" Wardah...." panggil Opah sambil menggerak gerakkan tubuh Wardah yang sedang tidur di atas toto bersama adik-adiknya.
"Wardah... Wardah... bangkit tengok Umi-mu. Umi-mu tenat dah, nu," panggil Opah cemas. Wardah kelam-kabut bangun dari tidur. Dia melihat Pak Cik Hashim dan Mak Long berdiri di tepi pangkin, tempat Umi tidur.
"Dik Mah... Dik Mah..." Mak Long memanggil-manggil nama Umi. Namun tiada sahutan. Nafas Umi turun naik. Dada Umi berombak.
"Bangkit lekas. Ajar Umi mengucap. Gerak adik-adik," kata Opah lagi. Pantas Wardah mengejutkan Dahlia, Rayyan, Darwish, dan Ameena dari tidur. Masing-masing terkebil-kebil, masih mamai.
"Mari duduk dekat Umi, ajar Umi mengucap," panggil Mak Long.
"Wardah, telefon Kak Min suruh balik Gerik cepat," suruh Pak Cik Hashim pula. Wardah mengambil telefon bimbitnya di tepi bantal, lalu menekan butang 'on' untuk menyalakan telefon. Tertera di skrin pukul 2:02 pagi. Wardah mendail nombor kakaknya itu.
Tutt... tutt... tutt... tutt! Lama Wardah menanti. Tiada jawapan dari hujung sana. Tutt... tutt... tutt... tutt! Wardah mencuba lagi sekali.
"Hello." Kedengaran suara Yasmin di hujung talian, baru bangun tidur.
"Kak Min... balik... kampung sekarang. Umi... dah tenat," Wardah bercakap dengan nada tersekat-sekat. Air mata sudah bertakung di kelopak mata. Dada Yasmin terasa sesak. Jantungnya berdegup laju. Yasmin segera keluar bilik mahu mengejutkan Melur dan Ziyad yang sedang tidur.
"Ziyad, bangun... Ziyad, bangun." Ziyad yang terkejut bingkas bangun dari tempat tidur. Dia mendongak melihat Yasmin yang sedang berdiri. Ziyad bertambah terkejut kerana itulah kali pertama dalam tempoh tujuh tahun Yasmin menyebut namanya. Anehnya, ada air mata di mata kakaknya itu.
"Ada apa, Kak Min?" Yasmin menghela nafas dalam cuba mencari kekuatan. Terasa susah mahu menyampaikan perkara itu kepada adik-adiknya.
"Umi tenat. Kita kena balik Gerik sekarang," tutur Yasmin bersama deraian air mata. Dada Ziyad bagai ditumbuk. Dia bangun lalu melipat tilam alas tidurnya tadi dan menyusunnya di tepi dinding. Yasmin keluar mahu mengejutkan Melur pula.
Seketika kemudian, Ziyad nampak Melur ke bilik air dengan mata merah. Yasmin mengambil telefon di dalam bilik. Dia mahu menelefon Along yang merayap entah ke mana. Setelah beberapa kali mencuba, Along masih gagal dihubungi. Ziyad dan Melur sudah siap menukar pakaian. Hanya beg pakaian belum dikemas.
"Mana Along ni? Dah la dia bawak van. Masa orang nak guna, dia tak ada pulak," bebel Yasmin geram. Sejak Abi meninggal, Along menggunakan van peninggalan Abi sesuka hatinya. Jika Yasmin dan adik-adiknya mahu menggunakan van kerana ada urusan, terpaksalah bertekak dulu dengan Along. Itupun jika Umi masuk campur, barulah mereka dapat guna sekejap.
"Kita balik naik motor lah, Kak Min," cadang Melur.
"Hmmm... okaylah. Tunggu sat, Kak Min nak bersiap. Hampa ada duit dak nak balik kampung ni?" soal Yasmin. Sudah hampir hujung bulan. Masing-masing belum dapat gaji. Apatah lagi bulan ini mereka menanggung kos rawatan Umi masuk hospital selama enam belas hari dan banyak lagi perbelanjaan tambahan yang lain.
"Melur ada duit sikit. Cukuplah nak balik kampung."
"Duit gaji Melur ka?" soal Yasmin.
"Ashraf bagi. Dia dapat elaun," beritahu Melur. Ashraf, rakan sekelas Melur yang sukakan Melur sejak dari tingkatan empat, memang selalu datang ke rumah untuk berbual-bual dengan Umi. Malah, arwah ibu Ashraf dan Umi sempat berkenalan sebelum ibu Ashraf meninggal awal tahun ini kerana penyakit diabetes.
----
"Ashhadu alla ilaha illallah... wa ash hadu anna Muhammadur rasulullah..." Dengan deraian air mata, Wardah membisikkan ucapan dua kalimah syahadah di telinga Umi untuk kali terakhir. Suara Umi hampir tidak kedengaran. Umi mengucapkan kalimah syahadah dengan suara tersekat-sekat sebelum menghembuskan nafas yang terakhir, diiringi esakan Wardah, Dahlia, Rayyan, Darwish, dan Ameena. Dahlia mengusap dahi Umi. Terasa sejuk. Rayyan cuba mengangkat jari jemari Umi. Jari-jari Umi sudah kaku. Air mata mereka turun laju membasahi pipi. Perit rasanya menerima hakikat bahawa Umi sudah tiada lagi di dunia ini.
Pak Cik Hashim menelefon ambulans. Dua puluh minit kemudian, ambulans tiba dari Hospital Gerik. Dua orang petugas kesihatan masuk ke dalam bilik untuk memeriksa keadaan Umi. Mereka mengesahkan Umi sudah tiada dan mengisi sehelai borang pengesahan untuk kegunaan nanti.
Setelah petugas kesihatan beredar, Mak Long dan Opah menggunting baju yang dipakai Umi. Sendi-sendi Umi dilumur minyak, dan tangannya diqiyamkan. Ameena yang masih belum mengerti sepenuhnya apa yang berlaku terlena di sisi jenazah Umi yang kaku. Opah menyelimuti tubuh Umi dengan kain batik panjang.
"Wardah, ikut Pak Cik Hashim pi buat report, ya," pinta Mak Long. Wardah mengangguk. Suaranya bagai tersekat di kerongkong, rasa sebak yang menekan dada seolah-olah menelan suara Wardah.
"Dahlia boleh solat tak?" soal Mak Long.
"Boleh, Mak Long," jawab Dahlia dalam esakan.
"Dahlia, Rayyan, dengan Darwish pergi ambil air sembahyang, ambil al-Quran. Baca al-Quran untuk Umi, ya." Lembut nada suara Mak Long bersulam rasa sebak.
----
Dua buah motosikal dipandu laju menuju masuk ke halaman sebuah rumah kampung dua tingkat. Cahaya lampu kalimantang di luar menerangi tempat parkir rumah Opah. Tepat pukul 4.30 pagi, Yasmin, Ziyad, dan Melur sampai di rumah Opah.
"Assalamualaikum," Ziyad memberi salam.
"Waalaikumussalam," jawab Mak Long dari dalam rumah. Pintu depan ditolak perlahan. Ternyata tidak berkunci. Yasmin, Ziyad, dan Melur meluru masuk ke dalam rumah. Mereka bersalaman dengan Opah dan Mak Long yang berada di ruang tamu sebelum masuk ke bilik tempat Umi berada. Yasmin melihat sekujur tubuh Umi sudah diselimuti kain batik panjang. Dahlia dan Darwish masih membaca al-Quran. Wardah dan Rayyan tiada di dalam bilik.
Mereka menghampiri jenazah Umi. Kain yang menyelimuti wajah Umi dibuka perlahan. Yasmin membelai wajah Umi yang pucat dan sejuk. Air matanya jatuh seperti manik-manik yang terputus. Satu persatu jatuh membasahi wajah Umi. Cepat-cepat Yasmin mengelap air matanya yang mengalir dengan lengan baju sejuk yang dipakai. Dia mengelap wajah Umi yang basah dengan jari-jemarinya. Pipi Umi dicium.
Lama Yasmin menekapkan bibir dan hidungnya di situ. Kemudian dia meraih tangan Umi. Belakang tapak tangan Umi dicium penuh kasih. Yasmin kemudian bangun untuk memberi peluang kepada Ziyad dan Melur pula.
Yasmin berdiri di tepi kaki Umi. Bertambah sesak dada Yasmin melihat Ameena yang berusia sembilan tahun sedang tidur lena di sisi jenazah Umi. Yasmin terduduk, bersandar di dinding. Air matanya dibiarkan jatuh membasahi pipi dan tudungnya.
Share this novel