Enam bulan kemudian.
Yasmin duduk di tepi katil, dia menarik nafas panjang. Kepenatan terasa menyelubungi seluruh tubuh selepas selesai mengemas rumah. Sesekali, tangannya mengusap perut yang semakin membesar.
Arman sudah keluar bekerja, Ameena pula telah ke sekolah, manakala Darwish kini sedang menyambung pelajaran di sebuah universiti di Perlis.
Tiba-tiba, telefon bimbitnya berdering. Yasmin mencapai telefon yang terletak di atas katil dan melihat nombor yang tidak dikenali terpapar di skrin. Dengan sedikit ragu-ragu, dia menggeser skrin untuk menjawab panggilan.
"Hello, boleh saya bercakap dengan Puan Yasmin Afifah binti Kamarudin?" Suara seorang lelaki kedengaran di hujung talian, nadanya tegas dan serius.
"Ya, saya Yasmin Afifah. Siapa bercakap?" Dahi Yasmin berkerut, tertanya-tanya.
"Saya Inspektor Azlan dari Balai Polis Ipoh. Untuk maklumat puan, Aidil Rizki telah ditangkap dan kini telah dihantar ke Hospital Ulu Kinta."
"Hospital Ulu Kinta?" Yasmin mengulang dengan dahi semakin berkerut.
"Ya, puan. Saya nak tanya, adakah Aidil pernah mengambil sebarang jenis dadah?"
"Setahu saya, tidak, tuan. Kenapa tuan tanya begitu?" Yasmin menjawab, namun hatinya mula berdebar.
"Aidil ni bila kami bercakap dengannya, perbualannya tidak konsisten dan merapu. Nanti pihak hospital akan menghubungi puan untuk maklumat lanjut."
"Abang saya ditangkap sebab apa, tuan?" soalnya dengan nada semakin cemas.
"Abang puan telah menyerang seorang lelaki di sebuah kedai makan. Untuk maklumat lanjut, puan boleh datang ke Balai Polis Ipoh"
Yasmin terpaku. Jari-jarinya menggenggam erat telefon. Dadanya berombak, nafasnya tidak teratur. Sudah lebih dua tahun Along menghilang, membawa diri entah ke mana. Sekarang, tiba-tiba muncul berita ini.
Tipulah jika dia tidak pernah merindui Along, atau risau akan keselamatannya selama ini.
Sepanjang tempoh itu, setiap kali keluar dari rumah, matanya pasti liar memandang ke bahu jalan, berharap mungkin Along sedang berjalan kaki atau menunggang motosikal di atas jalan. Mungkin dia akan terserempak dengan Along, walaupun hanya seketika.
Kelopak mata Yasmin mula berkaca. Dia memejamkan mata seketika, cuba menenangkan diri. Perasaan bercampur baur—terkejut, takut, dan sedih. Bagaimana keadaan Along sekarang? Apa yang telah terjadi kepadanya selama ini?
Telefon di tangan terasa semakin berat. Yasmin bangun perlahan-lahan, melangkah ke luar bilik. Tidak senang duduk rasanya. Dia perlu menghubungi suaminya.
Dia menarik nafas panjang dan mendail nombor Arman. Setelah beberapa kali mencuba, akhirnya panggilannya disambut.
"Hello," sahut lelaki itu di hujung talian.
"Abang, tadi polis dari Balai Polis Ipoh telefon Min. Along kena tangkap. Sekarang polis hantar ke Hospital Ulu Kinta," cerita Yasmin, suaranya sedikit sebak.
Arman terdiam sejenak. Dia menghela nafas panjang. Dia tahu, pasti Yasmin sedang bersedih sekarang.
"Petang nanti abang balik, kita bincang lagi, ya?" pujuk Arman.
Yasmin mengangguk, walaupun Arman tidak dapat melihatnya. Panggilan dimatikan. Dia duduk semula di tepi katil. Fikirannya mula risau memikirkan keadaan Along.
--------------------
Hospital Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Ipoh , Perak.
Arman memandu masuk ke kawasan Hospital Bahagia Ulu Kinta, sebuah hospital psikiatri tertua dan terbesar di Malaysia. Hospital ini terletak di atas tanah seluas 544 ekar di Tanjung Rambutan, sebuah kawasan pinggir bandar di Ipoh.
Dia memandu menuju ke wad rawatan pesakit lelaki. Mereka telah membuat temujanji dengan seorang doktor yang merawat Along.
Setelah memarkir kereta, Arman dan Yasmin melangkah masuk ke dalam wad, mencari kaunter pertanyaan. Yasmin menggenggam beg tangannya erat, cuba mengawal debaran dalam dada. Tidak lama kemudian, seorang doktor wanita menghampiri mereka.
"Encik Arman dan Puan Yasmin?" tegur doktor itu dengan senyuman tipis.
"Ya, saya Yasmin."
"Saya Doktor Atikah. Jemput masuk," pelawa doktor itu sambil menuding ke arah biliknya.
Setelah masuk, Yasmin dan Arman duduk berhadapan dengan doktor. Doktor Atikah menarik nafas sebelum membuka sebuah fail di hadapannya, menyelak helaian kertas dengan teliti.
"Sebelum saya jelaskan keadaan pesakit, saya perlu mengambil sedikit sejarah perubatannya," kata Doktor Atikah.
Yasmin mengangguk faham.
"Adakah Aidil pernah mengalami kejadian besar yang memberi impak kepada kehidupannya?"
Yasmin mengerutkan kening, cuba mengingat kembali.
"Tahun 2010... Abi saya meninggal dunia. Tapi saya tak nampak sebarang perubahan besar dalam hidup abang saya. Sejak sebelum Abi meninggal lagi, dia memang tak bekerja tetap dan sukar fokus pada sesuatu pekerjaan. Dia bergantung sepenuhnya pada Umi… sehinggalah Umi pula meninggal dunia," cerita Yasmin dengan suara perlahan.
"Bagaimana keadaannya selepas ibu puan meninggal?"
Yasmin termenung seketika. "Emm… saya rasa Along jadi lebih agresif. Saya yang menguruskan perbelanjaan keluarga, dan dia terpaksa berdikari."
Doktor Atikah mencatat sesuatu di dalam failnya. "Bagaimana pula waktu kecil atau remaja? Adakah Aidil pernah menunjukkan sifat agresif terhadap adik-beradik yang lain?"
Yasmin terdiam lama. Kenangan lama menerjah ke mindanya. Setiap kali bergaduh, Along pasti akan memukul mereka dengan teruk, seolah-olah tiada empati. Dia ingat lagi, ketika Umi meninggal dunia, Along lewat sampai ke majlis pengebumian. Seolah-olah tiada perasaan.
"Ya, Along selalu bergaduh dengan kami. Dia akan memukul saya dan adik-beradik yang lain tanpa belas kasihan. Dia mahu semua kemahuannya dituruti."
Doktor Atikah menghela nafas panjang sebelum berkata, "Puan, Encik Arman… berdasarkan diagnosis yang kami lakukan, abang puan menghidap skizofrenia kronik."
"Skizofrenia?" Yasmin mengulang dengan dahi berkerut.
Arman menghela nafas berat. Dia tahu apa maksudnya.
"Skizofrenia ialah penyakit mental kronik yang menyebabkan pesakit mengalami halusinasi, delusi, dan paranoia yang teruk sehingga menjejaskan kehidupannya," jelas Doktor Atikah. "Seperti yang puan katakan, abang puan tidak dapat bekerja lama di satu tempat kerana perasaan paranoidnya. Dia sentiasa berasakan orang sekeliling ingin menyakitinya, iri hati, atau membencinya."
Yasmin terdiam. Segalanya mula masuk akal. Along selalu menyalahkan dia dan adik-beradik dalam setiap perkara. Along sering bercakap tentang orang lain yang kononnya cuba menjatuhkannya. Dia juga sering gagal mengekalkan pekerjaan.
Mata Yasmin mula berkaca. Sejak bila Along mula terperangkap dalam dunia halusinasi dan delusinya sendiri?
Air matanya akhirnya gugur. Dia gagal menahan sebak.
Sewaktu kecil, dia, Along, Alang, dan Wardah sangat rapat. Alonglah yang mengajar mereka melukis. Alonglah yang menjadi ketua jika mereka bermain. Along jugalah yang selalu menjaga mereka ketika mereka keluar bermain bersama-sama… entah sejak bila, Along mula berubah?
Arman memeluk lembut bahu Yasmin, cuba menenangkannya.
Walaupun Along telah banyak mengguris hatinya, jauh di sudut hati, Yasmin masih sayangkan Along. Dia selalu berharap Along baik-baik saja. Along adalah satu-satunya abangnya… teman sepermainan, kawan dan pelindungnya sewaktu kecil.
Yasmin meletakkan tangan di dada. Dadanya terasa sesak dan berat.
"Jadi selama ini Along sedang terperangkap dalam dunianya sendiri… Ya Allah…"
Dia mengesat air mata dengan tisu sebelum mengangkat wajah. "Doktor, boleh saya berjumpa dengan abang saya?"
Doktor Atikah menghela nafas sebelum berkata, "Maaf, puan. Abang puan sedang dirawat di Wad Forensik Akut. Dia telah menikam mati seorang lelaki di sebuah kedai makan. Kes ini melibatkan pihak polis, jadi kebenaran dari mereka diperlukan. Lagipun, abang puan sedang menjalani rawatan intensif. Saya risau kehadiran puan akan mengganggu emosinya."
Yasmin mengangguk perlahan. Hatinya makin sebak. Saat ini dia mahu melihat Along, tetapi dia terpaksa akur.
Arman bangun lalu mencapai tangan Yasmin. Tangan kecil itu digenggam erat, seolah-olah cuba memindahkan sedikit kekuatan.
Mereka melangkah keluar dari bilik doktor. Yasmin menhela nafas panjang, cuba menahan tangis yang masih bersisa. Segala rasa marah pada Along dia maafkan semuanya. Dia redha. Saat ini dia cuma berharap Along dapat menjalani kehidupan normal seperti orang lain suatu hari nanti.
Share this novel