Zitt... Zitt... Yasmin mencapai telefon yang diletakkan di atas kusyen. Dia baru sahaja pulang selepas menghantar Ameena ke sekolah. Cardigan yang dipakainya pun belum sempat ditanggalkan. Nama Arman tertera di skrin.
"Nak apa lagi ni?" rungut Yasmin, geram.
"Saya cuti hari ini. Jom jogging di Tasik Darulaman Perdana. Saya tunggu sampai awak datang." Pesanan itu kedengaran posesif. Yasmin geram. Dia menanggalkan cardigan dan mencampaknya kasar ke atas kusyen.
"Ikut suka hanglah nak tunggu sampai esok pun," marah Yasmin. Dia melangkah ke bilik, lalu merebahkan diri ke atas katil. Sekali lagi, matanya melirik ke skrin telefon. Pukul 7.49 pagi.
Zitt... Zitt... Yasmin membuka aplikasi WhatsApp. Arman menghantar gambar dirinya sedang duduk di bangku batu menghadap tasik.
"Saya tunggu sampai awak datang," pesanan itu sekali lagi menguji kesabaran Yasmin.
"Ya Allah, dia ni muka tak malu ke hah? Kan aku dah kata tak berminat nak jadi girlfriend dia," gumam Yasmin. Dia memejamkan mata, cuba melupakan pesanan itu. Yasmin nekad untuk mengabaikan Arman. Biarlah dia menunggu.
"Arghhh..." Yasmin mengetap gigi, memaksa dirinya bangun dan bersiap. Rasa bersalah mula menyelinap dalam hati. Kasihan pula membiarkan Arman menunggu lama-lama.
Motosikal Yasmin dipandu menuju ke Tasik Darulaman Perdana. Yasmin dan adik-adiknya sering ke tasik itu, sama ada berjalan kaki atau menaiki motor.
Dari jauh, Arman nampak Yasmin memarkir motosikal. Dia tersenyum lebar dan berjalan menghampiri Yasmin yang lewat empat puluh minit. Arman perasan Yasmin hanya memakai selipar Crocs.
"Awak tak pakai kasut sukan?"
"Inilah kasut sukan, inilah kasut saya buat kerja. Awak nak jogging ke tak?" Yasmin membalas dengan nada marah. Matanya mencerlang. Walaupun marah, Yasmin datang juga memikirkan bekas rakan sekerjanya itu sedang menunggu.
Arman berjalan ke keretanya untuk mengambil beg galas. Dia menggalas beg itu ke belakang.
“Nak jogging pun bawa beg?”
“Selalunya saya tinggal dalam kereta. Tapi hari ini awak ada, kenalah bawa,” balas Arman bersahaja.
Mereka mula berjalan menyusuri trek jogging yang disediakan. Yasmin sengaja mempercepatkan langkah, mahu meninggalkan Arman di belakang. Padan muka, fikirnya.
----
Arman memperlahankan lariannya, mengikut rentak Yasmin yang sudah keletihan selepas berlari tiga pusingan. Satu pusingan adalah sejauh dua kilometer.
"Berhenti... berhenti... Saya letih... Ha... ha..." Yasmin tercungap-cungap. Dia duduk di atas rumput di tepi tasik, melunjurkan kaki. Arman turut duduk bersila tidak jauh darinya.
"Awak okay tak?" tanya Arman sambil meletakkan beg galasnya di atas rumput. Dia membuka zip beg, mengeluarkan dua botol air mineral, dan menyerahkan satu kepada Yasmin selepas membuka penutupnya.
Tanpa sepatah kata, Yasmin terus meminum air itu.
"Ah... Laparnya..." rungut Yasmin perlahan namun tetap didengari Arman.
"Awak tak sarapan lagi?" soal Arman. Dia tahu Yasmin sering tidak bersarapan semasa bekerja dulu. Arman mengeluarkan roti Gardenia berperisa vanila, membukanya, lalu menyerahkannya kepada Yasmin. Mujur dia memang suka membawa makanan ringan di dalam begnya.
"Terima kasih," ucap Yasmin lembut. Marahnya tadi sudah hilang.
"Ni pertama kali saya berlari. Selalu saya jalan saja pusing tasik ni. Awak jogging setiap hari ka?" Yasmin mengerutkan kening, hairan melihat Arman langsung tidak keletihan. Arman tergelak. Dia tahu Yasmin sengaja berlari laju kerana mahu meninggalkannya.
"Hari cuti, saya lari sepuluh pusingan kat sini. Petang pula pergi gim. Kalau hari kerja, bila rajin saja saya pergi," jawab Arman.
"Oh, patutlah. Lepas ni kita jalan saja. Tak payah lari," saran Yasmin, keletihan.
"Okay. Lain kali kita brisk walk je dekat sini."
"Lain kali? Tak ada lain kali dah. Saya takkan datang kalau awak buat macam ni lagi," balas Yasmin tegas.
"Buat apa?" soal Arman, pura-pura tidak faham.
"Paksa saya datang sini. Awak nampak penumbuk saya ni?" Penumbuk kecil Yasmin diacu ke udara. Geram. Arman tergelak. Dia turut mengangkat penumbuknya. Tangannya yang besar dan berurat itu jauh lebih besar daripada penumbuk Yasmin.
"Daripada awak kemurungan dekat rumah, lebih baik saya ajak jogging," ujar Arman, tenang.
"Bila saya kemurungan?" soal Yasmin dengan kening berkerut.
"Saya nampak masa awak minta cuti dekat Abang Lan dulu."
Arman memandang tepat ke muka Yasmin. Pandangan mereka bertaut seketika sebelum Yasmin melarikan pandangannya. Dia tidak selesa berduaan dengan Arman. Walaupun ramai orang beriadah di situ, Yasmin tidak pernah serapat itu dengan mana-mana rakan lelaki. Namun, dia gagahkan juga datang kerana kasihan membiarkan Arman menunggu lama.
----
Khadijah, yang sedang memasak di dapur bersama Bibik Mai, hairan melihat Arman menyanyi-nyanyi sambil menuju ke dapur. Dia membuka peti sejuk dan mengambil sebotol air. Air sejuk itu dituangkan ke dalam cawan sebelum diminum.
"Amboi... dua tiga hari ni nampak berseri ja muka. Ada apa-apa ke?" usik Khadijah. Arman tersenyum.
"Orang dah jumpa Yasmin."
"Iya ka? Dia pindah ke mana?" soal Khadijah, teruja.
"Ingat tak masa majlis pertunangan Kakak dengan adik Ziyad?" soal Arman.
"Ha'ah, ingat. Apa kaitannya?"
"Yasmin tu kakak Ziyad."
"Lah, ya ka? Sweetnya kalau dah jodoh kan. Tapi siapa yang bertunang?"
"Kakak nombor empat dan adik nombor enam Ziyad. Yasmin nombor dua."
"Oo... jadi sekarang korang dah couple?"
"Belum. Kami berkawan dulu sampai Yasmin bersedia."
"Oh. Yasmin tak terima kau, ye?" Nada suara Khadijah berubah kecewa. Dia sudah agak dari awal lagi, dengan perangai tunggul kayu Arman, mana mungkin ada perempuan yang jatuh cinta padanya.
"Dia tak pernah bercinta. Takkan tiba-tiba nak suka," balas Arman. Positif.
"Betul jugak tu. Aku teringin nak tengok Yasmin, macam mana rupa dia," ujar Khadijah teruja. Masakan dia tidak teruja, selama ini Arman hanya pernah bercinta sekali semasa di sekolah menengah dulu. Itupun cinta monyet. Arman ditinggalkan kerana kekasihnya menganggap Arman tidak romantik dan dingin.
"Hehe... cantik, comel, pendek dan garang," jawab Arman sambil tersenyum. Ahli keluarga Arman semuanya tinggi-tinggi belaka. Khadijah sendiri berketinggian 172 sentimeter.
"Tinggi dia berapa?"
"Rasanya 150 sentimeter," agak Arman. Bibirnya tidak henti-henti mengukir senyuman. Bahagia. Harap-harap kali ni jadilah! fikir Khadijah.
----
Yasmin mencapai beg kertas pemberian Arman dari atas rak buku. Dia duduk di birai katil. Di dalam beg itu terdapat sebotol minyak wangi dan sebuah kotak kecil. Yasmin membuka kotak kecil tersebut, mendapati seutas rantai leher batu Swarovski di dalamnya.
"Lawanya," fikir Yasmin. Dia belum pernah menerima hadiah seperti itu daripada sesiapa. Yasmin menyembur minyak wangi yang dibeli Arman dari Jepun ke pergelangan tangannya dan menciumnya.
"Wangi. Dia memang suka minyak wangi, ka?" Yasmin teringat, semasa bekerja dengan Arman dulu, lelaki itu sering memakai minyak wangi. Arman memang nampak seperti lelaki yang baik. Rasa bersalah mula timbul di hati Yasmin. Patutkah dia terus membiarkan Arman menaruh harapan padanya? Yasmin termenung, memikirkan perkara itu.
Share this novel