Yasmin kelihatan anggun mengenakan baju kurung moden berwarna dusty purple yang dihiasi lace ringkas di bahagian hadapan, dipadankan dengan kain potongan duyung. Shawl warna yang sama dililit kemas menutupi dada. Solekan lembut hasil tangan Damia, rakan Wardah, menghiasi wajah Yasmin. Dia duduk di birai katil di bilik bawah, menarik nafas panjang sambil merenung jari-jemarinya yang halus, dihiasi inai merah yang dipakainya semalam. Degupan jantungnya terasa semakin kencang.
Damia mengemas semula peralatan solekan yang digunakan tadi dan memasukkannya ke dalam beg.
“Kejap, Kak Min.” Damia memperbetulkan kedutan shawl di bahagian bahu yang sedikit longgar. Setelah selesai, dia duduk di sebelah Yasmin. Suara Pak Long, Pak Lang, dan Pak Cik Hashim yang sedang berbincang dengan keluarga Arman di ruang tamu bersebelahan bilik jelas kedengaran oleh Yasmin dan Damia. Setiap butir perbincangan mereka menangkap perhatian Yasmin.
“Kami dari pihak lelaki bersetuju dengan semua cadangan daripada pihak perempuan. Kalau boleh, memang kami ingin segerakan,” ucap Dato’ Adnan dengan senyuman lebar.
“Alhamdulillah. Kami bulan depan ada dua orang anak dara lagi nak kahwin. Tapi tak sempat nak buat sekali sebab abang dan kak depa kursus kahwin pun tak pi lagi,” sahut Pak Long dengan nada seloroh. Lelaki berkumis dan berjanggut nipis itu tersenyum kecil, membuatkan suasana di ruang tamu dipenuhi gelak tawa dari pihak lelaki.
Yasmin tersenyum tipis mendengar gurauan Pak Long. Perbincangan di ruang tamu semakin rancak, sesekali diselangi nada gurau. Tiba-tiba, bunyi pintu bilik diketuk perlahan.
“Kak Min, dah boleh keluar,” panggil Ziyad dari luar pintu. Damia memandang Yasmin sambil tersenyum.
“Dah sampai masanya, Kak Min,” kata Damia lembut.
Yasmin menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri. “Bismillah…” Dia bangun perlahan-lahan, membetulkan shawl dan baju kurungnya sekali lagi. Dengan langkah penuh debar, Yasmin membuka pintu dan melangkah sopan ke ruang tamu.
Semua mata tertumpu pada sosok tubuh wanita berusia dua puluh sembilan tahun itu.
“Kak Min, duduk sebelah sini. Sat lagi nak sarung cincin,” arah Pak Long sambil menunjuk ke arah keluarga Arman. Ruang tamu rumah Yasmin agak sempit, dan kebanyakan tetamu yang hadir ketika itu adalah dari pihak keluarga Arman.
Yasmin duduk bersimpuh di sebelah Datin Raudhah. Keluarga Arman menyambut kehadirannya dengan senyuman ramah.
Datin Raudhah membuka kotak cincin, lalu mengeluarkan sebentuk cincin emas. Dengan penuh kelembutan, cincin itu disarungkan ke jari manis Yasmin. Kemudian, Datin Raudhah memegang kepala Yasmin dengan lembut sebelum mencium dahinya dan kedua belah pipinya.
Yasmin terpempan. Terasa ada air bertakung di kolam matanya. Debaran di dada kian ganas. Ciuman seperti itulah yang dirinduinya sejak ketiadaan Umi.
Dia menelan liur, cuba menelan rasa sebak yang mula menyelubungi hati. Yasmin meraih tangan Datin Raudhah, lalu mencium belakang tangan wanita itu lama. Dia bangun semula dengan senyuman di wajah, menyembunyikan perasaan pilu yang berombak di dada.
----
Kalut, Melur keluar dari dapur membawa bungkusan nasi dan lauk kenduri untuk dibekalkan kepada Pak Cik Hashim. Pak Long dan Mak Long sudah bertolak balik ke Setiawan sejak pukul tiga petang tadi. Pak Lang dan Mak Lang pula sedang menunggu di dalam kereta. Yasmin dan adik-beradiknya bersalaman dengan Pak Lang, Mak Lang, dan Pak Cik Hashim. Setelah kereta Proton Perdana Pak Lang hilang dari pandangan, Yasmin masuk ke dalam rumah untuk mengemas dapur. Banyak pinggan mangkuk yang perlu dibasuh. Alang, Ziyad, Rayyan, dan Darwish pula mengemas meja dan menyapu di luar. Majlis pertunangan Yasmin berjalan dengan lancar.
Dari jauh, Alang dan Ziyad ternampak Along datang menaiki motosikal Modenas Kriss, lalu memarkir motosikal di luar pagar.
"Assalamualaikum," sapa Along.
"Waalaikumussalam," sahut Alang dan Ziyad serentak. Along masuk ke dalam pagar sambil tersengih.
"Bila hampa dua orang balik sini?" soal Along.
"Semalam sampai Sungai Petani. Masuklah dalam rumah makan. Kami baru angkat makanan bawa masuk tadi," jawab Alang. Along melangkah masuk dan duduk di kusyen. Nasi tomato, lauk ayam masak merah, gulai daging, serta jelatah timun dan nanas dihidangkan di atas meja di sudut ruang tamu secara buffet. Masih ada rakan-rakan mereka yang akan datang nanti. Yasmin, yang baru turun dari atas selepas mandi dan solat Asar, duduk di kusyen.
"Makanlah, Along. Lauk-pauk semua ada atas meja," pelawa Yasmin. Along bangun untuk mengambil nasi. Yasmin hanya memerhati dari jauh. Tubuh abang sulungnya itu kelihatan sudah kurus. Dahulu Along sedikit berisi, tetapi kini dia kelihatan cengkung. Yasmin bangun untuk mengambil cawan, lalu menuangkan air oren dari dispenser. Dia meletakkan cawan di tepi pinggan Along. Along makan dengan penuh selera.
"Min, duit yang aku minta pinjam hari tu, hang ada pikiaq dak? Aku terdesak ni," tanya Along dengan penuh mengharap. Yasmin menghela nafas pendek. Dia sangkakan isu itu sudah selesai ketika Along datang kelmarin, rupa-rupanya dia masih mengharap.
"Min dah bagitahu hari tu, Min takdak duit. Adik-adik nak belajar. Min takdak duit simpan. Duit belanja rumah, belanja sekolah, mana boleh kacau," balas Yasmin tegas.
"Aku tak tau nak minta tolong kat sapa dah ni," ucap Along, kecewa. Yasmin bersandar di kusyen, cuba menenangkan diri daripada naik angin. Dia sudah letih mahu menjelaskan pada abangnya yang seolah-olah tidak faham situasi keluarga mereka. Hampir setahun dia tinggal di rumah dua tingkat itu bersama adik-adiknya, namun tidak pernah sekali pun Along menghulurkan walau sesen untuk belanja sekolah atau makan-minum mereka.
"Minta maaf, Along. Min memang takdak duit. Kalau ada pun, memang untuk belanja sekolah adik-adik. Sekarang dah bulan sebelas. Bulan depan kena beli baju, buku sekolah, dan bayar yuran. Memang betul-betul takdak," jawab Yasmin bersungguh-sungguh. Wajah Along berubah keruh, jelas menunjukkan kekecewaan.
"Kalau takdak, takpalah," kata Along, lalu bangun dari kerusi mahu pulang ke rumah.
"Tunggu sat, Along. Min nak bungkus nasi dengan lauk," kata Yasmin, bangun menuju ke dapur untuk membungkus makanan buat Along. Sepuluh minit kemudian, dia kembali dengan bungkusan di tangan.
"Terima kasih," ucap Along sambil mengambil bungkusan yang dihulurkan Yasmin. Dia melangkah keluar, menghidupkan enjin motosikal, lalu pergi.
----
Alang mengangkut barang-barangnya lalu dimasukkan ke dalam but kereta. Shida keluar sambil menggendong Ainul Mardhiah. Ziyad hanya membawa beg galas di belakang. Dia menumpang Alang balik ke Johor. Sampai di sana, dia akan menelefon Zulaikha untuk menjemputnya. Anis Maisarah terkial-kial memakai kasut sebelum dibantu Yasmin.
"Mai Mak Ngah tolong." Yasmin meletakkan kasut si kecil Anis di hadapannya untuk memudahkan dia memakainya. Selesai memakai kasut, Yasmin mendukung Anis masuk ke dalam kereta. Anis bersalam lalu mengucup tangan ibu saudaranya itu. Pipi gebu Anis dicium Yasmin.
"Kami balik dulu, Kak Min. Bulan depan pula la kami balik masa kenduri kahwin Wardah dan Melur." Alang menghulurkan tangan kepada Yasmin.
"Ha, ok. Bawa la elok-elok. Kalau mengantuk tu, berhenti la singgah kat mana-mana dulu." Pesan Yasmin.
"Takpa. Ni ada driver lagi sorang. Alang ngantuk, Alang suruh Ziyad bawa. Hari ni dia jadi PA Alang pula." Ujar Alang sambil tersenyum.
Share this novel