Yasmin mengintai dari cermin tingkap nako di bilik bawah. Dua buah kereta mewah terparkir di hadapan rumah. Tangan kanannya diletakkan di dada.
"Ya Allah, depa dah sampai," gumam Yasmin. Tangannya sejuk, dadanya berdegup kencang. Cemas, takut, dan malu bercampur-baur. Sekali lagi dia memeriksa wajahnya di cermin. Awning tudung diperbetulkan.
"Assalamualaikum," kedengaran suara Arman memberi salam dari muka pintu depan.
"Waalaikummussalam. Masuklah," jawab Yasmin. Dia keluar dari bilik untuk menyambut tetamu. Walaupun jalannya terhincut-hincut, dia menggagahkan diri. Dato' Adnan, Datin Raudhah, Khadijah, dan anak-anaknya melangkah masuk lalu duduk di atas kusyen usang di ruang tamu. Arman pula terus ke dapur.
Yasmin turut duduk di atas kusyen yang masih kosong. Perasaannya bercampur aduk. Malu melihat ahli keluarga Arman duduk di atas kusyen buruknya. Kabinet tv peniggalan Umi juga sudah senget dan cerminnya pecah semua. Dia cuba mengukir senyuman kepada tetamu yang hadir. Dato' Adnan nampak segak berpakaian kemas, manakala Datin Raudhah, walaupun hanya mengenakan baju kurung moden, tetap kelihatan elegan. Pakaian Khadijah yang bekerja sebagai guru nampak cantik dan mahal. Entah apa yang keluarga Arman fikir nanti, fikir Yasmin.
Seketika kemudian, Arman dan Darwish muncul dari dapur membawa semangkuk besar bihun goreng, sepinggan goreng pisang, dan dulang berisi cawan serta sejug besar air sirap. Semua hidangan itu diletakkan di atas meja kecil di tengah ruang tamu. Arman tahu Melur tiada di rumah, sebab itulah dia membantu Darwish menyediakan makanan dan minuman. Ameena, pula menyorok di tepi pintu bilik bawah, malu hendak keluar.
Mujur Yasmin sempat memasak bihun goreng sebelum Arman tiba. Darwish pula keluar membeli goreng pisang di gerai tepi jalan berhampiran rumah mereka.
"Kaki Yasmin macam mana? Dah okey sikit?" tanya Datin Raudhah, membuka bicara.
"Alhamdulillah, dah okey sikit... m-makcik," jawab Yasmin, ragu-ragu sama ada mahu memanggil ibu Arman dengan panggilan Datin atau Makcik.
"Terkejut Mak Cik dan Pak Cik masa Arman bagitahu Yasmin accident. Macam mana boleh accident masa tu?"
"Orang yang langgar saya tu langgar lampu isyarat merah."
"Dah buat report polis?" celah Dato' Adnan.
"Tak buat report pun, Pak Cik," jawab Yasmin sambil memandang Arman yang duduk di penjuru ruang tamu berdekatan pintu depan.
"Yasmin Jangan banyak berjalan, nanti kaki tu bentan," nasihat Khadijah pula. Ini kali pertama dia bertemu Yasmin. Betullah seperti kata Arman, Yasmin kecil saja orangnya. Mukanya nampak garang, tapi bila tersenyum terserlah keayuan gadis Melayunya.
"Jemput minum, Pak Cik, Mak Cik... Kak Khadijah. Ini Najmi dengan Nayla, kan?" Yasmin mempelawa, melihat mereka masih belum menyentuh hidangan di atas meja. Arman perasan ada sedikit getaran pada nada suara Yasmin. Dia memandang Yasmin, dan ketika pandangan mereka bertemu, dia memberi senyuman seolah-olah mahu menenangkan hati gadis itu.
"Pak Cik dengan Mak Cik minta maaf sebab datang tiba-tiba macam ni. Sebenarnya, pagi tadi kami ada seminar hartanah dekat Penang. Dah terlanjur sampai Penang, kami terus ke sini," cerita Dato' Adnan ramah.
Datin Raudhah bangun dan melabuhkan duduknya di sebelah Yasmin. Berderau darah Yasmin.
Ada apa-apa Mak Cik nak cakap dengan aku, ka? fikir Yasmin. Datin Raudhah meletakkan tapak tangan kanannya di atas paha Yasmin. Ya Allah! Dup dap, dup dap, jantung Yasmin berdegup laju. Yasmin terkulat-kulat sendiri. Sesekali dia mengerling Arman yang sejak tadi memerhatikannya. Arman tersenyum kecil, tahu benar apa yang difikirkan Yasmin.
"Mak Cik tahu Arman setiap hari datang rumah Yasmin. Tak manis dipandang orang. Apa kata jiran-jiran," kata Datin Raudhah perlahan. Dia membuka zip tas tangannya lalu mengeluarkan sebentuk cincin emas dari dalam kotak kecil.
"Hari ni, Mak Cik sarungkan cincin merisik untuk kamu dulu. Lepas kaki kamu dah baik, kami akan bawa rombongan meminang mengikut adat. Risau pula Mak Cik kalau ditangguh lama-lama. Kamu berdua pun dah hampir setahun bercinta, kan? Nak bercinta sampai bila..." ujar Datin Raudhah lembut, namun pandangannya tajam ke arah Arman.
Arman tersenyum lebar, jelas kelihatan gembira di wajahnya. Yasmin tunduk malu. Cincin merisik itu tersarung elok di jari manisnya.
" Nasib baik saiznya betul." ujar Datin Raudhah sambil tersenyum lembut pada Yasmin. Paha Yasmin ditepuk lembut Datin Raudhah. Seolah olah cuba menenangkan Yasmin. Naluri keibuannya tahu Yasmin gementar kerana sewaktu menyarung cincin tadi tangan Yasmin sejuk dan gementar.
Setelah berbual bual selama hampir tiga puluh minit Dato Adnan dan Datin Raudhah memohon diri kerana mahu bertolak pulang ke Johor.
----
Kereta Mercedes-Benz G 350 dipandu laju di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), berhampiran Juru. Datin Raudhah membuang pandangan ke luar tingkap, asyik melihat lot-lot perindustrian yang tersusun di kiri dan kanan jalan. Mujur hari ini bukan cuti umum, kuranglah sedikit kenderaan di atas jalan.
"Bila awak beli cincin merisik tu?" tanya Dato' Adnan. Matanya masih tertumpu pada cermin depan kereta.
"Minggu lepas. Khadijah ada bagitahu Arman selalu sangat ke rumah Yasmin. Saya rasa tak guna kita tangguhkan lagi. Anak kita pun memang suka sangat dengan Yasmin," ujar Datin Raudhah.
"Yelah. Bukan main lebar senyuman anak awak tu. Awak pun apa kurangnya, kan? Tersenyum-senyum." Sindir Dato' Adnan sambil tersenyum.
"Anak kita ada dua orang je, bang. Kali terakhir kita buat kenduri kahwin empat belas tahun yang lalu, masa Khadijah kahwin. Saya teringin sangat nak tengok Arman kahwin," balas Datin Raudhah, memegang pipinya sambil tersenyum.
"Eh, kan kita selalu buat kenduri arwah, kenduri kesyukuran," ucap Dato' Adnan, sengaja menyakat isterinya itu.
"Mana sama, bang. Kenduri kahwin meriah," Datin Raudhah memuncungkan bibir.
"Awak tak kisah ke? Yasmin tu orang susah, adik-beradik ramai," soal Dato' Adnan, sengaja mahu menguji hati Datin Raudhah.
"Merepek la abang ni. Abang pun kan orang susah dulu, adik-beradik ramai. Ada saya kisah ke?" selar Datin Raudhah.
Dato' Adnan tersengih. Ayahnya dulu seorang peneroka FELDA. Adik-beradiknya ada lapan orang semuanya. Semasa belajar di Universiti Malaya, Dato' Adnan bertemu dengan Datin Raudhah. Kasihan melihat Dato' Adnan yang kesempitan wang, Datin Raudhah memperkenalkannya dalam bidang hartanah. Dia juga membantu Dato' Adnan mendapatkan lesen perunding hartanah dengan menyertai kursus yang berkaitan. Sekarang, mereka berdua sudah berjaya membuka agensi hartanah sendiri.
"Iyalah, kalau awak tak bantu saya masa tu, mungkin sekarang saya jadi penoreh getah," usik Dato' Adnan.
"Huh, abang tu bukan pandai menoreh pun. Luka habis pokok abang kerjakan," ujar Datin Raudhah sambil tergelak kecil, mengimbau kenangan lucu. Anak peneroka seperti suaminya itu, ternyata langsung tak mahir menoreh getah.
Share this novel