Kemunculan Along

Romance Series 16692

Berderau darah Yasmin melihat motosikal Kriss Modenas sudah terparkir di depan pagar. Tangannya menggenggam erat pemegang motosikal, sementara fikirannya ligat meneka tujuan Along datang. Dia memperlahankan motosikalnya, lalu memarkir motor di dalam pagar.

Beg plastik yang berisi barang-barang untuk membuat hantaran pertunangannya dijinjit masuk ke dalam rumah. Dari muka pintu, Yasmin sudah dapat melihat Along duduk bersandar di kusyen sambil menonton televisyen, kakinya dilunjurkan santai seperti berada di rumah sendiri. Yasmin mengetap bibir, cuba menahan rasa tidak senang yang mula meruap.

"Min, hang balik dah ka?" ujar Along sambil tersengih, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

"Ha. Ada apa-apa ka hang mai ni?" soal Yasmin dingin tanpa memandang wajah Along. Tangannya sibuk meletakkan beg plastik di dalam bilik bawah.

"Aku nak mintak tolong, nak pinjam duit sikit," tutur Along bersahaja.

Yasmin berpaling, riak wajahnya serta-merta berubah. "Hang nak buat apa?"

"Aku nak bayaq hutang. Ada baki lagi dua ribu," jawab Along, nadanya tenang seolah-olah itu perkara kecil.

"Min mana ada duit banyak tu," balas Yasmin sambil memandang Along dengan dahi berkerut.

"Tolong la, Min. Aku tau hampa ada duit. Depa dok cari aku merata la ni," rayu Along, suaranya mulai mendayu.

"Ya Allah, Min tak dak duit banyak tu!" Yasmin meninggikan suara sedikit. Tangannya menggigil menahan amarah. "Adik-adik nak belajaq, nak sekolah, semua nak pakai duit. Nak simpan duit pun tak sempat!"

Along terdiam seketika sebelum bersuara lagi. "Hang pinjam la sat dekat bakal tunang hang. Dia mesti ada duit."

Mendidih darah Yasmin mendengar kata-kata Along. Dia mencekak pinggang, nadanya semakin tegas. "Min ni masih ada rasa malu, Along! Kalau tak dak urusan lain, hang pi lah balik!"

Along kelihatan seperti mahu berkata sesuatu, tetapi riak wajah Yasmin yang kelat mencuka membuatkan dia menelan kembali kata-katanya. Yasmin berdiri kaku, membatu sambil memandang dinding, masih menyimpan sedikit perasaan hormat kepada abangnya itu, walaupun ringan saja mulut Yasmin mahu memaki hamun Along.

Along bangkit perlahan-lahan dari kusyen. "Aku balik," katanya ringkas. Dia mendengus perlahan, tidak puas hati dengan jawapan Yasmin. Dia melangkah keluar, meninggalkan Yasmin yang masih berdiri di ruang tamu, memeluk tubuh dengan perasaan yang membara.

----

Set barang hantaran yang sudah siap disusun di penjuru bilik Yasmin. Yasmin memilih warna merah dan putih sebagai tema. Keseluruhannya, terdapat lima dulang, termasuk sedulang sireh junjung yang digubah menyerupai jambangan bunga. Yasmin masih perlu menyediakan dua dulang lagi untuk mencukupkan jumlah kepada tujuh dulang.

"Kak Min," panggil Darwish dari luar pintu bilik yang terbuka.

"Kenapa?" Yasmin berpaling seketika memandang Darwish sebelum menyambung kerja-kerja membuat hantaran. Darwish duduk bersila di tengah pintu. Raut wajahnya seperti sedang memikirkan sesuatu.

"Kak Min... tadi masa Along mai, dia pinjam duit kami lima puluh ringgit. Dia kata nak isi minyak motor," beritahu Darwish dengan nada takut-takut, bimbang dimarahi Yasmin. Dia membahasakan dirinya dengan kata ganti nama kami. Yasmin menghela nafas panjang dan mendengus geram.

"Duit belanja sekolah hang ka?"

"Bukan. Duit tabung. Tapi duit tu kami simpan nak beli beg sekolah baru. Beg yang ada dah koyak."

"Nanti Kak Min ganti duit tabung tu. Beg sekolah nanti Kak Min beli yang baru."

"Tak pa, Kak Min. Kami boleh beli sendiri. Dah cukup dah duit tabung tu. Nak beli yang tebal sikit. Yang nipis senang koyak," ujar Darwish, menolak kerana tidak mahu menyusahkan kakaknya.

"Tak pa lah, nanti Kak Min beli. Tu kan tanggungjawab Kak Min."

"Tak pa. Tak pa, kami ada duit."

Yasmin memandang Darwish dengan perasaan bersalah. Adiknya yang berusia enam belas tahun itu sangat berfikiran matang dan memahami keadaan keluarga mereka. Yasmin diam, serabut memikirkan sikap Along yang pentingkan diri tanpa memikirkan keperluan adik-adiknya. Tergamak dia meminta duit dari adik adik yang masih bersekolah.

"Kak Min tau hang selalu cuba tak menyusahkan Kak Min. Tapi hang kena tau, Kak Min ni penjaga hang dan Ameena. Memang tugas Kak Min sediakan keperluan hampa," tutur Yasmin lembut sambil merenung ke dalam anak mata Darwish.

Darwish mengangguk perlahan. "Kami faham, Kak Min. Tapi kami pun nak tolong Kak Min."

Kata-kata Darwish itu menikam terus ke hati Yasmin. Dia terkedu.

"Darwish, Kak Min tak kisah susah. Buat masa sekarang, hampa belajar lah betul-betul. Tu ja yang Kak Min mintak." pinta Yasmin bersungguh. Itulah nasihat yang selalu dia ucapkan pada adik adiknya. Dengan izin Allah, hanya tekad dan usaha yang dapat mengubah nasib mereka nanti.

----

Wardah, yang sudah siap bertudung, turun dari tingkat atas. Kunci motosikal yang tersangkut di tepi dinding dicapainya.

"Kak Min, Wardah nak keluar pi ambil Ziyad. Dia dah sampai stesen bas."

"Ha, okay. Nanti singgah beli cabai kering sekali. Kak Min nak blender cabai malam ni. Cabai tak cukup," balas Yasmin, yang baru selesai mengupas bawang. Dia mula merincik serai untuk dibuat pes memasak ayam masak merah bagi majlis pertunangan esok.

Di sudut dapur, Rayyan dan Darwish duduk bersila di lantai, sibuk memotong dan membersihkan ayam. Lima ekor ayam yang Yasmin beli pagi tadi akan digoreng siap-siap malam ini dan disimpan untuk esok.

"Daging ni nak potong besar mana, Kak Min?" tanya Melur sambil mengunjukkan sepotong daging yang sudah dipotong kecil kepada Yasmin.

"Ha, okay dah besar tu," jawab Yasmin sambil bangun ke sinki untuk membasuh bawang merah, bawang putih, halia, lengkuas, dan serai sebelum dikisar.

Beberapa ketika kemudian, Ameena datang membawa penyodok untuk membuang sampah yang telah disapu di ruang tamu. Selesai menyapu, Ameena menjenguk Alang, yang sedang membasuh lantai simen di luar rumah.

Kereta Alang, motosikal Yasmin, dan motosikal Wardah telah diparkir di rumah sebelah yang kosong. Esok, lantai simen di depan ini akan dihamparkan tikar untuk dijadikan tempat makan kerana ruang tamu agak sempit dan tidak mampu menampung jumlah tetamu yang ramai.

"Huarghhhhh..." Tiba-tiba kedengaran suara tangisan Anis Maisarah, anak sulung Alang yang berusia empat tahun. Alang segera masuk ke bilik bawah dan mendukung anaknya yang terkejut dari tidur. Shida, yang tadi masuk untuk menyusukan Ainul Mardhiah, turut terlena di sebelah anak mereka yang berusia setahun lapan bulan itu.

Alang berjalan mundar-mandir di ruang tamu sambil mendukung Anis Maisarah. Tangan kirinya menepuk-nepuk perlahan belakang badan anaknya itu supaya dia tidur semula.

Seketika kemudian, Dahlia, yang baru selesai solat Isyak, turun dari tingkat atas.

"Kak Min ada nak buat apa-apa lagi tak?" soal Dahlia.

"Kupas ubi. Ambil dalam kabinet dapur," jawab Yasmin, yang sudah selesai menumis pes ayam masak merah. Dia duduk bersila di lantai, berhampiran kabinet dapur, untuk membantu Melur memotong daging.

"Woi... banyak cantik muka hang, Abang Ayen. Kulit ayam semua hang letak asing," ujar Darwish sambil menjegil mata ke arah Rayyan.

Rayyan tersengih. Memang selalu begitu setiap kali dia yang menyiang ayam. Semua kulit ayam akan diasingkan untuk digoreng kemudian. Yasmin, Melur, dan Dahlia tersenyum kecil. Mereka faham benar dengan perangai Rayyan yang gemar makan kulit ayam goreng.

Riuh-rendah dapur rumah dua tingkat itu dengan senda gurau dan gelak ketawa. Masing-masing berjaga hingga lewat malam. Ameena sudah terlena di atas toto yang dihamparkan di hadapan TV di ruang tamu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience