Pindah

Romance Series 16692

Pada Disember 2010, hujung tahun itu, permohonan Umi untuk menyewa beli rumah PPRT Flat Paya Nahu telah diluluskan. Umi dipanggil untuk mengambil kunci. Rumah yang Umi dapat terletak di tingkat dua. Saiznya lebih kecil daripada rumah yang mereka sewa sekarang di Kampung Sungai Layar Hujung. Rumah itu adalah rumah kampung, hampir 1,600 kaki persegi luasnya, manakala rumah flat ini cuma 900 kaki persegi. Namun, bayaran bulanannya hanya RM124 sebulan, secara sewa beli. Umi lega kerana bayaran bulanannya jauh lebih murah berbanding rumah lama.

Banyak kenangan ketika tinggal di rumah sewa lama bersama Abi. Hampir lima tahun mereka menetap di situ. Namun, mereka harus meneruskan kehidupan yang semakin mencabar ini. Tanpa Abi, segalanya perlu mereka uruskan sendiri. Yasmin berharap dengan berpindah ke rumah baru, kehidupan mereka akan menjadi lebih mudah dan lancar.

Sepanjang minggu itu, mereka sekeluarga sibuk mengemas barang-barang untuk dibawa ke rumah baru. Kotak-kotak barang yang sudah diselotep disusun di ruang tamu.

“Kak Min... ada lagi tak kotak kosong?” Melur Syuhada, yang berusia empat belas tahun, menjenguk di sebalik langsir pintu bilik Yasmin dan Wardah. Yasmin sedang mengemas koleksi buku komiknya ke dalam kotak. Setiap buku disusun dengan cermat dan rapi.

“Ada lagi satu kotak saja, Melur. Itu pun Kak Min nak guna. Ada banyak lagi buku Kak Min nak simpan.” Yasmin berfikir sejenak sebelum bangun mengambil kotak kosong yang terletak di sudut bilik, lalu diberikan kepada Melur.

“Tak apalah... ambillah dulu. Nanti Kak Min keluar pergi cari kotak kosong kat kedai.”

“Okay. Terima kasih, Kak Min.” Melur hilang di sebalik langsir bersama kotak kosong. Dia sedang mengemas rak pakaian di bilik Umi.

Seketika kemudian, Yasmin bersiap untuk ke kedai mencari kotak kosong yang dibuang. Dia mengambil kunci motor yang tersangkut di dinding bilik. Wardah turut menyarung tudung. Kaki seluar trek yang digulung separas betis diturunkan.

“Siap!” kata Wardah. Mereka berdua keluar rumah. Yasmin menendang engkol untuk menghidupkan enjin motosikal Honda EX5 miliknya. Motor itu baru dibeli bulan lepas secara ansuran. Mujurlah Wardah mahu meminjamkan RM500, separuh daripada duit deposit kepada Yasmin. Kalau tidak, pasti lambat lagi Yasmin dapat menyimpan duit untuk deposit motor.

Setengah jam kemudian, Yasmin dan Wardah pulang membawa beberapa kotak kosong. Wardah, yang membonceng, memeluk kotak-kotak kosong yang sudah dilipat di belakang. Yasmin pula membawa bungkusan plastik berisi aiskrim Malaysia untuk adik-adiknya. Setiap kali Yasmin keluar, pasti dia membeli sesuatu untuk mereka.

Apalagi, berlarilah Melur, Rayyan, dan Darwish mendapatkan kakak mereka. Seronok mereka dapat makan aiskrim, dan yang paling mereka suka tentulah aiskrim perisa coklat. Ameena sedang tidur di dalam buaian. Dahlia, yang diberi tugas menjaga Ameena, turut tertidur di tepi buaian. Ziyad keluar bermain dengan kawannya sejak tadi. Yasmin menyimpan dua batang aiskrim untuk Ziyad dan Dahlia dalam peti sejuk.

“Ni aiskrim Dahlia dan Ziyad, ya... jangan ambil. Nanti depa minta,” pesan Yasmin. Dia masuk ke dalam biliknya, mahu menyambung semula kerjanya yang tergendala tadi.

----

Tutt...tutt...! Tutt...tutt...! Telefon bimbit Yasmin di dalam poket seluar berbunyi dan bergetar. Yasmin menyeluk poket seluarnya. Ada mesej dari Alang.

“Assalamualaikum, Kak Min. Balik kerja nanti terus balik ke rumah baru. Kami dah angkut semua barang ke rumah baru.”

Rumah baru Yasmin hanya dua kilometer dari kilang tempat dia bekerja.

“Okay. Nanti kami balik terus ke sana,” balas Yasmin. Dia dan Wardah bekerja di kilang yang sama. Wardah sudah hampir setahun bekerja di kilang itu. Selepas menamatkan tingkatan empat, Wardah membuat keputusan untuk tidak mahu belajar lagi. Selain sudah hilang minat untuk belajar, Wardah mahu membantu Abi mencari wang untuk keluarga.

Sewaktu Wardah memberitahu Abi bahawa dia tidak mahu belajar lagi, air mata bergenang di kelopak mata Abi. Abi faham mengapa anak keempatnya itu membuat keputusan seperti itu.

Pada pukul 5.30 petang, barulah Yasmin dan Wardah pulang dari tempat kerja. Hari ini, mereka sengaja tidak bekerja lebih masa kerana mahu mengemas dan menyusun barang-barang yang berselerak di rumah baru. Kotak-kotak barang penuh di ruang tamu dan di dalam bilik. Ruang dapur rumah flat yang sempit terasa sesak dengan adik-beradik Yasmin yang ramai. Mujur rumah flat ini ada dua buah bilik air. Tidak perlulah mereka berebut menunggu giliran setiap pagi.

Yasmin dan Wardah diberikan bilik yang paling kecil. Mereka tidur di atas katil dua tingkat. Along, Alang, Ziyad, Rayyan, dan Darwish berkongsi bilik paling besar, tetapi Ziyad, Rayyan, dan Darwish tidur di ruang tamu kerana di sana ada kipas siling. Jadi, lebih selesa untuk mereka.

Manakala Umi, Melur, Dahlia, dan Ameena tidur di bilik tengah yang sederhana besar. Ada dua set katil dua tingkat di dalam bilik itu.

Wardah memasak dua tin ikan sardin jenama King Cup untuk makan malam. Nasi dimasak dalam periuk elektrik. Ringkas sahaja kerana banyak barang dapur masih belum dikeluarkan dari kotak. Masing-masing sudah keletihan kerana perlu mengangkut semua barang dari bawah flat ke tingkat dua.

Wardah menghidangkan makanan di atas meja makan. Masing-masing mencedok sendiri makanan lalu duduk makan di atas lantai ruang tamu. Mata masing-masing tertumpu pada skrin TV kotak dua puluh sembilan inci yang menayangkan filem Tiga Abdul lakonan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. Sesekali kedengaran gelak ketawa mereka memenuhi ruang rumah berukuran 900 kaki persegi itu.

----

Umi duduk di birai katil, telekung masih tersarung di tubuhnya. Umi tidak dapat duduk lama di atas sejadah kerana sakit lutut. Dia menghela nafas panjang. Betulkah apa yang aku buat ini? Umi bermonolog sendiri. Tangannya meraup wajah. Jam di dinding sudah menunjukkan pukul 10.45 malam.

Sampai sekarang, Along masih belum pulang sejak keluar tengah hari tadi selepas menghantar Umi dan adik-adik ke rumah baru dengan van. Katanya mahu berjumpa kawan.

Umi sedar anak sulungnya itu berbeza daripada adik-beradiknya yang lain. Adik-adik Along sering terpaksa beralah dengannya. Bukan Umi sengaja mahu memenangkan Along, tetapi Umi tidak mahu pergaduhan antara mereka menjadi lebih teruk.

Along memang panas baran dengan adik-adiknya. Jika tidak dileraikan segera, pasti ada yang cedera pula nanti.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience