Sementara itu, di rumah banglo Dato' Adnan…
Selepas seharian keluar membeli-belah, Zulaikha, Arman, Yasmin, dan Ameena duduk berbual santai di ruang tamu, menghilangkan lelah setelah penat berjalan.
"Apa yang banyak sangat kamu beli ni?" soal Datin Raudhah sambil mencapai salah satu beg kertas yang berselerakan di atas meja. Tangannya lincah menggodek isi dalamnya—baju, kasut, seluar, dan entah apa lagi.
"Untuk Mak Long pun ada, Ika beli," jawab Zulaikha sambil tersenyum kecil. Dia menarik satu beg lain dan mula mencari bungkusan tudung yang dibelinya khas untuk ibu saudaranya itu.
Datin Raudhah hanya menggeleng kecil. "Nantilah cari. Sekarang dah masuk waktu Maghrib, pergi mandi dulu. Semua pergi bersihkan diri," tegurnya lembut tetapi tegas.
Tanpa banyak soal, mereka berempat bangun dan melangkah ke bilik masing-masing.
Setelah masuk ke dalam bilik, Yasmin terus merebahkan tubuh di atas katil. Dia meniarap, wajahnya disembamkan ke atas bantal. Perutnya terasa kurang selesa, sedikit cramp dan ngilu. Kakinya juga lenguh, mungkin kerana terlalu lama berjalan tadi.
"Sayang nak mandi dulu ke?" soal Arman.
Yasmin hanya mengeluh kecil, terlalu penat untuk memberi jawapan.
Tanpa menunggu balasan, Arman terus masuk ke bilik mandi. Yasmin pula masih bersantai di atas katil. Tudungnya sudah dicampak ke tepi. Dia mahu mandi, tetapi badannya terasa begitu lesu. Matanya semakin berat, hampir sahaja dia terlena sebelum bunyi pintu bilik air dibuka semula.
"Sayang… mandi dulu," tegur Arman lembut.
Yasmin membuka mata perlahan-lahan, lalu bangun dengan malas. Dia mencapai tuala dan melangkah masuk ke bilik air.
Selepas selesai mandi, Yasmin keluar dengan wajah yang sedikit segar. Arman sudah siap menunaikan solat Maghrib dan kini duduk bersandar di kepala katil.
Yasmin segera mengenakan telekung, tidak mahu melewatkan solatnya. Seusai solat, dia terus merebahkan diri ke atas katil, masih dalam telekung.
"Kenapa nampak tak bermaya je ni?" Arman menoleh ke arah Yasmin. Dahinya berkerut sebelum tangannya menyentuh dahi isterinya, bimbang kalau-kalau Yasmin demam. Namun, suhu badannya biasa sahaja.
"Mungkin sebab letih sangat kot," balas Yasmin perlahan.
Arman menghela nafas. "Kalau rasa tak sihat, baringlah dulu. Nanti abang ambil makanan dan air dekat bawah."
Yasmin hanya mengangguk kecil. Dia menarik selimut hingga ke paras dada, memejamkan mata, berharap lena dapat menghilangkan segala rasa sakit di badannya kini.
Di ruang tamu, Zulaikha dan Ameena sedang berbual dengan Datin Raudhah.
"Mana Yasmin?" soal Datin Raudhah apabila melihat Arman turun seorang diri.
"Dia penat sangat, dah baring atas katil," jawab Arman sambil duduk di salah satu sofa.
Datin Raudhah mengangguk. "Biarkan dia berehat dulu. Esok kalau dia masih tak sihat, bawa pergi klinik."
Arman mengangguk, setuju dengan cadangan itu.
----------------------------
Malam semakin larut. Di dalam bilik, Yasmin mula gelisah. Badannya terasa semakin lemah, dan perutnya berasa tidak selesa—seperti ada sesuatu yang tidak kena. Dia membuka mata perlahan, memandang sekeliling dalam samar-samar cahaya lampu tidur.
"Abang…" panggilnya lemah. Dia mencapai telefon di atas kabinet kecil di tepi katil. Pukul 2.30 pagi.
"Abang…" Yasmin menggoncang perlahan bahu Arman yang sedang tidur mengiring ke arahnya.
Arman, yang nyenyak tidur di sebelah, segera membuka mata. "Kenapa, sayang?"
Yasmin menelan liur. "Min rasa macam nak muntah…"
Arman terus bangun. "Larat tak? Nak abang temankan ke bilik air?"
Yasmin mengangguk perlahan, cuba bangun dengan bantuan suaminya.
Arman memapah Yasmin masuk ke bilik air.
"Uwekkk…" Yasmin memuntahkan segala isi perutnya. Arman menggosok-gosok belakang isterinya, menenangkannya. Setelah puas, Yasmin berkumur dan membasuh mukanya.
Wajahnya tampak lesu. "Pakai tudung. Abang bawa pergi klinik," kata Arman tegas.
Yasmin hanya mengangguk lemah. Setelah bersiap, Arman memapahnya turun ke tingkat bawah. Dia mengetuk pintu bilik ibu bapanya.
Beberapa minit kemudian, Datin Raudhah menjenguk dari sebalik pintu.
"Ada apa, Adik?" soalnya, sedikit cemas.
"Yasmin tak sihat, Mama. Adik nak bawa Min ke klinik," kata Arman sambil memapah isterinya.
"Nak Mama teman ke?"
Arman menggeleng. "Tak apa, Ma. Kalau ada apa-apa, nanti Adik call Mama."
Datin Raudhah mengangguk, walaupun jelas tampak bimbang di wajahnya.
"Jaga Yasmin elok-elok," pesan Datin Raudhah sebelum menghantar mereka hingga ke pintu.
Arman membantu Yasmin masuk ke dalam kereta sebelum segera menuju ke tempat duduk pemandu. Dia menghidupkan enjin dan memandu keluar dari kawasan rumah.
Wajah Yasmin tampak pucat, dan dia hanya bersandar di tempat duduk sambil memejamkan mata.
"Sayang okay?" soal Arman, sekilas menjeling ke arahnya.
Yasmin mengangguk perlahan. "Masih rasa pening sikit."
Arman menumpukan perhatian pada jalan. Keadaan malam yang sunyi memudahkan mereka sampai ke klinik dalam masa yang singkat. Sebaik tiba, Arman segera keluar dan membantu Yasmin turun dari kereta.
Di dalam klinik, suasana agak lengang. Hanya ada seorang pesakit lain yang sedang menunggu. Tidak lama kemudian, nama Yasmin dipanggil.
Mereka masuk ke bilik rawatan, disambut oleh seorang doktor wanita berusia dalam lingkungan 40-an. "Apa masalahnya, Puan?"
"Saya rasa lemah sangat, pening, dan tadi muntah beberapa kali," jawab Yasmin perlahan.
Doktor mengangguk sambil mencatat sesuatu di dalam fail. "Ada demam atau sakit perut?"
"Tak demam, tapi perut rasa tak selesa. Cramp sikit."
Doktor memeriksa tekanan darah Yasmin dan suhu badannya.
"Puan dah berkahwin berapa lama?"
Arman dan Yasmin saling berpandangan sebelum Yasmin menjawab, "Dah dua tahun lebih, doktor."
"Haid puan bulan lepas macam mana? Ada datang macam biasa?"
Yasmin terdiam seketika, cuba mengingat. Dia tidak begitu mengambil berat tentang kitaran haidnya. "Rasanya lewat sikit... dua minggu macam tu."
Doktor tersenyum. "Puan, daripada simptom yang puan alami, ada kemungkinan puan mengandung. Kita buat ujian kehamilan dulu, ya?"
Mata Yasmin membulat. Arman di sebelah juga kelihatan terkejut.
"Mengandung?" ulang Yasmin perlahan, seakan tidak percaya.
Doktor mengangguk. "Tak perlu risau, kita buat ujian dulu untuk pastikan."
Yasmin menarik nafas dalam. Dalam hatinya, bercampur perasaan cemas dan gembira. Tidak lama kemudian, dia diberikan sebuah bekas kecil dan diminta ke bilik air.
Beberapa minit kemudian, Yasmin keluar dari bilik air. Dia menyerahkan bekas itu kepada doktor. Doktor memasukkan alat penguji kehamilan. Hasilnya positif.
"Tahniah, Puan Yasmin. Ujian ini menunjukkan puan positif mengandung," umum doktor dengan nada ceria.
Yasmin terkedu. Arman, yang juga kelihatan terkejut seketika sebelum senyumannya melebar.
"Alhamdulillah…" Arman bersuara perlahan, matanya bersinar dengan kegembiraan.
Yasmin pula masih cuba mencerna berita itu. Dia mengusap perutnya yang masih rata, seolah-olah tidak percaya ada nyawa kecil sedang membesar di dalamnya.
"Saya akan bagi beberapa jenis vitamin. Siang nanti, puan boleh ke klinik sakit puan untuk buat ujian ultrasound jika mahu, dan bawa foto ultrasound ke klinik kesihatan terdekat untuk buat buku, ya," tambah doktor.
Air mata mula bertakung di mata Yasmin. Perasaan yang sukar digambarkan—terharu, gembira, dan juga sedikit takut.
"Terima kasih, doktor," ucap Arman. Terharu.
"Sama-sama. Jaga kesihatan, jangan terlalu letih. Banyakkan rehat dan makan makanan berkhasiat," pesan doktor sebelum menulis preskripsi vitamin untuk Yasmin.
Keluar sahaja dari bilik doktor, Arman memeluk Yasmin erat.
"Sayang…kita akan jadi ibu dan ayah" bisiknya di telinga Yasmin. Dia tersenyum bahagia.
Share this novel