Arman merebahkan diri di atas katil. Kakinya dibiarkan berjuntai ke bawah, manakala tangan kanannya diletakkan di atas dahi. Sudah tiga hari berlalu sejak Yasmin mengalami kemalangan sepulang kerja. Hari ini Yasmin sudah boleh berjalan perlahan-lahan, itu pun perlu dipapah.
Arman risau jika kejadian seperti ini berulang lagi. Mujur ada Zulaikha yang membantu merawat kecederaan Yasmin. Kalau harapkan Arman, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan dengan kecederaan begitu. Ligamen dan tisu di sekitar lutut Yasmin cedera dan terkoyak, menyebabkan kakinya bengkak. Ada tompokan hematoma pada betis Yasmin.
Dari awal lagi, Arman berat hati hendak membenarkan Yasmin bekerja di Parkson kerana jaraknya jauh dari rumah. Tetapi Yasmin berkeras. Arman terpaksa akur. Namun, kini dia mesti berbincang dengan Yasmin dan meminta dia berhenti kerja. Biarlah Yasmin bekerja dekat dengan rumah sahaja. Dia benar-benar risau.
Tiba-tiba, nada dering lagu Jepun daripada Gackt berbunyi. Arman bangun dari posisi baring lalu mencapai telefon dari atas kabinet kecil di tepi katil. Tertera nombor tidak dikenali di skrin.
“Hello?”
“Hello. Abang ingat lagi tak? Saya orang yang accident dengan girlfriend abang.” Baru Arman teringat. Dia ada memberikan nombor telefonnya ketika menunggu Yasmin di luar wad kecemasan.
“Ya, saya ingat. Ada apa, bang?” tanya Arman sambil membahasakan lelaki itu abang juga.
“Saya nak minta tiga ratus. Duit repair motor sebab girlfriend abang yang langgar saya. Dia langgar traffic light,” cerita lelaki itu bersungguh-sungguh.
“Sekarang moto abang ada dekat mana?” soal Arman pula.
“Saya dah hantar bengkel dah. Siap dah repair. Nak ambik tak boleh, duit tak dak. Saya nak kerja pun tak boleh, luka habis satu badan ni,” tambah lelaki itu lagi.
“Berapa abang minta tadi? Tiga ratus?”
“Tiga ratus saja. Kalau buat report polis, girlfriend abang kena saman. Kena naik court lagi.” Arman terdiam sejenak. Dia tidak mahu Yasmin susah hati memikirkan hal ini.
“Hmmm... abang WhatsApp nombor akaun bank. Saya transfer duit.”
“Okay. Baik. Terima kasih, abang.”
Talian dimatikan. Seketika kemudian, lelaki itu menghantar nombor akaun banknya melalui aplikasi WhatsApp. Arman terus membuat transaksi bayaran menggunakan perkhidmatan perbankan dalam talian.
----
Arman duduk di hujung katil, kakinya yang panjang melunjur dan disilangkan. Dia memandang dinding putih dengan riak kosong. Yasmin pula bersandar di kepala katil, memalingkan pandangan ke arah kipas meja yang sedang berpusing. Dia enggan bertentang mata dengan Arman. Masing-masing terdiam membatu.
Dua hari lalu, Arman menerima panggilan telefon daripada lelaki yang melanggar Yasmin di persimpangan lampu isyarat. Ketika Yasmin sedang dirawat di hospital, lelaki itu juga menerima rawatan kerana kecederaan ringan. Ketika itu, Arman sempat bertukar nombor telefon dengan lelaki tersebut. Setelah tiga hari kemalangan itu berlaku, barulah lelaki itu menghubunginya.
Tanpa berfikir panjang, Arman terus membayar amaun yang diminta lelaki itu kerana tidak mahu kes tersebut dipanjangkan ke balai polis, yang mungkin akan menyusahkan Yasmin.
“Kenapa awak marah saya? Saya cuma bayar duit ganti rugi kepada orang tu supaya kes ni tak dipanjangkan lagi,” ujar Arman dengan nada tenang, cuba mengawal intonasi suaranya.
Yasmin menghela nafas.
“Masalahnya, kenapa awak tak tanya saya dulu? Bukan saya yang langgar dia. Dia yang langgar lampu isyarat merah,” balas Yasmin dengan nada bersungguh.
"Saya tak mahu awak susah hati. Sebab tu saya tak mahu libatkan awak."
"Senang saja awak bagi duit dekat dia. Seronoklah dia dapat duit. Mudah sangat kena tipu,” bebel Yasmin.
“Tak apa, saya tak kisah pasal duit tu. Yang penting awak tak apa-apa. Boleh tak kita lupakan hal ni dan bincang tentang kerja awak? Saya tak nak awak kerja kat situ lagi."
Bulat mata Yasmin mendengar kata-kata Arman. “Kenapa pulak? Saya baru kerja kat situ, tak sampai sebulan pun. Seganlah saya dengan Hazrul kalau berhenti kerja tiba-tiba macam ni."
Yasmin mendengus kecil, tidak puas hati dengan permintaan Arman.
“Jauh nak berulang-alik waktu malam. Bahaya,” kata Arman tegas, cuba meredakan ketegangan.
“Tak boleh. Saya kena kerja. Saya nak pakai duit! Awak pun tahu duit hasil jual loan ASB saya dah habis." Yasmin diam seketika.
"Rayyan dah masuk MARA, Dahlia pula masuk maktab. Takkan saya nak harapkan duit Wardah dan Melur saja,” sambung Yasmin lagi sambil berpeluk tubuh. Sesekali dia memperbetulkan kedudukan tuala mandi yang dijadikan tudung di kepalanya.
“Saya akan bagi awak duit. Awak berhenti kerja dan cari kerja yang dekat dengan rumah,” pujuk Arman, suaranya semakin lembut. Dia tidak mahu kejadian kemalangan Yasmin berulang lagi. Jarak perjalanan pulang dari tempat kerja Yasmin yang baru dengan rumahnya mengambil masa setengah jam. Apatah lagi, sepanjang laluan itu terdapat jalan yang gelap dan kawasan hutan.
“Saya tak mahu guna duit awak. Ini tanggungjawab saya. Saya kena kerja. Saya tak boleh terima duit awak sesuka hati," ucap Yasmin tegas.
Arman bangun berdiri. Dia meraup wajah kemudian duduk semula di sisi katil Yasmin. Arman bersila menghadap Yasmin. Melihat ke dalam mata gadis itu memohon pengertian. Yasmin memalingkan pandangan ke arah dinding, segan ditatap begitu.
“Salah ke kalau saya nak bantu awak? Salah ke kalau saya risaukan awak?” Nada suara Arman perlahan, jelas menunjukkan kekecewaannya. Dia tidak mengerti kenapa Yasmin enggan menerima pertolongannya.
Yasmin menarik nafas panjang sebelum melepaskannya perlahan. Dia letih. Malas hendak berdebat dengan Arman. Yasmin takut untuk bergantung kepada orang lain lagi. Selepas kematian Abi, dia, Wardah, dan Alang terpaksa bertungkus-lumus mencari duit untuk membesarkan adik-adik. Nak mengharapkan saudara-mara? Mereka sendiri bukannya orang senang.
Yasmin juga takut jika orang menyangka dia menumpang kesenangan Arman. Dia lebih rela jika Arman hanya seorang pekerja kilang biasa, bukan anak orang kaya seperti yang diberitahu oleh Nisa. Tengok saja Zulaikha, sepupu Arman. Zulaikha cantik, elegan, dan berpendidikan tinggi. Yasmin terasa kerdil bila dibandingkan dengan perempuan seperti itu.
"Nantilah kita bincang lagi. Saya perlukan masa untuk fikir." Yasmin menggosok kepalanya yang berlapikkan tuala mandi. Serabut. Dia malas hendak bertukar tempat kerja.
Arman masih bersila di lantai. Dia bersandar ke dinding. Seketika kemudian, Darwish datang membawa dulang berisi dua cawan dan sejug kecil air teh panas lalu diletakkan di atas lantai sebelah tempat Arman duduk. Air teh dituang lalu diberikan kepada Arman.
"Terima kasih, Darwish," ucap Arman sambil menepuk lembut belakang remaja enam belas tahun itu. Darwish turut duduk bersila sambil bersandar di bingkai pintu bilik yang terbuka. Arman berbual bual dengan adik lelaki Yasmin itu sebelum kembali ke rumahnya.
Share this novel