Selepas tamat SPM, Rayyan memohon kursus teknologi automotif di Giat MARA Baling, Kedah. Permohonannya telah diluluskan. Esok, Wardah dan Hazrul akan menghantar Rayyan untuk mendaftar dan memulakan pengajian di sana. Dahlia pula menerima tawaran daripada sebuah maktab perguruan, iaitu Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan. Hasil daripada kutipan wang sesama mereka, dapatlah mereka membayar wang pendahuluan untuk pendaftaran Dahlia. Dahlia juga memohon bantuan kewangan daripada pejabat zakat dan kerajaan negeri Kedah.
"Siap dah, Kak Wardah," kata Rayyan sambil menjinjit beg pakaian di tangan kanan. Barang-barang lain telah dikumpulkan di sudut ruang tamu.
Wardah dan Rayyan mengangkut semua barang masuk ke dalam but kereta Bezza milik Hazrul yang diparkir di luar pagar. Hazrul menyusun beg dan barang-barang Rayyan di dalam but kereta supaya semuanya muat dengan kemas.
“Tak ada barang yang tertinggal, kan?” soal Hazrul.
“Tak ada dah, abang. Insya-Allah, semua dah ambil,” jawab Rayyan sambil mengerling ke arah Wardah yang sedang memakai kasut.
Yasmin berdiri di muka pintu, memerhati adik-adiknya. Wardah dan Rayyan menyalami Yasmin, dan tangan kakak mereka itu dikucup dengan penuh hormat.
Setelah semua selesai, mereka masuk ke dalam kereta. Seketika kemudian, kereta Bezza Hazrul bergerak meninggalkan halaman rumah, perlahan-lahan hilang dari pandangan mata Yasmin.
Yasmin kembali duduk di sofa, fikirannya mula melayang. Dengan Rayyan dan Dahlia akan menyambung pelajaran, keluarga mereka pasti memerlukan lebih banyak wang. Yasmin sedar dia perlu kembali bekerja. Namun, persoalannya, siapa pula yang akan menghantar dan mengambil Darwish serta Ameena ke sekolah?
Dia perlu menyusun semula jadual hidupnya. Bulan Mac nanti, Darwish akan genap enam belas tahun. Bolehlah dia mengambil lesen motosikal. Dalam tempoh dua bulan ini, Yasmin terpaksa mencari pekerjaan yang sesuai dengan jadualnya menghantar Darwish dan Ameena ke sekolah.
Sudah tujuh bulan Yasmin berhenti kerja. Walaupun hidup mereka memerlukan lebih penjimatan, keadaannya tidaklah sesukar dahulu. Sejak Yasmin mengambil alih pengurusan kewangan keluarga, dia dapat menyusun belanjawan dengan lebih berhemah.
----
Yasmin membuang pandangan ke luar tingkap. Arman, yang memandu di sebelah, sesekali mengerling ke arah Yasmin. Bagi Arman, Yasmin kelihatan cantik mengenakan blouse merah jambu lembut bersama skirt pensel berwarna hitam, dipadankan dengan shawl berwarna krim yang menyerlahkan sisi anggun dirinya. Biasanya, Arman hanya melihat Yasmin memakai t-shirt lengan panjang dan seluar tracksuit sahaja. Bibir Yasmin dioles dengan gincu rona nude, sementara matanya dicalit eyeliner nipis.
Senyuman kecil terukir di wajah Arman. Bahagia. Dadanya terasa berdebar. Kereta dipandu menuju ke Pasaraya Cmart. Di pekan kecil seperti Sungai Petani, tidak banyak tempat yang sesuai untuk mereka luangkan masa bersama. Perlahan-lahan, kereta memasuki kawasan parkir pasar raya tersebut. Arman memarkir kereta di tempat parkir bahagian atas sebelum mereka berjalan masuk ke dalam Cmart, terus menuju ke panggung wayang di tingkat atas.
"Awak nak tengok cerita apa?" soal Arman sambil matanya tertumpu ke arah skrin digital di dinding, melihat senarai filem yang sedang ditayangkan.
"Kita tengok Marvel's Black Panther. Yang lain ni lambat lagi nak tunggu," cadang Yasmin.
Mereka ke kaunter tiket untuk membeli tiket. Yasmin membuka zip beg sandangnya, ingin mengambil dompet. Sebelum keluar tadi, dia sudah meminjam RM200 daripada Wardah. Namun, sebelum sempat dia mengeluarkan dompet, Arman menepis beg sandangnya lembut dengan hujung jari.
"Biar saya bayar," tutur Arman lembut tetapi tegas.
Yasmin terkaku, malu. Dia tidak biasa diperlakukan sebegitu. Selalunya, dialah yang perlu membayar kerana tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan pencari rezeki di dalam keluarganya. Arman memberikan kad debitnya kepada gadis penjaga kaunter tiket. Setelah pembayaran selesai, gadis itu menyerahkan kad tersebut kembali kepada Arman.
"Kita masih sempat jalan-jalan dulu. Jom ikut saya turun bawah sekejap," ajak Arman.
Mereka menuruni eskalator ke tingkat bawah. Mereka tiba di sebuah kedai barang perhiasan diri, Yasmin memandang sekeliling dengan rasa hairan.
" Apa yang dia nak beli?" fikir Yasmin.
Arman pula terus menuju ke rak kaca yang mempamerkan pelbagai jenis cincin pasangan. Dia menunjuk ke arah satu set rekaan cincin yang sederhana tetapi elegan. Gadis Cina penjaga kedai itu mengambil cincin itu untuk ditunjukkan kepada Arman.
"Awak cuba yang ni," kata Arman sambil menghulurkan sebentuk cincin kepada Yasmin.
Yasmin menurut. Dia mencuba cincin itu, tetapi saiznya terlalu besar. Arman mengambil cincin lain dan memberikannya kepada Yasmin. Kali ini, cincin silver itu sesuai dengan jari manisnya. Cantik dan elok dipakai. Kemudian, Arman memilih cincin untuk lelaki mengikut saiznya dengan reka bentuk yang sama.
Berdebar dada Yasmin. Dia tidak menyangka Arman akan membeli cincin sempena temu janji pertama mereka.
----
"Adik-adik awak suka makan apa?" soal Arman. Matanya tertumpu pada deretan coklat di atas rak dalam pasar raya Cmart. Setelah habis menonton wayang, mereka terus masuk ke situ untuk membeli oleh-oleh buat adik-adik Yasmin.
"Semua jenis coklat depa suka," balas Yasmin sambil memperbetulkan awning tudung yang kemek. Arman mengambil dua bekas besar coklat Ferrero Rocher dari atas rak.
"Mahalnya." Mata Yasmin membuntang. Dia mengambil dua bekas coklat itu dari tangan Arman lalu meletakkannya kembali di atas rak. Arman terpinga-pinga. Tertera harga RM55.40 untuk satu bekas.
"Kenapa awak simpan balik?"
"Mahal. Awak tengok harga. Dua bekas dah seratus lebih," bebel Yasmin. Arman tersengih dan mengambil semula dua bekas coklat itu.
"Untuk Ameena dengan Darwish. Diorang suka makan coklat, kan?"
"Memanglah depa suka makan coklat. Tapi beli yang murah tu. Ni mahal sangat. Sekarang ni tengah bulan tau tak? Lambat lagi nak gaji," bebel Yasmin lagi.
"Saya ada duit lagi," tutur Arman sambil tersenyum. Dia membawa dua kotak coklat itu ke kaunter lalu membayarnya menggunakan kad debit. Yasmin mendengus kecil sambil mengikut langkah Arman ke kaunter pembayaran. Dia berdiri di sisi, memerhati juruwang mengimbas harga coklat dengan pantas.
"Biar saya bayar balik harga coklat ni," tawar Yasmin dengan rasa bersalah. Hari ini saja, sudah berapa ratus ringgit Arman habiskan untuk tiket wayang, cincin, dan makanan yang mereka makan. Sekarang, Arman beli coklat mahal pula.
"Saya ikhlas nak bagi. Lagipun, Ameena dan Darwish mesti suka."
"Memanglah awak ikhlas. Nak buat orang gembira tu bagus, tapi kenalah tengok kemampuan dulu."
"Awak jangan risau. Saya tahu apa yang saya buat." Arman mengukir senyuman manis buat Yasmin. Yasmin terkedu sebelum berpaling ke arah lain.
Share this novel