam. Tidak sabar rasanya dia mahu berjumpa Yasmin untuk mendengar penjelasan mengenai pesanan WhatsApp yang Yasmin kirimkan tadi.

“Saya rasa sampai di sini sajalah hubungan kita. Kita tak sepadan. Tak setaraf. Saya tak mahu susahkan awak lagi. Terima kasih.”

Yasmin keluar dari rumah, berjalan perlahan-lahan ke pintu pagar. Dia membuka pintu kereta Arman dan masuk ke dalam dengan berhati-hati. Kaki Yasmin masih bengkak dan sakit apabila dipijak ke lantai. Ada sesuatu yang ingin dia bincangkan dengan Arman, tetapi dia tidak mahu perbualan itu didengar oleh adik-adiknya jika berbincang di dalam rumah. Riak wajah Yasmin kelihatan kosong dan bersahaja. Dia memintal-mintal hujung tudung bawal yang dipakainya, menunggu Arman memulakan bicara.

“Awak tolong jelaskan WhatsApp apa yang awak hantar dekat saya tadi?” tanya Arman dengan suara mendatar. Namun, jelas dia sedang menahan geram.

“Minggu lepas saya ada jumpa Nisa. Kami bersembang, dan dia ada beritahu tentang latar belakang keluarga awak.” Yasmin menghela nafas panjang.

“Jadi?”

“Awak tak pernah bagitahu saya pasal keluarga awak. Saya jadi stres. Malam tu, saya accident.”

Bulat mata Arman. Dia berpaling memandang Yasmin di sisi. Stereng kereta dihentaknya perlahan, wajahnya kusut.

“Sebab inilah saya tak bagitahu awak. Saya tak mahu awak fikir yang bukan-bukan. Awak ni overthinking,” kata Arman, nada suaranya sedikit tinggi.

“Betullah apa yang saya fikir ni. Kita tak sepadan. Awak orang senang. Mak dan ayah awak orang kaya. Saya orang biasa. Saya tak mahu nanti orang kata saya menumpang kesenangan awak.” Yasmin mencebik.

“Awak tak cintakan saya seperti mana saya cintakan awak. Sebab tu dengan mudah awak nak minta putus. Hanya sebab hal remeh,” suara Arman tegas, namun dia masih cuba mengawal nada suaranya.

“Ini bukan hal remeh bagi saya. Saya dah banyak susahkan awak selama ni. Saya tak mahu jadi beban ‘orang’ lagi,” balas Yasmin, dengan nada tajam.

" 'Orang'?" Arman memejam mata. Dia mengetap gigi. Geram. Dia tahu Yasmin sengaja memprovokasinya dengan perkataan itu. Dia diam. Rasa habis tenaganya kalau mahu berdebat dengan Yasmin Afifah yang keras kepala.

" Lebih baik kita putus sekarang. Carilah perempuan yang setaraf dengan awak." Tutur Yasmin lagi. Serba salah. Arman menyandarkan badan ke kusyen kereta. Dia meraup wajah. Habis kata kata mahu diucapkan pada Yasmin. Sejak dari awal bercinta hubungan mereka seperti naik roller coaster, turun naik sama dengan tekanan darah Arman sekejap turun sekejap naik. Ada saja benda yang menjadi punca pergaduhan mereka.

Yasmin mendengus kecil. Hawa dingin dari aircond kereta menerpa tubuh. Yasmin memeluk tubuh. Sejuk. Arman mencapai baju sejuk yang digantung di kerusi belakang lalu memberikannya pada Yasmin, masih mengutamakan Yasmin walaupun gadis itu baru saja mahu memutuskan hubungan mereka. Yasmin menyarung baju sejuk itu ke paras bahu.

Mereka terdiam hampir sepuluh minit. Arman cuba menenangkan diri, tidak mahu isu ini berlanjutan.

“Tak boleh,” ucap Arman ringkas tetapi tegas.

“Hah?” Mata Yasmin membuntang.

“Kan saya dah pesan dulu, jangan ungkit pasal nak putus hubungan dengan saya. Awak boleh marah saya, gaduh, block saya—saya tak kisah. Tapi, nak putus, tak boleh.” Arman memberi amaran.

“Itu dulu. Sebelum saya tahu pasal keluarga awak.” Yasmin cuba berdalih.

“Kenapa dengan keluarga saya?”

“Saya bukan orang senang. Mungkin mereka tak suka?” Yasmin mengagak.

“Esok mama dengan abah nak datang ziarah awak. Awak tanyalah sendiri sama ada mereka suka atau tidak.”

“Datang nak tengok saya buat apa?” Yasmin menelan liur, kelihatan cemas.

“Awak kan baru lepas accident! Mama dengan abah saya nak datang tengok girlfriend anak diorang.” Sengaja Arman menyebut perkataan ' girlfriend'.

“Saya tak bersedia lagi ni.” ucap Yasmin mohon pengertian dari Arman.

“Awak kena bersedia dari sekarang. Lambat atau cepat, awak tetap kena jumpa mama dan abah saya jugak nanti.” ucap Arman tegas. Tidak mahu lagi menunda perkara ini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience