Pilihan yang sukar

Romance Series 16692

Arman keluar dari pejabat Yamamoto-san dengan wajah kusut. Dia berhenti di meja kantin yang kosong dan duduk seketika. Yamamoto-san telah memberitahunya bahawa selepas Aidilfitri nanti, Arman akan mengetuai sekumpulan pekerja yang akan berkursus di Jepun selama tiga bulan. Sebenarnya, buat masa ini, Arman kurang berminat untuk ke mana-mana. Dia lebih suka bekerja di kilang sahaja.

“Fuuu…” Arman menghela nafas panjang. Dia juga tidak dapat menolak permintaan Yamamoto-san kerana dia antara pekerja Malaysia yang boleh berbahasa Jepun di kilang itu. Seminggu selepas Syawal, dia akan berangkat ke Jepun.

“Aruman-san?” tegur Watanabe-san yang baru keluar dari bilik loker.

“Watanabe-san?” Arman menyapa kembali sambil menundukkan sedikit kepalanya.

“Yasumin no okaasan wa genki desu ka?

(" Bagaimana khabar ibu Yasmin?") Tanya Watanabe-San.

“Yasmin no okaasan wa nakunarimashita.”

(" Ibu Yasmin sudah meninggal dunia.")

“Sou ka. Hidoi ne. Kawaisou na Yasumin.”

(" Iyakah. Teruknya. Kasihan Yasmin.") Watanabe-San turut merasa simpati pada Yasmin.

"Kondo Nihon ni iku no?"

("Adakah awak akan ke Jepun nanti?")

"Un. Hontou wa ikitakunai n da."

("Ya. Sebenarnya saya tidak ingin pergi.") kata Arman dengan nada tidak bersemangat.

"Yasumin no tame ni Nihon ni ikitakunai no?"

("Adakah kamu tidak ingin pergi ke Jepun kerana Yasmin?" tujah Watanabe-San.

"Un."

("Iya") Arman mengangguk mengiyakan.

"Kanojo ni kokuhaku shita no?"

("Kamu sudah menyatakan cinta kamu padanya?" Soal Watanabe-San lagi.

"Mada. Kanojo ga boku no koto o kotowaru no ga kowai n da."

("Belum. Saya takut dia menolak cinta saya.")

"Koukai suru mae ni hayaku tsutae na yo. Yasumin igai wa minna kimi ga kanojo no koto ga suki tte shitteru yo!"

("Cepatlah beritahu sebelum kamu menyesal. Semua orang tahu kamu sukakan Yasmin kecuali Yasmin sendiri." desak Watanabe-San bersungguh.

----

Yasmin masuk ke dalam bilik Umi. Ameena duduk di birai katil dengan air mata bertakung di sepasang mata bundarnya.

“Kak Liya beritahu yang Meena ada tulis surat untuk Umi, betul ke?” soal Yasmin dengan nada lembut.

“Ada.” Ameena mengangguk.

“Kenapa Meena tulis surat untuk Umi?”

“Meena rindu Umi. Meena nak jumpa Umi.” Mata Yasmin terasa pedih. Ingin saja air matanya mengalir keluar, tetapi ditahan. Dia mesti kuat di hadapan Ameena, di hadapan adik-adiknya. Sedangkan Yasmin sendiri pun rindukan Umi, apatah lagi Ameena.

“Sekarang kita tak boleh jumpa Umi. Umi dah meninggal. Kan Meena sendiri tengok Umi kena tanam dalam tanah,” tutur Yasmin lembut.

“Umi tak boleh balik ke?” soal Ameena, semakin sedih.

“Tak boleh. Allah ambil Umi. Nanti kita pun akan mati juga, dan masa itu kita boleh jumpa Umi. Kalau Meena rindukan Umi, Meena solat, lepas solat doakan Umi. Kalau Meena doa untuk Umi, itu sama seperti kita bagi hadiah untuk Umi. Umi boleh guna di sana nanti. Mesti Umi seronok.” Yasmin cuba menjelaskan supaya Ameena faham.

“Meena dah doa,” beritahu Ameena dalam esakan.

“Tak apalah. Kalau Meena rindu Umi dan nak tulis surat untuk Umi, nanti bagi kat Kak Liya.” Air mata Yasmin tidak tertahan lagi. Dia mendongak kepala dan menarik nafas dalam-dalam. Tubuh kecil Ameena dipeluk erat.

Sudah enam belas Ramadhan. Ramadhan tahun ini terasa sepi. Umi pergi menghadap Ilahi pada hari kedua Ramadhan. Yang pasti, Syawal yang akan datang tidak akan sama lagi.

“Kak Min, Meena, jom buka puasa.” Dahlia memanggil dari luar bilik. Dia sedang menghidangkan juadah berbuka puasa bersama Rayyan dan Darwish. Wardah, Melur, dan Ziyad belum pulang dari kerja. Along pula sudah keluar sejak tengah hari tadi.

----

Kereta sedan Honda RS berwarna perak milik Arman menyusuri jalan di sebuah taman perumahan mewah dan eksklusif, iaitu Taman Kolam Air, Johor Bahru. Arman memberhentikan keretanya di hadapan pintu pagar sebuah banglo individu. Pintu pagar dibuka secara automatik sebelum Arman memandu masuk dan memarkir kereta di garaj.

Arman menghirup udara segar di halaman banglo mewah seluas 9,200 kaki persegi itu, yang tidak ubah seperti sebuah nurseri pokok bunga. Memang Dato’ Adnan dan Datin Raudhah cukup gemar menghiasi halaman rumah mereka dengan pelbagai tumbuhan hijau.

Hawa dingin berkabus pada pukul 7 pagi seperti ini menyapa kulit Arman, yang hanya memakai t-shirt dan seluar jeans.

"Sejukkkkk..." Arman memeluk tubuhnya. Seketika kemudian, Dato’ Adnan keluar dari rumah.

"Kenapa tak masuk lagi?" sapa Dato’ Adnan.

"Saja, Abah. Adik nak hirup udara segar sekejap. Lama tak tengok kebun bunga ni."

"Kamu bersahur di mana tadi?"

"Adik singgah di Masjid Kolam Air. Sahur, mandi, solat di situ sekali, Abah."

"Berapa hari kamu cuti kali ni?"

"Dua hari saja, Abah. Hari ni baru tujuh belas Ramadan. Dua puluh sembilan Ramadan baru adik balik lagi, cuti raya. Abah, jom masuk. Sejuk." Ajak Arman.

Dato’ Adnan mengekorinya masuk ke dalam rumah, lalu masing-masing melabuhkan punggung di atas sofa di ruang tamu. Dato’ Adnan mencapai surat khabar The Star dan mula membacanya.

"Hai. Lama tak jumpa, Abang Arman."

Arman menoleh ke arah tangga. Dia agak terkejut mendengar suara itu.

"Bila kau balik?" sapa Arman sambil tersenyum melihat gadis berambut perang itu. Zulaikha turut duduk di atas sofa.

"Dua hari lepas Ika balik. Mama dan Papa tak ada dekat rumah. Ika tidur sini."

"Pak Long bagi tahu Abang nak pergi Jepun. Bila nak pergi tu?"

"Lepas raya ni. Pergi tiga bulan saja." Arman merebahkan badan di atas sofa. Matanya terasa berat setelah memandu sepanjang malam.

"Nah..." Zulaikha membaling sebiji bantal kecil ke arah Arman. Arman mengambil bantal itu lalu meletakkannya di bawah kepala.

"Pak Long, Ika nak keluar ni. Nak pinjam kereta." Zulaikha bangun dari sofa.

"Pakai kereta abang. Tu, kunci atas meja tu." Zulaikha mengambil kunci dari atas meja, lalu pergi bersalaman dengan Dato’ Adnan.

"Bawa kereta elok-elok," pesan Dato’ Adnan kepada anak saudaranya itu. Zulaikha hanya mengangguk, lalu keluar dari rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience