Yasmin tekun menulis beberapa angka di atas kertas A4. Dia sedang membuat kira-kira perbelanjaan sekolah adik-adiknya untuk tahun depan. Minggu depan Yasmin akan mendapat gaji, jadi dia bercadang untuk membeli buku sekolah Dahlia yang akan melangkah ke tingkatan satu dan Melur yang akan masuk ke tingkatan tiga terlebih dahulu.
Ameena, yang berusia setahun empat bulan, masuk ke dalam bilik Yasmin sambil memeluk teddy bear kesayangannya yang dipanggil 'Baby Pink'. Ameena duduk di belakang Yasmin, yang sedang meniarap di atas lantai. Yasmin berpura pura menjadi kuda. Ameena terkekek-kekek ketawa. Seronok benar dia.
Yasmin bangun dan duduk bersila selepas Ameena keluar dari bilik. Riuh-rendah suara adik-adiknya bermain di ruang tamu kedengaran jelas. Bilik tidur berukuran 70 kaki persegi itu kelihatan sesak dengan tambahan sebuah rak buku dan almari pakaian. Yasmin terus mengira menggunakan kalkulator.
Yasmin menarik nafas lega. Jika dicampur dengan duit bonus tahunan dan duit biasiswa adik-adiknya, cukuplah perbelanjaan sekolah mereka nanti.
Yasmin bingkas bangun menuju ke bilik Umi di sebelah. Umi sedang menyapu minyak angin di kakinya yang membengkak.
"Umi, hari Isnin ni Min ambil cuti nak bawa Rayyan dan Dahlia ambil duit biasiswa depa. Ada baki lagi, kan? Bonus Min tak cukup nak bayar duit yuran, duit buku, dan pakaian sekolah lagi."
Umi terdiam. Rayyan, yang sedang menonton TV di ruang tamu, menyampuk.
"Duit biasiswa kami habis dah la, Kak Min. Hari tu Umi suruh kami pergi bank dengan Along ambil duit. Along kata dia nak berniaga."
Merah padam wajah Yasmin menahan marah. Dia mengetap bibir, cuba mengawal emosinya. Dia sudah faham sangat perangai Along. Selalu sahaja alasan itu digunakan Along untuk mendapatkan duit daripada Umi.
"Umi percaya ka Along kata dia nak berniaga?" soal Yasmin, suaranya sedikit bergetar. Wajahnya jelas mempamerkan rasa kesal.
Umi membisu. Hanya desahan kecil yang keluar dari bibirnya. Yasmin berpaling dengan wajah kecewa sebelum melangkah masuk semula ke biliknya.
Pintu bilik dikunci rapat. Yasmin duduk di birai katil, tangannya menggigil sambil menggenggam bantal. Dia memeluk bantal erat, seolah-olah mencari kekuatan. Namun, air matanya tetap tumpah, membasahi wajahnya bersama rasa kecewa yang tidak mampu diluahkan. Dia yang selalu menggunakan hampir seluruh gajinya untuk perbelanjaan keluarga. Malah, duit bonus tahunannya juga tidak pernah dia belanjakan sesuka hati kerana memikirkan adik-adiknya yang masih bersekolah. Semudah itu, Umi membenarkan Along mengambil duit biasiswa mereka.
Umi duduk di birai katilnya. Samar-samar, Umi terdengar esakan tangisan anak keduanya itu menembusi dinding bilik yang nipis. Umi diam. Entah apa yang difikirkan Umi. Dia tahu Yasmin sudah tidak seceria dulu. Yasmin sering berkurung di dalam bilik. Alang pula kini bekerja di Johor. Hanya Yasmin yang tinggal untuk menguruskan persekolahan adik-adik. Ziyad pula sudah berhenti sekolah dan kini bekerja di sebuah kedai makan.
Alang, Wardah, dan Ziyad ada memberikan Umi duit belanja bulanan. Umi juga menerima duit pencen ilat daripada Perkeso. Namun, selain membayar bil elektrik dan air, membeli ubat-ubatan, serta memberikan belanja sekolah untuk adik-adik, Yasmin tahu benar baki duit yang Umi dapat selalu habis ke mana.
Perbelanjaan lauk-pauk mereka tidaklah semewah mana. Kadang-kadang, menjelang pertengahan bulan, mereka terpaksa makan nasi goreng kosong. Barang-barang kering seperti beras, gula, kicap dan sebagainya Yasmin yang beli setiap bulan.
Tekanan masalah kewangan keluarga membuatkan Yasmin rasa terhimpit. Baginya, pengurusan kewangan Umi sangat teruk, tetapi dia tidak tahu bagaimana untuk membetulkannya.
----
Kepala Yasmin terasa pening selepas menangis terlalu lama. Dia keluar dari bilik untuk membasuh muka di bilik air. Di meja makan, Ziyad dan Umi sedang menikmati mee tom yam, makanan kegemaran Umi yang dibawa pulang oleh Ziyad. Yasmin hanya melintasi mereka dan terus ke bilik air. Sejak peristiwa Ziyad menumbuk cermin tingkap nako, mereka berdua sudah tidak bertegur sapa.
"Min nak mee tom yam tak?" pelawa Umi lembut, seolah-olah cuba memujuk hati anak keduanya itu.
"Tak maulah, Umi. Min dah makan tadi," jawab Yasmin sebelum berlalu ke biliknya semula.
Umi memandang sayu ke arah Yasmin yang sudah hilang dari pandangan. Merajukkah Kak Min? Umi bermonolog sendirian.
Share this novel