Along mengambil pakaian dari dalam almarinya yang hampir roboh. Semua pakaian itu disumbat ke dalam beg pakaian. Beberapa dokumen penting dimasukkan ke dalam beg sandangnya.
“Semua orang nak cari pasal dengan aku, semua orang nak dengki dengan hidup aku,” gumam Along. Dahinya berkerut. Rokok di bibirnya dipegang seketika sebelum dia menghembuskan asap ke udara.
“Sampai hati hampa tak mau tolong aku. Sebab hampa la aku jadi macam ni,” Along bercakap sendiri. Selesai mengemas, dia menyarung semula topi keledar di kepalanya. Dia turun ke bawah flat setelah mengunci pintu dan jeriji.
“Aku tak boleh dok sini dah, orang dok cari aku,” bisiknya sambil matanya meliar memandang sekeliling flat.
Along menolak motosikalnya perlahan-lahan ke tepi jalan, bimbang bunyi enjinnya menarik perhatian jiran yang mungkin sedang memerhati. Suasana malam di kawasan flat sunyi, hanya dihiasi dengan deruan enjin kenderaan dari jalan besar dan desiran angin lembut.
“Semua orang tak faham aku,” gumamnya lagi, kali ini dengan suara yang hampir tersekat. Dia berhenti seketika, memandang ke arah flat yang selama ini menjadi tempat berteduhnya. Hatinya berbelah bahagi.
Namun, amarahnya menguasai diri. Dia menghidupkan enjin motosikal dan memecut pergi tanpa menoleh ke belakang. Beg pakaian diikat longgar di bahagian belakang motosikal. Hanya dokumen-dokumen penting dalam beg sandangnya tersangkut erat di bahu.
Sepanjang perjalanan, Along cuba menenangkan fikiran. Dia memikirkan ke mana hendak dituju. Mungkin ke rumah seorang rakan, atau mencari tempat berlindung sementara waktu. Namun, fikirannya masih bercelaru dengan tuduhan dan rasa kecewa terhadap keluarganya.
“Hampa semua tak tahu apa yang aku rasa. Kalau aku mati esok, baru hampa nak menyesal kot,” katanya memekik lantang di atas motosikal.
Langit malam semakin kelam. Along terus memecut ke arah yang belum pasti, membawa bersama amarah dan kesedihan yang berbaur dalam dirinya.
----
Kad eksklusif gim yang tergantung di leher Arman diimbas pada mesin pengimbas. Pintu kaca gim terbuka, dan dia melangkah masuk ke dalam gim.
“Hai! Lama tak nampak sejak dah jadi tunang orang ni!” tegur Ikmal, coach di gim tersebut, dengan nada berseloroh. Sindiran pedasnya disambut dengan senyum simpul oleh Arman, malas melayan sahabatnya itu, nanti pasti dia tak jadi bersenam pula.
Dia memulakan sesi pemanasan badan, memutarkan bahu dan melenturkan tubuh sebelum menuju ke treadmill. Tuala kecil disangkut di leher, bersedia untuk sesi larian santai.
Semasa kakinya melangkah di atas treadmill, fikirannya melayang kepada peristiwa beberapa minggu lalu. Saat dia dan Yasmin melangkah masuk ke rumah lama keluarga Yasmin, dia masih teringat tulisan-tulisan di helaian kertas yang ditinggalkan oleh Along. Apakah maksud di sebalik tulisan-tulisan itu? Soalan itu terus menghantui fikirannya.
Walaupun Arman tidak pernah bertemu Along secara bersemuka, Darwish sering berkongsi cerita tentang abangnya itu. Menurut Darwish, Along adalah satu-satunya adik-beradik yang tidak rapat dengan mereka yang lain. Malah tindakan Along yang berhenti tidur di tepi dengan alasan terlalu letih, sangat memberi kesan pada Yasmin dan adik-beradiknya. Semua gagal memahami tindakan Along. Orang lain pasti cepat-cepat ingin pulang ke kampung jika ibu mereka meninggal! Apa sebenarnya yang ada dalam kotak fikiran Along?
Setelah beberapa minit di treadmill, Arman bergerak ke stationary bike. Dia mula mengayuh, membiarkan otot kakinya bekerja keras. Apabila puas, dia berpindah pula ke mesin chest press.
Tidak lama kemudian, bunyi pintu kaca gim yang terbuka menarik perhatian Arman. Dia menoleh dan melihat Darwish melangkah masuk, Darwish kelihatan kekok.
“Darwish!” panggil Arman, suaranya tegas tetapi ramah. Darwish berpaling dan segera melihat Arman di mesin chest press, Darwish tersengih lega.
Arman sengaja mengajak Darwish ke gim hari ini. Selain kerana Darwish sedang cuti sekolah, dia tahu adik Yasmin itu bercadang untuk mula bersenam secara rutin. Darwish pernah memberitahu Arman bahawa dia mahu memohon menjadi anggota Tentera Laut selepas tamat SPM, dan dia ingin memastikan dirinya berada dalam keadaan fizikal yang terbaik semasa ujian fizikal nanti.
“Kau buat warm up dulu. Lepas tu, buat kardio,” arah Arman sambil memberi isyarat ke arah treadmill.
Darwish mengangguk, masih kelihatan sedikit terpinga-pinga, tetapi nampak bersemangat untuk memulakan rutin senamannya. Arman tersenyum seronok, ada juga orang yang boleh di buat teman bersenam nanti.
Hampir dua jam Arman dan Darwish berada di dalam gim. Arman memberikan tunjuk ajar bagai seorang coach yang profesional lagaknya.
“Allahu Akbar,” keluh Darwish yang terbaring keletihan di lantai gim. Dia bangun duduk berlunjur sambil memegang pinggang, jelas menunjukkan betapa penat dan sakitnya seluruh badan selepas sesi senaman yang intensif.
Arman, yang sedang berdiri berhampiran, tergelak kecil melihat gelagat Darwish. Macam orang kena belasah, bisiknya dalam hati. Wajah Darwish yang meringis sambil mengurut-urut lengannya benar-benar kelakar di mata Arman.
Arman menghulurkan sebotol air mineral kepada adik tunangnya itu. “Nah, minum dulu,” katanya dengan nada mesra.
Darwish mencapai botol itu dan meneguknya dengan lahap. “Esok kita datang malam. Pagi abang kerja,” ujar Arman, sambil melipat tuala kecilnya lalu di masukkan ke dalam poket seluar.
“Ha? Esok kena mai lagi ka?” Darwish merenung Arman dengan muka yang berkerut seribu, seolah-olah tidak percaya.
Melihat reaksi itu, Arman tergelak besar. “Kata nak jadi tentera? Baru buat exercise sehari dah nak surrender?” sindir Arman sambil tersenyum lebar.
Darwish hanya mampu mengerutkan muka. Memang dia bercita-cita nak masuk Tentera Laut, tetapi dia tak pernah menjangka senaman pertamanya akan seteruk ini. Habis otot badan terkejut. Sakit di seluruh badan.
“Kalau kau teruskan, badan kau akan biasakan diri. Otot-otot tu nanti akan jadi lebih kuat,tak sakit dah,” kata Arman, menepuk bahu Darwish dengan lembut.
" Matilah macam ni," rungut Darwish sambil merebahkan semula badan ke lantai. Arman tersenyum geli hati. Ikmal yang sedang mengajar pelanggan baru menggunakan mesin rowing bersebelahan mereka turut tersenyum lebar melihat gelagat Darwish.
Share this novel