Beginikah Cinta?

Romance Series 16692

Sudah lima bulan Yasmin dan Arman 'berkawan'. Setiap hari, Arman akan menghantar pesanan WhatsApp kepada Yasmin, walaupun kadang-kadang pesanannya tidak dibalas. Arman suka bertanya tentang aktiviti harian Yasmin. Bila pulang dari kerja, sengaja Arman melalui jalan rumah Yasmin kerana mahu melihat wanita yang dicintainya itu.

Petang nanti, Arman akan bertolak balik ke Johor. Lusa ada majlis kenduri arwah di rumah datuk sebelah ibunya di Pahang. Dia sudah memohon cuti selama tiga hari, ditambah dengan dua hari cuti rehatnya. Arman bertolak dari rumah Khadijah pada pukul 7 pagi dan sampai di rumah ibu bapanya di Johor pada pukul 5 petang. Kemudian, mereka sekeluarga bertolak pula ke Pahang.

Angin malam yang dingin menerpa tubuh Arman yang hanya mengenakan t-shirt lengan pendek. Dia duduk di rest hut dekat pancuran air di luar vila datuknya itu. Arman mengeluarkan telefon dari poket seluar. Dia mahu menghantar pesanan kepada Yasmin.

"Arman," panggil Hidayat yang sedang menyusun kerusi di halaman. Arman memasukkan telefonnya kembali ke dalam poket seluar. Dia pergi membantu sepupunya itu menyusun kerusi meja.

Ketika sedang mengangkat kerusi, Arman tidak sedar telefonnya jatuh ke atas tanah. Hidayat yang datang sambil mengangkat kerusi terpijak telefon Arman.

"Allah! Telefon siapa ni?" tanya Hidayat sambil mengalih kakinya.

"Telefon aku." Arman mengambil telefonnya dari atas tanah. Skrinnya sudah retak seribu.

"Sorry, tak nampak tadi."

"Ni poket aku ni cangkat. Tak apalah. Esok aku hantar repair. Skrin pecah je ni," kata Arman. Mereka menyambung kerja semula.

Selepas hampir sejam, kerusi-kerusi sudah diatur rapi, siap untuk majlis kenduri lusa. Hidayat menepuk bahu Arman.

"Jom masuk. Aku dah lapar gila ni," kata Hidayat.

Arman membuntuti Hidayat masuk ke vila. Setelah masuk ke dalam, dia duduk di sudut ruang tamu dan memeriksa telefonnya. Gelap. Skrinnya sudah rosak. Hati Arman sedikit hampa kerana tidak dapat menghantar pesanan kepada Yasmin seperti biasa.

----

Yasmin duduk bersandar di dinding. Tangannya memeluk lutut. Entah kenapa hatinya galau. Rasa marah, sedih, dan benci menyerbu ruang hati. Dia sudah agak pasti beginilah pengakhirannya. Sampai bila Arman dapat bertahan? Bila sudah jemu berharap, pasti Arman tidak akan berminat untuk berkawan dengannya lagi. Begitulah Yasmin berfikir.

Sudah empat hari Arman tidak menghantar pesanan WhatsApp. Sudah bosankah dia? Yasmin ada cuba menghubungi Arman dua kali, tetapi panggilannya tidak diangkat. Yasmin sakit hati. Dia mengambil telefon di atas katil.

"Saya rasa lebih baik kita jangan berkawan lagi. Awak carilah orang lain untuk dijadikan kekasih."

Yasmin menekan butang hantar. Tiada balasan. Dua puluh minit berlalu, namun pesanan itu masih belum dibaca.

"Kalau awak dah tak berminat nak berkawan dengan saya lagi, baiklah, saya akan lupakan awak. Tak payahlah WhatsApp saya lagi lepas ni."

Yasmin menghantar pesanan kedua, lalu terus menyekat nombor Arman.

Dia bangun, menutup lampu, dan berbaring di atas katil. Wardah, yang tidur di katil atas, sudah lena sejak tadi. Dalam kelam malam, air mata Yasmin gugur dari tubir mata.

Sejak lima bulan lalu, hidup Yasmin sudah tidak begitu sunyi. Entah kenapa, setiap hari dia tidak sabar menanti pesanan-pesanan WhatsApp dari lelaki itu. Dia rasa gembira setiap kali membaca pesanan Arman yang sentiasa mengingatkan dia untuk makan dan tidur tepat pada masanya. Walaupun kadang-kadang pesanan itu adalah ayat yang sama setiap hari, Yasmin tetap menghargainya.

Dia tahu Arman bukanlah pandai sangat mengarang ayat yang manis-manis. Tetapi perhatian kecil itu sudah cukup membuatkan Yasmin rasa dihargai. Kini, dia sedar betapa sunyinya dunia tanpa Arman.

Yasmin memejamkan mata, cuba untuk tidur. Dia sudah nekad. Dia perlu lupakan Arman. Dia tidak mahu lagi berharap pada sesuatu yang tidak pasti. Arman juga, fikir Yasmin, pasti sudah tidak berminat mahu menjadikan dirinya sebagai kekasih lagi.

----

"Kak Min... Abang Arman datang," panggil Rayyan dari luar pintu bilik Yasmin. Yasmin tersentak.

"Buat apa dia mai sini?" marah Yasmin. Dia tidak mahu keluar. Dibiarkan Arman menunggu di luar hampir dua puluh minit.

Tutt... tutt... tertera nama Arman di skrin telefon. Yasmin menekup telefon bimbit dengan bantal. Empat kali Arman menghubunginya.

"Kak Minnn... Abang Arman tunggu kat luar," laung Rayyan lagi dari luar pintu. Yasmin serba salah. Dia tidak mahu adik-adiknya tahu tentang hubungannya dengan Arman.

Dengan perasaan berat hati, Yasmin menyarung tudung. Akhirnya, dia turun ke bawah untuk berjumpa Arman. Di luar, Arman berdiri bersandar di tepi pintu pagar sambil memeluk tubuh. Wajahnya kelihatan serius, berbeza daripada biasa. Jantung Yasmin berdegup kencang. Dia geram dan malu untuk berdepan dengan lelaki itu.

"Ada apa lagi awak nak cakap?" soal Yasmin dingin turut memeluk tubuh.

"Ni apa ni? WhatsApp apa yang awak hantar ni?" tanya Arman dengan nada serius sambil menunjukkan skrin telefonnya kepada Yasmin. Kecut perut Yasmin. Itulah kali pertama dia melihat Arman begitu.

"Saya tulis lebih baik kita jangan berkawan lagi. Awak pun mesti dah bosan dengan saya. Nak WhatsApp saya pun dah malas. Call saya pun awak tak angkat," jelas Yasmin, cuba menutup rasa gugupnya.

"Awak call saya ke? Sebab apa?" soal Arman lagi, mendesak.

"Sebab awak tak WhatsApp saya. Saya geram. Saya call awak, tapi awak tak angkat pun. Kalau awak dah tak berminat nak kawan dengan saya lagi, awak boleh berterus terang," kata Yasmin dengan mata yang mencerlang.

"Jadi awak marah sebab saya tak WhatsApp awak?"

"Ya. Kenapa? Kalau awak rasa bosan dengan saya, okay. Saya faham," tutur Yasmin, tidak mahu mengalah.

Tiba-tiba, Arman tergelak. Senyumannya melebar di muka. Yasmin mencebik mencuka.

"Kenapa gelak pula?"

"Telefon saya jatuh. Skrin pecah. Sebab tu saya tak dapat WhatsApp awak." jelas Arman dengan nada lembut. Dia sudah faham mengapa Yasmin bersikap defensif begitu.

Mendengar penjelasan Arman, ada air mata bertakung di tubir mata Yasmin. Sedaya upaya dia menahan air matanya agar tidak jatuh ke pipi. Yasmin lega.

Arman perasan Yasmin sedang menahan emosi. Dia meraup rambutnya ke belakang, tersenyum kecil. Dia sudah berjaya—berjaya membuatkan Yasmin jatuh cinta padanya. Mungkin Yasmin sendiri tidak sedar. Beginilah cinta. Itulah rindu, tetapi Yasmin masih belum mengerti. Sengaja Arman mendiamkan diri, tidak mahu mengusik emosi Yasmin lagi.

"Saya nak ajak awak keluar dating, boleh?" tanya Arman, memberanikan diri. Dia rasa sudah tiba masanya hubungan mereka melangkah ke peringkat seterusnya.

Yasmin tunduk memandang lantai. Rasa gugupnya belum hilang. Tangannya terasa sejuk.

"Nanti awak WhatsApp-lah. Saya nak masuk dalam rumah. Nak masak," ucap Yasmin perlahan.

"Okay," jawab Arman sambil tersenyum.

Dia masuk ke dalam kereta, matanya terus memerhatikan Yasmin yang melangkah masuk ke dalam rumah sebelum dia memecut kembali ke rumah Kak Khadijah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience