Wardah sudah siap menyarung tudung. Dia duduk di atas kusyen sambil menunggu Yasmin yang masih belum selesai mengenakan tudung. Yasmin memakai tudung bawal. Sebelah ekor tudung bawal berwarna ungu itu dipinkan ke bahu, manakala sebelah lagi dililit ke belakang kepala. Setelah memperbetulkan awning tudungnya, Yasmin menyembur sedikit minyak wangi.
"Jom," ajak Yasmin.
"Kita nak beli ayam kat mana ni?" soal Wardah. Esok satu Syawal. Selepas solat Subuh, mereka berdua terus bersiap untuk keluar membeli ayam, daging, dan pelbagai lagi persiapan juadah hari raya.
"Pasar pagi kat Pasar Singgah Selalu tu pun ada. Kita beli kat situ ja. Satgi balik nak siang ayam dan daging, nak masak lagi," kata Yasmin.
"Ha, okay jugak tu." Wardah mengambil dua biji topi keledar yang diletakkan di atas rak buku. Mereka turun ke bawah flat ke tempat parkir motor. Along, yang baru pulang, sedang memarkir motosikal Kriss Modenas peninggalan arwah Abi.
"Hampa nak pi mana ni?" soal Along. Wardah mencebik. Semalaman Along keluar dari rumah, baru sekarang dia balik.
"Nak pi beli lauk untuk raya," jawab Yasmin.
"Banyak duit hampa. Kat dapur ada nasi dak? Aku nak makan," soal Along lagi. Panas rasa telinga Yasmin dan Wardah mendengar pertanyaan Along.
"Nasi habih. Petang satgi baru masak. Semua orang puasa," ujar Wardah dengan nada sinis. Dia tahu Along tidak pernah berpuasa sepanjang Ramadan. Ada saja alasannya: letih, tak larat, panas, dan macam-macam lagi. Along terus naik ke atas rumah. Dia masuk ke dapur, mengambil periuk kosong, lalu mencedok dua cawan beras dari tong beras untuk masak nasi.
Setelah nasi masak, Along menggoreng dua biji telur kicap lalu duduk makan di meja makan.
"Meena, bangun mandi dulu," Dahlia menggerak-gerakkan badan Ameena yang sedang tidur. Dia duduk di birai katil. Ameena bangun sambil menggosok mata.
"Bangun mandi," suruh Dahlia lagi. Ameena bangun, mengambil tuala yang disidai di penyangkut baju, lalu terus ke bilik mandi. Dalam perjalanan, Ameena ternampak Along sedang makan nasi di meja makan.
"Meena nak makan nasi dak?" soal Along.
"Meena puasa," jawab Ameena ringkas lalu terus ke bilik mandi. Dahlia hanya mampu menggeleng kepala, kesal dengan sikap Along yang langsung tidak menghormati adik-adik yang sedang berpuasa.
----
Rayyan, Darwish, dan Ameena diberi tugas memotong daging. Tiga ekor ayam sudah siap dimasak rendang. Ketupat yang ditempah oleh Wardah daripada ibu kawannya sudah sampai. Sebahagian ketupat itu direbus, manakala selebihnya disimpan di dalam ruang pembeku peti sejuk. Kuih-muih raya pula tidak diketahui di mana Melur menyimpannya. Esok pagi barulah Melur akan mengeluarkannya untuk diisi ke dalam balang kuih. Jika dikeluarkan sebelum pagi raya, pasti habis dimakan. Daging yang telah siap dipotong oleh adik-adiknya dimasak gulai daging campur ubi kentang oleh Yasmin.
Sebelum pukul lima petang, Yasmin dan adik-adiknya sudah siap memasak juadah berbuka serta juadah untuk Hari Raya esok.
"'Kak Min, baju raya Kak Min mana? Liya nak seterika baju ni," tanya Dahlia sambil menjenguk dari pintu biliknya. Dia sibuk menyeterika baju raya mereka sekeluarga.
"Ada kat penyidai luar. Kak Min baru basuh pagi tadi," jawab Yasmin yang sedang menonton televisyen. Dia bangun, menyarung tudung, lalu keluar mengambil baju rayanya.
"Ni ha. Baju Kak Wardah ada dalam almari baju," kata Yasmin sambil menyerahkan baju rayanya kepada Dahlia. Dahlia kemudian masuk ke bilik Yasmin untuk mengambil baju raya Wardah pula.
Yasmin masuk ke dalam biliknya dan mengambil sebuah kotak kecil. Selepas itu, dia keluar dan duduk di atas kusyen.
"Meena, nah." Yasmin menghulurkan kotak kecil itu kepada Ameena. Ameena membukanya dengan teruja. Di dalamnya terdapat seutas rantai leher, gelang tangan, dan cincin emas Korea.
"Wow, cantiknya! Kat mana Kak Min beli?" tanya Ameena sambil tersenyum girang.
"Kak Min beli kat Mydin la. Mahal ni," jawab Yasmin sambil tersenyum melihat reaksi Ameena.
"Wow, cantiknya. Nak pakai, nak pakai!" rayu Ameena sambil memegang tangan Yasmin.
"Esoklah pakai. Esok kan raya," pujuk Yasmin lembut.
"Okaylah. Kak Min simpan dulu. Esok Meena nak pakai," ujar Ameena. Dia kemudian duduk kembali menonton televisyen. Yasmin masuk semula ke bilik untuk menyimpan kotak kecil itu. Dia meletakkannya di atas rak buku bersebelahan dengan dua buah jam tangan yang dibelinya untuk Rayyan dan Darwish.
----
Azan Maghrib sudah berkumandang dari Masjid Taman Ria Jaya. Yasmin, Wardah, Dahlia, Rayyan, Darwish, dan Ameena duduk berbuka puasa di ruang tamu. Ramadan sudah melabuhkan tirainya, dan Syawal pula kini menjelma. Selesai berbuka, mereka menunaikan solat Maghrib bersama-sama.
Setelah selesai solat, Yasmin mengemas dapur dan membasuh pinggan mangkuk yang digunakan tadi. Wardah dan Dahlia keluar ke pekan Sungai Petani untuk ke bazar raya. Rayyan, Darwish, dan Ameena turun ke bawah flat bermain bunga api dan mercun yang dibeli oleh Ziyad. Sengaja Yasmin membiarkan televisyen terpasang; dia mahu mendengar alunan takbir raya nanti.
Hampir pukul 8.30 malam, Ziyad tiba di rumah dari tempat kerja. Dia nampak Yasmin sedang sibuk mengemas dapur. Ziyad masuk lalu duduk di kusyen.
Tutt... tutt... tutt... tutt... Telefon bimbit Ziyad yang berada dalam beg galasnya berbunyi. Dia segera membuka beg galas untuk mengambil telefon itu.
"Ya, abang?" jawab Ziyad setelah menjawab panggilan.
"Ziyad, abang nak tawarkan kerja untuk kau ni. Tapi kau kena datang Johor," kata suara Arman di hujung talian.
"Johor?" Ziyad terdiam sejenak.
"Sayang kalau kau tolak kerja ni, Ziyad. Ini kerja yang kau boleh buat sambil belajar balik. Ada orang boleh tolong kau belajar semula. Kau berminat tak?" Arman cuba meyakinkan Ziyad. Dia tahu Ziyad teringin hendak menyambung pelajaran, tetapi tiada kesempatan.
Yasmin, yang sedang mengemas dapur, terdengar perbualan Ziyad dengan kawannya melalui pembesar suara telefon itu.
"Saya berminat, bang. Tapi saya kena fikir dulu," kata Ziyad sambil bersandar ke kusyen. Tapak tangan kanannya digosok ke dahi, seolah-olah memikirkan sesuatu yang berat.
"Okay. Kau fikirlah dulu. Lepas raya kau bagitahu keputusan kau," kata Arman sebelum memutuskan talian. Ziyad menghela nafas sambil memejamkan mata. Terasa sukar untuk membuat keputusan.
"Allahu Akbar!" Ziyad terperanjat apabila membuka mata. Yasmin sudah berdiri di depannya. Dia kemudian duduk berhadapan Ziyad, memandangnya dengan wajah serius.
"Apa maksud kawan hang tadi tu? Kerja apa yang dia offer? Hang nak sambung belajaq ka?" soal Yasmin. Memang Yasmin tidak pernah senyum kepada Ziyad. Dia hanya bercakap perkara yang perlu sahaja selepas Umi meninggal dunia.
"Tu... tu... kawan Yad ajak Yad pi kerja kat Johor. Yad pernah cakap kat dia, Yad nak belajaq balik. Nak ambik paper Julai, tapi Yad tak pernah belajaq semua mata pelajaran yang masuk dalam SPM tu. Nak pi tuisyen pun tak dan. Yad kerja," kata Ziyad tergagap-gagap sambil mengesat peluh di dahinya.
Mata Yasmin langsung tidak dipandangnya. Setelah peristiwa tujuh tahun lalu, Ziyad amat takut jika kata-katanya melukakan hati Yasmin lagi.
"Hang bersungguh ka nak sambung belajaq tu?" soal Yasmin dengan nada suara yang lebih lembut.
"Ya, Yad teringin nak pi, Kak Min."
"Pi lah, kalau hang nak pi kerja kat sana," ujar Yasmin.
"Tapi... adik-adik macam mana? Umi baru meninggal," tutur Ziyad dengan berat hati.
"Peluang ni hanya datang sekali, Ziyad. Sama ada hang ambik peluang ni sekarang atau hang menyesal di kemudian hari. Kak Min, Kak Wardah, dan Melur ada untuk adik-adik di sini. Bila hang pi sana nanti, bantulah Kak Min di sini setakat mana yang hang mampu. Pi lah sementara ada peluang," kata Yasmin dengan lembut.
Ziyad terdiam lama.
"Terima kasih, Kak Min," ucap Ziyad. Matanya terasa pedih. Seperti biasa, Yasmin sentiasa mengorbankan dirinya untuk mereka. Yasmin tidak pernah berubah.
Share this novel