"You nak bayar hutang Aidil Rizki? Nanti i check baki hutang dulu," ujar seorang gadis Cina sambil menekan-nekan butang pada komputer di hadapannya. Arman dan Yasmin duduk di atas kerusi yang disediakan di kaunter premis pinjaman wang berlesen itu.
"Emmm... ada baki lagi RM3,700," gadis itu memaklumkan. Arman dan Yasmin saling berpandangan. Arman mencapai dompet dari dalam beg sandang yang dibawanya. Dia mengeluarkan kad banknya lalu dihulurkan kepada gadis itu.
"Berapa Aidil pinjam sebelum ni?" tanya Arman.
"Dia pinjam RM2,000, dan sudah bayar RM1,340," jawab gadis tersebut tanpa ekspresi.
Arman dan Yasmin terkedu. Mereka saling berpandangan lagi.
"Tak apalah. I nak bayar habis," potong Arman, nadanya tegas. Dia tahu, jika hutang itu dibiarkan lebih lama, faedahnya akan terus meningkat. Setelah menandatangani beberapa dokumen, gadis Cina itu menyerahkan resit kepada Arman.
Mereka keluar dari premis itu dengan perasaan bercampur baur.
"Awak, ambillah duit ni dulu. Nanti yang selebihnya saya bayar sikit-sikit," Yasmin menghulurkan sejumlah wang yang diikat dengan getah kepada Arman. Arman mengerutkan dahi.
"Mana awak dapat duit ni?"
"Adalah. Awak jangan tanya," balas Yasmin sambil memalingkan muka ke sisi, mengelak memandang wajah Arman.
"Awak gadai rantai tangan awak, kan?" tebak Arman. Yasmin mendengus kecil.
"Nanti saya tebus balik," jawab Yasmin ringkas.
"Kan saya dah cakap, jangan fikir pasal duit tu." Nada suara Arman berubah serius.
"Saya tak mahu susahkan awak. Saya malu awak terpaksa bayar hutang abang saya pula," tutur Yasmin, suaranya perlahan. Dia masih tidak memandang Arman.
"Saya tak nak duit ni. Awak pergilah ambik balik rantai tangan awak," tegas Arman. Dia menepis lembut kepingan wang itu lalu berjalan laju menuju ke kereta, meninggalkan Yasmin yang terpinga-pinga.
Yasmin segera mengekori Arman dan masuk ke dalam kereta.
"Berapa banyak hutang Along, Kak Min? Berapa ribu?" soal Darwish sebaik Yasmin menutup pintu kereta.
"RM3,700," jawab Yasmin.
"Dia pinjam berapa?" tanya Darwish lagi, wajahnya penuh tanda tanya.
"RM2,000," balas Yasmin.
"Hah? Macam mana depa kira sampai jadi macam tu?" Darwish mengerutkan muka.
Arman dan Yasmin tergelak kecil.
"Pinjam dengan Ah Long, macam tu lah. Faedah lebih tinggi dari hutang asal," sampuk Arman sambil memandu.
Darwish menggeleng perlahan. "Gila betul! Patutlah boleh jadi kaya. Cekik darah orang."
Yasmin hanya mampu tersenyum tipis. Dalam hatinya, dia berharap masalah ini akan selesai dan Along tidak akan mengganggu dia dan adik-adiknya lagi.
----
Arman membelokkan kereta ke tepi jalan dan memarkirnya di hadapan sebuah kedai makan ala western yang terkenal di Sungai Petani. Aroma masakan yang menyelerakan terus menusuk hidung sebaik sahaja dia membuka pintu kereta.
“Jom makan dulu, saya lapar dah ni,” katanya sambil mematikan enjin. Arman memandang ke arah Yasmin, Darwish, dan Ameena seorang demi seorang, seolah-olah meminta persetujuan.
“Kami pun dah lapar ni,” sahut Darwish. Mereka berempat keluar dari kereta. Langkah kaki mereka cepat menuju ke meja kosong yang disusun di atas jalan tar di depan kedai. Tidak lama kemudian, seorang pelayan datang membawa menu. Yasmin membelek menu dengan tekun.
“Hampa nak makan apa?” soal Yasmin kepada Darwish dan Ameena.
Darwish mengambil menu dari tangan Yasmin. Dia dan Ameena membelek menu bersama-sama.
“Nak chocolate shake dengan chicken chop,” Ameena menunjuk pada senarai di menu. Pelayan itu segera mencatat pesanan Ameena.
“Chicken chop dengan chocolate shake,” ujar Darwish pula.
“Saya nak chicken grill. Teh ais satu,” ucap Yasmin sambil meletakkan menu di meja.
“Tak makan nasi? Tadi awak kata lapar nasi?” Arman memandang Yasmin dengan lembut.
“Tak jadi. Rasa nak makan chicken grill pula,” Yasmin tersenyum. Arman membalas dengan senyuman kecil, tanda memahami.
“Saya nak spaghetti carbonara. Ice lemon tea,” tambah Arman. Pelayan itu menulis pesanan terakhir sebelum mengumpul kesemua buku menu dan bergegas ke dapur menghantar pesanan.
“Darwish, macam mana tahun ni? kau nak ambik SPM, kan?” tanya Arman, memecah kesunyian sambil bersandar pada kerusi. Cahaya mentari petang memancar, menyilaukan pandangan mereka.
“Ya, abang. Tapi tulah, Math Tam yang paling susah bagi saya. Pening kepala nak faham,” Darwish menggaru kepala yang tidak gatal.
“Tak ada tuisyen ke dekat sekolah?” soal Arman lagi.
“Ada, tapi cikgu yang sama jugak yang ajar. Saya susah nak faham kalau cikgu tu mengajar,” jawab Darwish sambil bersandar pada kerusi, menghela nafas panjang.
Belum sempat Arman menyoal lagi, pelayan datang membawa hidangan mereka. Aroma makanan segera menyegarkan suasana di meja.
“Okay, kita makan dulu,” kata Ameena dengan ceria sambil menyedut chocolate shake yang dipesannya tadi.
Arman tersenyum kecil sambil memandang Darwish. “Lepas makan, kita sembang lagi. Math Tam tu abang boleh ajarkan kalau kau nak.”
“Betul ka abang Arman?” Mata Darwish membulat, jelas teruja. Senyumannya lebar.
“Betul,” balas Arman, yakin.
Yasmin memerhatikan mereka sambil tangannya menyuap chicken chop masuk ke dalam mulut. Dia tersenyum, dalam hatinya terasa lega kerana selepas ini tak perlulah dia teruk-teruk memeras otak untuk mengajar Darwish. Matematik biasa pun sudah cukup susah bagi Yasmin ketika bersekolah dulu. Mahu pecah kepala Yasmin jika dia terpaksa belajar Matematik Tambahan seperti Darwish.
Share this novel